DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday, 16 October 2019

Mocha Girl - Bab 7

JAM loceng yang sedang menjerit nyaring dicapai
dengan malas lalu ditekan butang off lalu dilempar ke
bawah katil. Dia kembali menyambung lena namun tidak
sampai 5 minit telefonnya pula mengaum minta diangkat.
Q mendengus geram. Gebar yang tebal itu ditolak kasar.
Dengan mata separa terbuka, dia bangkit sambil tangannya
menggagau mencari keberadaan ‘Miss V’ kesayangannya
itu. Hadiah ulang tahun daripada Encik Haikal ketika hari
lahirnya tahun lepas.
‘Aduh! Kat mana pula dia menyorok ni?’ omel
hatinya. Gebar ditolak sehingga jatuh ke bawah katil. Bantal
juga turut menerima nasib yang sama. Tidak juga ketemu,
bunyi suara Haqiem Rusli yang melantun lagu ‘Jatuh
Bangun’ sepi setelah seminit berlalu. Dia sengih kelegaan
kerana panggilan itu telah mati dengan sendiri. Tak payah dia
bersusah payah mencari lagi.
Baru saja dia berkira-kira mahu meletak kepala
kembali, sekali lagi suara Haqiem Rusli kedengaran lagi. Dia
mendengus geram. Siapalah yang telefon bertalu-talu ni? Tak
tahukah dia nak tidur?
“Macam mana kau boleh menyorok bawah cadar ni
Miss V oi?” bebel Q apabila tangannya menangkap keberadaan
telefonnya itu. Macam manalah boleh terselit di bawah cadar
ni?
Butang hijau ditekan lalu ditekap ke telinga. Spontan
kepalanya melurut jatuh atas tilam.
“Helo darling! Kau tak nak masuk kerja ke?” lunak
suara di sebelah sana menyapa. Ini bukan lunak manja tau,
tapi kelunakan yang penuh dengan kesinisan.
Q kerut kening. Kenapa suara itu seakan biasa
didengar? Dilihat skrin telefonnya kembali. Tertera nama
Aqil, tapi suara pemanggil bukan suara Aqil. Dan Aqil takkan
sesekali memanggilnya darling. Yang panggil dia darling...
Hah??? Buntang mata Q apabila mengingatkan itu.
Lantas dia bangun membetulkan duduknya.
“Err... bos...” teragak-agak Q bersuara.
“Ya darling. Bos kau ni. Penat sangat ke kerja
semalam, sampai jam ni belum bangun lagi?” tanya Luth
sinis. Disuruh baca buku saja semalam, bukan buat kerja
penat pun.
Q buat muka sebal mendengar bebelan Luth. Telefon
dijauhkan daripada telinganya. Dengan bermalasan, dia turun
daripada katil mencari tuala yang entah di mana. Seketika
matanya terpaku pada jam dinding yang menunjukkan angka
10 pagi. Pejam celik, pejam celik matanya melihat jam itu.
Sesekali ditenyeh matanya seperti tidak percaya. Patutlah
singa itu membebel. Rupanya dia sudah terlewat gila ke kafe.
Matilah!
“Nur Qasy Imani! Moka aku takde ni. Macam mana
aku nak buat kerja tanpa moka? Dari pagi aku belum makan
lagi. Kau dah lupa ke janji kau!” bebel Luth di hujung talian.
“Bos, saya letak dulu. Nak mandi, dah lambat ni nak
masuk kerja,” kelam-kabut Q bercakap.
Luth menarik nafas dalam. Hilang sabarnya dengan
perempuan seorang ini. ‘Habis, dia ingat kenapa aku call dia?
Rindu? Suka-suka? Haih, kalau depan mata ni, memang kena
luku.’
“Bos! Saya letak ek. Kalau nak bebel pun tunggu
saya sampai kafe. Bye.” Terus talian dimatikan. Tunggu Luth
membalas kata-katanya, hanya membazirkan masa saja.
“Sebelum pukul 11 pagi kau dah kena ada kat kafe!”
Luth menghempas telefon Aqil ke atas meja.
Berkerut Aqil melihat telefon kesayangannya
diperlakukan begitu. Cemberut wajahnya.
“Bos, kesayangan saya ni,” Aqil mengangkat
perlahan-lahan telefon itu lalu dikucup lama.
“Huh! Drama lebihlah kau ni Aqil!” marah Luth.
Aqil sengih seraya tangan naik menggaru kepala.
“Q datang nanti kau suruh dia naik atas. Ni, kaunter
ni kau suruh Luqman jaga. Kau ganti Q buat kopi. Hari ini, Q
ada denda yang perlu dia lakukan!”
Ternganga Aqil. Begitu saja? Bagi arahan terus
blah. Sudahlah bagi arahan kepada dia, sekarang dialah kena
sampaikan semua itu kepada dua makhluk itu pula. Habislah!
Sudahlah kurang staf, Q pula lambat. Azrai dan Khairul boleh
demam sekali pula.
“Bos, mana boleh bos. Khairul dengan Azrai takde
ni!”
Laungan Aqil tidak dipedulikan oleh Luth. Langkah
terus dibawa naik ke tingkat atas.
Aqil menarik muncung. Habislah dia dan Luqman
hari ini. Mujurlah semua menu telah Khairul dan Azrai
siapkan semalam.
Luth menghempaskan punggung ke atas kerusi. Fail
di atas meja diambil lalu diselak sambil lalu. Sebenarnya dia
ada perkara yang hendak dibincangkan dengan Q. Sesuatu
yang dia rasa sudah sampai masanya dibincangkan dengan
gadis itu.
Fail itu diletakkan kembali, fikirannya kembali pada
perbualan dengan ibunya semalam. Entah kenapa, dia rasa
kali ini nekad ibunya lain macam.
“Ibu nak kamu kahwin tahun ni juga. Adik-adik
kamu semua dah berteman. Kamu ni yang tua, usahkan
calon isteri, calon girlfriend pun ibu tak nampak. Takkanlah
sebab kena tinggal dengan si Anggun tu kamu trauma,” sinis
hujung ayat Puan Dhuha.
Luth menarik muncung. Ini yang dia malas bercakap
dengan Puan Dhuha. Dia bukanlah trauma, apa hal pula dia
nak trauma? Kena tinggal dengan kekasih saja pun. Cuma,
belum sampai serunya lagi.
“Ibu, kahwin ni bukan macam ibu pilih baju kat
butik tu. Berkenan terus ambil dan bayar. Balik rumah tak
sesuai dengan badan, simpan dalam almari. No, ibu! Kahwin
bukan macam tu. Luth bukan cari yang sempurna, cuma
Luth cari perempuan yang boleh terima Luth seadanya.
Susah senang dengan Luth,” ujar Luth lembut. Dia bukan
memilih yang cantik, seksi atau kaya. Ah, Anggun tu seksi,
cantik dan ada kerjaya yang bagus, tapi akhirnya hubungan
mereka kecundang di tengah jalan. Mujurlah dia belum tahap
tangkap jiwang dengan gadis itu.
“Yalah, tapi bila? Si Malik dan bertunang, Harraz
pun dah ada steady girlfriend. Siap beritahu ibu nak kenalkan
dengan ibu lagi. Ni, anak sulung ibu... masih terkial-kial,”
bebel Puan Dhuha.
“Ibu... mahukan yang berkualiti kena sabar. Soon
ibu. Soon,” Luth kenyit mata nakal kepada Puan Dhuha.
Dalam kepalanya sudah memikirkan pemilik satu nama yang
sudah memikat hatinya sejak kali pertama mata mereka
bertentang.
“Bos!” muncul wajah Q di muka pintu pejabat
dengan nafas termengah-mengah.
Luth mengangkat wajah memandang Q yang sedang
tersengih. Kemudian anak matanya beralih pada jam di
pergelangan tangan. 10.30 pagi. Hmmm, pecut ke terbang Q
ni? Rumah gadis itu tidaklah dekat dengan kafenya.
“Mandi tak ni?” soal Luth jengkel.
Q julingkan mata ke atas. Malas hendak melayan
soalan Luth.
“Kenapa bos suruh saya naik atas? Saya nak tolong
diaorang kat bawah.”
“Nah,” Luth menghulurkan buku setebal Kamus
Dewan kepada Q.
“Hah?” Bulat mata Q memandang buku itu.
Takkanlah sekali lagi? Keluhan terbit dalam hatinya.
“Apa hah? Ambil ni, dan duduk kat sana. Habiskan
hari ini jugak!” tegas arahan Luth.
“Bos, kat bawah banyak kerja nak buat. Kasihan kat
Aqil dan Luqman.”
Luth menjeling tajam ke arah Q. Pandai pula
kasihankan budak dua ekor itu. Yang dia ni, Q tak kasihan
pula! Dari pagi tak makan, menunggu sarapan yang Q
janjikan semalam.
“Bos.”
“Hmm...” deham Luth. Dibetulkan duduknya. “Mana
sarapan aku?”
“Allah!” Q tepuk dahi. Dia senyum dan mata
dikerdip-kerdipkan. Konon comel. Dia bukan sengaja. Kalau
tidak kerana terlewat bangun, dia akan tunaikan permintaan
bosnya ini.
“Hurmm... nak makan air tangan dia pun susah,”
omel Luth perlahan.
Q garu kepala.
“Macam inilah bos, apa kata nanti bos datang makan
rumah saya? Saya masak apa saja yang bos nak makan,”
pelawa Q.
“Betul?” soal Luth dengan nada ceria.
Q mencebik. Terus ceria bosnya itu. Macam itulah
yang ditunggu-tunggunya. Erkk... betul ke Luth tunggu
dia pelawa datang rumah? Ehem... rasa macam dalam perut
penuh dengan rama-rama!
“Ya...”
“Janji?” tagih Luth.
“Janji, bos. Jangan nak suruh saya buat pinky
promise pula,” selar Q.
“Hahaha... takde makna nak pinky promise bagai.
Okey, saya pegang janji awak. Jangan dah sampai masa, awak
mengelat pulak,” pesan Luth.
“Ya. Okey, sekarang saya boleh turun bawah? Orang
tengah ramai tu bos.”
“Hmm... yalah.”
“Denda tu?” Ekor mata Q menjeling buku setebal
kamus di atas meja.
“Batal,” ujar Luth dingin. Dia yakin kejap lagi gadis
itu akan melompat gembira. Jarang dia jumpa perempuan
yang tidak suka membaca. Dulu masa bercinta dengan
Anggun, gadis itu suka membaca novel. Semua jenis genre
novel gadis itu suka baca. Tapi berlainan sungguh dengan
Q. Hanya satu sahaja buku yang mampu menarik fokus Q.
Bibirnya melakar senyum.
“Terima kasih, bos.”
“Q,” panggil Luth teringat akan buku yang
ditempahnya minggu lepas. Baru sahaja sampai.
“Apa lagi, bos?” Q tayang muka.
“Nah.” Bungkusan itu Luth hulurkan.
“Apa ni?”
“Bukalah.”
Dengan hati-hati plastik itu dikoyak. Tajuk pertama
yang menyapa matanya, ‘Kopi’. Nampak sahaja sebaris
perkataan itu, bibirnya melakar senyum lebar. Diangkat mata
memandang Luth. Tidak percaya lelaki itu memberikan buku
itu kepadanya. Kemudian dipandang buku itu lagi.
Sudah lama dia mencari buku yang berkaitan dengan
perihal kopi. Kalau buku inilah yang Luth suruh dia baca,
bertapa di dalam bilik ini 3 hari 3 malam pun dia sanggup!
Dibelek buku pertama ‘The World Atlas Of Coffee:
From Beans To Brewing’ tulisan James Hoffman. Kemudian
ditilik pula buku kedua, ‘Uncommon Grounds’ karya Mark
Pendergrast.
Senyumnya kian lebar. Tidak mampu disorokkan
kegembiraan dalam hati.
“Untuk saya?” Sudah terang buku itu diberi
kepadanya, ditanya lagi. Anak matanya naik merenung Luth
sesaat kemudian jatuh pada buku-buku yang lain. Ada karya
Scott Rao tajuk ‘Everything but Espresso’. Namun dia lebih
tertarik pada buku karya James Freeman, Caitlin Freeman
dan Tara Duggan iaitu ‘The Blue Bottle Craft of Coffee’. Sebab
buku itu bukan hanya menceritakan tentang dunia kopi,
malah tentang art coffee dan juga ada tertulis resipi menu
kopi yang popular di kafenya. Sungguh tidak kedekut ilmu
mereka ini.
“Ya. Kenapa? Tak percaya?” Luth mengulum senyum.
Melihat keterujaan gadis itu membuatkan dia rasa berbaloi
berhabis duit untuk mendapatkan buku-buku itu. Sudah
dia katakan, ada buku yang mampu menarik fokus Q; buku
tentang kopi. Obsess sungguh Q dengan kopi!
Q mengangguk bagaikan orang bodoh. Mata tidak
lepas daripada memandang buku itu. Diusap lembut bagaikan
itulah kekasih hatinya.
Lucu melihat telatah Q, Luth ketawa halus.
“Susah tau saya cari buku tu. Jaga elok-elok. Anggap
itu cinta dan hidup saya yang saya serahkan kepada awak.”
Luth tersenyum cantik. Tahu sangat ayat terakhirnya itu
akan membuatkan Q gelisah, tapi apa dia kisah. Memang itu
tujuannya. Dia sengaja mahu menghuru-harakan perasaan Q.
Mana aci Q asyik menglibang-libukan perasaannya saja.
Q kaget. Dia mahu membalas, tapi kata-kata Luth
membuatkannya tergamam. Apakah maksud bosnya itu?
Terkebil-kebil dia memandang Luth yang merenungnya
redup. Digelengkan kepalanya sedikit. Kenapa dia nampak
Luth semakin kacak? Senyuman lelaki itu menawan.
Padahal bukannya Luth tidak biasa tersenyum kepadanya.
Haih, takkanlah baru Luth mengayat begitu dia dah sewel?
Sebelum ini Luth mengayat juga, tak pula dia begini.
“Dahlah. Pergi turun cepat. Kasihan Aqil dengan
Luqman,” arah Luth. Lebih lama Q di situ, risau hatinya tidak
bertahan. Wajah keliru Q benar-benar membuatkan wajah itu
comel sekali.
“Terima kasih, bos. Sayang...” Ops! Q kemam bibir.
Dia hampir tercakap perkataan ‘sayang bos’ tadi. Tidak
menunggu lama, dipusingkan tubuh lalu terus berlari turun
ke bawah. Sampai di hujung anak tangga, dia berhenti.
Tangan naik memegang dada. Ada getar di situ. Kemudian
dipandang atas, bibirnya merekah senyum lagi. Nafas ditarik
dalam sebelum menyertai Luqman dan Aqil.
Meletus tawa Luth. Bahagia telinga mendengar
ungkapan sayang itu. ‘Kau benar-benar sesuatu yang
istimewa, Q. Terlalu istimewa.’
JAM DI pergelangan dijeling. Jarum jam sudah menghampiri
angka 4 petang. Dibetul-betulkan tubuhnya menghilangkan
lenguh. Fail yang sedang dibaca ditolak ke tengah meja.
Mata yang kabur ditenyeh beberapa kali sebelum dia bangun
membawa langkah ke tingkat bawah.
Menginjak anak tangga terakhir, dia mengintai ke
dalam kafe. Ruang di dalam kafe sedikit lengang. Hanya ada
beberapa orang pelanggan yang sedang menikmati minum
petang. Dia melangkah masuk lalu duduk di meja yang
terletak di tepi dinding. Tangan menggamit Aqil.
“Ya, bos.”
“Mana Q?”
“Kat belakang dengan Luqman.”
“Hah?” Bulat mata Luth memandang Aqil.
“Err...”
“Diaorang buat apa kat belakang? Berdua pula tu!”
tanya Luth tidak senang.
“Ooo, Luq tolong Q siapkan pesanan pelanggan.
Diaorang pesan nak makanan ringan. Yang kita letak atas
meja display tu dah habis.”
“Hmm, panggil dia ke sini ke sini bila dah settle
semua. Aku ada hal nak bincang. Panggil Luq sekali,” arah
Luth.
Sementara menunggu, telefon di dalam poket seluar
ditarik keluar. Melayari laman sosial yang sudah lama tidak
dilawati.
“Bos.” Muncul Aqil, Luqman dan Q.
“Duduk,” arah Luth.
Ketiga-tiganya melabuhkan duduk. Terdengar
helaan nafas lega daripada bibir ketiga-tiganya. Luth sedar
mereka kepenatan. Dan dia juga sedar kafenya kekurangan
tenaga pekerja. Susah mahu mencari pekerja yang serius.
Tertekan sikit, berhenti kerja. Itu yang dia malas mahu
mencari pekerja.
“Macam ni, hujung minggu ni aku nak tutup kafe
sebab aku nak buat majlis makan-makan untuk keluarga
dan kawan-kawan. Jadi, macam biasa korang kena hadir
juga. Kena uruskan semuanya. Q, kau bahagikan tugas pada
mereka,” arah Luth.
“Okey,” setuju Q. Dia sudah tidak ada tenaga mahu
bersoal jawab tentang itu. Dari tadi mereka belum berehat
lagi.
“Nanti sampaikan kepada Khairul dan Azrai.”
“Okey bos,” jawab mereka serentak. Lemah saja
nadanya.
Luth menarik senyum.
“Ada banyak kerja lagi ke?”
“Hmm... banyak bos. Untuk malam ni belum prepare
lagi. Bahagian pastri pun dah kosong tu,” adu Q. Kepala
dilentokkan ke atas meja.
“Okey, korang dah makan belum?”
“Belum bos,” jawab Aqil.
“Okey. Korang rehat bergilir. Aku buat kopi.”
“Serius, bos?” serentak mereka bertanya. Terkejut
pun ya juga. Tidak percaya yang bos mereka sanggup turun
padang. Tak pernah-pernah Luth menawarkan diri untuk
membantu walau sesibuk mana pun mereka.
“Ada nampak aku main-main? Atau korang boleh
urus sendiri?” Luth sengih jahat.
“Tak! Q, kau pergi makan dulu. Lepas tu Luqman,
kemudian aku,” ujar Aqil laju.
Macam lipas kudung Luqman dan Aqil bergegas
melakukan tugas masing-masing. Sementara Q pula masih
merenung Luth yang sudah sedia memulakan tugasnya.
Lengan baju kemeja dilipat hingga ke siku. Dua biji butang di
bahagian atas dibuka.
Baru Luth mahu menapak ke kaunter bar, matanya
melirik Q yang masih merenung tanpa berkelip ke arahnya.
“Kenapa?”
“Handsome.” Erkk!!! Dia buat apa ni? Terus Q
bangun berlari ke bahagian dapur. Merona merah pipinya.
Dua kali dia kantoi. ‘Apa yang tak kena dengan aku ni?’
Luth? Lebar senyumnya. Menggeleng kepala dia
melihat Q yang berlari anak ke bahagian belakang.
‘Aduhai sayang... handsome ya?’ Kembang hati
dipuji si dia. Bukan senang nak dengar si dia memuji.

No comments:

Post a Comment