DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday 16 October 2019

Mocha Girl - Bab 5

SINAR matahari menyilaukan anak mata.
Selimut tebal ditarik menutupi muka, namun haruman
yang menyapa hidung mematikan pergerakan tangannya.
Perlahan diselak selimut. Bulat matanya memandang figura
yang sedang lena indah di sisi. Rambut yang menutupi wajah
itu diselak berhati-hati.
“Q...” serunya lembut. Wajah itu diamati dengan
dalam. Bagaimana gadis ini boleh berada di dalam biliknya?
Saat sepasang mata Q terbuka memandangnya
penuh kasih, bibir nipis itu mengukir senyum manis. Tangan
gadis itu naik melingkar di lehernya membawa tubuhnya
dekat dengan wajah itu.
Liur ditelan kesat. Tidak pernah dia lihat Q sedaring
seperti ini.
Apa yang tidak kena ni? Dia ada buat salah ke
semalam? Dia culik Q bawa balik? Kalau culik, takkanlah
gadis ini akan melayannya sebaik ini? Tidak mampu berkata
apa, melihat kemanjaan Q, spontan bibirnya mengukir
senyum. Tubuh dibawa naik menindih tubuh itu. Wajah itu
masih manis dengan senyuman.
“I love you,” bisik Q.
Kring!!! Kring!!!
Luth bingkas bangun. Bunyi jam loceng
mengejutkannya daripada lena. Terpinga-pinga dia mengitari
segenap ruang bilik. Dikalih ke sisi, tiada sesiapa. Hanya dia
sendiri di atas katil itu. Jadi tadi... mimpi?
Bibir tersenyum merekah. Kepala tergeleng-geleng
tidak percaya yang dia akan mimpikan Q. Mimpi yang
sungguh indah.
Gebar ditolak turun. Kaki melangkah ke bilik air.
Tidak lekang bibirnya dengan senyuman. Usai bersiap, dia
turun ke bawah, mahu sampai ke kafe cepat agar dapat
melihat Q yang masih melancarkan mogok dengannya.
“Awal kamu siap?” tegur Puan Dhuha.
“Ibu...” Semalam dia pulang ke rumah orang tuanya
kerana paksaan Puan Dhuha. Suka sangat mengugut dengan
ayat ‘anak derhaka’. Aduhai! Lemah jiwanya sebagai anak yang
taat. Dia nakal dalam kehidupan sosialnya, tetapi sedayanya
dia menjaga hubungan dengan orang tuanya. Dia mahu reda
orang tuanya kerana reda mereka membawa bersama reda
Allah.
“Ada kerja nak buat kat kafe ibu,” dalih Luth.
Padahal kalau dia masuk lambat pun, operasi kafe itu takkan
terganggu. Semua pekerjanya sudah terlatih.
“Jom, sarapan. Harraz dan Malik tak turun lagi. Papa
pun tengah siap tu,” ujar Puan Dhuha.
Luth menukar haluan ke meja makan. Kerusi ditarik
lalu dia melabuhkan duduk. Nasi goreng disenduk ke dalam
pinggan. Puan Dhuha memang suka memasak dan suka
memastikan semua anak-anaknya pergi kerja dengan perut
yang kenyang.
Sejak zaman mereka sekolah lagi, Puan Dhuha
amat prihatin tentang pemakanan mereka adik-beradik.
Setiap pagi Puan Dhuha akan bangun awal menyediakan
bekal untuk mereka. Kata Puan Dhuha, itu salah satu cara
dia mengeratkan hubungan mereka anak-beranak. Dan dia
ketika itu masih kanak-kanak hanya mengangguk walaupun
tidak faham.
“Sikitnya makan,” tegur Puan Dhuha.
“Ibu... pagi lagi ni. Dahlah ibu masak sarapan berat
pagi ni. Nanti saya mengantuk kat kafe pulak,” adu Luth
manja.
Puan Dhuha geleng kepala.
“Kafe kamu ada jual kopi, kan? Mengantuk, minum
aje kopi. Jangan nak ditahan perut tu daripada makan.
Gastrik nanti susah. Dahlah kamu sekarang duduk sendiri,
entah macam mana makannya,” bebel Puan Dhuha.
“Macam mana lagi makannya anak bujang awak tu
Puan Dhuha eh... makan pakai mulutlah,” usik Encik Anwar.
Dia duduk di kepala meja.
“Pagi pa,” sapa Luth bersama tawa kecil.
Puan Dhuha cebikkan bibir. Suaminya ada saja nak
kenakan dia. Namun disendukkan nasi goreng ke dalam
pinggan lalu dihulurkan kepada suaminya itu.
“Nasi goreng lagi yang? Awak memang nak buat
perut abang boroi ke?” seloroh Encik Anwar.
“Amboi, dah pandai merungut ya bang?” Puan
Dhuha menjeling tajam.
Meletus tawa Encik Anwar dan Luth.
“Apa yang meriah sangat ni?” tegur Harraz seraya
duduk di sebelah Luth. Malik turut duduk di hadapan Luth.
“Ibu kena usik dengan papa. Usik-usik manja,” ujar
Luth.
“Oo... Pa, Harraz rasalah kan, papa dengan ibu ni
kena pergi bulan madu,” ujar Harraz.
“Ya, Malik setuju!” sokong Malik. Sekeping karipap
dimasukkan ke dalam mulut.
Luth anggukan kepala sahaja. Sebut bulan madu,
kepalanya teringatkan mimpi tadi. Spontan bibirnya merekah
senyum lagi.
“Aik, suruh ibu dan papa bulan madu, tapi along
yang sengih bahagia ni kenapa? Hmm, ada yang kami tak
tahu ke?” giat Harraz.
“Uhuk! Uhuk!” Laju tangan Luth mencapai gelas
berisi air suam. Diteguk rakus air itu. Pedih tekaknya.
Meletus tawa semua yang berada di meja makan.
Luth? Tersengih-sengih tidak tahu hendak membalas
bagaimana. Silap dirinya sendiri kerana hanyut dengan
khayalan.

MELANGKAH SAJA masuk ke dalam kafe, matanya liar
mencari susuk Q. Lihat saja Q yang sedang mengelap meja,
lantas bibirnya menguntum senyum. Entah perasaan apa yang
sedang menggebu dalam hatinya. Apa yang dia tahu, perasaan
ini sangat menyenangkan. Mimpi semalam membayangi
ruang mindanya lagi.
“Bos, lebar senyum? Menang loteri ke?” tegur
Luqman.
“Erkk?” Luth berdeham beberapa kali sebelum
bersuara. “Loteri apa Luq? Ingat aku tak tahu halal haram
ke? Aku cari rezeki yang halal nak bagi makan anak isteri aku
nanti,” bebel Luth tiba-tiba. Matanya melirik Q yang langsung
tidak memandangnya. Padahal dia sengaja menguatkan suara
agar gadis itu sedar akan kehadirannya.
“Bos nak kahwin? Dengan siapa? Cik Anggun ek?”
Aqil menyampuk kepoh.
Luth menjegilkan mata. Yang disebut nama Anggun
buat apa? Dipandang Q yang melintas di hadapannya
dengan bersahaja. Usah pandang, senyum pun tidak. Luth
melepaskan nafas berat. Nampaknya kali ini Q betul-betul
mogok dengannya.
“Tak payahlah malu-malu, bos. Saya tengok Cik
Anggun tu pun macam suka dengan bos. Setiap hari singgah
kafe kita. Kalau tak pagi, tengah hari. Petang pun sempat lagi
dia singgah,” cerita Aqil bersungguh-sungguh.
“Kan Qil. Aku pun berpendapat macam kau. Bos
dengan Cik Anggun macam pinang dibelah dua,” celah
Luqman pula.
Luth semakin serba salah. Macam-macam isyarat
telah diberikan supaya dua orang stafnya ini diam, tapi
makin melalut pula jadinya. Sesekali dikerling Q yang sedang
mengemas cawan-cawan kopi.
“Azrai! Mana menu pagi ni? Kafe nak buka dah ni,”
laung Q dari kaunter bar.
“Nah!” Azrai keluar bersama dua bekas makanan
untuk menu sarapan pagi untuk pagi itu. Setiap hari menu
sarapan pagi, tengah hari dan petang bertukar-tukar. Dan itu
merupakan tugas Khairul dan Azrai.
“Terima kasih,” lunak suara Q.
Azrai sengih. Dah biasa sangat dengan Q versi
lembut begini.
“Sama-sama sayang,” ujar Azrai mengusik.
Luth mengepal penumbuk. Bibirnya bergerak-gerak
mahu berkata sesuatu, tapi tidak keluar. Rahangnya juga
dikertap menahan geram. Sakit mata melihat kemesraan
Q dan Azrai, sakit lagi telinganya mendengar tawa manja Q
dengan usikan Azrai itu.
“Aqil! Kau dah buat apa yang aku suruh?” tanya Luth
dengan suara tertahan.
“Dah, bos. Tapi nak letak kat mana, bos?” soal Aqil.
“Kau letak dalam pejabat aku. Tak payah gantung,
letak aje atas meja tu. Nanti aku sendiri gantung kat
mana-mana,” arah Luth.
Aqil dan Luqman bertukar pandangan. Mood Luth
dah berubah. Kedua-duanya menjongketkan kening. Kecut
perut melihat wajah tegang Luth. Tiba-tiba saja mood bos
mereka berubah. Ada yang tidak kena ke?
“Aqil!”
“Ya, bos! Okey!” laju Aqil membuka langkah untuk
bertindak. Suara dingin itu jangan dibuat main. Silap hari
bulan boleh beku seluruh kafe nanti.
“Q darling!” panggil Luth dingin.
Q menjuihkan bibir, buat-buat tidak dengar akan
panggilan itu.
‘Baru hari ni nak Q darling!’ cemuh Q dalam hati.
Luth menggigit geram bibir bawahnya. Hendak
dikejar Q di bahagian dapur, nanti apa pula kata pekerjanya
yang lain. Habis hancur kebahagiaan yang dirasakan pagi
tadi. Aduhai! Apa nak buat untuk memujuk Q ni? Ini semua
salah Luqman dan Aqil. Menyibuk saja!
Tubuh dibawa naik ke pejabat. Duduk di ruangan
kafe menghadap wajah cemberut Q boleh buat dia migrain.
Duduk saja di kerusi berbentuk L yang memang
tersedia di dalam bilik pejabatnya, dia mencapai buku
perniagaan yang setebal Kamus Dewan. Setelah 5 minit
memulakan bacaan, tekaknya terasa kering. Telefon
diambil, lalu dia mendail nombor Aqil. Sebaik saja taliannya
bersambut, terus arahan diberi.
“Q, bos suruh kau hantarkan moka untuk dia.
Sekarang!” ujar Aqil sebaik saja talian dimatikan.
“Hah? Kaulah,” tolak Q. Dia masih berjauh hati
dengan Luth. Setakat panggil ‘Q darling’, lepas tu berlalu
macam itu saja. Itu ke namanya pujuk? Eh, yang dia beria-ia
sangat nak Luth pujuk kenapa? Atau betul yang dia cemburu?
Liur ditelan pahit.
“Dia suruh kaulah,” ujar Aqil lagi. Kepala yang tidak
gatal digaru perlahan.
“Kalau dia nak suruh aku, dia call aku sendiri, bukan
kau,” selamba Q menjawab.
Aqil serba salah. Kenapalah dia pula yang tersepit di
antara dua orang manusia ini? Kut ya pun nak gaduh manja,
janganlah libatkan dia.
Pandangan Aqil terhala ke arah Luqman yang datang
ke kaunter bersama pesanan baharu.
“Q, mocha latte satu, espreso satu dan milk of love
satu.” Luqman kenyitkan matanya nakal.
Q kerut kening, menghadam pesanan itu.
“Eh eh...” Q mengerling tajam.
“Bukan aku. Tu... lelaki kat meja hujung sana yang
suruh aku sampaikan.” Luqman menunjuk ke arah meja
yang berdekatan dengan pintu masuk. Bersama itu, Q turut
memandang ke arah sana.
Lelaki itu melambai tangan ke arah Q. Tidak tahu
hendak bereaksi bagaimana, Q hanya melontarkan senyum
tawar. Laju tangannya menyiapkan pesanan yang diberikan
tadi.
“Q darling!” Lunak lagi menggoda nada panggilan
itu. Tidak selaras dengan pandangan tajam yang dilontarkan
sepasang mata memikat Luth. Bukan dia tidak nampak
lambaian dan sengihan lelaki di hujung meja sana. Pantas
langkahnya diatur mendekati bar.
Buntang mata Q memandang Luth. Bila pula lelaki
ini turun ke bawah? Dia tidak perasan langsung.
Melihat senyum senget Luth, dia tahu lelaki itu pasti
nampak apa yang dilakukan oleh pelanggan tadi. Lantas,
sepasang matanya merenung sepasang mata tajam Luth.
Entah kenapa, dia cuba mencari sesuatu di situ. Sesuatu yang
menjadi jawapan; barangkali kepada sikap Luth sekarang ini.
Panahan mata tajam itu nyata membuatkannya
lebih keliru. Tidak dapat ditelah apa mahunya seorang Luth
Haqiem. Jika dilihat daripada mata kasar, lelaki ini sepertinya
mahu mengawal hidupnya. Atas sebab apa, dia sendiri tidak
tahu. Cinta seperti yang digembar-gemburkan oleh Aqil dan
gengnya? Mustahil kut! Lihat saja Anggun. Bekas teman
wanita Luth itu jauh beza dengannya. Jadi, perihal cinta
sudah boleh ditolak ke tepi.
“Q.” Lembut nada Luth, tetapi hanya Q saja tahu
nada sebenar di sebaliknya.
Luth mengintai lelaki di hujung sana dengan ekor
mata. Diketap kuat rahangnya. ‘Sabar Luth...’
Aqil yang duduk di sebelah Q sudah kecut perut.
Riak tegang Luth menggambarkan segalanya. Memang cari
penyakit sungguh!
“Five minutes, Q! Oh, no! No! Sesaat! Eh, tak!
S-E-K-A-R-A-N-G!” bisik Luth dalam. Satu per satu
dieja perkataan ‘sekarang’. Apa dipeduli mata-mata yang
memandang. Yang dia kisah sekarang, hatinya sakit. Dari
tadi dia menunggu Q menghantarkan moka, namun tidak
juga muncul. Itu yang membawanya turun ke sini dan
pemandangan yang menyakitkan pula disaksikan. Mungkin
lelaki itu pelanggan baharu di sini, sebab itulah berani saja
mengurat Q.
“What?” soal Q dengan suara tertahan.
“Masuk bilik aku! Lambat... tunggulah denda kau
nanti,” laung Luth seraya berlalu ke tingkat atas. Suaranya
tidaklah kuat, tapi seisi kafe itu mampu mendengarnya.
Jatuh rahang Q.
‘Masuk bilik aku? Dia ingat aku ni bini dia ke? Nak
masuk bilik bagai. Ya Allah, bagilah aku kesabaran yang
tinggi.’ Nafas ditarik dalam-dalam, kemudian dihembus
perlahan. Wajah yang berbahang malu terpaksa ditampal
dengan senyum nipis. Mata yang memandang membuatkan
tingkahnya kekok, namun dia harus abaikan saja.
Ini bukan kali pertama Luth buat perangai luar
alamnya; suka bercakap sesuatu yang akan menimbulkan
salah faham. Suka keluarkan kenyataan yang kononnya
dia ini milik lelaki itu. Sudah puas melarang, namun Luth
tetap juga dengan sikapnya. Adakala dia risau juga, andai
nanti perkara ini akan mempengaruhi masa depannya. Dia
juga mahu ada teman hidup. Apa yang orang akan fikir bila
mendengar kenyataan Luth begitu. Sekarang pun sudah ada
yang tidak berani dekat dengannya.
Mahu tidak mahu, Q mengatur langkah. Jika tidak
dituruti, boleh jadi keadaan akan lebih teruk. Luth Haqiem
seorang bos yang diktator. Masalahnya hanya dengan dia.
Dengan staf lain boleh saja lelaki itu bertolak ansur.
Terdengar namanya dipanggil, langkahnya terhenti.
Dipusingkan tubuh ke belakang. Ternampak Aqil sedang
melambai kepadanya. Arah langkah ditukar mendekati Aqil.
“Apa lagi, Qil?”
“Moka,” ujar Aqil.
Tangan naik menepuk dahi. Terlupa yang Luth
mahukan moka. Kalau tidak, mahu sekali lagi dia terpaksa
turun naik tangga semata-mata untuk buatkan kopi lelaki itu.
Semuanya salah Luth. Apalah pandangan orang terhadapnya.
Berdua di atas dengan bos.
Keluhan berat dilepaskan. Tangan lincah membru
moka untuk Luth.
Bersama secawan kopi dan sepiring kuih, Q atur
langkah ke pejabat. Tanpa salam atau ketukan seperti biasa,
dia masuk. Laju kakinya menuju ke meja kopi di tengah
pejabat. Usai cawan moka diletakkan di atas meja, punggung
dihenyak kuat di sofa berbentuk L. Geram!
“Lambat!” sergah Luth tanpa sempat Q bersuara.
Tengadah Q. Dilihat jam di tangan.
“Memanglah lambat, saya siapkan moka ni dulu.”
“Tetap juga lambat! So, sedia untuk didenda,” ujar
Luth tanpa kompromi.
Q mendengus.
“Fine! Apa?” Q mengalah. Dia tidak ada mood hendak
terus berlawan cakap dengan Luth. Bukan dia akan menang
pun.
“Nah,” Luth menghulurkan buku Harry Porter
kepada Q.
“Hah?” Bulat mata Q memandang buku tebal
itu. ‘Takkanlah dia nak suruh aku membaca? Janganlah...
janganlah...’ rintih Q dalam hati.
“Mata tu tak payah bulat sangat. Ambil ni dan baca.
Sekarang! Di sini!” ujar Luth.
“Ala, saya baca esoklah. Banyak kerja lagi kat bawah
tu,” dalih Q. Dia boleh buat apa saja kerja, tapi bukan ini.
Buku dan dia? Bukan satu pasangan yang baik. Tidak pernah
sebulu sejak zaman sekolah lagi.
Getah yang mengikat rambutnya dibuka, lalu diikat
kembali rambutnya. Ada carakah untuk dia menolak? Tidak
berkelip dia memandang buku tebal itu. Mahu baru satu
halaman, dia dah tidur.
“Kerja kat bawah, Aqil dan Luqman boleh buat,”
balas Luth.
“Mana boleh macam tu. Apa kata diaorang nanti?
Bos jangan jadi bos yang tak bertanggungjawab pulak,”
ujar Q. Dipandang Luth yang masih selamba di meja kerja,
langsung tidak angkat wajah memandang ke arahnya.
“Hari ni pelanggan tak ramai, Q. Diaorang boleh
handle,” balas Luth lagi. Sememangnya begitu. Hari Selasa,
kitaran pelanggan memang agak berkurangan daripada hari
lain. Kenapa? Dia sendiri tidak tahu.
Semasa mula membuka kafe ini dulu, dia ingatkan
ada masalah dengan menu atau service kafe menyebabkan
pelanggan kurang, tetapi lama-kelamaan keadaan masih sama
walaupun pelbagai perubahan dilakukan. Jadi, dia anggap
bahawa hari Selasa Allah berikan rezeki takat itu sahaja.
Sebab itulah dia berani menyekat Q di dalam pejabatnya
ini. Dia bukanlah kejam hendak membiarkan pekerjanya
bermati-matian di kafe, sedangkan dia menghabiskan masa
dengan Q. Sangat bukan dia!
“Masa berjalan Q,” tegas nada Luth.
Buku Harry Porter yang terletak di atas meja ditarik
kasar oleh Q. Tubuh disandar pada badan sofa. Ditenung Luth
yang sedang membaca buku perniagaan yang lebih tebal
daripada buku Harry Porter itu. Tanpa sedar, tangannya naik
menongkat dagu. Setiap tingkah Luth diperhatikan dalam
diam.
Lelaki itu tampak kacak dengan kaca mata bulat
terletak elok di mata dengan badan bersandar pada kerusi,
kaki disilangkan dan... gaya Luth terlalu mempesonakan! Tak
sangka pula lelaki yang ulat buku ni macho, kan? Bibirnya
mengukir senyum.
“Kau tengok muka aku, memang kat muka aku ni
tertulis semua cerita dalam buku tu ke?” sarkastik nada Luth.
Terus tegak badan Q mendengar ayat sinis Luth.
Bibir mencebik selajur dia mendengus halus. Buku dibawa ke
riba. Halaman demi halaman diselak dan dibaca, kemudian
mulutnya menguap. Ini yang dia malas, asal buka buku saja,
dia akan menguap. Benci!
“Q!” jerkah Luth.
Serta-merta mata yang hampir tertutup itu terbuka
kembali. Terpisat-pisat dia memandang Luth yang sedang
memandangnya tajam.
“Aku suruh baca, bukan tidur!”
“Hmm,” gumam Q. Dia kembali tundukkan kepala
menyambung pembacaannya.
Luth simpan senyum. Dia tahu sangat yang Q
tidak minat membaca. Namun disebabkan Q tidak sukalah
disuruhnya juga. Barulah dinamakan denda. Biar sakit jiwa Q,
dan takkan berani mengulangi perangai suka memprotesnya
itu. Yang paling penting, dia dapat kurung Q di dalam bilik
ini.

No comments:

Post a Comment