DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday 16 October 2019

Detik Waktu Itu - Bab 9

“SELAMAT pagi, tuan puteri yang cantik
rupawan. Cantik menarik tertarik kau memang da bomb.”
Amar Asyraf mengejutkan adiknya yang masih terpisat-pisat
di atas katil empuk itu.
“Along nak apa masuk bilik adik ni?” Huda
memulangkan paku buah keras. Siapa suruh dulu cakap
macam tu pada dia tempoh hari. Hah, kan dah terkena balik.
“Shopping, jom! Tak syoklah pergi sorang-sorang.
Along ni lelaki. Biasa yang suka shopping ni golongan Hawa
aje.” Amar Asyraf bersuara ceria. Orang perempuan kan suka
membeli-belah. Dia memang mahu mengumpan si bongsu
menemaninya.
“Along, baru pukul berapa. Malaslah. Semalam
adik tidur lambat, ada kelas tambahan. Along pergi dengan
mamalah.” Huda menarik semula comforternya.
Amar Asyraf tidak puas hati akan balasan adik
bongsunya itu. Dia mencuba nasib lagi.
“Mama ada perjumpaan Datin-Datin. Jomlah, sayang.
Along belanja sunglasses Versace satu. Limited edition.” Amar
Asyraf memancing lagi adik perempuannya.
“Betul?” Mata Huda terus terbeliak. Siapa tak suka
brand tu oi! Dia punya UV protection terbaik. Limited edition
tu!
“Betullah,” jawab Amar Asyraf bersemangat.
“Janji?” Huda ingin mengesahkan apa yang
diberitahu kepadanya lagi.
“Janji!” Amar Asyraf membuat gaya orang bersumpah
pula. Huda sudah bangun mahu memadankan apa yang perlu
dipakai pada hari itu. Gaya kasual menjadi pilihannya.
“Along tunggu dekat bawah. Jangan lama-lama.
Sarapan dulu. Pukul 11 pagi kita gerak round KL. Lepas tu
kita ajak angah lunch.” Amar Asyraf mengingatkan adiknya.
“Cantik!” Huda menayangkan ibu jari kanan kepada
alongnya. Bersetuju akan perancangan along itu. Lama dah
dia tak berjumpa angah.
Bagi Amar Asyraf, mudah saja mahu pancing si
bongsu ikut dia. Nurul Huda Safiya memang gila mengumpul
kaca mata dari jenama antarabangsa yang terkenal. Sebut saja
jenama antarabangsa semua dia ada. Gucci, Police, Ray-Ban
dan beberapa jenama lagi.
Bagi Amar Asyraf, apalah sangat belanja adiknya
untuk barangan mahal seperti itu kerana papa baru beri dia
RM10,000 untuk persediaan masuk bekerja dengan syarikat
papa. Gembira tak terhingga papa sewaktu mendengar
jawapan daripadanya. Papa berpesan agar membeli beberapa
pasang sut baharu untuk menjaga penampilan sebagai ketua
pengarah cawangan. Eheh, papa memang terbaik!
Kata Tan Sri Nain lagi, dia akan ditempatkan di HQ
terlebih dahulu untuk sesi latihan. Kemudian baru akan
dihantar ke cawangan selatan. Cawangan Johor. Amar Asyraf
reda saja akan arahan papa itu. Papa pasti telah fikirkan yang
terbaik untuk masa hadapannya dan syarikat mereka.

“YOU OKEY tak ni?” Shiou Yen bertanya. Hanya dia dan
Faiqah baru sampai di bilik mesyuarat yang luas itu. Tan Sri
Nain tidak suka mesyuarat di bilik yang sempit dan terhad.
Jadi apabila Tan Sri Nain adakan mesyuarat, bilik itu akan
menjadi perjumpaan mereka.
“I okey. Kenapa? You nampak I tak okey ke?” Faiqah
mengemaskan sedikit fail-fail di hadapannya. Kejap lagi
Tan Sri nak dengar flow joint venture mereka dengan pihak
Jepun. Inikan business tripnya yang pertama. Pembentangan
kenalah tiptop. Ewah!
“Tenang saja.” Yen seperti memahami gabranya.
Tanda ‘okey’ ditunjukkan kepada Shiou Yen. Pintu
bilik mesyuarat itu pun terbuka dan muncullah Tan Sri Nain
bersama beberapa orang wakil syarikat itu. Tempat duduk
diambil seorang demi seorang. Jumlah ahli tertinggi syarikat
yang hadir dalam 11 orang.
“May we proceed, Mr. Project Director?” Tan Sri
Nain tidak mahu berlengah lagi.
Shiou Yen tampil ke hadapan dan menerangkan slide
demi slide presentation hasil kerjasama mereka di Osaka.
Terpukau mata Faiqah menyaksikan keterampilan anak
teruna Aunty Mary menyampaikan dengan penuh karisma
serta elegan bergaya sut Dolmatnya.
Tiba giliran Faiqah, Yen sempat berbisik di
telinganya.
“I put my trust in you. Stay calm and you can do
the best!”
Faiqah hanya tersenyum.
‘I always put my trust in Allah,’ bisik hati kecil Faiqah.
Dengan lafaz basmallah, dia menuturkan pembentangan
kewangan dengan penuh tatatertib.
Shiou Yen yang melihat terpegun dengan keberanian
Faiqah berhujah. Mana tidaknya, ini baru pertama kali mereka
digandingkan menguruskan projek mega bersama-sama.
Pertama kali dia lihat Faiqah membentangkan arah haluan
kewangan projek mereka depan CEO dan ahli-ahli tertinggi.
Tadi cakap gementar. Ini dah macam anak singa mengaum
gayanya si Faiqah tu. Aummm!
Boleh tak Yen mahu tarik balik kata-kata relaks dia
tadi? Dia tersalah tafsir dengan keberanian Faiqah terlampau
awal. Malunya!
Selepas sesi soal jawab, Faiqah meminta ingin
berjumpa dengan Tan Sri Nain seketika.
“Yen, you balik dulu. Tapi kalau you ada nak bincang
apa-apa dengan I, terus masuk bilik I ya. I ada hal nak bincang
dengan Tan Sri sekejap.”
Yen mengerutkan dahinya. Sudahnya dia menerima
sahaja akan penjelasan itu. Thumbs up ditunjukkan kepada
Faiqah lantas mengarahkan kaki ke bilik Faiqah.
Setelah pasti semua orang telah tiada, Tan Sri Nain
mengarahkan Faiqah duduk di sebelah kerusinya. Bilik itu
menggunakan meja bujur yang panjang jadi di kepala meja
adalah tempat utama Tan Sri Nain. Faiqah melabuhkan
duduk setelah mendapat keizinan daripada lelaki itu.
“Ada apa, Faiqah?”
“Sebenarnya Tan Sri, saya nak cari saudara di
Kota London. Hal keluarga yang perlu disegerakan. Tapi
disebabkan saya yang pegang financial projek kita ni, HR tak
bagi saya ke sana. Dah dua kali saya reapply leave tapi tak
lepas. Jadi, saya ingat saya nak berbincang dengan Tan Sri
terus. Saya tak kisah saya diberi cuti tanpa gaji sekalipun, Tan
Sri.” Panjang mukadimahnya.
Tan Sri Nain yang separuh abad itu mengurut-urut
janggutnya. Berfikir pro dan kontra masalah Faiqah itu.
“Berapa lama Faiqah mahu ke sana?” Tenang nada
Tan Sri Nain.
“Hmm... dalam... 2 bulan, Tan Sri.” Takut-takut
Faiqah menjawab.
“Patutlah HR tak bagi. Lama sangat tu. Boleh
memang boleh, tapi sebulan saja saya bagi dan cuti ini bergaji
sebabnya alang-alang awak dah ke sana, saya mahu awak kaji
serba sedikit tahap pengangkutan cargo shipping di sana, cash
flownya macam mana... sederhana, terbaik atau sebaliknya.”
“Alhamdulillah. Boleh, Tan Sri. Sebulan pun dah
mencukupi bagi saya.” Senyuman menghiasi wajahnya.
“Awak baru balik dari Osaka, jadi saya benarkan awak
pergi ke London. Tapi ingat, cukup sebulan, detailed report
mesti ada atas meja saya,” ujar Tan Sri Nain yang berbaur
peringatan.
Kecur liur Faiqah mendengarnya.
“Baik, Tan Sri.”
“Siti akan inform HR terus, jadi jangan lupa isi
dokumen penting sebelum pergi.”
“Baik, Tan Sri. Terima kasih, Tan Sri.” Faiqah
menggarit senyum sampai ke telinga.
Tan Sri Nain sedia mahu meninggalkan bilik itu.
Pemergiannya dihantar dengan senyuman kegembiraan
Faiqah. Kan senang cakap terus dengan orang atasan.
Fuh, mujur lulus!

“LEGA SAYA, Sarah. Akhirnya, saya dapat pergi London!”
Wajah Sarah yang terpinga-pinga dipandang. Kegembiraan
itu dikongsi bersama Sarah.
“Ait! Selalu tu Tan Sri tak mudah nak bagi pelepasan
cuti ni, puan?”
“Entahlah, Sarah. Saya cakap saya ada hal keluarga
dengan kadar segera nak diselesaikan, cepat aje dia bersetuju.
Kalau saya tahu Tan Sri mudah nak dipujuk, tak adalah saya
ni tebalkan muka dua kali turun naik turun HR.”
Tiba-tiba, telefon di hadapan mata Sarah berbunyi.
“Line Tan Sri. Kak Sitilah ni.” Sarah mengkhabarkan
gembira. Faiqah menunggu perbualan itu. Kejap Sarah
mengangguk. Kejap Sarah mengerutkan dahinya pula. Bikin
saspens aje!
“Puan Faiqah punya cuti dah diluluskan. Pihak HR
kata sebagai tanda minta maaf mereka, puan boleh isi borang
cuti bila-bila sebelum puan bertolak. Kak Siti kata, takut
jugak diaorang bila puan mentioned dekat Tan Sri yang pihak
HR refused permintaan puan.”
Faiqah yang mendengar lega. “Baiklah. Kalau saya
dah confirm nak pergi bila, nanti saya inform pada awak,
Sarah. Saya masuk bilik dulu.”
“Puan, Mr. Shiou Yen tunggu puan dalam bilik.”
“Okey, Sarah. Dah buat air ke?”
“Sudah, puan. Puan nak air?”
Faiqah hanya menggeleng menjawab pertanyaan
Sarah. Pintu biliknya dibuka perlahan. Calvin Klein Euphoria
memenuhi ruang bilik. Wajah Shiou Yen yang tertanya-tanya
mengganggu kegembiraannya sebentar.
“Wow, excellent presentation!” Shiou Yen
mendepangkan kedua-dua tangannya pula.
“Lah... I ingatkan apalah tadi. Kronik sangat muka
you tu. You tak pernah tengok I present ke?”
“Belum pernah. Tan Sri yang banyak kali tengok you
punya presentation.”
“Oh! By the way Yen, I punya cuti dah diluluskan
tahu! Alhamdulillah.” Faiqah mengambil tempat di sofa
berhadapan Shiou Yen.
“Congrats! You baru balik dari Osaka, then nak
terbang ke UK pulak?” Berkedut seribu dahi Yen. Terkejut
mungkin.
“I pergi bukan main-main tahu. Tan Sri siap bagi I
kerja. Balik kena prepare detail report siap-siap.”
“Tan Sri, biasalah. Mesti ada kerja jugak yang dia
suruh buat. Flight dah book?” Yen menyilangkan tangannya
pula. Otot-otot lengannya kelihatan.
“I dah cari. Seminggu lagi. Mesyuarat ni memang I
fikir nak pujuk Tan Sri sungguh-sungguh.”
“Oh, yang muka you yang macam ayam berak kapur
tadi sebab you nak minta izin pergi UKlah?”
“Of course!” Faiqah tersenyum riang.
Faiqah, Faiqah...
“You orang pertama yang I beritahu bila I nak pergi
tahu. Even, Sarah pun tak tahu I nak pergi lagi seminggu.”
Faiqah bercerita girang.
“I berbesar hati.” Intonasi Yen sekata sahaja. Macam
tidak menggambarkan apa yang dikatakan ketika itu.
“You macam sedih aje. Alah Yen, relakslah. I tak ada
sebulan aje. You boleh review financial dengan anak buah I
pasal projek kita tu.” Faiqah memujuk Yen.
“Tak sama dengan I dengar direct terus dari bosnya,”
ucap Yen seperti kanak-kanak yang kehabisan lolipop. Comel
siap merajuk manja lagi.
“Okeylah, I nak balik ofis. Tahniah dapat pergi
London!” Yen segera bangun dari sofa yang didudukinya.
Siap tepuk kedua-dua pahanya lagi. Tiada lagi yang mampu
diperkatakan olehnya. Shiou Yen telah maklum bahawa
Faiqah akan meninggalkan dia selama sebulan di sini.
Akhirnya, dia menarik senyum secara terpaksa.
“Thanks, Yen.” Faiqah membalas senyuman Yen
semanis yang boleh.

“MAMA, IQA kena pergi London nanti. Seminggu lagi.”
Malam itu Faiqah memaklumkan perihal dia akan ke London
kepada kedua orang tuanya. Mereka sekeluarga sedang
bersantai-santai di hadapan kaca televisyen.
Encik Affendi diam saja sambil menghirup secawan
Nescafe panas. Puan Jasmin mengerutkan dahinya. Alamak!
Harap mama tak tanya macam-macam.
“Hai, bukan Iqa baru balik dari Osaka ke hari tu? Nak
kena terbang lagi ke?”
Hah, dah agak dah! Mesti mama keliru. “Nak buat
macam mana, mama. Tuntutan kerja. Tan Sri sendiri yang
hantar suruh pergi.”
“Shiou Yen ada ikut sama?”
“Tak, mama. Iqa sorang aje. Kali ni lama sikit. Dalam
sebulan macam tu.”
“Bila nak perginya? Penempatan dekat sana syarikat
dah uruskan?” Encik Affendi pula bertanya.
“Kalau rumah tu Iqa dah minta tolong Wan
surveykan. Kalau nak duduk hotel boleh papa, tapi costlylah.
Iqa tak nak syarikat tanggung mahal-mahal. Iqa kan budak
baru lagi dekat situ. Nanti apa pulak otai-otai yang lain
cakap.”
“Habis tu dah dapatlah rumahnya?” Encik Affendi
bertanya lanjut.
“Hmm... Iqa masih tunggu keputusan dari Wan. Tapi
kalau masih tak ada dan Wan pun senyap, Iqa ikut sajalah
syarikat suruh duduk hotel. Sebulan pun sebulanlah.”
“Itu yang terbaik sebenarnya, Iqa.” Encik Affendi
memberi pendapat.
“Nanti kalau Wan dah inform cepat-cepat beritahu
mama dengan papa alamat rumahnya. Kalau Iqa nak duduk
rumah di sana nanti.”
“Okey, mama papa jangan risau. Iqa memang
perlu sentiasa update keadaan Iqa dekat sana nanti dengan
setiausaha Iqa.”
“Baiklah.” Encik Affendi dan Puan Jasmin telah
menyetujui pemergiannya itu. Selamat ada alasan pergi atas
nama kerja. Eheh!
“Iqa nak ambil angin dekat luar sekejap.” Faiqah
mengayun kakinya untuk mengambil tudung sarung di bilik
hujung dapurnya. Kemudian, kaki menapak ke arah salah
satu kerusi batu bulat luar rumah. Kepalanya mendongak ke
langit. Bintang tak banyak malam ini kerana petang tadi dah
hujan.
Telefon bimbit di tangan diteliti pula. WhatsApp
daripada Wan masih tiada. Tiba-tiba, dia rasa macam
menyusahkan sepupunya itu pula. Sudahlah anak mak long
sedang di tahun akhir pengajiannya. Tapi tidak mengapalah,
cuti dia sudah diluluskan. Faiqah menoleh pula ke arah
rumah Aunty Mary dan Uncle Foo. Dah gelaplah. Eh, pukul
berapa sekarang ni?
“Lah... dah 10 lebih. Patutlah rumah Aunty Mary dah
sunyi.” Faiqah menggumam rendah sambil membelek telefon
bimbitnya.
Tiba-tiba, Sonata Yen muncul dan terparkir kemas di
pekarangan rumah Uncle Foo.
‘Hmm... lambat pulak si smart tu balik. Banyak kerja
agaknya,’ bisik hati Faiqah.
Kemudian, Faiqah mengarahkan pandangannya
ke arah taman permainan yang tidak jauh dari rumahnya.
Lampu-lampu di taman itu memang sentiasa menyala
malam-malam bagi tujuan keselamatan.
Faiqah ingat lagi dulu, petang-petang kalau dia
berjoging dengan arwah kembarnya, Farah mesti singgah
di buaian yang tersedia di taman itu. Dia pula setia tolong
membuaikan Farah dari arah belakang. Farah, Farah...
Notifikasi WhatsApp daripada seseorang diterimanya.
Dibaca seketika. Hampa. Bukan daripada Wan di Kota London
tu. Sebaliknya daripada mama dalam rumah. Mama ni
macam-macamlah. Jika mama suruh dia masuk ke dalam,
mesti mama akan menghantar mesej kepadanya.

No comments:

Post a Comment