DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Thursday 17 October 2019

Dean & Jean - Bab 4

RUMAH banglo dua tingkat itu dipandang
dengan senyum yang terukir di bibir. Seingatnya sudah
hampir 2 bulan dia tidak ke situ kerana sibuk dengan kerja.
Kalau bukan kerana jemputan Encik Jamilul tentu dia tidak
ke situ pada hari itu.
“Apa khabar uncle?” sapa Dean sebaik batang
tubuh Encik Jamilul menyapa pandangannya. Tangan terus
dihulurkan untuk bersalaman.
“Alhamdulillah, sihat,” balasnya. Senyum Encik
Jamilul melebar. Huluran salam Dean disambut mesra.
“Mari Dean, mari masuk dulu,” ajaknya pula sambil
menepuk lembut bahu anak muda itu.
Dean akur dan kepalanya diangguk. Langkah Encik
Jamilul diekori.
“Sekarang ni busy ke? Uncle tengok Jean selalu
sangat balik lewat sejak kebelakangan ni.” Encik Jamilul
menyambung bicara.
Sekali lagi Dean mengangguk.
“Kami tengah sibuk dengan proposal untuk satu
syarikat kecantikan sekarang ni uncle, sebab itulah banyak
kerja sikit. Dean minta maaf kalau buat uncle dan auntie risau
sebab tiap-tiap malam Jean balik lambat,” kesalnya. Sudah
tentulah Encik Jamilul risau apabila anak gadisnya terpaksa
balik lewat hampir setiap malam. Keseorangan pula tu.
Encik Jamilul tersenyum.
“Don’t mention it. Uncle faham. Lagipun itu dah
kerja dia. Yang penting, Dean ada sekali. Jadi tak ada apa yang
perlu uncle risaukan,” jawabnya penuh makna.
Mendengar jawapan Encik Jamilul, Dean senyum
sahaja. Betullah seperti apa yang Mirzan cakapkan semalam,
kalau tiba-tiba dia melamar Jean, orang tua Jean pasti tiada
halangan.
“Ha... duduk dulu. Auntie ada dekat dapur tu tengah
siapkan breakfast. Nanti kita breakfast sama-sama.”
“Menyusahkan auntie aje.” Dean berbahasa dan
terus duduk.
“Bukannya selalu.” Encik Jamilul ikut duduk.
“Orang tua kamu apa khabar?” soalnya lagi.
“Alhamdulillah, ma dengan ba sihat uncle,”
jawab Dean lalu membuang pandang ke arah ruang dapur
seolah-olah mencari seseorang. Sejak dia sampai tadi, dia
tidak nampak langsung kelibat Jean di mana-mana. Tak
mungkin Jean di dapur membantu mamanya. Maklumlah,
Jean bukannya suka buat kerja dapur.
Melihat reaksi Dean, Encik Jamilul tersenyum. Tahu
benar dia apa yang lelaki muda itu cari.
“Jean belum bangun lagi,” beritahunya dengan
senyum yang masih bersisa.
Dean berdeham dan tersipu malu. Macam manalah
Encik Jamilul boleh membaca reaksinya? Nampak sangatkah
apa yang dia sedang cari? Argh! Malu dia.
“Ermm... penat agaknya tu,” jawabnya cuba
meredakan rasa malu yang masih bersisa.
Baru sahaja Encik Jamilul ingin membalas kata-kata
Dean, terdengar lembut suara isterinya menegur. Encik
Jamilul menoleh. Dean turut mengalihkan pandangan ke
arah yang sama.
“Apa khabar auntie?” sapa Dean lalu bingkas bangun.
Tangannya dihulurkan dan tangan wanita separuh umur itu
disalami kemudian dikucup.
“Alhamdulillah, auntie baik-baik aje. Dean dah lama
ke sampai?” Puan Kamalia membalas ramah.
Kalau dengan Dean bukan hanya suaminya sahaja
yang berkenan, dia juga sama. Bukan setakat penampilan
anak muda itu sahaja yang menarik pandangannya tetapi
sikapnya juga sangat menyenangkan. Paling penting bagi dia
sikap hormatkan orang tua yang Dean tunjukkan.
“Baru lagi auntie.” Dean berbasa-basi. Wajah lembut
wanita separuh umur itu diamati.
Wajah Jean memang saling tidak tumpah seperti
ibunya. Nampak lembut, manis dan keibuan. Tinggi Jean pula
diwarisi dari Encik Jamilul. Ya, Encik Jamilul memang tinggi
orangnya. Mungkin mencapai sehingga 185cm. Tinggi Jean
sahaja pun sudah persis model antarabangsa. Bukan setakat
cantik rupa tetapi bentuk badan Jean juga cantik seperti
model.
Nasib baiklah Jean tidak memilih untuk jadi model.
Kalau tidak makan hati Dean. Apa tidaknya, dia tidak suka
kecantikan Jean dipuja-puja oleh lelaki lain. Kalau boleh
kecantikan Jean biar dia sahaja yang menikmatinya.
“Hurm... Dean duduk dulu ya. Biar auntie naik atas
kejut Jean. Lepas tu nanti kita boleh breakfast sama-sama.”
Dean mengangguk sahaja. Puan Kamalia pula
terus buka langkah naik ke atas. Tidak lama kemudian Puan
Kamalia turun semula.
“Kita breakfast dululah ya bang, Dean. Rasanya tuan
puteri kita tu lama lagi nak bangun. Puas panggil tapi tak
menyahut pun.”
“Marilah Dean. Kalau tunggu Jean, kebulur kita
nanti,” ucapnya berseloroh. Encik Jamilul angguk sahaja dan
terus berdiri.
Dean ketawa kecil dan ikut berdiri.
“Mari Dean,” ajak Puan Kamalia pula.
Dean, walaupun dia sudah kerap ke situ tetapi
perasaan malunya masih menebal lagi. Mungkin kerana
rasa hormat yang tinggi kepada kedua-dua orang tua Jean.
Maklumlah, orang tua Jean bukan orang sembarangan.
Kedua-duanya merupakan pensyarah yang bergelar profesor
di salah sebuah universiti awam di Malaysia.
“Sila Dean,” pelawa Encik Jamilul lembut. Kerusinya
ditarik dan dia terus duduk.
Dean angguk sahaja dan terus duduk.
“Makan Dean, jangan malu-malu. Auntie masak
simple aje pagi ni.” Puan Kamalia mempelawa pula.
“Ya, auntie. Ini pun dah lebih dari cukup ni,”
jawab Dean sopan. Hidangan di atas meja diperhati.
Bermacam-macam hidangan ada. Ada nasi lemak, sambal
sotong, spageti, sandwic telur, karipap pusing dan kek.
Berselera dia melihatnya. Haih! Makanan sebanyak itu
dikatanya simple?
Simple bagi Dean biasanya setakat nasi lemak telur
rebus sahaja atau roti coklat Gardenia yang berharga 90 sen
yang biasa dia makan jika malas hendak masak atau makan di
luar. Tapi inilah yang dinamakan rezeki. Dimasak pula oleh
bakal ibu mentua. Eh!
“Morning pa, ma,” sapa Jean malas-malas. Kerusi
terus ditarik.
“Morning Dean.” Dean dipandang pula dengan wajah
selamba.
Encik Jamilul, Puan Kamalia dan Dean menoleh
ke arah yang sama. Melihat keadaan Jean yang sedikit tidak
terurus dan masih memakai baju tidur tidak berlengan
di tubuh, Encik Jamilul dan Puan Kamalia berpandangan
sambil geleng kepala.
“Bangun pun,” tegur Encik Jamilul.
“Tak mandi ke?” Puan Kamalia menegur pula dan
mula mengeluarkan bunga hendak membebel.
Jean tersengih dan geleng kepala. Dengan wajah
selamba, teko air Milo panas dicapai dan dituangkan ke dalam
cawan kemudian terus dihirup.
“Ya Allah, anak dara sorang ni. Cubalah ada rasa
malu sikit dengan Dean ni ha!” Meletus juga bebelan Puan
Kamalia walaupun dalam nada yang terkawal. Malu dia
melihat perangai anaknya begitu. Apa Jean ingat Dean itu
abang dia? Haih!
“Alaa ma... dengan Dean buat apa nak malu. Dia pun
tak hairan tengok Jean macam ni. Kan Dean?” Selamba Jean
lagi. Sandwic telur di atas meja terus dicapai dan digigit.
Dean berdeham dan hanya tersenyum sahaja sambil
tersipu-sipu. Jean fikir dia tak kisah? Kalau dia bukan lelaki
tulen mungkin dia tak kisah melihat Jean berkeadaan
begitu tetapi Jean sedar tak Jean sedang buat hati lelakinya
panasaran sekarang?
Ironinya, hati lelaki mana yang tidak akan berkocak
hebat melihat seorang perempuan memakai baju tidur
berwarna putih paras lutut dan tidak berlengan begitu?
Walaupun bukan baju tidur yang jarang tetapi Jean tetap
nampak seksi di matanya. Ditambah pula dengan keadaan
rambut panjangnya yang sedikit tidak terurus seperti tidak
bersikat itu. Argh! Janganlah cuba menduga hati lelaki dia,
Jean!
Sekali lagi Puan Kamalia menggeleng. Jean yang
sedang selamba menikmati sarapan paginya dijeling. Dia
sebagai ibu malu melihat tingkah laku anak sendiri. Encik
Jamilul pula hanya mampu hela nafas. Dean dikerling.
Melihat reaksi Dean yang seperti tidak senang duduk itu,
hatinya tercuit dan perlahan-lahan bibirnya menguntum
senyum.
“Makan Dean. Usah kamu kisahkan anak dara uncle
yang selekeh tu.” Encik Jamilul terus bersuara.
“Papa!” jerit Jean tak puas hati. Selekeh papa kutuk
dia?
Geli hati melihat reaksi Jean, Dean tergelak dan
terus menyumbat nasi lemak ke dalam mulut.
“Tak betul ke papa cakap tu? Ermm... nanti kalau
kamu nak cari isteri, kamu cari yang elok sikit, Dean. Jangan
pilih yang macam anak uncle ni. Selagi belum pukul 10 pagi
mesti tak bangun. Kalau kamu kahwin dengan Jean, kebulur
kamu nanti.” Encik Jamilul menyambung bicara. Sengaja
sebenarnya hendak memancing reaksi anak muda itu.
Mendengar usikan Encik Jamilul, Dean tersedak dan
terbatuk kecil. Nasib baik tidak tersembur nasi lemak yang
baru masuk ke dalam mulut.
‘Dean... Dean... Encik Jamilul baru cakap kalau
kahwin dengan Jean pun kau dah tersedak macam itu. Kalau
Encik Jamilul suruh kau kahwin betul-betul dengan Jean
entah macam manalah kau agaknya,’ bebelnya mengutuk diri
sendiri.
“Pedas sangat ke sambal nasi lemak tu Dean?”
Dengan riak cemas Puan Kamalia terus berdiri. Air masak
yang sudah dituang ke dalam gelas disuakan ke arah Dean.
Masih terbatuk kecil, Dean menggeleng dan huluran
Puan Kamalia disambut.
“Err... sambalnya sedap auntie. Tak pedas pun,”
jawabnya sedikit kalut. Air masak di tangan terus dihirup.
Jean yang sedang galak ketawa memandangnya dijeling.
Argh! Nasib baik depan orang tua Jean, kalau tidak memang
sudah ditarik telinga Jean seperti selalu untuk melepaskan
geram.
Encik Jamilul senyum sahaja melihat keadaan itu.
Kemudian pandangannya turut dikalihkan ke arah anak
gadisnya yang begitu asyik mentertawakan Dean.
TURUN SAHAJA dari mata tangga terakhir, Jean terus
melangkah menuju ke sayap kiri rumah. Sebaik berdiri di
pintu gelongsor kaca, matanya liar memandang ke sekeliling.
Terpandangkan Dean dan papanya yang sedang sibuk dengan
kerja mereka, dia terus keluar dan kedua-duanya dihampiri.
“Kenapa papa tak upah orang lain aje yang buat
kolam ni?” Jean terus duduk di kerusi kayu yang terletak
berhampiran dengan kolam ikan yang sedang Dean dan
papanya usahakan itu. Dia sendiri tidak tahu apa lagi yang
tidak kena dengan kolam ikan tersebut padahal kolam ikan
itu baru dua bulan dibina.
Encik Jamilul angkat kepala dan dahinya yang
berpeluh dikesat. Anak gadisnya yang sudah cantik bersiap
itu dipandang.
“Papa nak tambah sikit aje dekat sini. Kalau buat
sendiri baru puas hati. Kebetulan pulak Dean free dan boleh
tolong papa. Upah orang nanti takut rosak pulak kolam yang
sedia ada ni,” balasnya kemudian menala pandang ke arah
Dean yang sedang leka memandang anak gadisnya.
“Cantik ke Dean?” soalnya sengaja mengusik.
Tidak faham apa yang dimaksudkan oleh Encik
Jamilul, Dean kerutkan dahi.
“Uncle tanya, anak uncle tu cantik sangat ke sampai
tak berkelip kamu pandang?” Encik Jamilul tersengih dan
mengerling pandang ke arah Jean pula.
Dengan riak malu-malu, Dean angguk perlahan
dan kepalanya yang tidak gatal digaru. Boleh pula soalan
itu yang Encik Jamilul tanyakan. Kalau tak cantik masakan
dia sanggup melekat macam gam dalam hidup Jean
bertahun-tahun lamanya.
Cuma untuk melembutkan hati batu gadis itu
sahaja yang dia belum tahu caranya. Hendak bertindak
melulu bimbang tersalah langkah dan lain pula jadinya
nanti. Maklumlah Jean spesies yang berbeza sedikit daripada
perempuan lain. Ayat-ayat manis memang tak lut dengan dia.
“Anak papa, mestilah cantik, kan?” ucap Jean
membangga diri. Dia tersengih lebar, bangga melihat
anggukan Dean.
Encik Jamilul mencemik.
“Kalau cantik setara mana pun tapi tak pandai masak,
tak pandai buat kerja rumah, tak guna juga. Betul tak Dean?”
perli Encik Jamilul dan terus menyambung kerjanya semula.
“Papa!” Jean terus tarik muka. Papa
selalu merendah-rendahkan dia di hadapan Dean.
Mentang-mentanglah Dean tak pernah pandang dia lebih
daripada seorang kawan jadi suka-suka hati papa saja
mengutuk dia. Melihat Dean yang sedang tersengih-sengih,
lagilah panas hati dia. Suka sangatlah tu agaknya dengar dia
dikutuk begitu. Grrr aje!
“Betullah apa yang papa cakap tu. Orang perempuan
ni Jean, kena tahu buat semua tu barulah suami sayang. Ha,
tengok macam mama, berpelajaran tinggi, berketerampilan,
salah seorang profesor yang sangat dihormati oleh semua
pelajar tetapi tetap seorang suri rumah tangga yang terbaik.
Hormatkan papa, cekap menguruskan rumah tangga dan
yang paling penting, pandai masak.” Beria-ia Encik Jamilul
memuji isterinya.
“Begitulah ciri-ciri seorang isteri yang lelaki hendak
cari. Tak gitu Dean?”
Tersepit dalam keadaan itu, Dean terus tersengih.
Hendak mengangguk nanti bimbang Jean semakin kecil hati.
Hendak menggeleng tetapi setiap kata-kata Encik Jamilul itu
memang ada betulnya.
Jean terdiam dan kepalanya ditundukkan merenung
kaki sendiri sambil buat muka. Kena setepek dia dengan papa.
Di hadapan Dean pula tu. Argh! Buat malu dia aje.
Geli hati melihat Jean yang sudah menekur di
tempatnya, Dean terlepas tawa tanpa sengaja. Spontan itu
Jean angkat kepala dan memandang Dean dengan satu
jelingan tajam.
Tidak terkesan langsung dengan jelingan manja
Jean malah sengaja hendak mengusik gadis itu, keningnya
dijongketkan mengejek. Dia, kalau di hadapan orang tua Jean
memang tak berani hendak mengusik Jean lebih-lebih. Takut
Encik Jamilul fikir lain pula.
Geram dengan usikan bisu Dean, Jean bingkas
bangun dan mencemik sambil membulatkan matanya untuk
membalas usikan tersebut. Baru sahaja langkah ingin dibuka,
terdengar suara Encik Jamilul memanggilnya. Dengan muka
yang cemberut, dia berpaling semula.
“Haih! Anak papa merajuk ke?” giat Encik Jamilul
sambil buang sengih. Dia memang suka mengusik anak
manjanya itu. Jean, walaupun sudah 26 tahun tetapi baginya
Jean masih seperti anak kecil lagi. Sementelah pula, Jean
memang sangat rapat dan manja dengan dia berbanding
isterinya.
“Mana ada.” Jean peluk tangan ke tubuh dengan riak
yang masih seperti tadi.
“Kalau tak merajuk, tolong buatkan papa dengan
Dean air.”
“Ermm... Papa nak air apa?” tanya Jean walau masih
buat muka lagi.
“Buatkan papa kopi o panas.”
Jean angguk sahaja dan mula buka langkah. Baru
selangkah dia berjalan, sekali lagi namanya dipanggil.
Langkahnya terhenti dan dia berpaling memandang Encik
Jamilul semula.
“Papa aje? Dean, Jean tak tanya ke nak minum apa?”
Encik Jamilul mengangkat kening lalu kalihkan pandangan
ke arah Dean di sebelahnya.
Masih bengang dengan Dean, Jean mendengus kecil
dan lelaki itu dijeling.
“Kau nak minum apa?” soalnya sedikit keras.
“Jean... tak boleh ke tanya elok-elok?” tegur Encik
Jamilul bersama gelengan.
Muncung Jean semakin panjang.
Geli hati melihat reaksi Jean, gelak Dean berbunyi
lagi. Hurm... marah benar gayanya.
“Hurm... Encik Dean nak minum air apa?” soal
Jean selembut yang mungkin dan dengan senyum yang
dibuat-buat.
Sengaja hendak menambahkan lagi amarah gadis
itu, tiba-tiba Dean terfikirkan sesuatu.
“Aku nak air yang paling sedap,” jawabnya bersahaja.
“Demand!” Jean mengejek.
“Jean...” Meleret panjang suara Encik Jamilul
memanggil sambil menggeleng.
“Ermm... kalau menyusahkan kau tak apalah.” Dean
buat-buat merajuk dan meneruskan kerjanya.
Jean mendengus.
“Yalah, air yang paling sedap tu air apa? Fresh
orange? Apple juice? Milo? Latte? Ke kau nak frappucino
Starbucks?” soalnya sambil buat muka menyampah. ‘Nasib
baiklah depan papa. Kalau tidak... Haih!’ hatinya membebel
geram.
Kepala digeleng.
“Semua tu aku tak nak.”
“Habis tu kau nak air apa?” Jean mula hilang sabar.
“Air kosong,” jawab Dean selamba sambil tersengih.
Berdecup mulut Jean sebaik mendengar jawapan
Dean. Air kosong aje? Ceh! Buang masa dia saja bermanis
mulut dengan Dean. Tidak menunggu di situ, Jean terus
beredar.
Encik Jamilul pula sudah mengekek-ngekek ketawa
kerana geli hati melihat reaksi anak gadisnya.
‘Haih! Jean... Jean...’ bisiknya sambil sambung
ketawa.

No comments:

Post a Comment