Q menyandarkan tubuh pada pintu kafe yang
menghubungkan bilik Luth dengan kafe. Tangan diletakkan
ke dada. Perghh, tinggal sikit saja lagi soket jantungnya
mahu tercabut. Habis kesucian matanya tercabul dengan
pemandangan...
Tapi, indah. Tanpa dia sedar, senyum gatal terukir di
bibir. Alangkah beruntungnya siapa yang dapat berada dalam
dakapan lengan sasa Luth. Mata Q terpejam membayangkan
dia yang berada dalam dakapan lelaki itu.
Namun semuanya ranap dengan satu sergahan yang
memalukan!
“Hei, amboi! Sedapnya anak dara ni berangan
kat sini. Ha... berangan peluk aku ke apa?” sinis sungguh
ayat Luth. Dijeling Q yang sedang kaku. Mungkin terkejut
barangkali. Kalau tidak, pastinya gadis ini akan menyangkal
apa yang dikatakannya tadi.
Dia duduk setentang dengan Q, merenung ke dalam
anak mata gadis itu. Riak kalut Q mencuit hatinya. Kening
dijongket-jongket, seolah-olah mencabar gadis itu.
Q jegilkan mata. Jengkel dengan riak perasan bagus
yang ditayangkan Luth. Mujurlah bos sendiri. Kalau orang
lain, dah lama dia ketuk dahi tu.
Semua ini salah dirinya sendiri kerana berangan.
Bila kantoi, mulalah dia kalut.
“Alolo, merahnya pipi dia.” Pipi Q dicubit kuat
sebelum melangkah ke tengah kafe. Tangan dimasukkan ke
dalam poket seluar. Risau tangannya akan melampaui batas
lagi.
Q memandang Luth yang sedang duduk di tengah
kafe. Pipi yang terasa perit disentuh perlahan.
“Suka hati dia aje nak cubit orang!” omel Q.
Kaki diatur ke kaunter bar. Namun mata masih
melekat pada Luth yang tenang duduk bersandar pada kerusi
sambil melipat lengan kemejanya. Ala, tipikal lelakilah, konon
nak nampak seksi dan macho. Tapi, macho ke macam tu?
Lamunannya terencat dek jeritan kuat Luth Haqiem.
Dikemam bibir menahan geram. Rasanya selepas ini dia kena
belajar bahasa isyarat apabila bercakap dengan Luth. Puas
sudah dia berpesan supaya memanggilnya dengan sopan.
Hendak pula kalau berada di kafe. Apa pula kata pelanggan
yang datang kalau bos sendiri berlagak seperti Tarzan.
“Q!” laung Luth lagi. Geram. Takkanlah baru dua
kali tengok dia half naked dah biul pekerjanya ini.
Jemari digenggam kemas. Mata Q mencerlung ke
arah Luth. Jangan menjerit! Dia bukan duduk jauh pun,
hanya beberapa langkah saja jaraknya. Sungguhlah lelaki
bernama Luth Haqiem ini memeningkan.
“Ha, mengutuk akulah tu,” serkap Luth melihat
bibir comel Q yang terkumat-kamit.
“Takde masa saya nak mengutuk bos. Tengah puji
adalah,” tekan Q namun jelas sinisnya.
Luth menjuih bibir. Dibetulkan duduknya.
“Bos, saya nak tanya sikit, boleh?”
“Apa?”
“Bos tertelan speaker ke masa belah mulut masa
kecil-kecil dulu?”
“Hah?” Luth kerut kening. Tidak faham apa yang
mahu disampaikan oleh Q.
“Yalah. Bos asyik nak menjerit saja. Q, sini! Q,
sana! Tak boleh ke bos panggil dengan sopan, lembut. Kalau
pelanggan dengar, memalukan tau,” bebel Q.
“Tahu malu? Tu... yang kau duduk situ sambil pejam
mata, sengih-sengih, kau tak rasa itu lebih memalukan?
Berangan tak kena masa,” selar Luth bersama senyum jahat.
Heh, dia juga yang kena! Walaupun sakit hati, bibir
Q tetap melakar senyum. Nama pun bos, lebih-lebih nanti,
kena buang kerja baru melopong. Ikut ajelah selagi tidak
menjatuhkan maruahnya sebagai perempuan. Lagipun angin
bosnya itu bukan boleh teka. Kejap elok, kejap tak.
Aqil yang berada di kaunter bar hanya memerhatikan
drama dua orang manusia itu. Setiap hari ada saja drama
yang akan menjadi tontonan mereka. Menghiburkan kala
tidak sibuk seperti sekarang. Daripada pandangan matanya,
ada sesuatu di antara kedua-duanya, tapi apabila diutarakan
hal itu kepada Q, gadis itu hanya menjawab, ‘bos tu sewel. Tak
suka tengok aku senang.’
“Buatkan aku moka,” suruh Luth. Malas dia hendak
memanjangkan lagi pergaduhan mereka.
Q mencebik. Bukan tak boleh ambil sendiri pun, saja
nak berlagak dialah bos. Tapi kan, bilamasa pula yang Luth ni
buat semua hal sendiri? Yang dia pandai buat... ‘Q itu, Q ini...’
“Dan... bawa paf sardin sekali. Aku lapar ni.”
“Okey bosku sayang,” sinis sekali nada Q.
“Wah! Segar telinga aku dengar orang panggil aku
sayang. Aqil! Kau remark kat kalendar tarikh keramat ni.
Tulis kat situ, Q loves Luth,” selamba Luth melaungkan ayat
itu.
Ternganga Q dengan kenyataan Luth. Sepasang
matanya melilau kiri dan kanan mengintai reaksi pelanggan
yang berada di sekeliling, dia tahu rata-rata sedang
memandangnya. Walaupun pelanggan ketika ini tidak ramai,
namun itu sudah cukup membahangkan pipi putihnya.
Ikutkan hati hendak saja dilipat-lipat Luth dan diletakkan ke
dalam poket seluarnya. Cakap ikut suka hati saja!
Tapi nak buat macam mana, semua salah mulutnya
juga. Ditampar-tampar mulutnya itu. Tak fikir dulu sebelum
berkata-kata.
Luth mengulum senyum melihat tingkah Q.
“Dah, tak payah nak tampar mulut tu bagai. Orang
kata, apa yang diluah tu datang daripada hati. Jadi...” Luth
sengih nakal. Sengaja digantungkan ayatnya begitu, mahu
mendera perasaan Q lagi.
Mendengar kata-kata Luth, Q gigit bibir bawahnya
kuat.
‘Itu bukan kata hati akulah!’ Bergema relung hati Q
dengan laungannya itu.
Tidak sanggup menerima panahan mata nakal Luth,
dibawa langkah kaki ke kaunter bar. Kepala ditundukkan
ke bawah, malu mahu mengangkat muka. Lebih baik dia
menyediakan pesanan Luth dan menyibukkan diri.
Aqil sudah menyengih melihat wajah cemberut Q.
Dia mahu bersuara, tapi tertelan kata-katanya dek panahan
mata helang Q.
“Kau jangan buat apa yang bos cakap tadi!” pesan Q.
“Tapi... aku dah...” Aqil menjeling kalendar yang
telah siap ditulis. Kepala yang tidak gatal digaru. Riak tidak
bersalah ditayang.
Q hentak kaki, kedua-dua tangannya dikepal tanda
geram yang sangat melampau.
“Kau buang kalendar tu!” arah Q dengan suara
tertahan.
“Ha, jangan nak memandai buang harta kafe aku.
Aqil, nanti bawa kalendar tu pergi bingkaikan dan gantung
kat mana-mana dinding dalam kafe ni. Faham? Kau bantah,
aku potong gaji kau sebulan!” arahan keras daripada Luth.
Kejap-kejap Aqil garu kening, kemudian kepala.
Matanya memandang Q dan Luth bersilih ganti. Tersepit, dia
mahu ikut arahan siapa. Kalau bantah Q, nanti mahu gadis
itu mogok berkawan dengannya. Tapi lagi parah bantah Luth,
sebulan gaji dia lesap. Sebulan woi!!! Dia nak makan apa kalau
gaji sebulan kena potong?
“Q darling! Cepatlah... lapar ni,” laung Luth lagi.
Sengaja ditekan perkataan darling itu. Dia suka apabila Q
marah. Menghiburkan! Apatah lagi gadis itu saja yang suka
membangkangnya. Yang lain memang patuh. Disebabkan itu
jugalah dia suka mengusik Q.
Dengan muncung yang panjang sedepa, Q buat juga
moka yang diminta Luth. Dua keping paf sardin diletakkan
ke dalam pinggan. Tangan kanan menatang secawan moka,
kiri pula pinggan, diletakkan berhati-hati di atas meja Luth.
Tanpa kata, dia terus berlalu ke bahagian belakang. Tolong
Azrai masak lagi baik, lagipun tak lama lagi masuk waktu
makan tengah hari. Walaupun Luth's Cafe ini pada dasarnya
hanya menyediakan kopi dan makanan ringan, namun
setelah berbincang, mereka sepakat untuk menawarkan
menu tambahan pada waktu tengah hari.
No comments:
Post a Comment