DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Thursday 17 October 2019

Dia…Suami Tak Dirancang - Prolog

BENARLAH ada yang berkata, roda
hidup seseorang tidak semestinya selalu di atas.
Kadang-kadang ia boleh berubah dalam sekelip mata.
Begitu juga dengan takdir hidup Aleya Darwisya.
Musnah dalam keadaan yang tidak diduga.
Cuma sekali! Cuma sekali dia dan Aiman
melakukan hubungan intim itu. Itu pun kerana dipaksa
dan dia benar-benar terpaksa. Ah, bodohnya dia tika itu!
Tiba-tiba menjadi lembik. Kenapa dia tidak melawan?
Kenapa dia rapuh bagaikan reranting pohon hanya
kerana janji manis seorang insan bergelar lelaki?
Bodoh! Darwisya benar-benar bodoh. Menangis
air mata darah sekalipun, sudah tidak membawa
apa-apa makna. Kesalan tidak akan dapat mengubah
walau sedikit pun takdir yang tersurat buatnya. Kini dia
sudah disahkan mengandung hampir 3 minggu.
Allah... berat sungguh dugaan-Mu!
Bagaimana dia hendak berhadapan dengan
mummy dan daddy? Dan yang paling penting,
sejahil-jahil seorang Aleya Darwisya, dia takkan
tergamak hendak membuang nyawa yang langsung
tidak berdosa ini.
Darwisya tetap menyalahkan diri sendiri. Salah
dia kerana mempercayai lelaki itu. Mudah mengikut
Aiman membawanya ke mana saja. Tidak dinafikan, dia
bukanlah sebaik-baik manusia. Cuma bukan hingga ke
tahap mengandungkan anak luar nikah. Darwisya tahu
perbuatan zina itu perbuatan yang dikutuk oleh Allah.
Allah SWT pernah berfirman:
“Dan janganlah kamu mendekati zina,
sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang
keji dan suatu jalan yang buruk.”
(QS. Al-Isra :32)
Mengenangkan orang tuanya di rumah,
tangisan yang sepi kembali pecah.
Dinzly menyebak rambutnya sedikit kasar.
Bingit suara tangisan itu membuatkan dia rasa
tidak selesa. Dia mengeluh keras. Dia memang tidak
suka melihat perempuan menangis di hadapannya.
Lebih-lebih lagi yang dramatik begini. Naik berbulu
matanya melihat.
Bukan sekali, tapi kali ini sudah masuk 4
kali Darwisya terpacul di depan rumahnya. Dah
tak ada kerja sangat ke? Dinzly mendesis bengang.
Bertambah-tambah bengang apabila dia baru hendak
melelapkan mata, datang pula spesies menyusahkan
orang seperti Darwisya.
“Bangun!” tanpa nada, arahan daripada bibir
sensual itu kedengaran.
Darwisya masih dengan posisi asalnya ditemani
sendu kecil. Kakunya tubuh Darwisya memang
membuatkan Dinzly semakin panas hati. Segera lengan
gadis yang tidak dikenali itu dicengkam kasar. Memaksa
si gadis berdiri tegak. Terkial-kial Darwisya cuba
mengikut rentak Dinzly.
Sungguh, lengan sudah mula terasa perit.
Tenaga Dinzly itu memang bukan tandingan Darwisya.
“Kau jangan nak buat drama kat sini, boleh
tak? Apa sekalipun masalah kau dengan Aiman, jangan
nak libatkan aku. Aku tak ada masa nak bertenggek kat
pintu ni semata-mata untuk dengar kau melalak. Kalau
tak nak aku mengamuk, kau berambus sekarang!”
marah Dinzly tertahan-tahan.
Sesekali kedengaran esak tangis milik Darwisya.
Bukan Dinzly tidak simpati. Simpati itu memang
terselit jauh di sudut hati. Tapi Dinzly tidak mahu
menyusahkan dirinya semata-mata kerana masalah
yang dicipta oleh Aiman.
“Kau nak berambus ke tak ni? Jangan sampai
aku panggil security guard,” gertak Dinzly berang
apabila Darwisya masih lagi tiada tanda-tanda untuk
pergi. Wajah Dinzly membahang. Boleh pula si Darwisya
buat pekak dengan arahannya!
“Kau jangan sampai ak...” Tidak sempat dia
menghabiskan ayat bilamana suara itu terlebih dahulu
buat mulutnya melopong luas.
“Kalau awak berada di tempat Aiman, awak pun
akan larikan diri macam dia ke?” lirih suara itu kala
melontarkan kata.
Dinzly terhenyak. Tidak menduga soalan itu
boleh terpacul pada saat-saat genting begini. Berdeham
sekali seraya memusatkan pandangan pada wajah
lencun itu.
“Perlu ke kau tanya soalan macam tu pada aku?”
Darwisya senyum perih. Mengesat tubir mata
yang masih basah.
“Awak pun tentu akan biarkan saya macam ni
ke?”
Zap! Pedih pula hati Dinzly dengan tuduhan
itu. Seolah-olah Darwisya sedang melabelkan semua
lelaki itu keji seperti Aiman Najdi.
“Eh, perempuan! Yang rosakkan kau tu, Aiman.
Bukan aku. Jadi tak payahlah kau nak samakan aku
dengan dia!” Berkertap gigi Dinzly berlaga atas dan
bawah.
“Jadi... kalau awak memang tak sama dengan
Aiman, boleh tak awak kutip saya untuk dijadikan isteri
awak?”
“What???” Rasa nak tertanggal rahang Dinzly.
Turun naik bebola mata Dinzly merenung
sekujur tubuh Darwisya. Apa Darwisya ingat soal nikah
kahwin ni perkara mudah ke? Apatah lagi dengan
keadaan gadis itu yang jelas-jelas hamilkan benih
teman baiknya sendiri.
“Kau... kau buat lawak santai ke apa ni?” soal
Dinzly dengan dada berdebar-debar.
“Awak cakap awak tak sama dengan Aiman.
Jadi awak boleh kahwini saya, kan?” Masih mengulang
ayat yang sama. Meskipun bibir itu nampak tenang
berbicara, air mata masih tidak henti-henti mengalir
di pipi. Cukup menggambarkan betapa terlukanya hati
wanita milik Darwisya; cukup menunjukkan betapa
rapuhnya jiwa Darwisya dengan perbuatan Aiman.
“Anak tu bukan benih aku, perempuan. Kalau
benih aku, aku memang akan bertanggungjawab.”
Tak teragak-agak Dinzly memberikan jawapan. Dan
sungguh, jawapan itu adalah yang paling jujur datang
dari hati. Andai kata dia menghamilkan wanita di luar
pernikahan, dia takkan sesekali menjadi lelaki pengecut
seperti Aiman.
“Jadi jawapan awak adalah tidak?”
“Kau tentu lebih tahu jawapan aku. Kau dah
seronok-seronok dengan Aiman, kenapa aku pula
yang kena kahwin dengan kau?” Dinzly tidak terus
memberikan jawapan, sebaliknya dia lebih selesa
bermain tarik tali.
Dikilas pandang wajah Darwisya yang menunduk
menekur hujung kaki. Merenung titisan mutiara yang
jatuh mencecah lantai bumi buat hati Dinzly bertukar
belas. Tapi tiada apa yang mampu dia lakukan untuk
membantu gadis itu. Aiman sudah hilang. Atau dalam
erti kata lain, Aiman sudah melarikan diri dan cuci
tangan.
“Kau tak sepatutnya tayang wajah menyesal tu
dekat sini. Sebab kau sendiri tahu, menangis macam
mana sekalipun, kau tetap dah rosak. Aiman dah
tak tinggal dekat sini. Jadi aku harap kau tolonglah
jangan muncul depan rumah aku lagi. Aku tak nak
jiran-jiran salah faham.” Intonasi Dinzly berubah
rendah. Tidak sampai hati pula hendak menengking
sedangkan kesalahan bukan sepenuhnya berpunca
daripada Darwisya. Tiada tanda-tanda Darwisya hendak
membalas, Dinzly terus saja mengundurkan setapak
kakinya ke belakang.
“Go... baliklah. Aiman memang takkan balik ke
sini, itu aku pasti.”
Lalu, Dinzly kebalkan hati untuk menutup
rapat daun pintu. Lama juga dia berperang dengan
perasaannya sendiri. Bagaikan terbayang-bayang raut
sendu Darwisya di matanya. Sudahnya, terluah satu
keluhan pada bibir.
‘Kenapa kau buat dia macam tu, Man? Kesian
dia...’

No comments:

Post a Comment