DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday 16 October 2019

Mocha Girl - Bab 2

LUTH resah sendiri. Mundar-mandir dia berjalan
di dalam ruang pejabatnya yang tidaklah sebesar mana. Di
sinilah tempat dia bertapa dari dunia luar. Jika dia mahu
lari daripada masalah atau tenangkan diri, inilah tempatnya.
Ruang pejabat yang dipenuhi dengan buku-buku serta
beberapa peralatan senaman. Bukanlah dia tidak ada rumah
sendiri, cuma berada di kafe ini dia lebih tenang kerana...
Biarlah hanya dia yang tahu sebabnya.
“Mana Q ni?” omel Luth. Baju yang melekap di tubuh
dicium sekali lagi. Busuk. Baju semalam dipakai kembali
untuk menghangatkan tubuhnya yang kesejukan tetapi bau
peluh yang menyengat membuatkan dia tidak selesa. Satu
per satu butang baju dibuka dan dicampak baju itu ke atas
sofa. Hanya singlet warna hitam saja dibiarkan membalut
tubuhnya.
Bosan menunggu begini. Hendak buat kerja dia tidak
selesa, sedangkan ada proposal yang perlu disiapkan. Hendak
baca buku, juga dia tidak selesa dengan keadaan begini. Fikir
punya fikir, lebih baik dia buat senaman ringan. Lagipun dah
lama dia tidak bersenam.
Tuala dibuka, berganti dengan seluar khaki paras
lutut. Dia berbaring gaya pumping dengan sebelah tangan
diletakkan ke belakang. Sebelah lagi menampung berat
tubuhnya. Nafas diselarikan sebelum dia memulakan
pumping.
Turun... naik... turun... naik... Bibirnya mengira
rutin senaman itu dilakukan. Tekun.
Dari pintu ruang pejabat itu, Q menelan liur
melihat panorama di hadapannya kini. Daripada kaki, naik ke
pinggang, peluh kecil yang timbul menampakkan lelaki itu...
seksi!
‘Oi, Q! Jangan nak fikir yang bukan-bukan!’ sergah
hatinya.
Dikerdipkan mata beberapa kali serta menggeleng,
membuang segala bayangan yang terlintas dalam kepala.
Kemudian anak matanya jatuh pada otot lengan Luth yang
timbul apabila lelaki itu turun dan bangun, kelihatan begitu
seksi di matanya. Liur ditelan perit. Kenapalah bos dia ni
seksi sangat? Dahlah tadi buat tayangan free!
‘Wow... I like it!’ Gelak nakal bergema dalam hatinya.
Q menampar kepala sendiri.
‘Sudah-sudahlah Q oi!’ tempelak hatinya lagi. Namun
matanya tidak mampu dikalih daripada terus memandang
Luth. Bagaikan tarikan magnet agar terus memandang.
Luth melonjakkan sedikit tubuhnya ke atas untuk
menukar sebelah tangannya pula. Buntang matanya apabila
tertangkap yang Q sedang merenungnya tanpa berkelip.
Tiba-tiba muncul ideanya mahu mengusik. Neuron
nakalnya cepat saja berhubung kala ini. Dia bangun berdiri
dengan tangan diangkat ke atas serta tubuhnya dilentikkan ke
kiri dan kanan. Sengaja dia buat begitu untuk menunjukkan
bahagian otot tubuhnya yang seksi.
Errkkk! Q kelu. Matanya bulat memandang Luth
yang sedang memandangnya. Peluh yang tumbuh di dahi
dan dada bidang itu mengundang debar di dadanya. Laju Q
tundukkan kepala. Tidak mahu memandang lebih lagi.
“Nah, baju bos.” Baju di tangan dilemparkan begitu
saja sebelum dia berlari keluar dari ruangan itu. Dia belum
gila lagi hendak berlama di situ.
“Habis pahala aku hari ni,” omel Q perlahan.
Meletus kuat tawa Luth. Lucu melihat aksi
kelam-kabut Q melarikan diri. Tidak tahulah lari kerana malu
ataupun takut disembur sebab kantoi mengintainya tadi.
‘Q... Q... Kaulah perempuan pertama yang tengok
tubuh aku dalam keadaan macam ni. Dan...’ Bibirnya
mengukir senyum penuh makna.
Telefon yang menjerit nyaring meminta dia
mengangkatnya. Nama ibu tertera di situ. Laju saja dia
menekan butang hijau.
“Ibu...” meleret manja Luth menyeru.
Puan Dhuha tersenyum. Anak terunanya ini
merupakan anak sulung, tapi manjanya mengalahkan si
bongsu. Anak bongsunya, Malik Aiman tidak begini. Padahal
beza umur anak-anaknya 2 tahun saja. Yang kedua, Nuh
Harraz.
Dia dikurniakan tiga orang anak lelaki, keinginan
untuk punya anak perempuan terpaksa dikuburkan apabila
melahirkan Malik melalui pembedahan kerana rahimnya
ada ketumbuhan. Syukur yang dia dan anak bongsunya
masih hidup sehingga kini. Ketika itu, doktor memberi dua
pilihan sama ada anak atau dirinya sendiri, tetapi jika mampu
selamatkan kedua-duanya, doktor akan cuba.
Mocha Girl
16
“Ibu!” panggil Luth dengan kuat.
“Ya, sayang,” sahut Puan Dhuha.
“Dah ke mana ibu melamun ni? Luth membebel
sorang-sorang ke tadi?” soal Luth merajuk.
“La, Luth membebel ke? Memang patutlah ibu
melamun daripada dengar Luth membebel. Sakit telinga ibu
ni. Lebih baik ibu mimpi dapat menantu sulung,” giat Puan
Dhuha di hujung katanya.
“Ibu! Hesy...” Luth mendesis. Kalau dengan ibunya,
janganlah silap cakap, diri sendiri pula yang terkena nanti.
“Apa? Kamu ni anak sulung Luth, tapi cengeng.
Merajuk saja kerja kamu. Kadang-kadang ibu pelik, anak ibu
ini lelaki ke perempuan,” ujar Puan Dhuha bersama tawa
halus.
“Ibu...” Luth merengek.
“Yalah, malam nanti balik tidur rumah tau,” pesan
Puan Dhuha. Tahu sangat dia dengan si teruna yang lebih
suka duduk di kafe. Entah apa yang ada di sana, dia pun tidak
tahu. Rasanya dia kena buat spot check nanti. Manalah tahu
si teruna ada simpan perempuan di sana, itu yang liat hendak
pulang ke rumah.
Dia sunyi. Dahlah Harraz dan Malik pun jarang
berada kat rumah. Yang si Harraz, suka travel. Selalu bawa
rombongan backpackers ke merata negara. Malik pula
sibuk dengan sukannya. Semua ada minat dan kerjaya
masing-masing. Cuma Luth ni... minat dia ke lain dan
sebab itulah suaminya membuka kafe dan memaksa Luth
menjaganya. Dia dan suaminya tidak suka dengan minat yang
satu si anak itu.
“Insya-Allah ibu,” putus Luth. Talian dimatikan.
Dipandang tubuhnya yang melekit. Dia harus mandi dahulu.
Tengah hari nanti dia ada janji temu dengan kawannya.

No comments:

Post a Comment