DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday 16 October 2019

Mocha Girl - Bab 10

LUTH membuang pandang ke pintu masuk kafe.
Kelihatan Q yang keluar daripada Mercedes Benz diikuti
seorang lelaki yang boleh tahan kacaknya. Tiba-tiba liur yang
ditelan terasa kesat melihat senyum manis yang terukir pada
dua ulas bibir Q untuk lelaki itu. Kelihatan sangat mesra
kedua-duanya. Apakah hubungan mereka? Selama ini dia
tidak pernah melihat mana-mana lelaki datang menghantar
Q ke tempat kerja melainkan papa gadis itu.
“Hai bos, ralit tengok! Sepadan mereka berdua
tu, kan?” muncul Azrai bersama Aqil duduk di sebelahnya.
Masing-masing menyembunyikan senyum melihat riak
tegang Luth. Dalam kepala sudah memasang rangka untuk
mengusik si bos.
Mata Luth mengecil memandang kedua-dua stafnya
yang paling lama bertahan di kafe ini sejak dia memulakan
perniagaan. Dia memang baik dengan pekerja-pekerjanya.
Layanannya terhadap mereka seperti sahabat. Konsep
kerjanya santai, tapi dia boleh jadi singa belantara kalau
kerja dibuat acuh tak acuh. Dan sepanjang mereka bekerja
dengannya, semuanya komited dengan kerja.
“Macam love birds. Sweet,” puji Aqil pula. Suara
sengaja diceriakan.
Makin tajam pandangan Luth. Kalau niat Aqil dan
Azrai hendak memprovokasi dia, memang kedua-duanya
sudah berjaya. Dia sekarang sedang menahan cemburu yang
meluap-luap.
“Apa yang sepadannya? Aku tengok macam galah
panjang dengan galah pendek aje,” kutuk Luth. Langkah
diatur ke meja. Namun matanya sesekali mengerling ke luar
kafe. Rahangnya dikertap berkali-kali. Hatinya merusuh,
bertanya siapakah gerangan lelaki itu.
“Bos...” seru Azrai.
“Hmm,” gumam Luth dengan mata tidak lepas
merenung Q dan lelaki itu. Daripada pandangannya, ada
sesuatu antara mereka. Takkanlah teman lelaki Q? Tiba-tiba
dadanya terasa sesak. Hanya memikirkan pun dia sudah rasa
lemah. Bagaimana kalau ia kenyataan?
“Bos cemburu ek?” ujar Aqil mengekek tawa.
Azrai kemam bibir. Tidak mahu tawanya
terlepas. Sungguh lucu wajah tegang Luth kali ini. Dalam
ketegangannya, ada rajuk yang disorok. Serupa anak kecil tak
dapat gula-gula.
“Kau jangan nak mula Aqil,” Luth memberi amaran
tegas. Dijeling sekilas Aqil yang menahan tawa.
Aqil gigit lidah, tapi mulutnya mencebik. ‘Eleh,
jangan mula konon... kalau betul cemburu, mengaku sajalah.
Melepas nanti baru padan muka!’
“Bos...”
“Kau pun Azrai, jangan...”
“Eh, saya nak beritahu hal lain. Tak kuasa saya nak
campur hal peribadi bos. Sebab... bos ni ego. Simpan ajelah
perasaan tu dalam hati. Nanti kalau terlepas... haa, masa tu
baru saya ingatkan bos,” selamba Azrai menyelar.
Aqil mengekek ketawa. Azrai memang tidak suka
masuk campur hal Luth tetapi sekali keluar ayat dia, boleh
buat bos muda mereka ini kering lidah untuk membalas. Tawa
Aqil terhenti serta-merta apabila anak matanya bertembung
dengan pandangan tajam Luth.
Luth mengecilkan bola matanya. Kedua-dua
pekerjanya direnung tajam. Sejak bila Azrai jadi penyibuk
seperti Aqil ni? Kalau ya pun dia cemburu, bukan salah
pun. Hati dia, perasaan dia, tiada kaitan dengan sesiapa pun.
Masalahnya sekarang, kalau dia cemburu pada hak orang,
bukankah itu satu kesalahan? Nafas lemah terhela tanpa
sedar. Milik orangkah Q?
“Siapa tu? Aku tak pernah pulak nampak dia datang
hantar Q kerja,” soal Luth tanpa membalas tembakan padu
Azrai tadi.
Azrai julingkan mata ke atas. Menyampah dengan
riak selamba Luth menyoal, padahal dalam hati berasap. Heh!
Dia bukan baru kenal Luth hari ini. Daripada nada lelaki itu,
dia boleh kesan pasrah dalam terpaksa.
“Itu abang angkat dia. Dulu selalu jugaklah dia
hantar Q kerja, cuma sekarang tak lagi. Dengarnya sibuk
dengan persiapan melanjutkan pelajaran ke luar negara,”
cerita Aqil sambil meneruskan kerja mengemop lantai.
Berkerut dahi Luth. Eh, kalau kerap, kenapa dia
tidak pernah nampak lelaki itu datang ke sini? Pelik. Melihat
Q yang masih berdiri di luar kafe sambil melambai tangan
kepada lelaki itu, hati kecilnya rasa tidak aman; rasa tergugat.
Bersamanya pun Q tidak semesra itu.
Tak boleh jadi ni! Langkah diatur naik ke pejabat.
Makin lama dia berada di situ, takut dia tidak mampu
mengawal rasa hati yang sedang bergelut.
“Amboi kau Q, pakwe datang hantar hari ini ek,”
usik Azrai. Sengaja suara dikuatkan untuk pendengaran Luth
yang sudah berlalu.
Kaki yang laju melangkah terhenti di anak tangga
pertama mendengar usikan Azrai. Luth menunggu jawab
balas daripada Q, tapi yang dia dengar hanya gelak si gadis.
Gelak yang membuatkan dia rasa meluat. Nampak sangat
yang gadis itu suka dengan usikan Azrai. Langkah berat
diatur kembali. Helaan nafas juga sudah tidak setenang tadi.
Tiba-tiba kepalanya berdenyut-denyut.
Punggung dilabuhkan di atas sofa. Kepala bersandar
pada dinding sofa dengan mata terpejam. Bayangan Q cuba
diusir jauh-jauh. Kelopak mata dicelikkan kembali. Fail atas
meja kopi ditarik. Laporan kewangan kafe pada bulan ini.
Teliti dia memerhatikan setiap angka yang ditulis, sesekali
dia mencongak dalam kepala. Tercetus keluhan kecil di
bibirnya. Keuntungan bulan ini sedikit merosot berbanding
bulan lepas. Nampaknya dia perlu lakukan sesuatu untuk
memastikan target keuntungan setiap bulan konsisten.
Ketukan di pintu mengalihkan fokus Luth. Bola
matanya juga terarah pada muka pintu pejabat. Terjengul
wajah Q dengan ulas bibirnya merekah senyum. Lebar
sungguh senyuman gadis itu pagi ini. Apakah itu senyuman
bahagia? Ya, mana pernah Q senyum sebegitu kepadanya.
Bahagia dihantar kekasih hati barangkali. Ah, hati dia pula
yang seperti cacing kepanasan!
“Kau dah kenapa senyum-senyum? Bahagia sangat
ke pakwe datang hantar kerja?” sinis Luth. Anak mata
dilarikan daripada terus merenung wajah bahagia Q. Hati
sendiri yang sakit nanti.
Q menjeling sekilas ke arah Luth. Bibirnya masih
mekar dengan senyuman. Susahnya nak puaskan hati
seorang Luth Haqiem. Senyum salah, masam pun salah. Atau
betulkah apa yang Azrai dan Aqil cakap, yang Luth cemburu
melihat dia dengan Ilyas? Tapi untuk apa Luth cemburu?
Mereka bukannya pasangan kekasih. Usahkan menjadi
pasangan kekasih, melayan dia dengan baik pun Luth tidak
pernah. Asyik hendak membuli saja.
Erk, atau... dia yang sebenarnya tidak faham maksud
di sebalik layanan kasar Luth itu? Bukankah kata orang; bila
kita sukakan seseorang, kita akan cuba tarik perhatiannya
walau dengan apa cara sekalipun. Eh, tertegun pula dia
dengan analogi sendiri. Liur yang ditelan terasa kesatnya.
“Nak apa?”
Soalan Luth memecahkan lamunan Q. Ditundukkan
sedikit tubuhnya, kertas A4 sebanyak lima helai itu diletakkan
di atas meja, lalu ditolak kepada Luth. Semalaman dia
menyiapkan kertas kerja ringkas untuk majlis Luth pada
hujung minggu ini. Walaupun bukan majlis rasmi, namun
dia tetap melakukannya mengikut tatacara yang betul agar
dia sendiri tidak pening nanti.
“Apa ni?” soal Luth.
“Menu dan senarai program untuk gathering nanti,”
ujar Q. Dipandang lama riak terkejut Luth. Dah agak, mesti
bosnya itu lupa. “Bos, boleh beritahu berapa ramai jemputan
nanti?” tanya Q.
‘Allah! Macam mana aku boleh lupa program yang
aku sendiri aturkan? Ini semua salah Q! Sibuk interframe
dalam hati dan otak aku!’ Kertas itu diambil juga. Setiap
helaian diselak dan dibaca sambil lalu. Sambil membaca,
kepalanya terangguk-angguk kecil.
“Okey. Proceed,” ujar Luth sepatah sebelum
menyerahkan kembali kertas tersebut.
“Jemputannya?” ulang Q.
“100 orang rasanya,” selamba Luth menjawab.
Jujurnya, dia belum pasti berapa ramai kenalan dan
saudara-mara yang mahu diajak.
Q kerutkan kening dengan jawapan tidak pasti
Luth. Dia mahu membantah, namun melihatkan riak tegang
yang melata di wajah Luth, apa yang terbersit di kepalanya
dilupakan saja. Dia tahu ada yang tidak kena dengan bosnya
ini. Mana mungkin lelaki yang banyak songeh hanya
menerima cadangannya tanpa meminta penjelasan lanjut.
“Itu saja? Takde nak komen atau nak tambah
apa-apa?” tanya Q lagi.
“Tambah apa?” soal Luth bingung.
“Apa-apa saja yang bos nak,” tenang Q menjawab.
“Ooo... ada!”
“Bos tulis kat sini.” Q menghulurkan semula kertas
tadi.
“Kau tulis aku beritahu,” arah Luth.
Q gigit bibir bawah. Suruh tulis pun malas. Sabarlah
ajelah!
Pen di dalam kocek dikeluarkan. Sedia mencatat apa
yang bakal dikatakan oleh Luth. Diangkat wajah merenung
lelaki itu yang sedang memandang tepat kepadanya. Untuk
seketika, mereka bertentangan mata sebelum Q mengalihkan
pandangannya. Hatinya terasa sesuatu dengan renungan itu.
“Okey. Pertama, sepanjang majlis itu, Nur Qasy
Imani hak Luth Haqiem,” tegas nada Luth menyatakan itu.
Matanya masih merenung Q yang kaget. Hanya ini saja cara
dia cuba mengikat Q. Kenapalah susah sangat Q nak faham
hatinya?
“Erkk... bos?”
“Kedua, Nur Qasy Imani tidak dibenarkan
melayan tetamu lelaki. Ketiga, Nur Qasy Imani hanya
bertanggungjawab atas arahan Luth Haqiem. Keempat, Nur
Qasy Imani...” Tunak mata Luth merenung ke dalam mata Q.
Dia bangun mendapatkan Q yang sedang menahan perasaan.
Dia tahu gadis itu bengang dengannya. Siapa suruh cabar
dia? Jangan salahkan dia, Q yang suruh tambah apa yang
dia mahu. Dan dia mahukan Q berada di depan matanya
sepanjang majlis itu berlangsung.
Anak mata Q mengecil membalas renungan
redup Luth. Geram. Apa punya tambahan ini? Tangan naik
menyilang dada. Tidak perlu ditulis semua, buat sakit hati saja!
Langkah kaki Luth yang merapat mengganggu ketenteraman
jantungnya. Dup dap dup dap. Berkali-kali ritmanya bertukar
rentak. Liur ditelan pahit.
“Tak nak tahu nombor empat apa?” bisik Luth lunak.
“A... apa?” Lidah digigit kuat. Dalam tidak mahu
ambil tahu, dia bertanya juga.
“Tulis besar-besar. Nur Qasy Imani, Luth’s girl. Tak
kira dalam kafe ini atau di luar kafe, kau hak aku. Hanya milik
aku,” bisik Luth tegas.
Q terpaku. Bisikan itu sampai ke hatinya. Lunak
nada Luth mencairkan hatinya. Seketika, pandangan mereka
bertaut sebelum dikejutkan oleh deringan telefon milik Luth.
Lelaki itu menjarakkan tubuh mereka, kaki dibawa ke meja
kerja. Mengintai skrin telefon yang menyala, dia menyumpah
dalam hati. ‘Harraz ni kacau daun sungguh!’
Kepala menunduk menekur lantai. Pipi Q merona
merah. Perasaan malu menerjah diri. Macam mana dia
boleh lalai tadi? Aduh! Panahan mata Luth tadi betul-betul
memukau hati wanitanya. Renungan itu membuatkan dirinya
terasa disayangi. Hangat dalam panahan redup itu.
“Q,” panggil Luth lunak. Risau dia melihat Q yang
pegun begitu.
“Bos sihat ke?” soal Q pantas, menutup gugup diri.
Lelaki itu masih dengan telefonnya.
“Mmm,” gumam Luth tanpa memandang Q.
“Bos, saya nak keluar ni,” ujar Q lagi. Dia memandang
Luth, manalah tahu lelaki itu akan mendongak kepadanya,
namun hampa. Luth hanya mengangguk.
Q gigit bibir. Geramnya semakin menebal.
“Bos!” tinggi suara Q tanda protes.
Luth mendongak memandang Q dengan wajah
bingung. Bukan dia tidak faham yang Q protes. Sengaja
buat-buat tidak faham, hendak menduga hati gadis itu.
“Isy!” Q hentakkan kaki lalu keluar. Sakit hati.
Hilang saja kelibat Q, Luth tersenyum senget.
Namun dia kecewa juga, ingatkan Q akan tanyalah kenapa dia
begini? Hurmm... apalah yang dia harapkan daripada Q? Luth
geleng kepala sendiri.
Tiba-tiba... tergamam dia melihat figura itu yang
sedang merenungnya tajam dengan tangan mencekak
pinggang. Jelas riak itu tidak puas hati dengannya.
“Bos ni kenapa? Tadi elok saja cakap dengan saya.
Sekarang, acuh tak acuh pulak. Kalau tak suka dengan kerja
saya, beritahulah. Jangan nak mainkan perasaan saya tau.
Luth’s girl, tapi bila dapat panggilan daripada perempuan
lain, terus kita diabaikan,” bebel Q panjang tanpa noktah.
Tadi dia keluar dan hanya duduk di sebalik pintu pejabat
Luth, menanti lelaki itu memanggilnya. Yang paling dia
tidak faham, lelaki itu tidak meminta dia membuatkan moka
seperti selalu. Dari situ dia tahu ada yang tidak kena dengan
lelaki itu.
“Lagi satu, selalu bos akan minta saya buatkan moka.
Kali ini... apa masalah bos ni? Tak sihat? Ke wayar putus
dalam kepala?” sambung Q lagi.
Ternganga Luth diserang Q. Seketika dia tergamam
mendengar bicara si gadis sebelum tangannya naik memeluk
tubuh sendiri. Bibirnya mengukir senyum mendengar
celoteh si gadis.
“Apa yang lawaknya, bos? Orang tanya, dia sengih
pulak,” bentak Q.
“Kaulah. Kalau bagi peluang bercakap, macam
machine gun. Rasanya kalau bawa pergi perang, mulut
kau boleh jadi senjata paling ampuh,” usik Luth senang.
Berbunga hatinya melihat si gadis yang ambil peduli apabila
dia bersikap begini. Yang membuat dia terharu apabila Q
persoalkan rutinnya. Maknanya, selama ini Q ambil tahu hal
dia. Oh, bahagianya!
“Isy, jawablah soalan orang. Jangan sibuk nak
kenakan orang pulak,” marah Q.
Luth kemam bibir. Kepala digeleng berkali-kali.
“Saja. Takde sebab yang spesifik,” mendatar Luth
menjawab. Dia kembali tunduk melihat fail di atas meja.
Sesekali mata mengerling mengintai riak gadis itu.
Q mengatur langkah mendekati Luth di meja kerja.
Telefon di tangan Luth dirampas. Lalu dibaca, tertera nama
Harraz. Sudah! Dia dah tersalah sangka. Ingatkan Anggun!
Berbahang dirasakan pipinya kala ini.
“Bos jangan gelak,” ugut Q. Diletakkan semula
telefon di atas meja. Tidak menunggu lagi, dia terus pecut
keluar dari bilik Luth. “Apa kau dah buat ni Q? Malu! Malu!”
omelnya laju bersama gelengan.
Hilang saja kelibat Q, Luth hamburkan tawa sekuat
hatinya. Wajah malu Q mencuit hati. Mesti Q ingat Anggun
tadi. Alahai... Tergeleng kecil kepala Luth. Adakah itu
maknanya dia tidak bertepuk sebelah tangan? Cinta ini sangat
unik. Sangat membuai perasaan!


*** BOLEH DAPATKAN DIPASARAN,KELUARAN OGOS 2019 ***

No comments:

Post a Comment