RASA bingit telinga Dinzly apabila nama
Encik Fairuz menjadi bualan hangat orang kampung.
Sedangkan Encik Fairuz langsung tidak patut dilibatkan
dalam masalah dia dengan Darwisya. Tak pasal-pasal
kerana orang lain, Encik Fairuz pula yang menjadi
mangsa kejian.
Dasar perangai ‘mak cik bawang’. Tak
sudah-sudah nak bergosip.
‘Ingatkan menantu imam Fairuz tu bertudung
litup. Yalah, dah nama pun keluarga jenis alim-alim,
kan? Sekali aku ada terserempak dengan budak tu,
tudung pun entah ke mana. Tak sesuai langsung jadi
menantu imam Fairuz. Agaknya imam Fairuz tu dah
kena sogok dengan duit agaknya. Sebab itulah sanggup
terima menantu jenis macam tu.’
Phew! Rasa hangat hati. Kalau tidak
mengenangkan yang sedang rancak mengumpat itu
wanita yang hampir sebaya dengan ibunya, memang
dah lama dia sembur habis-habisan. Menggenggam
penumbuk, Dinzly cuba pujuk hati supaya cepat mereda.
Gagal kerana dia sendiri tidak mampu mengawal
bengangnya apabila nama orang tuanya yang terpalit
kotor.
Semua ni salah Darwisya! Gara-gara perempuan
itu, tidak sudah-sudah orang kampung berkata yang
buruk tentang Encik Fairuz dan Puan Munirah. Kali ini
memang Dinzly tidak dapat membendung kesabaran
lagi.
Bergegas menolak daun pintu bilik, tubuh yang
sedang terbaring di atas katil itu menjamah pandangan
mata. Buat hati Dinzly semakin menghangat.
“Kau ingat aku kahwini kau untuk jadikan
kau tuan puteri ke, Darwisya?” sergah Dinzly bercekak
pinggang.
Bingkas Darwisya bangkit daripada perbaringan.
Menelan liur. Gerun memandang wajah ketat Dinzly.
“Saya...”
“Semua benda ibu aku yang perlu sediakan.
Habis tu, kau? Terbongkang aje dekat dalam bilik ni.
Kau ni memang betul-betul dah melampaulah. Jangan
ingat kau tu anak Datuk, kau boleh berlagak macam
mem besar dalam rumah ni.” Kuat Dinzly mengertap
gigi hinggakan pangkal rahang mulai timbul.
Sungguh tak pernah terniat walau sekuman di
hati Darwisya untuk memperhambakan Puan Munirah.
Tadi kepalanya memang terasa berat semacam.
Mungkin sebab banyak berfikir sejak kebelakangan ini.
Dia sudah pun meminta izin kepada Puan Munirah
untuk berehat sebentar. Bimbang kalau dia pitam,
makin menyusahkan orang di sekelilingnya pula.
“Saya dah minta izin dekat ibu untuk rehat
sekejap. Kalau awak tak suka, saya keluar tolong ibu
awak ya?” Digagahkan diri walaupun kepala masih terasa
berpusing-pusing. Baru niat hendak menjatuhkan kaki,
suara keras Dinzly buat pergerakannya termati.
“Aku nak kau keluar dari rumah ni.”
Zap! Tersentap sekejap hati Darwisya.
“Ke... kenapa?”
Dinzly tersenyum sinis.
“Kau boleh tanya aku kenapa? Eh perempuan,
kau tahu tak, sebab kaulah orang kampung tak
sudah-sudah bercakap yang buruk pasal ayah aku!
Kononnya imam Fairuz dapat menantu yang jenis tak
tahu nak jaga aurat sendiri. Tudung pun entah ke mana.
Layak ke kau nak jadi menantu ayah aku? Agaknya
sebab itulah Aiman boleh...”
“Allah, Dinz! Apa kamu cakap ni, nak?”
Serentak tubuh Dinzly terkalih ke belakang.
Wajah Puan Munirah tersembul di muka pintu. Dinzly
membawa kedua-dua belah tangan meraup wajah.
Serabut!
“Dinz nak dia balik rumah daddy dia. Dia tak
boleh tinggal dekat sini lagi sebab makin lama dia di
sini, makin bingit telinga Dinz nak hadap gosip orang
kampung.”
“Dia tu isteri kamu, Dinz. Tempat dia di sisi
kamu.”
“Dinz tak pernah iktiraf dia sebagai isteri.
Ibu tahu tak, sebab dia, ayah kena keji dengan orang
kampung?” Emosi Dinzly terusik.
“Sebab Darwisya tak bertudung ke?” tembak
Puan Munirah buat Dinzly terdiam sejenak.
“Ibu tahu?”
Puan Munirah menjatuhkan kepalanya sekali.
“Memang kita boleh menilai manusia melalui
pemakaiannya ke, Dinz? Ayah dan ibu ada ajar kamu
macam tu ya?”
“Dinz tak faham...” Dahi Dinzly berkerut seribu.
“Yang bertutup sempurna belum tentu hatinya
suci, Dinz. Tak elok kita menilai manusia melalui
pemakaiannya. Nilailah kerana hati. Lagipun tak
payahlah pedulikan apa orang kampung cakap. Ayah
pun tak pernah bising pasal hal ni. Kalau betul Dinz nak
jaga maruah ayah, bukan ke Dinz dah jadi suami Wisya?
Dinz boleh tegur dia baik-baik, kan? Tak perlulah
bertekak macam ni.” Lembut bicara Puan Munirah.
Menatap wajah suram Darwisya, hati memang tidak
mampu untuk membenci.
“Saya boleh tutup rambut saya kalau itu yang
awak nak, Dinz...” sampuk Darwisya.
Pandangan Dinzly terkalih. Mencerun
memandang wajah itu.
“Kau boleh buat semua tu tanpa perlu tunggu
aku suruh. Takkan tu kau tak boleh nak fikir?” hentam
Dinzly buat Puan Munirah menggeleng perlahan.
Memandang kelibat Dinzly yang menghilang,
Puan Munirah mengusap bahu Darwisya hangat.
“Ibu minta maaf bagi pihak Dinz. Patutnya
tugas Dinz untuk bimbing Wisya.”
“Saya tak layak untuk jadi isteri dia, ibu.”
“Layak atau tidak, hanya Dia yang akan
tentukan. Wisya jangan ambil hati ya? Kalau nak jadi
isteri yang sejukkan mata, Wisya ikutlah apa yang Dinz
minta tu.”
Kening Darwisya hampir bercantum.
“Dinz memang tak cakap. Tapi daripada maksud
kata-kata dia tadi, Dinz nak Wisya tutup aurat Wisya
yang satu ni. Ibu bukan nak kata keluarga ibu ni lebih
baik daripada Wisya, tapi...”
“Wisya faham. Ibu jangan risau ya? Insya-Allah
lepas ni Wisya cuba untuk bertudung.” Mengerti, deras
Darwisya mengurangkan perasaan bersalah di hati
Puan Munirah.
Tersenyum lega Puan Munirah. Niat ingin
kembali ke ruangan dapur, terhenti apabila lengannya
dilelar oleh Darwisya.
“Ibu...”
“Ya, Wisya.”
“Wisya minta izin pulang ke rumah keluarga
Wisya, boleh?” Teragak-agak. Dia sudah tidak mahu
menyusahkan Puan Munirah sekeluarga lagi.
Puan Munirah kebam bibir.
“Bukan ibu yang patut berikan izin, tapi anak
ibu. Wisya minta izin daripada Dinz ya?”
Bicara yang terluah buat hati Darwisya mula
merasa tawar. Minta izin dengan Dinzly? Serupa dia
biarkan hati sendiri dilapah-lapah teruk oleh lelaki itu.
Ke mana sekalipun dia ingin pergi, Puan Munirah rasa
Dinzly kisah ke? Lagi senang hati sebab tidak perlu
menghadap wajah Darwisya lagi.
Mengendur bahu Darwisya. Serba salah. Kalau
dengan Dinzly, segala-galanya pasti akan menjadi
canggung.
No comments:
Post a Comment