DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday 3 April 2022

Best Friend Ke Boyfriend - Bab 2


KERETA Axia berwarna biru gelap itu elok terparkir di tepi pagar apartmennya sejurus dia menapak keluar dari pagar utama. Kalau ikutkan, ini bukanlah kali pertama dia menaiki kereta Juan, tapi inilah kali pertama dia menaiki kereta Juan berdua dengan Juan. Mungkin sebab itu dia berasa sedikit gementar.

“Aku duduk belakang ya.” Sengajadia berseloroh demi menutupi perasaan gementarnya.

“Jangan mengada-ada!” Juan menegah seraya membukakan pintu di tempat duduk sebelahnya dan mengisyaratkan supaya dia duduk di tempat duduk hadapan.

‘Okey, relaks Annur. Insya-Allah, tak ada apa-apa.’ Dia cuba menyedapkan hatinya sendiri.

Dengan berhati-hati, Annur melabuhkan punggung di tempat duduk sebelah pemandu. Kain yang dipakainya sedikit membataskan pergerakan. Terpaksalah dia jadi sopan sikit hari itu. Selepas menutup pintu, dia mengenakan tali pinggang. Namun, kereta itu masih tidak bergerak. Dia menoleh ke arah Juan.

“Kenapa kau tengok aku macam tu? Ada apa-apa yang tak kena ke?” soal Annur apabila menyedari Juan asyik memandangnya. Dia lantas terus membelek-belek dirinya. Mekapnya tebal sangat ke?

“Tak ada apa-apa. Cuma kau nampak lain. Kenapa kau tak pernah pakai macam ni pun pergi ofis?” Juan mengalihkan pandangan.

Annur membelek baju kurung di badannya. Sememangnya dia jarang memakai baju kurung untuk ke pejabat. Baju kurung akan membataskan pergerakannya yang perlu banyak berjalan. Lagipun setakat pergi pejabat, malaslah dia hendak berhias diri. Kalau ada majlis istimewa seperti hari ini, barulah dia rajin sikit nak berhias memandangkan semua orang pun akan memakai pakaian yang cantik. Jadi, tak adalah dia berasa janggal hendak pakai cantik-cantik juga.

“Aku nampak pelik ke?” Dia mengeluarkan cermin dari dalam beg tangan lalu melihat mukanya yang telah disolek nipis dengan bedak dan secalit lipstik.

“Taklah, okey aje.” Juan sembunyi senyum.

“Betul?” Cara pandangan Juan tadi buat dia kurang yakin dengan penampilannya. Manalah tahu solekannya buat dia nampak pelik memandangkan dia jarang hendak bersolek begitu melainkan ada kenduri kahwin atau majlis penting sahaja. 

“Ya, cantik...” tutur Juan perlahan namun masih mampu didengari oleh Annur.

“Apa dia?” Annur buat-buat bertanya. Mungkin telinganya tersilap dengar. Juan puji dia ke?

“Eh, kau ada bawa kad kahwin Yanti tak?” Juan menukar topik.

“Ada. Nak ke?”

“Nantilah. Awal lagi ni, kita pergi sarapan dulu ya?” ajak Juan lalu mula menggerakkan kereta meninggalkan kawasan apartmen itu.

Annur ikut sahaja. Sememangnya Juan yang mengajak dia keluar awal. Alasan lelaki itu, boleh lepak-lepak minum dulu padahal tiap-tiap hari mereka lepak bersama. Itu pun tak puas lagi. Tapi sudah adat menumpang, dia turutkan sahajalah permintaan Juan itu.

 

SELESAI BERSARAPAN, mereka terus bertolak ke lokasi majlis perkahwinan yang terletak di Cheras. Ketika mereka sampai di dewan itu, kelihatan orang ramai sudah membanjiri pekarangan dewan. Kereta-kereta juga bersusun memenuhi tempat letak kereta. Justeru, mereka terpaksa berpusing dua tiga kali untuk mencari tempat letak kereta yang kosong.

“Aku parking jauh sikit, tak apa ke? Tapi, kena jalan jauh sikitlah.” Juan seakan-akan sudah berputus asa mencari tempat letak kereta di kawasan berdekatan dengan dewan tersebut.

“Boleh aje mana-mana,” ujar Annur tidak kisah. Dia pun bukan jenis perempuan yang manja sampaikan tidak boleh berjalan kaki ke mana-mana. Kalau sudah hari-hari menapak ke tempat kerja, setakat berjalan kaki itu perkara kecil sahaja baginya.

“Kalau ex aku yang sebelum ni tak suka jalan jauh,” Juan memberitahu tanpa diminta. Dah kenapa pula Juan nak bandingkan dia dengan bekas teman wanitanya? Juan ingat semua perempuan sama ke?

“Kau ada berapa orang ex?” Tiba-tiba Annur terasa ingin tahu pula alang-alang Juan sudah membuka cerita tentang bekas teman wanitanya. Daripada cara Juan bercakap itu, bunyinya seperti banyak sangat teman wanita yang dia ada.

Hmm...” Juan buat-buat mengira.

“Macam banyak saja tu.” Annur menjuih bibir. Entah-entah seorang saja. Sengaja nak buat macam nampak banyak!

“Tak adalah banyak, dalam tiga empat orang kut. Entahlah, lupa...” akui Juan.

“Itulah, banyak sangat sampai lupa!”

Sengaja Annur memanaskan hati Juan.  Ingatkan seorang dua saja, rupanya empat orang! Boleh tahan juga si Juan ini. Tapi kalau tengok rupa, boleh percaya jugalah, tapi Juan bukan taste dialah. Dengan rambut panjang hampir mencecah bahu begitu, memang dia tak minatlah.

“Habis, kau?” soal Juan tak puas hati.

“Aku setia pada yang satu okey!”

Sehingga umurnya 30 tahun kini, ada satu nama sahaja dalam hatinya. Mungkin dia pun bukanlah jenis orang yang bersosial sangat. Kawan pun tak ramai, inikan pula nak ada ramai teman lelaki. Kalau setakat minat-minat itu biasalah, tetapi kalau serius bercinta seorang itu sahajalah. Tapi itulah, jodoh tak panjang dan hatinya juga belum terbuka untuk mencari pengganti.

“Aku pun setia tau. Diaorang yang tinggalkan aku,” ujar Juan membela diri. Dia  kemudian mematikan enjin setelah memarkirkan kereta di tempat yang sesuai. 

Entah kenapa, hati Annur rasa berdebar-debar pula. Seperti dia pula yang nak naik pelamin sekejap lagi.

‘Relaks, Annur. Kau cuma perlu masuk ke dalam, tunjuk muka pada tuan rumah, makan puas-puas segala makanan yang dihidangkan, kemudian balik.’

So, kita nak duduk dalam kereta aje ke?”

Kata-kata Juan buat Annur tersedar daripada lamunan.

“Jom!” ajak Juan lalu membuka pintu kereta.

Hati Annur semakin tidak keruan apabila Juan sudah keluar dari kereta. Nak tak nak, dia kenalah ikut. Takkan dia nak duduk di dalam kereta pula.

Aduh! Betul ke keputusan yang dia buat ini?

 

DENGAN PENUH berhati-hati, Annur melangkah ke dalam dewan bersama Juan. Entah kenapa, dia rasa seperti seluruh isi dewan sedang memandang ke arah mereka. Dia berdoa dalam hati agar semuanya berjalan lancar seperti yang dirancang. Dia cuma memenuhi jemputan tuan rumah sahaja.

“Juan!” panggil satu suara.

Juan mengangkat tangan ke arah Syamel, salah seorang rakan sekerja mereka.

“Tu... Syamel dah sampai. Jom kita pergi sana.” Juan mengisyaratkan supaya mereka ke meja yang diduduki oleh Syamel.

‘Alamak! Juan!’ Annur serba salah untuk menyertai Syamel apabila menyedari meja yang diduduki oleh Syamel dipenuhi rakan sekerja mereka yang datang bersama pasangan masing-masing. Namun, dia tidak sempat menahan Juan. Maka, terpaksalah dia mengikut langkah lelaki itu. 

“Dah lama ke sampai?” sapa Juan sekadar berbasa-basi.

“Baru aje. Kau datang dengan siapa?” soal Syamel.

“Dengan Annur.”

Annur tergamam mendengar jawapan jujur Juan. Namun, dia cuba berlagak biasa walaupun senyumannya nampak dibuat-buat. Terasa kekok pula dia di hadapan Syamel ketika itu. Syamel pula sudah tersengih-sengih. Tapi, memang sudah terang-terang dia dengan Juan, tiada guna dia menafikannya.

“Yang lain tak sampai lagi ke?” tanya Juan sambil melilau mencari kawan-kawan mereka di meja lain.

“Belum. Dalam perjalanan lagi kut. Sekejap lagi sampailah tu. Kau orang pergilah ambil makanan dulu,” kata Syamel.

Cepat-cepat dia beredar ke tempat makanan bersama Juan sebelum Syamel bertanya soalan cepumas. Bukannya dia tidak nampak cara Syamel memandang mereka tadi.

“Juan, kita duduk meja lainlah,” ujar Annur apabila Juan ingin kembali ke meja Syamel selepas mengambil makanan.

“Dah kenapa pula? Duduk ajelah dengan Syamel. Nanti dia cakap apa pula,” balas Juan.

“Aku rasa macam tak selesalah,” Annur memberitahu.

“Alah, kau buat macam biasa aje. Tak ada apalah. Jom!”  

Annur menarik muncung tanda protes. Namun, dia ikut juga langkah Juan.

Juan mengambil tempat di sebelah Syamel. Dia pula terpaksalah duduk di sebelah Juan memandangkan kerusi itu sahaja yang kosong.

“Lepas ni, giliran kau oranglah pula ya?” pancing Syamel seraya menjongketkan kening ke arah Juan.

Tersedak Annur mendengar soalan cepumas Syamel itu. Sudah diagak soalan itu akan keluar juga.

“Eh, ya ke yang? Ingatkan dia orang ni suami isteri! Dah sesuai sangat nampak. Baju pun dah sedondon,” Ernie, isteri Syamel yang duduk di sebelahnya mencelah. Isterinya itu sedang mengandungkan anak pertama mereka.

“Kan?” Senyuman Syamel makin lebar apabila kata-katanya mendapat sokongan si isteri.

Annur memandang baju kurung kosong hijau emerald yang dipakainya, kemudian Juan yang memakai kemeja hitam bercorak daun hijau yang sama di sebelahnya. Macam manalah dia boleh tidak perasan yang baju mereka sedondon? Aduh, memang jadi bahanlah!

“Kau tunggu apa lagi, Juan? Dah ada calon tu, cepat-cepatlah. Nanti melepas lagi,” saran Syamel.

Juan dilihat hanya senyum segaris. Mungkin Juan juga serba salah hendak cakap.

Lebih baik diam daripada bercakap banyak dan buat orang semakin nak bercakap tentang hal itu. Syamel pun satu. Orang nak makan pun tak senang!

 

SELESAI MAKAN dan sesi bergambar bersama pengantin, Annur duduk bersembang dengan Ernie di meja sementara menunggu Juan dan Syamel yang kelihatan rancak bersembang dengan rakan sekerja lelaki mereka yang lain di luar dewan.

“Jom balik,” ajak Syamel kepada isterinya tak lama kemudian.

“Alah, nak balik dah ke?” Ernie berat hati nak balik. Tak puas sembang lagilah tu.

“Dah petang ni. Esok nak kerja,” balas Syamel lembut.

Gelagat pasangan suami isteri itu diperhati oleh Annur. Walaupun Syamel selalu bercakap lepas tetapi apabila bercakap dengan isterinya, romantik habis. Rasa nak tergelak pula melihat sisi lain Syamel.

“Annur, saya balik dulu ya. Seronok bersembang dengan awak,” ujar Ernie sambil menghulur tangan untuk bersalaman.

Salam Ernie disambut Annur mesra. Walaupun baru sahaja berjumpa, rasa macam sudah lama kenal. Jarang-jarang dia nak bersembang dengan orang yang dia tidak kenal. Mungkin kerana dia rasa serasi dengan Ernie.

“Kahwin nanti jemput tau.” Sempat lagi Ernie menitipkan pesanan kepadanya. Yakin sungguh mereka yang dia dengan Juan sedang bercinta dan akan berkahwin. Dia pun tidak berani hendak cakap apa-apa, takut memakan diri nanti. Tetapi yang pastinya, dia dan Juan hanya berkawan buat masa ini.

Setelah Syamel dan Ernie beredar pulang, Annur memanjangkan leher mencari kelibat Juan. Hai, Si Juan ni tak ingat nak balik ke? Kalau dah jumpa geng, sembang tak ingat dunia. Macamlah tak jumpa dekat pejabat.

Telefon pintar di dalam beg tangan dikeluarkan lalu akaun Instagram dibuka. Dia

segan mahu menyertai Juan dan yang lain-lain memandangkan kebanyakannya lelaki. Tambahan pula apabila melihat asap rokok berkepul-kepul keluar daripada mulut masing-masing. Hanya Juan yang tidak merokok. Tapi setahunya, Juan dulu pernah juga merokok tetapi sudah berhenti.

“Annur, sorang aje ke? Datang dengan siapa?”

Annur yang sedang leka melihat gambar-gambar sekitar majlis perkahwinan Yanti yang dimuat naik oleh rakan-rakan mereka dalam Instagram mengangkat muka apabila namanya disapa.

Shafira dan dua orang rakan sekerja mereka berdiri memandangnya.

Err...” Tiba-tiba lidahnya kelu. Patutkah dia berterus terang yang dia datang dengan Juan? Matanya sempat memandang ke arah Juan yang masih rancak bersembang. Harapnya Juan tidak datang ke situ saat ini.

“Jomlah balik sekali. Boleh kita lepak-lepak,” ajak Shafira.

“Tak apalah. Aku tengah tunggu kawan ni,” bohong Annur. Tapi, betullah... Juan itu kan kawannya.

Boyfriend?” usik Shafira.

Annur tersenyum nipis. Malas dia hendak jelaskan. Terpulanglah orang hendak membuat andaian.

“Kalau macam tu, kita orang balik dululah ya.”

Sejurus Shafira dan dua rakannya itu beredar, Juan datang lalu duduk di sebelahnya.

“Nak balik dah ke?” soal Juan.

Annur menoleh. “Rasanya macam dah tak ada apa-apa. Kau lama lagi ke?”  

“Tak ada apa-apa pun. Diaorang ada ajak minum-minum,” Juan memberitahu.

“Kalau macam tu, aku balik sendirilah.” Kasihan pula dia kepada Juan. Takkanlah  disebabkan dia, Juan tak dapat menghabiskan masa dengan kawan-kawannya. Juan pun ada kehidupannya sendiri.

“Kau nak balik macam mana?”

“Naik Grablah.” Telefon pintar di tangan ditayang lalu aplikasi Grab mula dibuka.

“Tak payahlah, aku hantar kau,” ujar Juan.

Tangan Annur terhenti melayari aplikasi itu. Dia memandang Juan semula.

“La, tadi kata nak pergi minum. Pergilah, aku okey aje,” ujar Annur yakin. Dia bukan tidak biasa pergi ke mana-mana seorang diri. Sejak ada aplikasi Grab, mudahlah sedikit dia hendak pergi ke tempat-tempat yang tiada akses pengangkutan awam.

Diaorang yang ajak, tapi aku pun macam malas nak pergi. Jomlah gerak.” Juan bangun daripada kerusi dan mengisyaratkan Annur mengikutnya.

 

JUAN NAMPAK tenang memandu. Namun sesekali dia memandang ke arah Annur yang sedang ralit memandang ke luar tingkap.

“Kau kenapa? Diam aje dari tadi,” tegur Juan. Mungkin terasa janggal apabila masing-masing tidak bercakap.

“Tak ada apalah,” dalih Annur. Tiba-tiba, dia rasa tidak ada mood hendak bercakap.

“Kau memang nak balik terus ke ni?” Juan bertanya lagi.

“Baliklah, nak pergi mana lagi? Esok kerja,” jawab Annur malas. Kenapalah esok Isnin?

“Awal lagi ni. Baru pukul 3.00. Kita pergi tengok wayang, nak?” ajak Juan.

Eh, tadi Juan kata malas nak lepak. Ini ajak tengok wayang pula!

“Cerita apa?” Annur bertanya juga. Serba salah pula dia hendak menolak ajakan Juan sedangkan Juan sudah menumpangkannya ke kenduri kahwin Yanti tadi. Anggap sahajalah dia membalas budi. Juan pula tidak mahu menerima duitnya untuk berkongsi membayar minyak kereta dan tol.

“Cerita kartun.”

Annur berfikir sejenak. Kalau balik pun bukan ada sesiapa di rumah. Hari minggu begini adiknya, Azira bekerja. Jadi, kalau dia balik sekarang pun dia seorang diri sahaja di rumah. Kadang-kadang bosan juga.

“Nak tengok kat mana?”

“Kita tengok kat IOI Mall, nak? Dekat dengan rumah kau, kan?” cadang Juan.

“Boleh aje.” Annur menurut saja. Rasanya mereka tidak akan berjumpa dengan rakan sekerja mereka di situ. 

Harapnyalah...

No comments:

Post a Comment