Ya Allah,
Jika rezeki masih di langit, turunkanlah,
Jika di bumi, keluarkanlah,
Jika sukar, permudahkanlah,
Jika haram, sucikanlah,
Jika jauh, dekatkanlah.
FATEHAH baru selesai solat sunat duha. Itulah yang diamalkan setiap hari. Doanya moga Allah sentiasa melimpahkan rezeki untuknya dan keluarga. Sejurus melipat telekung dan sejadah, deringan telefonnya menggamit pendengaran. Lantas telefon pintarnya yang berada di tepi bantal dicapai. Melihat pada nombor yang terpapar, dia sendiri tidak dapat mengagak panggilan itu dari siapa. Terus saja dia menekan butang hijau.
“Assalamualaikum. Selamat pagi. Boleh saya bercakap dengan Cik Fatehah binti Abdul Fattah?” Suara seorang lelaki kedengaran di hujung talian.
“Waalaikumussalam. Ya, saya Fatehah binti Abdul Fattah.” Dalam rasa debar, Fatehah menjawab panggilan itu. Hatinya jadi tidak keruan saat ini.
“Cik ni adik Encik Iftitah ke?”
“Err... tak. Saya tak ada abang. Encik silap nombor ni,” jawab Fatehah.
“Tak. Saya memang tak silap nombor. Saya memang nak hubungi awak, Cik Fatehah. Sebenarnya saya ni Encik Nazam daripada IE- Iftira Empire.”
Iftira Empire?
Lelaki di hujung talian menyampaikan kata.
“Jadi Cik Fatehah boleh datang lapor diri hari Isnin minggu depan ya. Sila bawa surat tawaran kerja. Cik boleh print terus dari e-mel.”
“Baik. Terima kasih ya.”
Setelah talian dimatikan, Fatehah melekapkan tangan di dada. Rupanya panggilan masuk kerja. Ya Allah, syukur. Alhamdulillah.
Keluar dari bilik, Fatehah ketawa bahagia.
“Kak, kau dah kenapa? Mak, tengok akak ni. Kenapa entah? Dah tak betul agaknya. Terjerit-jerit keluar dari bilik.” Si adik mengadu kepada si emak.
Fatehah segera ke bilik air. Kedua-dua beranak itu saling berpandangan. Tidak mengerti apa-apa. Agaknya dah teruja sangat terus nak terkencing gamaknya.
“Kak, kau dah kenapa?” soal si adik tika kakaknya keluar dari bilik air.
“Akak nak solat dulu. Nanti akak cerita,” ujar Fatehah setelah keluar dari bilik air.
“Eh, bukan tadi dah solat ke?”
“Memang dah solat duha tadi. Ni nak solat lain pula. Tadi excited sangat sampai terlepas gas beracun,” ujar Fatehah dalam tawa sambil membetulkan lipatan lengan bajunya. Masuk ke bilik, dia melakukan solat sunat syukur. ‘Alhamdulillah, ya Allah atas segala kurniaan-Mu. Doaku, Kau perkenankan,’ doanya dalam hati.
Seperti yang dijanjikan, Fatehah mendapatkan emak dan adiknya yang sedang duduk di dapur menyediakan bahan masakan tengah hari walaupun jam baru menunjukkan pukul 10 pagi. Sememangnya itu rutin harian di rumahnya. Sekitar jam 12 tengah hari biasanya mereka sudah kenyang menikmati hidangan tengah hari.
“Mak... mak nak tahu tak. Teha dah dapat kerja. Minggu depan dah kena lapor diri. Tadi orang pejabat tu telefon. Patutlah sejak pagi tadi dada Teha ni berdebar semacam. Malam tadi pun siap mimpi dapat cincin. Mimpi nak dapat rezekilah tu agaknya,” teruja Fatehah menyampaikan berita gembira itu.
“Alhamdulillah. Mak tumpang gembira. Lepas ni merasalah mak gaji kamu. Bolehlah ajak mak melancong,” ujar Puan Fatimah dengan senyum lebar.
“Kan, mak kan. Melancong pergi Pulau Tioman pun jadilah. Dalam negara aje,” tambah si adik.
“Amboi! Akak masuk kerja pun belum, dah ada yang tempah tiket ke Tioman. Matilah nakkk...” Fatehah menjuling mata. Emak dan adiknya mengekek gelak.
“Duit gaji tu akak nak bayar hutang pinjaman PTPTN. Banyak tahun juga nak habis bayar tu," kata Fatehah.
“Yalah. Tapi takkanlah semua akak nak guna bayar hutang. Paling tak pun akak belanjalah top-up Syira RM10 sebulan pun jadilah. Kan, mak kan? Lepas tu beri mak dan abah sikit. Sebab tu lebih berkat. Sebab mak dan abah dah banyak bersusah payah untuk akak.”
“Itu akak tahu. Insya-Allah. Selagi hayat dikandung badan, akak takkan lupakan jasa mak dan abah.” Bila mengenangkan jasa orang tuanya, hatinya tersentuh. Kasih sayang dan pengorbanan yang mereka berikan sungguh tidak ternilai dan tidak dapat dibayar dengan jutaan wang ringgit.
“Nanti beritahulah abah berita ni. Abah pasti gembira,” beritahu Puan Fatimah sambil tangannya kembali lincah menggunting lada kering untuk menu masakan tengah hari nanti.
Apabila abahnya pulang dari memotong rumput di tanah wakaf perkuburan, Fatehah sudah siap sedia menyediakan minuman panas untuk Encik Abdul Fattah.
“Abah, Teha ada berita gembira untuk abah.” Kerusi di sebelah abahnya ditarik dan punggungnya dilabuhkan.
“Cuba abah teka.”
“Abah dah tua, kau nak main teka-teki nak buat apa Teha. Kalau teka-teki, teka-tekok ular mati atas pokok tu abah tahulah.” Encik Abdul Fattah tertawa sendiri. Saja berseloroh dengan anak daranya itu.
“Alah, abah. Tak mainlah teka-teki tu. Abah tekalah apa yang Teha nak cakap dekat abah. Mana tahu abah terror macam Nujum Pak Belalang tu.”
“Anak kau ni dah kenapa Mah? Lain macam aje aku tengok. Berita gembira apa yang dia nak beritahu?” soal Encik Abdul Fattah kepada isterinya yang sedang menumis sambal petai di kuali.
“Dia dah suruh teka tu abahnya, teka ajelah,” balas Puan Fatimah.
“Ni kalau teka betul dapat apa? Dapat duit 1 juta ke?” Encik Abdul Fattah memang suka bergurau dengan anak sulungnya itu.
“Abah ni...” Fatehah sudah tarik muncung. Merajuk.
“Cakap macam tu pun muncung tu dah sebijik macam cencurut. Kalau suruh teka, ni mesti Teha nak beritahu abah yang Teha nak kahwin kan.”
Mendengar tekaan abah, makin panjanglah muncung Fatehah. “Kerja pun belum, abah. Takkan nak kahwin. Calon pun tak ada.”
“Dah tu kamu suruh abah teka, abah tekalah. Jadi berita apa yang kamu nak beritahu abah ni? Excited benar abah tengok.” Encik Abdul Fattah mencecap sedikit air kopi panas di cawan lalu meletakkan kembali di atas piring.
“Of courselah excited abah. Teha sebenarnya dah dapat kerja. Minggu depan dah kena lapor diri.” Dari raut wajah Fatehah, jelas terpancar nur yang membahagiakan.
“Oh, ya ke? Alhamdulillah. Patutlah suka sangat gayanya. Apa nama tempat kerja kamu tu?”
“Iftira Empire, abah. Tapi nama glamor diaorang panggil IE je.”
“Syukurlah, kamu dah dapat kerja. Apa pun abah tumpang gembira. Pastikan amanah dalam bekerja. Jangan kerja main-main. Biarlah setiap kerja yang kita buat tu mendapat keberkatan daripada-Nya. Barulah hasil yang kamu terima tu berkat.” Encik Abdul Fattah menitipkan pesan sebaiknya.
“Insya-Allah, abah. Teha akan sentiasa ingat pesanan abah.”
“Nak dijadikan cerita, tiba-tiba pula anak lelaki pemilik syarikat tu berkenan dekat akak. Wah, dapat menantu kayalah abah!” Si adik sibuk mencelah.
“Abah tengok, abah. Budak ni kalau merepek entah apa-apa. Pengaruh dramalah tu. Klise sangatlah tu weh,” adu Fatehah.
“Mana tahu kalau dah jodoh. Abah terima aje.” Encik Abdul Fattah hanya menyengih. Saja mahu menyakat anak daranya. Yalah. Kalau ikutkan umur dah layak nak berkahwin pun. Dia pun teringin juga mahu ada menantu.
“Abah ni... sokong pula apa yang Syira cakap tu. Tak naklah kahwin dengan orang kaya. Takut. Cari yang sekufu sudah. Hidup sederhana. Ada karang yang bawak mulut cakap anak abah ni kahwin dengan anak orang kaya sebabkan harta. Tak naklah. Selisih malaikat 44,” omel Fatehah.
“Tapi kak, kalau anak orang kaya tu yang terhegeh-hegeh nakkan akak macam mana?” soal si adik.
Fatehah hanya menjongket bahu. Tak nak komen apa-apa. Sebabnya soal rezeki, jodoh dan maut itu semua di tangan Tuhan.
Itulah topik bicara anak-beranak. Pada mulanya cerita fasal kerja. Lepas tu mulalah melalut cerita kahwin-kahwin. Versi dramalah, versi novellah. Yang penting sekarang ini bukan waktunya nak fikir fasal kahwin. Dia nak kerja dan cari duit. Nak bayar hutang. Nak beri duit kepada emak dan abah. Nak beli emas banyak-banyak buat aset. Pelaburan demi masa depanlah katakan.
No comments:
Post a Comment