“LAMANYA hujung minggu ni, cepatlah hari Isnin,” keluh Izaelina sendirian.
Berbeza dengan pelajar yang lainnya, Izaelina sangat rajin ke sekolah. Hari minggu baginya sangat menyeksakan dan terasa kosong. Walaupun dia bukanlah pelajar yang cemerlang dalam akademik, namun Izaelina terkenal dengan rekod kehadirannya yang baik. Sepanjang berada di sekolah menengah, tidak pernah sehari pun dia ponteng. Malah dalam apa jua keadaan, demam sekalipun, si gadis tetap bersemangat ke sekolah.
“Daripada adik asyik mengeluh tu, apa kata adik buka buku, then study. Tahun ni kita exam PT3 tau.”
Azaelina bersuara dari katil bawah. Izaelina dan Azaelina merupakan kembar seiras yang memiliki watak yang sangat kontra antara satu sama lain. Azaelina orangnya lebih lembut dan bijak dalam pelajaran. Izaelina pula tidaklah sehebat kakaknya dalam akademik namun dirinya sangat aktif dalam bersukan.
“Ala kakak ni macam tak kenal orang macam mana. Orang mana minat belajar-belajar ni. Lagipun exam kan lambat lagi. Kita baru mula sekolah. Relakslah.” Selamba Izaelina menjawab. Sungguh dia tidak betah duduk menghadap buku seperti saudara kembarnya itu.
“Takkanlah nak tunggu dah dekat nak exam nanti baru nak belajar. Adik ni, ada masa luang tu baik study. Daripada adik duduk termenung sana sini,” Azaelina cuba memberi nasihat. Sudah masak dengan perangai sambil lewa adiknya dalam pelajaran. Izaelina bukannya minat belajar, namun entah mengapa adiknya itu tidak suka hari cuti dan sangat rajin ke sekolah.
“Kakak belajarlah, nanti ajarkan orang. Orang malaslah nak baca satu-satu buku tu semua. Banyak sangat,” Izaelina merungut. Soal belajar memang dirinya tidak suka dipaksa. Dia langsung tidak kisah jika orang-orang di sekeliling membandingkan dirinya dengan Azaelina yang lebih bijak.
Umi dan baba mereka juga sudah hilang kata-kata untuk menasihatkan Izaelina. Jika dipaksa-paksa, semakin anak gadis mereka yang seorang itu memberontak. Entah mana silapnya, mereka juga tidak pasti. Sedangkan didikan yang sama diberikan dalam membesarkan pasangan kembar itu. Akhirnya mereka hanya mampu memberikan sokongan kepada Izaelina dengan minatnya dalam bersukan. Harapan mereka kini hanya diberikan kepada Azaelina dalam akademik.
“Kakak dah ingatkan tau. Nanti jangan menyesal di kemudian hari pulak.” Azaelina malas untuk berkata lebih lanjut. Walau apa sekalipun yang dikatakannya, belum tentu akan didengari si adik. Jadi, dia memilih untuk berdiam. Fokus diberikan sepenuhnya terhadap buku Sejarah yang dibacanya itu.
“Jangan risau kakakku sayang. Adikmu tidak akan pernah menyesal,” Izaelina berkata sambil menjengukkan kepalanya memandang Azaelina di tingkat bawah.
Azaelina tidak membalas sebaliknya hanya menggelengkan kepalanya perlahan. Melihatkan reaksi kakaknya, Izaelina tahu kakaknya sudah menyerah memujuknya untuk belajar. Senyuman lebar terukir pada wajah cantik Izaelina.
“Orang keluar kejap,” ujar Izaelina ringkas sambil menuruni katil.
“Okey, jangan lama-lama. Balik awal sebelum maghrib,” pesan Azaelina sebelum Izaelina hilang di balik pintu.
Izaelina memang suka keluar rumah. Berjoging, berbasikal dan bersukan, ada sahaja aktiviti hariannya. Tidak pernah duduk diam. Sebaliknya Azaelina, lebih suka berada di rumah, belajar, memasak dan berkebun. Namun begitu, mereka sangat rapat sesama mereka.
“UMI, ADIK nak keluar kejap,” Izaelina menghampiri Puan Mashitah yang sedang menyiram di halaman rumah.
Puan Mashitah menoleh memandang anak daranya. Senyuman manis dihadiahkan buat si anak. Dia memiliki senyuman yang sangat menawan dan raut wajah yang lembut. Sangat memukau pandangan sesiapa sahaja yang memandang. Maka tidak hairanlah jika Azaelina dan Izaelina juga cantik manis orangnya.
“Ya, hati-hati. Jangan merayau entah mana-mana pulak.” Puan Mashitah sangat maklum dengan perangai anaknya yang satu itu. Kalau berbasikal, entah ke mana-mana sahaja Izaelina pergi. Risau dia dan suaminya dengan sikap anaknya itu. Yalah, macam-macam boleh berlaku di luar sana, tambahan pula Izaelina seorang gadis.
“Baik bos!” Izaelina menjawab sambil membuat gaya tabik kepada uminya. Mereka berbalas senyuman.
Puan Mashitah memerhati kelibat Izaelina yang semakin jauh meninggalkan halaman rumah. Kerja menyiram disambung semula setelah Izaelina hilang dari pandangan matanya.
“Adik pergi mana tu?” Encik Shukri yang baru sahaja pulang dari pejabat bertanyakan kepada isterinya. Sempat dia berselisih dengan Izaelina di simpang perumahan mereka ketika dalam perjalanan pulang sebentar tadi.
“Biasalah anak awak sorang tu. Mana reti duduk rumah, berbasikal keliling tamanlah, mana lagi.” Paip di tangan digulungnya lalu digantung di kepala pili. Puan Mashitah melangkah ke arah Encik Shukri. Beg bimbit hitam yang dipegang oleh Encik Shukri berpindah tangan.
“Aihlah adik, adik...” Encik Shukri menggelengkan kepalanya beberapa kali.
“Anak awak jugak.” Puan Mashitah tersenyum. Teringat ketika mengandungkan pasangan kembar itu, dia dan suami berharap akan mendapatkan pasangan kembar lelaki dan perempuan. Namun yang keluar, perempuan kedua-duanya. Tapi siapa sangka Izaelina bersikap boyish, berbeza dengan Azaelina yang lebih keperempuanan.
“Abang okey aje, selagi adik tu pandai jaga diri, hormat orang tua. Biasalah, lain orang lain wataknya,” jelas Encik Shukri optimis dengan sikap kedua-dua anak gadisnya itu.
“Insya-Allah. Abang tak payah risaulah. Anak-anak kita tu walaupun lain wataknya tapi dua-dua menyenangkan. Adik tu lasak-lasak pun tak pernah buat masalah.”
“Itu abang setuju. Kakak minatnya lain, adik pulak lain. Kita kenalah terima apa adanya. Masing-masing saling melengkapkan keluarga kita,” Encik Shukri meluahkan pendapatnya. Isterinya di sebelah dibawa ke dalam pelukan.
No comments:
Post a Comment