DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Friday 1 April 2022

Penakluk Hati Abang Jambang - Bab 3


IFTITAH sengaja menunggu di dalam kereta apabila melihat masih ada 3 orang pelanggan sedang beratur di gerai itu. Sengaja dia biarkan keadaan lengang dahulu. Jadi tidaklah nanti selepas membeli dia terburu-buru untuk pergi. Bukan senang nak menatap wajah itu di depan mata. Kalau boleh dia nak tatap lama-lama. Dan kalau boleh, dia nak curi gambar wajah itu agar dapat ditatap dan ditenung setiap masa. Semalam itu dikira sebagai rezeki apabila dapat berbual dengan si gadis.

Kini Iftitah keluar dari perut kereta dan mendatangi gerai itu. Kaca mata hitamnya disangkut di pangkal hidung. Itu gaya kegemarannya. Lagipun niat sebenarnya nak menilik wajah si gadis. Jika berkaca mata hitam begitu tidaklah si gadis perasan akan perbuatan nakalnya itu.

Dari jauh Iftitah melihat Fatehah sedang melayan pelanggan terakhir yang berada di situ. Sewaktu dia mendekat, Fatehah sudah bergerak ke arah van yang diparkir di belakang gerai. Mungkin mengambil air minumannya barangkali. Jadi sewaktu dia sampai, abah Fatehah sudah mengambil posisi Fatehah tadi. Aduh, kecewanya rasa!

“Selamat petang, pak cik.” Diramahkan juga mulutnya menegur dengan roman wajah yang sengaja dimaniskan. Mana tahu hormat lebih dapat kredit lebih. Nak tackle hati anak mesti kena tackle hati bapak dulu.

“Ya, petang. Anak nak beli apa? Eh, pak cik macam kenal aje kamu ni. Haa... Teha. Ni Abang Jambang Hensem kamu ni nak membeli.”  Sememangnya Fatehah telah memberitahu abahnya tentang lelaki itu. Yalah, lagipun duit lelaki itu masih ada pada abahnya. Kalau tak diberitahu, karang ditanya pula oleh abahnya itu.

Mendengarkan bicara itu, Fatehah yang tika itu sedang meneguk air mineral dari dalam botol terus tersedak.

“Abah ajelah layan,” ujar Fatehah yang masih duduk di dalam van di sebelah tempat duduk pemandu.

“Alah, layanlah kejap. Abah tengah goreng cendawan ni.” Encik Abdul Fattah menyengih. Suka pula dia kenakan anaknya dengan pelanggannya itu. Padahal boleh saja dia tinggalkan sekejap cendawan di kuali.

Dan perasaan Iftitah semestinya meloncat gembira. Bakal bapa mentua sengaja beri green light ke ni?  Wah, tak sangka!

Fatehah turun dari van di sebelah pemandu lalu datang ke depan bersua muka dengan pelanggannya. Melihatkan bibir lelaki itu mengukir senyum, senang hati juga dirinya membalas. Boleh cair hati bila melihat senyuman itu. Senyuman ini tak macam semalam. Nampak lebih teruja. Berkocak hati dan perasaan si anak dara bernama Fatehah. Hesy, gedik!

“Assalamualaikum, Dik Fa,” lembut suara itu menegur.

“Ya, waalaikumussalam.” Fatehah terbatuk-batuk. Apa hal tiba-tiba tekak rasa gatal aje ni. Macam manja sangat kut cara panggil tu.

“Boleh ke saya datang nak membeli ni?” soal suara itu sedikit nakal.

Fatehah mengangguk bersama lorekan senyum. 

“Ya, boleh. Abang nak beli apa?”

“Pisang RM5, cempedak RM5. Tu aje.”

Fatehah terus membungkus apa yang diminta. Nilainya itu nanti akan ditolak terus daripada baki wang lelaki itu yang ada pada abahnya.

Iftitah yang masih menanti, merasakan debaran hebat di dadanya tatkala dia berhadapan dengan gadis ini. Selama 3 hari berturut-turut itulah perasaan yang mengganggu jiwa lelakinya. Dan wajah polos gadis di hadapannya punya pesona sendiri. Memang boleh buat jiwa lelakinya terbuai. Malah boleh menggetarkan tulang rusuk kirinya.

‘Ya Tuhan. Inikah jodoh yang kau telah tuliskan? Bila mana hatiku terasa suka dan lapang melihat dia,’ detik hati Iftitah.

“Bang... oh... bang... dah siap dah ni.” Suara lembut Fatehah menjengah gegendang telinganya.

“Oh, sorry. Terberangan kejap.” Iftitah tertawa sendiri.

“Oh, sempat berangan eh?” Fatehah mengusik dalam tawanya.

Terus muka Iftitah memerah. Malu.

Hehe... sorry.

Mata mereka bersabung untuk seketika lalu mereka sama-sama tertawa. Bungkusan kini bertukar tangan.

“Terima kasih, bang. Nanti datang lagi ya.”

“Ya, insya-Allah. Hmm...” Iftitah sepertinya ingin bertanya sesuatu. Namun, tiba-tiba dia jadi terkelu apabila melihat abah si gadis itu sepertinya ralit memandangnya membuatkan dia jadi segan. Sudahnya dia segera meminta diri.

“Ehem... ehem...” Dehaman Encik Abdul Fattah membuatkan Fatehah menoleh.

“Kenapa bah?” soal Fatehah bingung.

“Rasa gatal pulak tekak abah ni.”

“Oh... ingatkan apalah tadi. Sekejap. Teha ambilkan abah air.” Lantas Fatehah kembali ke bahagian tempat duduk pemandu lantas mengambil air mineral untuk abahnya.

“Tak faham rupanya budak ni.” Encik Abdul Fattah hanya menyengih sambil melihat kereta mewah itu meluncur pergi. Sebenarnya semalam dia sempat melihat kelibat lelaki itu. Nampaknya, pemuda itu datang bukan semata-mata untuk membeli jualannya, tetapi juga membeli jiwa anak gadis suntinya.

 

DI DALAM kereta, Iftitah tersenyum sendiri apabila mengingatkan kembali lamunan hati yang terhenti apabila ditegur si gadis. Ya... tentang jodoh hatinya. Walaupun si gadis hanyalah seorang gadis penjual di gerai kecil, itu bukan satu alasan untuk dia menolak jodoh hatinya. Harta bukanlah ukuran, tetapi hati dan jiwa yang membahagiakan itulah pilihan.

No comments:

Post a Comment