DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Friday 1 April 2022

Penakluk Hati Abang Jambang - Bab 2


BIBIR Fatehah spontan mengoyak senyum apabila melihat gerangan empunya diri yang keluar dari kereta Audi yang diparkir berdekatan dengan gerainya. Nampaknya lelaki yang sama semalam. Cuma kali ini naik kereta lain pula. Wah, memang kayalah ni kut! Bertukar-tukar kereta. Alhamdulillah. Pasti cempedak goreng semalam membawa igauan mimpi lelaki itu. Makanya hari ini datang mencari lagi.

“Assalamualaikum,” ucap Iftitah. Untuk menjalankan misi hatinya, dia harus menjadi sedikit mesra walaupun dia rasa otot senyumnya masih tidak memberi kerjasama.

Waalaikumussalam,” jawab Fatehah. Wow, rasa lain pula aura lelaki ini berbanding semalam!

‘Positif,’ bisik hati Fatehah. Mungkin semalam tengah bad mood, sebab tu nak tak nak saja menjawab pertanyaannya. Sempat juga ditilik penampilan lelaki ini. Kali ini kelihatannya hanya memakai baju-T dan berseluar jean. Pastinya kerana hari ni adalah hari cuti. Jadi santai sahaja.

“Abang nak beli cempedak ke?” soalnya ramah. Seperti biasa senyuman tetap tidak lekang di bibirnya.

Iftitah mengangguk tanpa suara. Lidahnya terkelu. Mungkin terpanar dek senyuman yang terhidang di depan matanya. Otot senyumnya... hmm nampaknya juga ikut terpanar. Kejung. Kerana itu masih tak mampu membentuk senyuman balas.

“Boleh tunggu sekejap? Dalam kuali lagi ni. Tengah goreng.” Fatehah menutur bicara.

Iftitah mengangguk lagi. Dah macam ayam belatuk. Bila ditanya, mengangguk saja. Hakikatnya dia masih terkelu. Nak menjawab ‘hmm’ atau ‘ya’ pun terasa susah. Untuk menunggu, memang dia tidak kisah. Mungkin satu bonus untuknya. Di kesempatan itu bolehlah dia mencuri-curi pandang wajah comel nan ayu itu. Sejak semalam, dirasakan ada aura daripada gadis itu yang membayanginya sehingga dia meyakini hatinya telah jatuh hati. Kerana itu, hari ini dia datang ke sini. Ya. Demi sekeping hati.

Wajah itu terus menjadi santapan. Walaupun gadis ini tidak bersolek, namun kecantikan asli itu sangat terserlah. Kulit nampak bersih dan gebu. Suara pula, aduh lemak merdu rasanya. Senyuman tu lagilah. Dup... dap... Itulah rentak irama percuma yang dia dapat sejak semalam. Ingatkan tengok untuk kali kedua ini tiada lagi irama itu. Namun semakin rancak pula rentaknya bermain di dada. Maka, dia semakin yakin untuk menjalankan misi hatinya.

Matanya terus melatari melihat sekitar. Nampaknya gadis itu hanya berseorangan. Sebab semalam rasanya ada seorang lelaki yang agak berumur bersama gadis itu. Kalau dia tidak salah meneka, pastinya lelaki semalam itu adalah bapa kepada si gadis. Ringan terus mulutnya untuk bertanya. Takkan nak terus berdiam diri pula. Rugi pula rasanya.

“Awak berjual sorang aje ke hari ni?”

Mendengarkan pertanyaan itu serta-merta Fatehah menoleh wajah ke arah lelaki itu.

“Berdua dengan abah saya. Tapi abah saya pergi ke klinik atas tu sekejap ambil ubat dia.” Fatehah berkata sambil tangannya lincah membalikkan gorengan cempedak di kuali.

“Oh, abah awak sakit apa?” Iftitah mula tunjuk sikap prihatin.

“Semput.” Fatehah jawab ringkas.

Iftitah hanya mengangguk. Arwah papanya juga menghidap penyakit yang sama. Namun sewaktu meninggal arwah disahkan terkena serangan jantung.

Fatehah kemudian mengangkat gorengan cempedak yang telah masak lalu diletakkan di dalam dulang yang tersedia. Panas dari kuali.

“Abang nak berapa ringgit ya?” soal Fatehah kepada pelanggannya itu. Di tangannya sudah bersedia dengan penyepit dan kertas pembungkus makanan.

“RM5 cukuplah. Untuk makan sendiri aje pun.”

Fatehah membungkus cempedak yang dipesan. Lalu not kertas RM50 diterima daripada lelaki itu sebagai bayaran.

“Tak ada duit kecil ke bang? Besar sangat ni.”

“Tak adalah awak.”

“Abang tak boleh pecahkan dulu ke?”

“Duit ni duit kertaslah awak. Macam mana nak pecahkan? Kalau koyakkan, bolehlah.” Mesra saja Iftitah bergurau kata berteman segaris senyuman edisi terhadnya. Okey. Nampaknya otot senyumnya dah mula beri kerjasama.

Fatehah turut membalas senyuman itu. Melting sangat senyuman yang diberi. Haih... saja nak bagi hati ni terpesona ke wahai encik jejaka yang kacak?

“Maaf, bang. Sebabnya duit yang ada ni tak cukup lagi nak pulangkan baki duit abang. Esok ajelah abang bayar.”

“Tak apa. Abang tak nak berhutang. Awak simpan aje dulu bakinya. Esok-esok dan hari-hari seterusnya abang akan singgah ke sini dan ambil cempedak goreng dengan awak. Boleh ke macam tu?” Iftitah memberi saranan.

Sebenarnya sengaja dia menggunakan taktik itu agar hari seterusnya dapatlah dia datang ke sini dan menjamu mata melihat cik gadis. Tidaklah gadis itu perasan apa-apa. Bernas tak ideanya? Dia pun tanpa sedar telah membahasakan dirinya abang.

“Nanti tulis dalam buku 555. Abang dah beli berapa ringgit. Senang sikit nak kira,” ujar Iftitah lagi.

“Okey. Tapi nama abang ni siapa ya?

“Panggil aje Abang Jambang Hensem.” Iftitah menguntum senyum yang paling menawan. Waktu inilah dia perlu ambil kesempatan untuk perkenalkan diri dan menarik perhatian cik gadis. Sebenarnya dia guna nama tu pun sebab secara tak sengaja teringatkan nama yang pernah disebut oleh si gadis berbaju merah jambu sebelum ini. Macam syok juga guna nama tu. Sesuai sangat dengan dirinya.

Fatehah angguk dengan senyuman di bibir. 

Wait! Sebenarnya apabila bercakap fasal Abang Jambang Hensem, dia teringat akan kisah lebih sebulan lalu di Aza Cafe. Rasanya dia pernah sebut akan nama itu. Macam manalah si abang kacak ni boleh guna nama tu juga ya? Eh, jangan-jangan Abang Jambang Hensem ni...

OMG! Dia ke? Fatehah memandang tepat ke wajah lelaki di hadapannya itu. Menilik sambil cuba mencari kembali gambaran wajah itu di masa lalu.

“Awak...” Iftitah petik jari di hadapan wajah ayu itu. Kenapa gadis itu menilik wajahnya? Dirasakan si gadis memang sudah terpesona dengan wajah dan senyuman membunuhnya.

Merah muka Fatehah. Namun dia tetap bertindak selamba.

Hehe... sorry, teringatkan wajah seseorang.” Fatehah garu hujung keningnya.

“Siapa?” Iftitah menyoal sambil menjongket kening.

“Rahsia.” Fatehah hanya tersenyum. “Hmm... kalau macam tu duit abang ni saya simpan dulu ya.” Fatehah kembali kepada topik asal. Kepingan not RM50 itu terus disimpan di dalam bekas duit.

“Okey, terima kasih. Hmm... sekejap. Boleh abang minta nombor telefon awak tak? Mana tahu kalau lepas ni abang nak oder banyak, abang telefon aje awak terus. Mudah kan macam tu. Orang kata waktu mesyuarat petang, sedap juga makan cempedak atau pisang goreng ni semua.”

“Boleh.” Fatehah memberikan nombor telefonnya.

“Nama awak?” soal Iftitah.

“Kak Fa, ibu suruh beli cendawan RM3.” Suara Fariha si anak kecil yang baru datang itu lebih dulu menusuk ke gegendang telinga lelaki itu.

“Oh, nama awak Fa. Okey. Abang save nama awak Dik Fa ya,” ujar Iftitah.

Fatehah tersenyum seraya melayan Fariha yang mahu membeli.

“Okey, terima kasih Dik Fa. Jumpa lagi.” Iftitah kemudian berlalu pergi.

Fatehah sempat memandang langkah kaki yang kian menjauh. Terasa comel pula dipanggil Dik Fa. Hmmm... Dik Fa pun Dik Falah. Sedap juga bunyinya. Lagilah orang kacak yang memberi gelaran itu. Berbunga juga rasa hati.

 

TANGAN KANAN Iftitah masih melekap di dada. Helaan nafas juga dikawal sebaiknya. Cuba ditenangkan degup jantungnya yang berirama tanpa iringan lagu itu.

Bibirnya kini meleret senyum. Nampaknya sejak tadi hingga kini otot senyumnya berfungsi dengan baik. Dirasakan gadis itu juga sudah tertarik dengannya. Ah... bahagia rasanya. Lagilah apabila dapat berbalas senyum begitu. Seumpama hati saling merasa.

‘Abang Jambang Hensem,’ detiknya dalam hati. Mengenangkan nama itu, senyuman kembali mekar. Macam poyo saja kenalkan nama sebegitu kepada si gadis. Paling tak disangka, senang pula lidahnya nak membahasakan dirinya ‘abang’. Wah, nampaknya dia harus beri kredit kepada diri sendiri! Good job, Iftitah!

No comments:

Post a Comment