DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday 3 April 2022

Best Friend Ke Boyfriend - Bab 3


JUAN sudah terpacak di hadapan surau ketika Annur keluar dari surau wanita usai solat zohor. Orang lelaki memang sekejap sahaja selesai urusannya. Tidak perlu hendak tanggalkan tudung dan pakai telekung segala bagai.

Sewaktu kecil dahulu, Annur selalu terfikir kenapalah dia tidak dilahirkan sebagai orang lelaki kerana dia merasakan bahawa menjadi perempuan ini leceh. Hendak kena jaga itulah, jaga inilah. Tiap-tiap bulan pula perlu melalui tempoh datang haid. Tetapi, semakin dia meningkat dewasa, dia mula merasakan betapa beruntungnya menjadi seorang wanita. Mungkin pada zahirnya, orang lelaki ini nampak senang hendak menguruskan diri, tetapi hakikatnya tanggungjawab orang lelaki ini amatlah berat.

Annur menghampiri Juan sejurus mengenakan stoking dan kasut. Tidak seperti kebanyakan wanita, Annur lebih selesa mengenakan kasut yang mempunyai tapak yang rata supaya mudah dia hendak berjalan.

“Kita nak pergi mana ni?” soal Annur seraya melihat jam pada skrin telefon pintarnya.Ada dua jam lagi sebelum wayang bermula.

Selepas membeli tiket tadi, mereka terus ke surau untuk mengerjakan solat zohor.

“Kau lapar ke?” Pertanyaannya dibalas dengan soalan oleh Juan.

“Rasa macam kenyang lagi. Kau dah lapar ke?” jawab Annur. Sebenarnya dia tidak puas makan di kenduri tadi. Yalah, macam mana hendak makan puas-puas kalau dah orang asyik usik-usik sahaja. Tapi, dia tak adalah lapar sangat pun.

“Aku pun kenyang lagi. Kita jalan-jalan dululah,” saran Juan.

“Jalan mana?” Annur menyaingi langkah Juan memandangkan dia tidak pernah menjejakkan kaki ke situ walaupun pusat membeli-belah itu tak adalah jauh mana dengan rumahnya. Hanya beberapa stesen dari LRT stesen Taipan, tetapi dia perlu menukar LRT di stesen Putra Heights untuk sampai ke situ.

“Kau nak pergi mana?” soal Juan.

Annur berfikir sebentar. “Kat sini ada kedai buku tak?”

Kalau pergi ke pusat membeli-belah, kedai buku dulu yang akan dia cari. Pusat membeli-belah tanpa kedai buku, bosan!

“Ada dekat atas kalau tak silap. Nak pergi ke? Jom!”

Sangka Annur, Juan akan memberi komen tempat yang ingin ditujuinya itu membosankan, tapi sebaliknya pula. Lantas mereka berdua menaiki eskalator ke tingkat atas.

“Kau nak ikut aku ke? Kalau kau nak jalan-jalan tempat lain dulu pun tak apa. Nanti kita jumpa kat panggung wayang. Aku kalau masuk sini boleh jadi berjam-jam.” Annur memberitahu awal-awal sebelum mereka melangkah masuk ke dalam kedai buku itu. Risau Juan bosan pula duduk menunggunya di situ.

“Tak apa, aku okey aje,” balas Juan.

“Okey, ikut suka kaulah,” ujar Annur lalu terus menghilang ke dalam kedai buku itu. Pandai-pandailah Juan membawa diri di dalam kedai buku itu. Kalau Juan bosan, dia tidak mahu bertanggungjawab.

Buku pertama yang akan dia cari mestilah novel. Kadang-kadang dia bukanlah hendak beli sangat pun. Sengaja suka tengok buku-buku yang tersusun di rak. Dia mencapai satu novel yang muka depannya dirasakan menarik. Selepas membaca tajuk, dia akan membaca blurb pada belakang buku itu. Selepas itu, dia akan meletakkan semula buku itu di rak. Begitulah yang akan dia lakukan sampai bosan.

Setelah hampir satu jam, baru dia teringat akan Juan. Buku di tangannya diletakkan semula ke rak. Serba salah pula dia mahu terus membelek buku-buku di situ dan membuatkan Juan menunggunya. Dia kemudian mencari Juan sebelum menjumpai Juan sedang membelek buku di bahagian komik.

“Juan, jomlah.”

Juan mengangkat muka. Wajah Juan nampak biasa sahaja. Tak ada riak bosan ataupun marah.

“Dah habis tengok buku ke?” tanya Juan.

“Dah,” jawab Annur.

Kalau dia datang seorang, duduk sehari suntuk di situ pun dia tidak kisah. Tetapi sekarang, dia datang dengan Juan. Buat apa keluar bersama kalau masa dihabiskan sendiri-sendiri begitu. Mungkin lain kali sahajalah dia ke kedai buku. Dia tahu, tidak semua orang faham akan minatnya itu.

“Okey.” Juan meletakkan buku di tangannya kembali ke rak. Mereka beriringan keluar dari kedai buku itu.

“Kedai emas tak nak tengok?” soal Juan tatkala mereka melintasi sebuah kedai emas.

“Tak minatlah,” jawab Annur jujur. Dia bukan jenis perempuan yang sukakan barang kemas. Mungkin disebabkan itulah dia kurang rapat dengan rakan-rakan perempuan di tempat kerja mereka. Minat tak sama. Jika mereka suka bersembang tentang mekap, barang kemas dan beg tangan, dia pula suka buku dan filem.

“Aku nak tengok baju kejap, boleh?” tanya Juan ketika mereka melewati sebuah kedai pakaian.

Kalau tadi Juan sanggup menemaninya ke kedai buku, sudah tentulah dia pun tidak kisah untuk menemani lelaki itu masuk ke kedai pakaian itu. Dia membiarkan Juan memilih pakaian sendirian sementara dia mencuci mata melihat pakaian-pakaian yang dipamerkan di situ.

“Annur!”

Sedang dia leka membelek pakaian di situ, dia terdengar Juan memanggil namanya. Dia memandang ke arah Juan. Lelaki itu menggamitnya supaya datang mendekat.

“Okey tak baju ni?” soal Juan sambil menggayakan sehelai baju-T.

“Okey. Nampak sesuai dengan kau,”  komennya.

“Betul?”

“Ya.”

“Saya ambil yang inilah,” Juan memberitahu jurujual yang dari tadi setia melayaninya.

Jurujual itu tersenyum melihat gelagat mereka. Pasti jurujual itu menyangka bahawa mereka merupakan sepasang kekasih. Sudahlah baju mereka sedondon. Tetapi tanggapan jurujual itu tidak perlu diambil peduli lantaran jurujual itu tiada kena-mengena dengan hidup mereka.

“Aku salin baju kejap,” ujar Juan sebelum menghilang bersama jurujual itu.

 

10 MINIT sebelum tayangan bermula, mereka kembali semula ke panggung wayang selepas menunaikan solat asar. Mujur ada Juan yang mengingatkannya tentang waktu solat. Kalau tidak, dia pun leka dengan masa.

“Nak beli popcorn?” soal Juan.

Annur menggeleng.

“Air pun tak nak?”

Geleng lagi. Biasanya memang dia suka membeli minuman dan bertih jagung ketika menonton wayang, tetapi kali ini dia tidak rasa hendak makan atau minum. Dia sendiri tahu dia takkan habis makan. Jadi, daripada membazir, lebih baik tidak payah beli.

“Kita duduk situlah.”

Annur mengikut Juan dan melabuhkan punggung di salah sebuah bangku di situ sementara menunggu nombor panggung mereka menonton dipanggil.

“Kau layan cerita hantu?” Juan bertanya apabila skrin di luar panggung itu menayangkan sedutan sebuah filem seram.

“Kalau sorang, tak beranilah,” Annur tayang sengih. Kalau boleh, dia memang elakkan menonton cerita seram. Takut terbawa-bawa dalam tidur. Pernah dia menonton cerita seram Indonesia, sampai terbayang-bayang hantu itu muncul di rumahnya ketika dia berada seorang diri. Selepas itu, taubat dia tidak mahu menonton cerita hantu lagi!

“Orang kata cerita ni seram betul,” Juan memberitahu. 

Annur ikut melihat pada skrin tersebut.

“Lain kali kita tengok cerita ni pula, nak?”

Lain kali? Kalau diikutkan, ini bukanlah kali pertama dia keluar dengan Juan memandangkan dulu pun mereka sudah pernah keluar bersama, tetapi biasanya mereka keluar bersama rakan-rakan sekerja yang lain. Sekarang, semua rakan mereka itu sudah berkahwin. Jadi, tinggal mereka berdua sahajalah yang solo.

Err...” Sedang otaknya ligat menyusun ayat, tiba-tiba kedengaran nama mereka dipanggil oleh seseorang.

“Juan! Annur!”

Serentak mereka memandang ke arah suara itu. Kelihatan tiga orang gadis yang sangat mereka kenali sedang melambai-lambai riang ke arah mereka. Seakan-akan teruja dapat berjumpa dengan mereka di situ.

‘Aduh! Macam mana pula mereka bertiga boleh berada dekat sini?’

Annur cuak apabila melihat Shafira, Zairyn dan Miza menghampiri mereka. Dia memandang Juan tetapi Juan nampak tenang-tenang sahaja.

“Buat macam biasa aje,” bisik Juan.

Kalau dia buat-buat tak nampak, boleh tak?

“Wah, tak sangka jumpa kau orang kat sini! Ini ke kawan yang kau cakapkan tadi?” usik Shafira.

Soalan Shafira itu terasa seperti menyindirnya. Tambahan pula, dia dan Juan  masih memakai pakaian yang sama ketika menghadiri kenduri kahwin Yanti tadi. Namun, dia dan Juan kedua-duanya memilih untuk tidak menjawab soalan itu.

“Kau orang berdua aje ke?” soal Zairyn pula manakala Miza pula hanya memerhati.

“Eh, kau ni Zai! Nama pun dating, mestilah berdua,” Shafira mencelah sambil tersengih-sengih. Seakan-akan bangga kerana dapat menangkap mereka sedang berjanji temu.

“Maknanya betullah kau orang bercinta ya?” Zairyn bertanya, ingin tahu.

Annur dan Juan berbalas pandangan. Entah gosip apa yang sedang bertebaran tentang mereka berdua.

“Kau orang tengok cerita apa? Mesti cerita cinta, kan?” tebak Shafira.

“Taklah. Kita orang tengok cerita ni,” jawab Annur sambil menunjuk ke arah poster di situ.

“Cerita kartun? Apa kau ni, Juan? Tak romantik langsung!” ujar Shafira kepada Juan.

“Kalau tak, dah satu panggung dah kita,” Zairyn pula mencelah.

“Eh, nantilah kita sembang. Wayang dah nak mula tu,” Juan memberi alasan untuk lari daripada mereka. Bukan boleh dilayan sangat si Shafira dan Zairyn ini. Habis semua benda mereka korek nanti.

Juan memberi isyarat supaya Annur berjalan ke arah pintu masuk panggung. Annur menurut. Namun, dia sudah tiada hati mahu menonton wayang. Dia lebih memikirkan tentang pertemuan mereka dengan Shafira, Zairyn dan Miza itu.

Kalau Miza, dia tidak kisah sangat kerana Miza memang seorang yang pendiam. Tapi kalau Shafira dan Zairyn, alamatnya kejadian terserempak itu akan diketahui oleh rakan-rakan sekerja mereka yang lain.

Habislah esok, mesti kecoh di pejabat!

 

**BERMINAT? Boleh hubungi/WhatsApp no ini : 011-40049752 (Admin Nina) /

: 019-3729676 (Admin Shida)

 

No comments:

Post a Comment