DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Friday 1 April 2022

Penakluk Hati Abang Jambang - Bab 9


“AWAK ni ke budak yang nama Fatehah tu?” Lontaran suara Iftitah kedengaran tegang. Renungan tajam matanya memang tunjuk rasa tidak puas hati. Angin marah seakan menguasai diri. Namun hakikatnya sewaktu Fatehah masuk ke bilik pejabatnya tadi, perasaannya berdebar tak tentu arah. Tak tahu kenapa. Tetapi, dia cuba abaikan saja.

Err... ya saya, Encik Iftitah. Saya Fatehah,” tergagap-gagap juga dia jadinya apabila terpaksa berhadapan dengan lelaki ini. Nampaknya ini kali kedua dia masuk ke bilik itu.

Tatkala Tasya datang memanggilnya tadi, dia sudah tak senang duduk. Mengapa lelaki itu memanggilnya? Dia teringat perbualannya dengan Tasya sebentar tadi.

“Ada hal apa ya Cik Tasya? Kenapa saya pula yang kena panggil?” sempat juga Fatehah bertanya tatkala gadis itu datang ke mejanya. Manalah tahu dia boleh bersedia lebih awal jika disoal jawab.

“I don’t know. Sendiri buat, sendirilah tanggung. Dah, pergi. Karang I pula yang kena.” Hanya itu yang dijawab Tasya sebelum berlalu meninggalkan dirinya terkontang-kanting. Apa yang pasti, dia perasan jelingan dan senyum sinis gadis itu.

Fatehah tundukkan wajah. Tidak mampu rasanya mahu terus mengangkat kepala menghadap wajah kacak yang masam mencuka itu. Debar di dada kini sangat menyeksakan. Tubuh pula rasa seram sejuk. Dia masih tidak tahu alasan apa yang membawanya ke sini. Berkenaan laporan yang dia buatkah? Kalau silap, memang terpaksalah dia menerima teguran daripada bosnya ini.

Fatehah menarik nafas dalam dan menghembusnya perlahan-lahan. Dia tidak mahu lelaki ini melihatnya gelabah. Kedua-dua telapak tangannya sudah berpeluh.

“Awak tahu sebab apa awak kena panggil ke sini?” soal Iftitah. Tangannya bersilang ke dada sambil menyandar di kerusi empuknya dengan gaya megah.

Fatehah menggeleng.

“Boleh awak jawab fasal kertas ni?”

Kertas ronyok berwarna merah jambu kini dicampak di atas meja di hadapan si gadis. Fatehah tersentak. Dia mendekati meja itu dan mengambil kertas yang telah ronyok lalu dibaca isi tulisannya. Hanya sekadar dibaca di dalam hati. Matanya terus membulat.

“Saya nak awak baca apa yang tertulis atas kertas tu.” Fatehah telan liur. Wajah Iftitah dipandang.

“Tengok saya kenapa? Saya kata baca!” Fatehah terkejut apabila dijerkah begitu.

“Baca!” Iftitah menghentak meja.

“Saya suka awak, Encik Iftitah.” Fatehah terus laju membaca. Namun perlahan sahaja suaranya.

“Kuat sikit!”

“Saya suka awak, Encik Iftitah.” Kini suara Fatehah lebih kuat berbanding tadi.

Once more! Baca sambil pandang saya.”

Gulp! Rasa kering tekak Fatehah mendengar arahan yang tak masuk akal itu. “Saya... saya...” Memang rasa tak terkeluar suara apabila memandang wajah yang mencuka itu.

“Awak dengar tak arahan saya!” Sekali lagi suara itu menerjah tajam ke pendengaran.

“Ya... ya... saya dengar.” Fatehah membetulkan kedudukan cermin mata di puncak hidung. Nafasnya ditarik dalam cuba mencari sedikit kelegaan. Seperti yang diarah, terpaksa juga dia mengulang baca ayat yang tertulis sambil matanya memandang wajah ketat dan tegang di hadapannya.

“Saya... suka awak, Encik Iftitah.” Ton suara Fatehah lembut sahaja.

Iftitah memandang gadis yang tertunduk. “Saya nak cakap ni, tolong pandang saya!”

Mendengar suara itu segera Fatehah angkat wajah.

“Sekarang ni saya nak awak jelaskan apa tujuan sebenar awak tulis memo tu dan beri kepada saya. Awak nak tackle hati saya ke?” Renungan mata Iftitah menyambar mata bundar di sebalik cermin mata itu. Fatehah menggeleng.

“Jawab dengan suara!”

“Maaf, Encik Iftitah. Ni bukan saya yang tulis. Saya tak tahu apa-apa.” Sedaya upaya Fatehah bersuara untuk memberi penjelasan.

“Jangan nak menipu!” Iftitah tepuk meja dengan kuat. Berdentum bunyinya. Terjongket bahu Fatehah kerana terperanjat.

“Saya... saya cakap betul, Encik Iftitah. Ni bukan tulisan saya. Nampak hampir sama, tapi bukan saya yang tulis. Tulisan saya tak bulat-bulat sangat macam ni.” Berani juga Fatehah menjawab walau dalam takut-takut. Sememangnya bentuk tulisan yang tertulis itu berbentuk sedikit bulat. Tidak sama seperti tulisannya.

“Berani betul awak menjawab depan saya ya!” Anak mata Iftitah mencerlung memandang wajah si gadis.

“Saya tak bermaksud melawan encik. Saya cakap yang benar. Lagipun saya memang tak suka dekat encik. Takkan saya nak tulis macam ni. Sumpah!” Fatehah mengangkat tangan kanannya separas bahu, bukti dia bersumpah.

“Jadi, awak tak suka saya?”

“Tak.” Fatehah menjawab sambil menggeleng kepala.

Iftitah terdiam sambil hembus nafas kasar. Matanya masih merenung wajah si gadis yang bercermin mata.

“Sebab apa awak tak suka saya?”

Kini giliran Fatehah pula terdiam. Terkelu untuk menjawab soalan itu.

“Saya tanya sebab apa awak tak suka saya?” ulang Iftitah. “Jawab!” jerkahnya.

Diaorang kata encik ni garang.” Keluar juga ayat dari mulut Fatehah. Jujur dan berani.

“Garang? Saya ni garang ke?” Renungan tajam Iftitah masih tidak berganjak pada seraut wajah cuak pekerjanya ini.

Fatehah jongket bahu.

“Jadi, awak dengar orang lain cakap saya ni garang, awak pun tak suka sayalah.”

Fatehah diam lagi. Tidak tahu nak menjawab. Hanya terpaksa telan liur sendiri sambil kepala kembali tertunduk menekur lantai. Sedih rasa hati. Apalah nasib. Baru seminggu masuk kerja, dah kena marah-marah dengan bos sendiri. Rasa nak menitik juga air matanya saat ini. Namun ditahan sahaja. Dia tidak mahu dilihat cengeng oleh lelaki ini.

Suasana jadi sepi.

Iftitah hela nafas kasar. Ditenangkan diri seketika. Kemudian dia mengambil kertas memo pelbagai warna di dalam laci mejanya lalu ditolak ke hadapan Fatehah. Fatehah hanya memandang. Keliru.

“Okey. Kalau awak kata tu bukan tulisan awak, tak apa. Saya nak awak buktikan. Saya nak awak tulis semula ayat tu pada kertas yang saya beri ni. Nah, pen. Tulis sekarang. Dekat depan saya.”

“Saya cuma nak pastikan bentuk tulisan awak. Satu perkara saya nak ingatkan awak. Jangan cuba tipu tulisan awak. Kalau awak cuba menipu, siaplah. Tahulah saya nak hukum awak!” tambah Iftitah lagi.

Fatehah mengangguk. Nampaknya lelaki ini serius. Siapakah yang cuba menganiaya dirinya dengan cara sebegini? Adakah orang itu Cik Tasya? Atau mungkin Kak Nori? Yalah. Kak Nori kan setiausaha lelaki itu. Pastinya fail itu diterima Kak Nori dahulu sebelum diserahkan kepada bosnya.

“Apa berangan lagi. Tulis!”

Err... boleh saya duduk?” pinta Fatehah. Lagipun takkan dia nak tulis sambil berdiri.

“Duduklah.” Iftitah mengizinkan walaupun nada bicaranya tidak mesra.

Fatehah melabuhkan punggung di atas kerusi berhadapan dengan lelaki ini. Hanya meja menjadi pemisah mereka berdua. Dalam perasaan yang tidak tenang, dia mengambil jua kertas memo berwarna merah jambu itu berserta pen yang telah disediakan untuknya. Dia terpaksa juga menulis apa yang dikehendaki lelaki itu.

‘Saya suka awak, Encik Iftitah. Aduhai... macam tulis memo cinta pula. Suruhlah tulis ayat lain. Bukan tak boleh pun,’ desis hatinya.

Helaian pertama kertas yang ditulis diserahkan kepada lelaki ini. Iftitah melihat tulisan sebenar milik Fatehah. Dia cuba membandingkan dengan tulisan di atas kertas ronyok berwarna merah jambu tersebut.

“Tulis lagi. Ingat. Jangan cuba tipu tulisan awak!”

Fatehah akur. Ditulis lagi dan diserahkan kepada lelaki itu. Iftitah terus membuat perbandingan.

“Lagi.”

Fatehah menurut sahaja. Setelah ditulis, kertasnya kembali dihulurkan.

Pandangan mata mereka bertaut untuk seketika. “Kenapa pandang saya? Tulislah lagi. Pastikan setiap helaian kertas tu awak tulis ayat yang sama.” Nada itu serius sahaja dengan roman wajah yang langsung tidak terlorek senyum.

“Semua ni ke encik?” Fatehah menunjukkan kertas memo yang agak tebal, tetapi tidak tahu berapa helai.

“Ya. Semua tu. Sekarang ni saya ada kerja nak buat, jadi saya buat kerja saya dan awak siapkan benda tu. Lepas ni saya nak semak satu per satu.” Kini tangan Iftitah beralih kepada papan kekunci laptopnya.

“Kalau macam tu saya buat dekat tempat saya ajelah encik. Saya tak nak ganggu kerja encik.”

“Tak payahlah nak balik tempat awak tu. Buat aje dekat sini. Tak hadap pun saya kalau awak ada dekat depan ni.” Sinis benar bicara itu dengan muka tanpa secalit senyum.

Fatehah akur. ‘Berlagak! Patutlah orang tak suka dia. Garang campur berlagak. Gagak! Pakai pula kot hitam. Memang gagak hitamlah. Memang gelaran Gagak Hitam tu sesuai sangat untuk kau. Hmm... tapi itulah. Memang tak sangka dia ni Abang Jambang Hensem yang selalu beli cempedak di gerai abah tu. Berbeza sangat personalitinya. Sebab sebelum ni nampak dia ramah mesra, tak sombong walaupun kaya, sekarang ni, aduhai... menyakitkan hati pula rasanya,’ bebelnya dalam hati.

Sebelum ni Fatehah cuba meyakini hatinya bahawa wajah itu hanya pelanduk dua serupa. Mungkin adik-beradik kut. Tapi sekarang ni memang tidak syak lagi. Memang dia yakin lelaki ini memang orang yang sama walaupun kini tidak mengenakan kaca mata hitamnya. Sebabnya, dia terlihat jelas tanda tahi lalat di cuping telinga lelaki ini. Tak mungkin hanya kebetulan. Begitu juga dengan gaya rambut. Memang persis si Abang Jambang Hensem yang dia kenal.

Fatehah terus laju menulis. Cepat siap, cepatlah dia keluar dari bilik itu.

“Jangan tulis cincai-cincai. Awak nak cepat nak ke mana? Selagi saya tak benarkan awak keluar dari bilik ni, selagi itulah awak kena duduk sini. Faham!”

Fatehah menelan liur. ‘Habis tu kalau nak terkucil macam mana? Dahlah aircond dekat dalam bilik ni sejuk semacam. Rasa sejuk dah sampai ke tulang dah ni. Dia tak sejuk ke? Hmm... agaknya orang yang berhati panas ni, haba terpendamnya lebih kut,’ desis hatinya.

“Berangan apa? Tulislah!”

Aisehmen... dia duk perhati aku rupanya. Sambil buat kerja, rupanya mata tu sempat menjeling,’ detik hatinya.

Fatehah meneruskan kerja menulis ‘memo cinta’ untuk bosnya itu. Job paling win di abad ini. Sesekali dia berhenti menulis. Rasa lenguh juga jari-jemari walaupun ayat tersebut tak panjang mana pun.

‘Ni kalau tulis sampai 44 kali, mahu makbul doa aku suka dekat dia ni. Huh! Tak ingin aku nak suka dia. Siapalah yang aniaya aku ni? Terpaksa aku buat kerja bodoh macam ni. Dahlah baru masuk kerja. Kalau abah tahu ni, mampus!’

 

**BERMINAT? Boleh hubungi/WhatsApp no ini : 011-40049752 (Admin Nina) /

: 019-3729676 (Admin Shida)

 

No comments:

Post a Comment