DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Friday, 1 April 2022

Penakluk Hati Abang Jambang - Epilog


IFTITAH sedang menikmati hidangannya di Aza Cafe, sambil itu jari telunjuknya sesekali menyentuh dan menatal gambar di skrin iPhone. Sekadar menilik gambar-gambar yang sedia ada. Tak ada yang menarik. Kalau ada gambar kekasih hati, mungkin boleh buat dia tersenyum sendiri. Malangnya dia masih single and available. Hatinya masih belum terbuka untuk mencuri hati mana-mana gadis mahupun janda. Kalau perempuan yang nak curi hatinya memang ada. Tapi pintu hatinya tak terbuka langsung. Dia tahu suatu masa nanti pasti akan ada juga seseorang yang mampu membuka pintu hatinya yang masih berkunci dan bermangga tembaga itu.

IPhone keluaran terbaharu itu kembali diletakkan di sisi meja. Hidangan lamb chop yang masih berbaki disuap ke dalam mulut. Setiap kali datang ke kafe itu pasti itulah hidangan yang dipilih untuk dinikmati. Memang kena dengan tekak dan cita rasanya.

Tidak lama kemudian, muncul dua orang gadis lalu duduk di sebelah mejanya. Kedengaran mereka juga meminta hidangan yang sama dan mula berbual. Gegendang telinga Iftitah mendengar saja celoteh kedua-dua gadis itu. Sambil makan sambil pasang telinga. Mana tahu ada topik atau isu-isu semasa yang mungkin dia ketinggalan keretapi.

“Kak, handsome kan mamat berjambang yang kita nampak tadi tu. Badan sado.” Si gadis berbaju biru itu mula membuka topik.

“Huh, setakat handsome tapi muka ketat buat apa! Tu kalau nak tackle awek mesti tak pass-pass. Mesti si awek tu menyampah gila dengan muka ketat dia tu. Kalau aku, nak aje aku lastik muka dia macam lastik burung gagak dulu-dulu tu. Piungg... padu kena setepek!” Gadis baju pink pula menyambung kata lalu disambut tawa oleh temannya.

“Ehem...” Iftitah pura-pura betulkan suara sendiri. Sebenarnya dia terasa seperti disindir kerana dia sendiri termasuk dalam kategori jejaka handsome berjambang dan berwajah ketat.

“Tapi kalau mamat handsome muka ketat tu jadi laki kau kak, mahunya kau tak sanggup nak lastik kan?”

“Kalau jadi laki aku, confirmlah aku cubit-cubit manja aje. Gila kau nak lastik. Cedera parah nanti. Kalau nak panggil pun aku panggil manja-manja aje. Abang Jambang Hensem. Haa.. gitew.” Ketawa kedua-dua orang gadis itu akhirnya berpadu. Namun masih terjaga lantunan suaranya.

Bibir Iftitah merekah senyum. Terasa lucu mendengar seloroh gadis berbaju merah jambu itu. Sesaat kemudian, senyumannya mati. Sempat dipandang dua orang gadis yang sedang ketawa itu. Kebetulan juga si gadis berbaju merah jambu itu menoleh kepadanya.

Sesaat...

2.saat...

3.saat...

Si gadis berbaju pink itu kembali fokus kepada si gadis berbaju biru di hadapannya. Terus diletakkan jari telunjuk di bibir sebagai isyarat menyuruh si empunya diri diam. Mungkin tersedar yang bicara mereka tadi menyindir ‘Abang Jambang Hensem’ di sebelah meja itu walaupun apa yang mereka bualkan tadi tiada kaitan langsung dengan lelaki itu. Mereka sibuk bualkan tadi adalah berkait dengan lelaki yang mereka jumpa di HM tadi. Tersenggol bahu sikit aje, tapi dia punya jeling maut, perghh... dahlah tayang muka ketat. Keluar pula ayat pedas. Macam luak sangatlah bahu yang kena senggol tu. Handsome memanglah handsome, tapi lagaknya tu... haih... buat panas hati ajelah.

Melihat tingkah si kakak, automatik si adik pula menoleh untuk mencuri pandang lelaki yang berada di meja sebelah itu. Terkesima dia sekejap. Kembali  melihat kepada wajah si kakak, dia angguk kepala laju-laju seolah-olah mengerti mengapa kakaknya bersikap begitu.

“Itulah, kak. Cakap siang pandang-pandang. Kesian orang sebelah tu. Terasa kut.”

Suara yang berdesir perlahan itu tetap dapat didengar oleh Iftitah.

“Huhu... malu aku.” Terus si gadis pandang ke arah lain sambil tangan kirinya diletakkan di tepi kepala, cuba menghalang wajah dari terus menjadi perhatian.

Iftitah yang melihat gelagat si gadis menguntum senyum. Macam comel pula dia tengok. Acah-acah malu itu nampak sweet.

IPhone yang berbunyi segera diambil. Panggilan yang diterima terus dijawab. Nada suaranya serius sahaja. Setelah talian dimatikan, telefon pintar itu terus disimpan ke dalam poket. Baki limau ais yang tinggal terus disedut sehingga habis.

Tatkala dia bangun untuk pergi, hidangan untuk kedua-dua gadis di meja sebelahnya itu baru tiba. Sempat dilirik pandangan kepada si gadis berbaju merah jambu itu sebelum berlalu.

Sewaktu membayar harga hidangannya di kaunter, sengaja dibayarkan juga untuk dua orang gadis itu. Sesekali belanja, apa salahnya. Umpama sagu hati untuk mereka. Sebabnya ada sesuatu yang boleh diambil dari sindiran tak sengaja si gadis tadi.

“Nak tackle awek jangan tayang muka ketat sangat der. Nanti awek tak suka.”

Terngiang-ngiang perbualan gadis itu di pendengaran Iftitah.

Berlalu dari kafe, terus dia masuk ke dalam perut kereta Audinya dan memandu pergi.

Sampai waktunya kedua-dua gadis itu ingin membayar harga makanan mereka, si jejaka penjaga kaunter memberitahu bahawa hidangan mereka telah dibayar.

“Siapa yang bayar?” soal si gadis berbaju merah jambu.

“Lelaki berjambang yang duduk di sebelah meja awak berdua tadi tu,” beritahu pekerja itu.

“Hah?” Kedua-dua gadis itu tercengang. Maksudnya si Abang Jambang tulah kan.

“Anggap ajelah rezeki kita kak,” ujar si gadis berbaju biru.

Si gadis berbaju merah jambu hanya mengangguk. Harapnya suatu hari nanti dia dapat bertemu dengan empunya diri. 3 saat itu ternyata tidak cukup untuk dia mengingat secara jelas gambaran wajah itu. Cuma yang dia ingat wajah itu memang kacak walau bibir itu tidak terlorek segaris senyuman.

No comments:

Post a Comment