DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Friday 1 April 2022

Penakluk Hati Abang Jambang - Bab 5


“SELAMAT pagi. Saya Fatehah binti Abdul Fattah. Saya datang untuk melapor diri. Saya perlu berjumpa dengan siapa ya, cik? Ni surat tawaran yang saya dah print.” Fatehah menyerahkan surat yang dimaksudkan kepada wanita penjaga kaunter penyambut tetamu di lobi pejabat yang bernama Wany. Itu pun setelah dia tilik tanda nama yang dipakai oleh Wany.

“Sebentar ya. Cik boleh duduk dulu.” Wanita itu mempersilakan dia duduk dan kemudian meninggalkan dirinya sebentar. Beberapa waktu kemudian wanita itu kembali datang kepadanya.

“Cik Fatehah, cik boleh ikut cik yang berbaju merah tu ya.” Wany menunjukkan arah yang dimaksudkan. Kelihatan wanita yang ditunjuk Wany itu berfizikal tinggi ala-ala model. Di samping itu, si gadis mengenakan blaus berwarna merah dengan skirt separas lutut, menampakkan karisma si pemakai. Setelah mengucapkan terima kasih, Fatehah bangun dan membetulkan penampilannya. Fuh, berdebar betul rasa!

“Hei, you. Come here!” Gadis itu sudah memanggil. Air mukanya kelihatan agak serius dan suaranya juga lantang.

“Cik Fatehah, cepat. Cik Tasya Andar panggil tu. Dia tu jenis tak suka orang lambat,” bisik Wany.

“Oh, okey. Err... apa nama dia tadi? Saya tak berapa dengar,” tanya Fatehah.

“Cik Tasya Andar,” ulang Wany dengan senyuman.

Fatehah berjalan mendapatkan Cik Tasya Andar. Langkah gadis itu dibuntuti laju menuju ke arah pintu lif. Butang lif ditekan dan sekejap saja pintu terbuka. Lalu mereka berdua masuk ke dalamnya. Melihat gadis itu berdiam diri, Fatehah juga turut mengunci bicara. Tak reti pula nak berbual dalam keadaan begitu.

“You kerja di tingkat 4. Sekarang ni you kena lapor diri ke bahagian Sumber Manusia di tingkat 3.” Suara si gadis bernada serius sambil gayanya memeluk tubuh. Fatehah hanya mengangguk tanda faham. Aduhai... serius semacam pula dia ini. Mesti cerewet. Tidak lama kemudian, mereka sampai ke tingkat tiga. Pintu lif kembali terbuka dan Fatehah membuntuti langkah Cik Tasya menuju ke ruangan pejabat itu.

‘Wah, cantiknya pejabat ni!’ puji Fatehah dalam hati apabila matanya melilau melihat sekitar pejabat itu. Suasananya pula nyaman. Wangi.

“Hei, you tengok apa tu? I dekat sini tunggu you!” terkejut Fatehah dibuatnya apabila ditegur dengan nada suara yang agak kurang menyenangkan. Segera diatur laju langkah kakinya mendapatkan gadis ala model itu yang sudah jauh ke depan. Mungkin dia tercicir sebab terleka melihat itu dan ini.

Salah satu yang dia tengok ialah carta organisasi syarikat. Tiba-tiba dia teringatkan nama Iftitah. Nama yang sebelum ini disebut wakil syarikat itu ketika menelefonnya. Nama itu agak unik. Lagilah apabila dia dikatakan adik si Iftitah tu. Atas sebab apa? Nama bapa sama ke? Kalau betul syok juga kalau dapat bertemu orangnya. Bolehlah panggil abang. Tapi itulah, tak sempat pun dia nak tilik lama dah kena panggil. Aduhai... Teha. Belum mula kerja dah berangan lebih.

“Maaf, Cik Tasya Andar. Saya tak sengaja.”

What? You panggil I apa?” Terus tubuh gadis itu berpaling dengan pakej ton suara yang sedikit meninggi.

“Cik Tasya Andar.” Fatehah mengulang jawapannya.

Tiba-tiba Tasya menunjal dahi Fatehah. Dek kerana itu tubuh Fatehah sedikit terdorong ke belakang. Mujurlah dia tak terjatuh. Terbayang juga andai tika ini dia pakai kasut tumit 5 inci, mahunya dah tergolek dekat sini.

“You jangan kurang ajar dengan I! Tolong hormat sikit!”

Gulp! Fatehah telan liur kesat. Apa hal? Fatehah tidak mengerti. Tiba-tiba dahinya ditunjal sebegitu rupa. Di hadapan pekerja lain pula tu. Tebal juga mukanya menahan malu. Kelihatan mereka yang ada di situ tersenyum-senyum melihat dirinya dilayan sebegitu. Apabila Cik Tasya memandang mereka, segera mereka mematikan senyum. Muka macam takut. Terus kembali fokus membuat kerja. Kenapa semua orang macam takut dekat dia ni? Garang ke? Ke gila kuasa? Apa yang pasti, persoalan dahinya ditunjal kekal tidak berjawab.

“You. Come here!” Si gadis sudah berpeluk tubuh. Aduh, lagaknya sama seperti dalam lif tadi. “Ni bahagian Sumber Manusia. Pergi jumpa Encik Nazam. Selesaikan urusan you dengan dia. Lepas tu naik tingkat atas jumpa I.”

Arahan yang diberi diterima sebaiknya. “Ba... baik. Terima kasih, Cik Tasya.”

Setelah itu, Tasya meninggalkannya. Terus dia bertemu muka dengan Encik Nazam untuk menyelesaikan urusan yang sepatutnya. Kedatangannya disambut mesra. Lelaki itu kemudiannya menyerahkan surat penerimaan jawatan dan meminta Fatehah membacanya terlebih dahulu sebelum menurunkan tandatangan. Dibuka juga ruang Q & A kepada Fatehah jika ada sebarang persoalan yang perlu dijawab.

Setelah menandatangani surat setuju terima, lalu surat itu kembali diserahkan kepada Encik Nazam.

“Okey. Selamat bekerja di IE, Cik Fatehah. Semoga komited menjadi sebahagian daripada keluarga IE,” ujar lelaki itu bersama senyuman.

“Terima kasih, Encik Nazam.” Fatehah turut mengukir senyum. Alhamdulillah. Lega rasanya. Dia kemudian meminta diri.

Kini dia harus bertemu Tasya. Kebetulan dia terlihat gadis itu masih ada di ruangan sekitar itu sedang berbual dengan seseorang. Mungkin ada sesi perbincangan tidak rasmi di situ. Maka, dia segera mendapatkan empunya diri dan memberitahu bahawa urusannya dengan Encik Nazam telah pun selesai.

Fatehah kembali membuntuti langkah gadis itu. Pastinya ke tingkat 4 di mana dia akan ditempatkan bekerja. Masuk ke ruangan di tingkat 4 itu, ia lebih membuatkan Fatehah teruja. Leka membelek segenap ruang, namanya diseru Cik Tasya.

“Hei! Apa lagi yang you jalan terkedek-kedek tu? Tempat you dekat sebelah sini. Nak kerja dekat sini jangan nak main-main!”

Terus laju langkah Fatehah mendapatkan gadis itu. Sebuah work station kosong ditunjukkan kepadanya.

‘Hesy. Garangnya Cik Tasya ni. Relakslah kak oii. Saya budak baharu kut. Cakap lembut-lembut sudahlah,’ detik hatinya.

Fatehah datang mendekat. Fail peribadi dan beg tangannya sudah diletakkan di atas meja. Kerusinya juga sudah ditarik untuk melabuhkan punggung. Namun, belum pun sempat dia berbuat demikian, suara tajam berbisa Cik Tasya sudah kedengaran.

“Hei! I dah tunjuk meja you, you tak reti nak ucap terima kasih ke?”

Omak hai... berlagaknya cik kak sorang ni,’ bisik hatinya.

“Oh, ya. Terima kasih, Cik Tasya Andar.”

Damn you!” Dahi Fatehah ditunjal buat kali kedua. Kali ini lebih kuat sehingga dia terduduk di atas kerusi yang sudah ditarik tadi. Selamatlah atas kerusi, kalau terduduk di lantai, huhu... mahunya dia tanggung malu sebulan dengan mereka yang menyaksikan drama sebabak itu.

‘Dah ucap terima kasih pun kena tunjal juga ke? Aneh-aneh ajelah cik kak sorang ni. Tak faham aku,’ detik Fatehah dalam hati.

“Jaga sikit mulut you tu kalau you nak kerja lama dekat sini. Faham?” Tasya dilihat terus menonong pergi. Fatehah angguk saja. Buat-buat faham sajalah.

Fatehah memandang staf lelaki di sebelah work stationnya. Senyuman perkenalan dihulurkan. “Assalamualaikum. Saya Fatehah,” sapa Fatehah. Terpaksa dia tahan malu atas kes tunjal kepala yang berlaku tadi.

Waalaikumussalam. Hai, saya Roselly. Salam kenal.” Lelaki di sebelahnya membalas mesra dengan gaya favouritenya. Oh, lembut rupanya. Siap ada gaya lagi tangannya itu. Lambai-lambai comel macam sotong.

Amboi mak, ramah benar si Roselly. Bila borak, macam dah kenal lama. Padahal baru bertentang mata sesaat.

“Kenapa you panggil dia Cik Tasya Andar?” Roselly bertanya dengan lenggok suaranya sambil berbisik.

“Laa... bukan tu nama dia ke?”

“You nak tau sebab apa dia tunjal kepala you?” Dia melihat apa yang berlaku tadi walaupun cuba buat-buat tak nampak apabila Tasya ada di situ.

Fatehah menggeleng.

“You dah buat dia marah tau. Sebenarnya...” Roselly berbisik kepada Fatehah.

Fatehah terdiam dan membulat mata apabila mendengar apa yang diperkatakan oleh Roselly. Patutlah kena tunjal. 2 kali pula tu. Andar tu rupanya Andartu. Patutlah marah benar cik kak tadi tu. Ingatkan itu memang nama dia.

“Siapa yang beritahu you part Andar tu?”

“Wany yang jaga kaunter bawah tu.”

“Kenapalah dia dengki dengan you. Tak baik tau. Lepas ni you kena berhati-hati ya bila cakap dengan Cik Tasya tu. Jangan terlepas cakap part andartu. Dia memang sensitif.” Kecewa Roselly dengan sikap Wany terhadap Fatehah yang baru melaporkan diri di sini.

Fatehah mengangguk. Kalau dia tahu Andar itu merujuk kepada perkataan andartu, memang tidaklah dia jahat mulut menyebutnya. Tapi dalam kes ini, dia memang tidak tahu. Eee... jahat betullah Wany tu. Mentang-mentang dirinya budak baharu, sengaja biar dia dimarahi. Terbuku juga rasa marah di hati Fatehah dengan sikap tidak profesional wanita itu.

Daripada kisah Cik Tasya Andar, Roselly buka cerita pula berkenaan bos mereka. “Kalau you nak tahu, bos kita namanya Iftitah bin Abdul Fattah.”

“Iftitah bin Abdul Fattah?” Fatehah berkerut dahi apabila sebaris nama itu disebut.

“Kenapa? Kenal ke?”

“Oh, tak adalah. Tak kenal pun. Cuma hari tu masa Encik Nazam call saya, dia tanya saya ni adik Encik Iftitah ke? Saya memang kata taklah. Saya fikir juga sebabnya. Rupanya betul sebab nama bapa tu sama. Sebenarnya saya cuba tilik juga kat carta organisasi tadi cari nama dia. Tak sangkalah pula orang yang dimaksudkan tu sebenarnya orang penting syarikat ni.”

“Oh, gitu ke. Sekarang ni you tak kenal dia lagi. Biar I beritahu you serba sedikit berkenaan bos kita ni. Yang paling utama dia ni, handsome. Bujang lagi. Kalau you tengok mesti you pun jatuh hati tau.”

Fatehah hanya tersenyum. Tahap handsome macam mana tu? Agak-agak ada tak sehandsome Abang Jambang Hensem peminat cempedak goreng di gerai abahnya itu?

“Cuma itulah. Dia ni kategori bos handsome muka ketat, susah sikit nak senyum,” beritahu Roselly lagi.

Fatehah angguk saja sebagai tanda memahami. Hai... memang dia tak berkenan betul kalau bab muka ketat ni walaupun muka handsome.

And then, dia ni garang juga tau.”

“Hah? Garang sangat ke?”

“Tengok mood dialah. Kadang tu okey je.”

Fatehah angguk. Biasalah tu. Ada waktu mood okey, adakalanya tidak.

But...” Roselly bersuara dengan lenggok suara dan gayanya. “I minat tau dekat dia.”

Fatehah terkebil-kebil. ‘Minat dekat lelaki? Biar betul? Jiwa songsang ke? Ya Allah! Aku mohon kepada-Mu, berikanlah taufik dan hidayah kepada kawan yang baru aku kenal ini. Jangan biarkan dia terpesong dari jalan-Mu, Ya Allah.’ Fatehah sempat berdoa dalam hati.

“Ehem... budak baharu ke?” Suara itu membuatkan Fatehah terkelu. Kasar sangat bunyinya. Apabila ditoleh kepada tuan badan yang menegur itu...

‘Alamak... mak buyung ni siapa pula? Dahlah muka tak ada senyuman langsung. Siap bercekak pinggang pula tu,’ detik Fatehah dalam hati.

Err... ya kak. Maaf puan. Saya... Fa... tehah,” tergagap-gagap Fatehah. Muka wanita ini macam nak makan orang aje. Lagi serius dari wajah Tasya. Mesti garang yang amat. Lalu tanpa disangka, wanita ini menghulurkan salam perkenalan. Fatehah menyambut tangan itu.

“Nama akak, Qistina. Panggil aje Kak Qis. Kenapa macam takut aje? Cuak ke tengok muka akak yang garang ni?” Qistina bersuara sambil memperkenalkan diri dalam suara-suara serak basahnya.

“Dah you buat muka singa, memanglah dia takut. You ni kan, tak baik tau takut-takutkan dia. Kesian dia. Dahlah tadi kena marah dengan Cik Tasya tu.” Tangan Roselly menampar lembut lengan Qistina.

Qistina tersenyum. Fatehah turut membalas senyum. Tengok muka macam nak makan orang, ingatkan tak mesra rakyat. Rupanya mesra alam.

Hailah... tiba-tiba teringatkan si Abang Jambang Hensem. Pertama kali bersua muka nampak saja serius. Susah nak senyum. Sekali esok dia datang beri senyum, fuh... terbayang-bayang terus senyumannya itu.

“Kak Qis ni saja kenakan you. Dia ni mak cik kepoh bergosip. Kalau dia ni garang macam  mak cik singa, memang tak adalah geng yang nak bergosip dengan dia. I pun lari tau.” Roselly berbicara dengan gayanya.

Fatehah turut tergelak. Nampak baik rakan sekerjanya ini. Alhamdulillah.

“Ehem.... ehem...”

Aikk... apasal semua nak ehem... ehem... aje. Tak reti beri salam ke? Ke kat sini memang amalan cara tegur dengan ucapan ehem... ehem? Pelik!’ omelnya dalam hati.

Sekali dia menoleh. Erkk... Tasya rupanya. Gadis itu siap berpeluk tubuh sambil buat muka ketat. Patutlah Kak Qis pun laju saja terus duduk di tempatnya. Rupanya Kak Qis pun takut dengan dia.

“Fatehah, jangan nak menyembang. Ikut saya!” suara tegas Tasya terus meresap ke pendengaran. Laju Fatehah angkat punggung dan membuntuti langkah gadis itu. Dia dibawa masuk ke sebuah bilik. Sepertinya ini adalah bilik mesyuarat. Di atas meja itu tersedia beberapa buah buku yang agak tebal.

“You duduk sini, khatamkan baca buku-buku ni semua. I tak nak you menyembang dengan diaorang. Faham?”

Fatehah angguk. “Err... Cik Tasya. Saya nak minta maaf pasal panggilan nama tadi tu. Saya tak tahu.” Fatehah menutur kata maaf walaupun dia tahu bukan salahnya.

Tasya tidak membalas kata, sebaliknya hanya jelingan tajam singgah ke wajah Fatehah. Dia lalu beredar pergi. Walaupun tidak mendapat respons yang diharapkan, tapi pada Fatehah dia sudah memohon maaf.

Sebelum menolak pintu bilik itu, Tasya kembali menoleh kepada Fatehah. “One more thing, 2 jam sebelum balik I nak you masuk bilik I untuk I soal apa yang you dah baca. Jadi, jangan cuba curi tulang dan tidur dalam bilik ni. Faham?”

Keluar saja Tasya dari bilik itu, Fatehah hela nafas. Harapnya bertabahlah dia bekerja dengan gadis itu.

No comments:

Post a Comment