DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Friday 1 April 2022

Penakluk Hati Abang Jambang - Bab 6


FATEHAH hanya fokus membaca buku-buku yang diberi oleh Tasya. Ngantuk satu hal. Sorang-sorang pula tu. Mujur waktu rehat tadi dia keluar bersama Qistina dan Roselly. Memang syok mendengar celoteh mereka berdua. Bukan kisah pejabat saja yang keluar, kisah artis kahwin cerai pun boleh jadi topik cerita.

Kini telefon pintarnya berbunyi. Melihat nama si pemanggil dia jadi tersenyum. Wah, Abang Jambang Hensem telefonlah! Mata yang layu terus segar jadinya. Rasanya inilah pertama kali lelaki itu menelefonnya setelah seminggu tidak muncul di gerainya.

“Gerai buka tak hari ni?” soal suara di sebalik talian.

“Buka. Tapi saya tak jaga gerai dah.”

“Laaa... kenapa?”

“Saya dah dapat kerja. Baru je mula hari ni. Jadi, mulai sekarang adik saya yang tolong jaga di gerai tu.”

Hmmm... seminggu abang pergi KL, balik sini terus tak dapat jumpa awak. Baru abang nak kenal-kenal.”

Fatehah telan liur yang terasa kelat. Nak kenal-kenal? Perasaannya jadi berdebar. Macam terasa bagai kompang dipalu mengiringi lagu Selamat Pengantin Baru.

Err... ni abang call nak oder cempedak ke?” Fatehah ubah topik bicara. Takut pula andai tiba-tiba masuk ke sesi perkenalan dari hati ke hati. Sebab nak kenal ni bukan semestinya kena bertemu muka, dalam panggilan begini pun kalau mulut tu melencong topik, jadi juga sesi perkenalan.

“Haah. Abang nak cempedak dan pisang goreng, dua-dua tu nak RM5. Abang nak ke ofis kejap. Tu yang call dulu. Balik nanti abang singgah ambil. Dalam jam 5, boleh?”

“Oh, okey boleh. Nanti saya beritahu adik saya.”

“Okey. Thanks, Dik Fa.”

Talian dimatikan. Aneh pula rasa bila mana ada debaran menyinggah. Waktu bertentang mata, tak ada pula rasa tu. Adalah sekali tu dia rasa berdebar bila mamat tu tersenyum. Tapi taklah over sangat debarnya macam sekarang ini. Ah... tiba-tiba teringat pula akan senyuman memikat lelaki itu. Haih... nampaknya tak dapatlah dia melihat senyuman Abang Jambang Hensem itu lagi.

Dia kembali menelaah buku. Difahamkan isi yang terkandung dalam buku itu sambil membuat nota ringkas. Dikerling jam di tangan, nampaknya sudah menghampiri waktu yang sepatutnya dia masuk ke bilik Tasya.

'Cik Tasya ni nampak moody aje dengan aku. Hmm... agaknya macam mana nak buat dia mood baik dengan aku ya?' detik hatinya. Sejenak itu terlintas satu idea di benaknya. Lalu dia mengambil sehelai kertas memo pad berwarna lalu menulis sesuatu di atas kertas itu. Kebetulan ada satu fail yang perlu diserahkan kepada Tasya nanti. Jadi kertas itu sengaja dilekatkan di dalam fail itu. Harapnya nanti gadis itu bacalah apa yang dia tulis.

 

Hai, Cik Tasya yang cantik, manis dan ayu. Sila beri tunjuk ajar pada saya ya. Terima kasih.

#FatehahBudakBaharu

 

Masuk ke bilik Tasya, Fatehah serahkan kembali fail yang dibawa bersamanya tadi. Namun fail itu langsung tidak berusik. Hanya dibiar di atas meja. Tasya menjalankan sesi soal jawab. Nampaknya Fatehah dapat menjawab pertanyaannya.

Soalan Tasya terhenti apabila dia terlihat kelibat seseorang lalu di luar biliknya. Fatehah turut menoleh ke arah pintu kaca itu. Kenapa kelibat seseorang itu seolah-olah sangat menarik perhatian Tasya?

“Dahlah. You boleh balik tempat you. Mulai esok you dah boleh start kerja dekat meja you tu. Tugasan pertama you nanti esok I beri.”

“Terima kasih, Cik Tasya.” Fatehah tersenyum. Rasa lega. Dia bangun lalu melangkah keluar. Pintu segera ditutup dengan berhati-hati. Namun saat berpaling, dia tidak sengaja terlanggar tubuh seseorang. “Oh... abang kau hijau!”

What?” Lelaki itu terus membuntang mata. Mata mereka bersabung pandang untuk seketika.

Sesaat...

2 saat...

3 saat…

Fatehah menelan liur. Wajah di hadapannya itu sudah merah dan mencuka. Apa tidaknya, muka handsome dikatakan hijau. Mahunya naik angin satu badan.

Err... sorry, bang. Tak sengaja.” Terus Fatehah tepuk mulutnya berkali-kali. Mengakui kesilapan.

Lelaki itu merengus kasar dan menjeling tajam sebelum berlalu pergi.

‘Aduh... apasal aku boleh termelatah abang kau hijau pula ni. Tak memasal kena jelingan maut.’

Selajur itu juga Tasya terjongol di tepi pintu. “What's wrong?”

Err... saya terlanggar lelaki tadi tu. Lelaki tu siapa ya Cik Tasya?” soal Fatehah sambil menuding jari ke arah lelaki yang sedang berjalan pergi itu. Ke mana langkah tujunya lelaki itu dia tidak pasti. Tetapi susuk tubuh itu kelihatan segak juga walau hanya dilihat dari pandangan belakang.

“You terlanggar dia? Serius? Oh, so bad! For your information, he is our boss. Iftitah namanya.”

“Hah? Bos?” Fatehah sudah pekup mulut. Apa yang pasti dia memang terkejut apabila mendapat tahu gerangan sebenar lelaki itu. Sudahlah tadi dia termelatah.

Get readylah kalau tiba-tiba dia panggil you nanti. Kalau tak kena panggil tu kira bernasib baiklah.” Tasya sudah berpeluk tubuh. Bibirnya mengherot senyum sinis.

Fatehah tertelan liur. Kenapa cara Tasya bercakap tentang lelaki itu sepertinya lelaki itu seorang yang menakutkan? Lantas dia teringat bicara Roselly tentang lelaki yang bernama Iftitah. Ah, mampus! Jangan kena panggil sudahlah.

 

“KAK, ABANG Jambang Hensem kirim salam.” Insyirah sudah melabuhkan punggung di sofa sambil menyampaikan amanah lelaki idaman Malaya yang baru dikenalinya itu. Disebabkan petang tadi dia yang menjaga gerai, maka pesanan itu dikirimkan kepadanya. Tadi ralit juga matanya memandang wajah empunya diri. Nampak macam susah nak senyum, tapi cara cakap nampak lembut dan bersopan saja.

“Oh, waalaikumussalam.” Fatehah menjawab sekadarnya sambil anak matanya ralit menonton filem Tamil yang sedang bersiaran di televisyen.

Handsome kan dia. Nampak maco dan maskulin. Fuh, body mantap!” Insyirah membuat tanda thumbs up.

Wekk! Apa benda kau merepek ni Syira oii.” Fatehah malas nak buka topik tentang Abang Jambang Hensem. Keropok ikan yang digoreng sebelum cerita bermula terus dikunyah rakus. Krap krup krap bunyinya.

“Orang kaya, kak. Dia naik BMW.”

“Tahu.”

“Dia tak sombong.”

“Tahu.”

“Amboi... semua kau tahu kak! Kau memang tahu semua tentang dia ke?”

“Tahu.”

“Oh, pakwe kau ke kak?”

“Tak.”

“Oh... ingatkan pakwe baik benar semua tahu. Next time kalau dia singgah lagi, Syira nak tanyalah dia dah berpunya belum. Kalau belum bolehlah usyar. Tak jadi pakwe, jadi abang ipar pun boleh juga.” Insyirah menyengih gatal.

Fatehah terus tersedak. “Eee... gila kau ni. Mengarut! Dahlah Syira oii. Aku nak tengok cerita ni pun tak senang,” ujar Fatehah sambil mengambil air teh O. Dia terus membasahkan tekaknya yang gatal dek tersedak tadi. Tapi entah mengapa tatkala Syira menyebut perkataan abang ipar, dia terasa debar yang dekat dalam tu mula berirama Dum Dum Cak. Memang kacau jiwa betullah ayat si Syira ni.

“Agaknya apa nama dia kak? Muka handsome nama mesti sedap.”

“Samdol kut.”

“Tak kena dengan mukalah kak. Paling tak pun, ada Khan belakang nama dia.”

Hmm... Samdol Khan. Okeylah tu. Kau nak sangat ada Khan kan. Dahlah. Pergi tidur sana. Kacaulah orang nak tengok cerita ni.” Fatehah menghalau adiknya.

“Yalah. Syira pergi tidur. Nak mimpikan Abang Jambang Hensem. Tak minatlah nak layan cerita akak ni. Tak kena dengan jiwa.” Insyirah sudah angkat punggung.

“Pergilah. Aku memang tunggu cerita ni. Dah lama tak tayang. Best woo..”

Sementara iklan sedang ke udara, fikiran Fatehah terbang melayang sewaktu di pejabat tadi. Memori melatah ‘oh abang kau hijau’ mengganggu benaknya. Hesy... memang memalukan betul!

Apa yang penting sekarang, dia harus kuburkan saja angan-angan nak panggil Iftitah itu abang dek kerana nama bapa sama. Dah sah-sah lelaki itu bosnya. Gila apa nak panggil bos sendiri dengan panggilan abang. Tapi, itulah. Dan terpanggil juga ‘abang kau hijau’. Tu yang dapat jelingan free of charge itu.

Akhirnya Fatehah hanya mampu mengeluh sendiri. Hari pertama kerja dah macam-macam hal terjadi. Bertabahlah Fatehah ya. Cerita yang sedang bersiaran kembali ditonton.

No comments:

Post a Comment