DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Thursday 29 December 2022

My Guardian Angel - Bab 2


PERLAHAN-LAHAN Jihan membuka kelopak mata sebelum silau cahaya yang datangnya dari kawasan sekeliling membuatkan dia terus mengecilkan mata. Terpinga-pinga dia seketika apabila suara tangis Hana, rakan serumahnya mula menyapa deria pendengaran. Apabila dia menoleh ke sisi, kelihatan Hana mengesat air matanya pantas.

“Hana?” panggil Jihan perlahan.

“Ya Allah... Jihan! Alhamdulillah, kau sedar juga akhirnya. Kau masih boleh cam aku lagi.” Hana sudah teresak-esak sebelum memeluk Jihan erat. Tetapi tidak lama kerana Jihan mengaduh kesakitan apabila Hana tersentuh branula di tangan Jihan.

“Kau ni, Hana... takkanlah aku tak cam kau pulak.” Anak mata Jihan mula meliar memerhatikan keadaan sekitar bilik wad yang serba putih.

Apa yang berlaku sebenarnya? Macam mana dia boleh berada di hospital pula? Seingatnya, dia pengsan sewaktu diserang oleh lelaki yang melanggar keretanya pada malam itu. Takkanlah lelaki sama yang membawa dia ke hospital?

“Manalah tahu disebabkan kepala kau terhentak kuat, kau boleh jadi hilang ingatan.” Pandangan mata Hana dipakukan pada kepala Jihan yang berbalut.

“Kau tu banyak sangat tengok drama sampai terpengaruh.” Perlahan-lahan Jihan cuba untuk duduk sambil tangan kanan naik menyentuh balutan di kepala. Rasa sakit berdenyut-denyut kembali menyerang membuatkan dia berkerut-kerut menahan sakit.

“Kau okey tak ni?” soal Hana risau dengan esak tangis yang kembali kedengaran semula. Raut wajahnya jelas menunjukkan dia risau yang amat sangat.

“Kepala aku rasa sakit. Telinga aku rasa berdengung. Tapi jangan risaulah, Allah masih panjangkan nyawa aku lagi.” Jihan koyak sengih perlahan tetapi tangisan Hana semakin kuat.

“Jihan, janganlah cakap macam tu. Kau ni kan...”

Jihan hanya menggelengkan kepala perlahan memandang Hana sebelum dia teringatkan sesuatu. Cepat-cepat ditarik perlahan tangan Hana supaya kembali menghampiri katilnya.

“Kenapa?”

Phone aku mana?”

“Ni. Aku dah tolong chargekan phone kau.”

Jihan menyambut huluran Hana sebelum telefon pintar berwarna merah itu bertukar tangan.

“Eh, hari ni 12 hari bulan? Takkanlah aku tak sedarkan diri sehari semalam?” Jihan menoleh ke sisi dan jelas kelihatan riak wajah risau milik Hana.

“Kau tahu tak betapa takutnya aku yang kau tak sedar-sedar? Apa aku nak jawab dekat mami kau kat Langkawi tu?”

“Kau beritahu mami aku ke?”

“Mestilah aku kena beritahu. Mami dan babah kau ambil flight ke KL tengah hari tadi. Sekejap lagi sampailah tu.”

Jihan mengangguk perlahan dengan jari-jemari laju menatal di atas skrin telefon, membuka carian Google sebelum mencari laman web berita online. Seraut wajah wartawan wanita yang dia jumpa di gudang tempoh hari berlayar di hadapan mata.

“Kau buat apa? Aku dah call boss kau semalam yang kau accident. Jadi kau jangan risau pasal kerja kau. Lulu pun ada datang pagi tadi tapi kau tak sedar lagi,” beritahu Hana tetapi Jihan masih mencari berita yang berkaitan dengan kes pemerdagangan orang di laman carian. Semakin laju jari-jemarinya menatal di atas skrin telefon dengan dahi yang semakin berkerut.

Tiada!

Aplikasi Twitter dibuka dan dia mencari kata  carian yang sama tetapi tiada status tular mengenai kes pemerdagangan orang yang terbaharu.

“Jihan...”

“Hah?”

“Kau dah kenapa? Nampak macam kalut semacam.”

“Aku tengah cari berita.”

“Berita apa? Anak Datin Lola kau tu dah selamat kahwin pun dengan tema safari tu. Aku tengok siap viral kat TikTok lagi. Makin banyaklah job kau lepas ni sebab mesti diaorang nak tahu siapa event manager in charged.”

“Bukan pasal tulah, Hana. Isy, takkanlah tak ada pulak?” Jantung Jihan kembali berdegup kencang semula. Apa yang sudah berlaku sebenarnya? Kenapa tiada laporan semasa mengenai kes di gudang tempoh hari? Apa yang sudah berlaku kepada wartawan wanita yang dia tidak tahu langsung namanya itu?

“Apa yang tak ada? Kau cari apa sebenarnya ni? Jangan buat aku risaulah, Jihan!”

“Kes pemerdagangan orang.”

“Hah?”

Jihan diam dan cuba mengingati semula kejadian di gudang tempoh hari. Satu per satu kronologi kejadian tempoh hari disusun dalam kepala sebelum kepalanya kembali berdenyut sakit semula. Tangan Jihan kembali naik memegang kepala sendiri dengan mata yang terpejam menahan sakit.

“Doktor kata kau kena berehat, Jihan. Jangan paksa otak kau tu dulu.” Hana menarik perlahan tangan Jihan yang masih memegang kepala.

“Penjahat tu!” Jihan terus teringatkan peristiwa keretanya dilanggar dari arah belakang sewaktu dia cuba untuk menyelamatkan diri.

“Penjahat mana pulak ni, Jihan oii? Kau jangan bagi aku sakit jantung boleh tak?”

“Ada orang ikut kereta aku malam tu dan langgar kereta aku dari arah belakang dengan sengaja. Lepas tu, dia pecahkan cermin kereta aku, Hana,” cerita Jihan kalut dengan sepasang tangan yang mula menggigil.

Dia terasa seperti kejadian keretanya dilanggar itu diulang tayang semula. Terasa-rasa semula impak gegaran di belakang tengkuk. Terdengar-dengar semula bunyi cermin tingkap kereta di tepi telinganya yang dipecahkan dari arah luar. Kedua-dua belah tangannya mula menggigil.

Cepat-cepat Hana menggenggam erat sebelah tangan Jihan yang bebas tanpa branula supaya tangan teman baiknya itu berhenti menggigil.

“Memang ada orang yang report kes kau ni dekat pihak polis. Semalam pihak polis ada datang tapi kau masih tak sedarkan diri. Rehatlah dulu, Jihan. Bila kau dah okey sikit, kau ceritalah apa yang dah berlaku dekat pihak polis ya,” pujuk Hana lembut.

“Siapa yang report?” soal Jihan pantas.

“Aku tak tahu, Jihan. Nanti kau tanyalah dengan pihak polis sendiri. Sekarang ni kau kena berehat dulu.”

Kali ini pintu ditolak dari arah luar dan seorang jururawat melangkah masuk sambil menyorong troli kecil.

Nurse.”

Jururawat yang memakai tanda nama bernama ‘Lily’ ini tersenyum memandang Jihan yang tiba-tiba menegurnya.

“Cik Jihan masih rasa sakit di kepala lagi ke? Nak saya panggilkan doktor?” soal Lily sambil merapati katil Jihan.

“Bukan. Saya nak tahu siapa yang call ambulans sebab saya memang tak sedarkan diri selepas kereta saya accident,” ujar Jihan. Terus Hana memandangnya dengan pandangan tidak puas hati. Memang degil betul Jihan Sofea ini!

“Tak ada siapa yang call ambulans, cik,” jawab Lily.

Terus Jihan mengerutkan dahi.

“Tapi macam mana saya boleh ada kat hospital ni?”

“Ada seorang lelaki yang bawa cik ke wad kecemasan malam tu. Cik memang dalam keadaan tak sedarkan diri waktu tu.”

Terus Jihan dan Hana berpandangan. Takkanlah penjahat yang melanggarnya tempoh hari tiba-tiba insaf dan bertukar menjadi seorang yang berhati mulia pula?

“Nama dia?”

“Saya tak tahu, cik.”

“Dia pakai baju serba hitam ke? Muka pulak macam orang jahat ke?” soal Jihan lagi memandangkan kumpulan lelaki di gudang tempoh hari semuanya berpakaian serba hitam.

“Haah, baju serba hitam. Tapi, muka dia tak nampak jahat pun.” Lily tergelak kecil dengan soalan Jihan.

Sekali lagi tangan Jihan naik memegang kepala yang kembali berdenyut-denyut. Siapa pula yang menyelamatkannya tempoh hari? Mungkin lelaki itu orang sama yang melaporkan kes dia kepada polis? Tapi persoalannya siapa, kerana dia yakin di tempat keretanya dilanggar, tiada kereta lain yang lalu-lalang. Hanya ada dia dan si penjahat yang memecahkan cermin tingkapnya dari luar.

Jihan mahu menyambung soalannya kepada Lily tetapi matanya kembali terasa berat. Dia menyambung tidurnya semula dan mula bermimpi. Dia bermimpi yang dia kembali ke gudang terbiar itu dan bertemu semula dengan wartawan wanita tempoh hari.

No comments:

Post a Comment