DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday, 14 December 2022

My Kind Of Different - Bab 10


“KAK long... apa yang Ai buat ni?”

Maya yang bersandar di kepala katil tersenyum melihat gelagat adiknya yang kegelisahan. Berkerut wajah Aira.

“Dia tu bos Kay. Dia sepupu bos Ai. Dia garang. Dia mulut laser. Dia suka marah-marah. Tapi macam mana Ai boleh setuju nak keluar dengan dia?” Aira masih tak puas hati dengan dirinya sendiri.

Tambah mekar senyuman di bibir Maya.

“Apa salahnya? Sejak Ai putus dengan Man, Ai tak pernah sekali pun keluar dengan mana-mana lelaki.”

“Tapi kenapa dia nak keluar dengan Ai, kak? Dia lelaki yang hebat. Ramai lagi perempuan yang setaraf dengan dia kat luar tu.”

Padam terus senyuman di bibir Maya.

“Ai... tak semua lelaki macam Man.” Maya menuturkan nasihat yang sama seperti Karina. Entah untuk kali yang ke berapa. “Rendah sangat ke taraf seorang pelayan ni?”

Aira mengeluh kecil.

“Kak... realitinya tak seperti apa yang kita harapkan. Ada lelaki yang kisah kita tak setaraf dengan dia dan mungkin ada yang tak kisah. Tapi, kalaupun lelaki tu tak kisah, mungkin keluarga dia akan kisah.”

“Ai maksudkan abang Kay?” tebak Maya.

Aira terpaksa mengangguk.

“Abang Kay tu engineer, kak. Dia lulusan luar negeri. Kay pulak executive secretary. Kakak sulung diaorang accountant. Kahwin pulak dengan arkitek. Mak dan ayah Kay pun hebat-hebat belaka. Kat celah mananya yang Ai boleh masuk kat dalam famili Kay, kak?” Sayu senyuman yang tersungging di tepi bibir Aira. “Ai tak rasa diaorang boleh terima Ai seadanya.”

“Ai...”

“Yang lelaki ni pulak, dia kerja kat kilang ayah dia. Dia bos Kay. Tentulah famili dia bukan calang-calang orang, kak. Akak tak rasa ke, dia sekadar nak main-mainkan Ai? Macam lelaki-lelaki yang selalu ajak Ai keluar tu?”

Panjang keluhan yang dilepaskan oleh Maya. Rasa simpati terhadap adiknya tak pernah surut sejak dia ditinggalkan oleh Luqman. Tidak tahu cara menangani sikap rendah diri yang dijunjung tinggi oleh Aira. Kesian Aira. Hanya kerana dia tidak berpelajaran tinggi seperti teman-teman sekolahnya yang lain, Aira menganggap dirinya tidak layak untuk berdampingan dengan lelaki seperti Luqman.

“Macam mana Ai tahu yang diaorang hanya nak main-mainkan Ai?” duga Maya.

“Alah, kak. Walaupun Ai sibuk kerja, telinga Ai tak pekaklah kak. Ai boleh tangkap apa yang diaorang bualkan sesama diaorang. Ai je yang pura-pura tak dengar. Ada yang siap buat betting tau kak. Kononnya Ai ni sengaja jual mahal, sebab nak tarik perhatian dan tawaran yang paling hebat.”

Berubah riak Maya.

“Yang terang-terang tawar Ai jadi sugar baby pun ada, kak. Kepada Laila pun ada, tapi kita orang tolak. Laila tu, walaupun orangnya agak sosial, tapi dia masih ada iman. Dia kata kalau dia nak hidup senang, dah lama dia berhenti kerja jadi pelayan. Bukannya takde lelaki yang nak kat dia, kak. Ramai yang nak. Tapi Laila tu pun pandai menilai. Takkan nak jadi perempuan simpanan, kak?”

Astaghfirullah...

“Tapi akak yakin sepupu bos Ai ni, orangnya lain, kan?” soal Maya. Dia mahu mendengar pendapat adiknya.

Aira terdiam. Untuk seketika, wajah Zayyan terlayar di ruang mata. Lelaki yang tidak pernah mengajaknya keluar sebelum ini walaupun sudah lebih 2 bulan dia mengunjungi kafe milik Azim. Lelaki yang sentiasa serius dan mahal dengan senyuman. Lelaki yang menurut Karina, amat fokus dan disiplin dalam bekerja dan tidak pernah mengambil pusing akan cubaan demi cubaan daripada kaum wanita untuk mendampinginya. Lelaki yang garang dan lantang dalam bicara.

‘Jadi... kenapa dia nak keluar dengan aku?’ fikir Aira mungkin untuk kali yang ke-10.

“Pergi jelah, Ai,” saran Maya.

“Tapi, kak... dia selalu datang ke kafe sepupu dia tu. Kalaulah date kita orang tu tak menjadi, macam mana Ai sanggup nak tengok muka dia lagi?”

“Kalau menjadi? Kalau dia nak keluar dengan Ai lagi dan lagi?” tangkis Maya.

Aira membuat muka.

“Tak mungkinlah, kak.” Takkan lelaki penuh karisma seperti Zayyan mahu berdampingan dengan gadis sepertinya? Seribu kali gadis seperti Karina lebih sesuai dan layak daripadanya.

Maya mengulum senyum. Tidak mahu membalas. Daripada penceritaan Aira, dia yakin lelaki yang dimaksudkan oleh adiknya itu tiada niat untuk mempermainkan Aira. Cuma niat sebenarnya saja masih belum diketahui lagi. Maya yakin lelaki itu ikhlas mahu mengenali adiknya dengan lebih dekat. Aira saja masih mahu mencipta seribu alasan untuk menolak. Doanya tak pernah putus agar Aira bisa membuka hatinya untuk menerima lelaki lain dalam hidupnya. Cukuplah Aira bersendirian selama ini...

 

DARI JAUH, Zayyan terkesima. Lenggok Aira yang mengenakan skirt kembang labuh berwarna merah bersama blaus berwarna putih membuat nafasnya tersekat tiba-tiba. Tidak pernah dia melihat Aira berpakaian begitu. Gadis itu sentiasa dalam uniform kerjanya, atau mengenakan baju-T bersama seluar slek. Kali ini, Aira kelihatan begitu feminin, begitu indah di matanya. Kembang hatinya memikirkan yang Aira telah mengenakan pakaian yang lain daripada biasa semata-mata untuk keluar dengannya pada hari ini.

Setiap langkah yang diambil, Aira semakin menghampiri keretanya. Zayyan sempat mengilas pandang jam di pergelangan tangan.

She’s right on time’, fikirnya. Tidak lambat, dan tidak awal. Tepat-tepat pukul 11.30.

Teragak-agak Aira ingin membuka pintu kereta. Namun digagahkan jua.

“Assalamualaikum...” ucapnya perlahan.

Zayyan menjawab salam Aira bersama satu anggukan di kepala. Aira mengambil tempat di bahagian penumpang. Dia mengerling ke arah Zayyan yang berseluar jean berwarna biru pudar serta berkemeja putih. Kaca mata hitam Aviator tersarung di wajah. Aira menelan liur. Zayyan kelihatan begitu tampan dan menawan sekali.

Errr... encik dah lama tunggu ke? Maaf kalau saya lambat.” Tergagap-gagap Aira bersuara. Jelas dia gugup bertemu begini dengan Zayyan.

“Tak. Awak tak lambat pun.”

Aira tersenyum segaris.

“Kita nak ke mana ya?”

“Lelaki dengan perempuan sekarang ni, kalau keluar pergi dating, diaorang buat apa?” Zayyan pula bertanya. Ingin mengorek isi hati Aira yang diyakini jarang-jarang keluar dengan lelaki. Eleh! Macamlah dia selalu keluar dengan perempuan! Kalau tidak atas desakan kerja, jangan harap dia akan keluar berjumpa dengan mana-mana perempuan.

Aira menjongket bahu.

“Saya pun tak tahu. Dah lama saya tak keluar dengan lelaki.” Polos saja balasan Aira. Namun balasannya itu memberi kepuasan yang tak terhingga kepada Zayyan. Entah mengapa Zayyan perlu berasa puas pun dia tak tahu.

“Ada beza ke sekarang dengan dulu? Tapi rasanya, trend keluar tengok wayang masih berterusan sampai ke hari ni.”

“Saya takde mood nak tengok wayang hari ni,” pangkah Zayyan. “Kita terus pergi makan okey, kan?”

Aira mengangguk tanda tiada bantahan.

Zayyan memulakan pemanduan. Aira kekok tidak tahu sama ada dia perlu mencari topik untuk berbual atau kekal membisu sementara menunggu lelaki itu yang memulakan bicara.

“Bila kali terakhir awak keluar dating dengan lelaki?”

Terkejut Aira mendengar Zayyan tiba-tiba bersuara. Perlahan nada suaranya. Perlahan tetapi dalam.

“Entahlah... saya serius tak ingat.”

“Tak ingat atau tak mahu ingat?” duga Zayyan. Dia mengerling seketika ke arah kiri.

“Tak ingat dan tak mahu ingat.” Aira mengukirkan senyuman sebelum menoleh ke arah kanan. Tenang dia menjawab. Tiada selindung.

Sikap Aira yang berterus terang begini amat disenangi oleh Zayyan. Gadis itu tidak menepis pertanyaan daripadanya atau berpura-pura memberikan jawapan yang selamat. Dia suka begitu.

That bad?”

“Dah lepas pun, encik. Saya tak suka kenang perkara yang dah lepas.”

Hmmm... saya pun dah lama tak keluar dengan seorang perempuan,” akui Zayyan. Ingin memancing keselesaan di hati Aira. “Rasanya dah lebih setahun. Keluar pun selalunya atas tuntutan kerja. Tu pun saya cuba tak akan keluar hanya berdua dengan perempuan tu.”

Aira seakan tak percaya.

“Betul ke, encik?”

“Boleh tak awak jangan panggil saya encik? Saya bukannya bos awak!” tegur Zayyan.

“Dah biasa, sebab encik pelanggan kafe.” Masih lagi menggunakan panggilan ‘encik’ itu.

“Saya bukan pelanggan kafe hari ni, Aira.”

Berdentum jantung Aira mendengar namanya meniti di bibir Zayyan buat pertama kalinya. Mengapa lain benar rasanya berbanding dengan panggilan daripada orang lain? Bercantum keningnya tiba-tiba. ‘Eh aku ni dah kenapa?’ Dia berdeham kecil.

“Habis tu saya nak panggil apa?”

“Nama saya Zayyan. Azim panggil saya Zack. Semua famili saya panggil saya Zack. You can do the same.” Zayyan memberikan keizinan.

Aira menelan liur. ‘Tapi... aku ni bukan famili dia!’

“Maaf, encik, saya tak selesa.” Lagipun, akan kedengaran tidak sopan jika Aira memanggil lelaki itu begitu sedangkan jelas Zayyan lebih berusia daripadanya.

Zayyan menelan keluhan.

Fine!”

Lebih kurang 25 minit memandu, Aira akhirnya mengikut langkah Zayyan masuk ke pusat membeli-belah Pavilion. Zayyan memilih restoran yang menyajikan makanan Arab. Usai membuat pesanan, Zayyan melabuhkan pandangan ke wajah Aira yang duduk bertentangan dengannya. Wajah yang manis dan sentiasa tenang.

So, tell me about yourself.” Zayyan memulakan perbualan.

Merekah bibir Aira. Dah jadi macam sesi interviu pula ni.

Errr... encik betul-betul nak berkenalan dengan saya, ya?” soal Aira mengungkit kembali episod Zayyan meminta nombor telefonnya sebelum ini.

“Ya. Dan jangan tanya saya kenapa. Saya sendiri takde jawapannya.”

Bergaris dahi Aira.

“Encik sendiri tak tahu kenapa encik nak berkenalan dengan saya?” Pelik sungguh lelaki ini.

“Ya.” Zayyan berkata yang benar. Dia sendiri tidak tahu dan masih tidak tahu. Yang dia tahu, gadis di hadapannya ini sering hadir dalam ingatannya. Buat pertama kali sejak berkurun lamanya, Aira menimbulkan rasa ingin mengambil tahu dan mengambil berat dalam dirinya untuk orang luar yang tiada kena-mengena langsung dengan dirinya.

“Perjumpaan kita ni kira macam satu percubaan ke, encik?”

“Maksud awak?”

“Yalah, percubaan sama ada encik boleh ke tak berkawan dengan seorang pelayan macam saya ni?”

Wajah Zayyan berubah tegang. Dari hari tu lagi Aira sudah membangkitkan isu tentang dirinya seorang pelayan sebagai penghalang untuk mereka keluar bersama. Hari ini, isu yang sama disuarakan sekali lagi.

Is that how low you see yourself?” Suara Zayyan berubah dalam. Tajam matanya membelah ke wajah Aira.

Aira menelan liur. Sedar yang dia mungkin telah tersalah ketika melepaskan kata-kata. Tapi... apa yang salahnya?

“Salah ke saya nak berkenalan dengan awak? Tak kisahlah awak pelayan ke, tukang cuci ke atau tukang masak kat kafe tu. Apa masalahnya?” dengus Zayyan. “Are you ashamed of yourself?”

Berubah wajah Aira. Benar! Dia sering membangkitkan pekerjaannya sebagai seorang pelayan sebagai alasan untuk menolak mana-mana lelaki yang berminat untuk berkenalan dengannya. Konon mereka tidak ikhlas dan hanya mahu mempermainkan dirinya. Benarkah dia sebenarnya malu akan dirinya sendiri?

“Awak tak boleh nak halang tanggapan orang lain pada diri awak, tapi yang penting tanggapan awak pada diri awak sendiri. Yang tu, takde siapa pun boleh tolong awak!” tegur Zayyan.

“Maaf... saya cuma bertanya...” Perlahan nada suara Aira. Hati terasa dengan teguran daripada Zayyan. Namun dia tidak dapat menidakkan kebenaran di sebalik kata-kata lelaki itu. Kata-kata yang memaksa dirinya untuk berfikir. Namun, mengapa teguran daripada Maya mahupun Karina selama ini tentang perkara yang sama tidak memberikan impak yang seperti ini?

Zayyan melepaskan nafas perlahan-lahan. Dia perlu bersabar. Sikapnya yang dingin dan kasar tidak seharusnya dipertontonkan jika dia mahu mengenali Aira dengan lebih jauh lagi.

“Biar saya yang mulakan dulu.” Zayyan memutuskan untuk memperkenalkan dahulu dirinya kepada Aira. “Saya anak tunggal dalam keluarga. Mak dan ayah saya bercerai masa saya masih sekolah. Diaorang dah berkahwin lain dan ada seorang anak dengan pasangan masing-masing. Cuma saya tak rapat pun dengan adik-adik saya tu. Saya dah lama hidup sendiri dan saya rapat dengan Azim je. Azim sepupu daripada belah ayah saya.”

Aira mengangguk kecil.

“Saya baru balik dari Australia. 5 tahun saya berhijrah ke sana untuk cari pengalaman kat tempat orang. Tapi sekarang saya dah bekerja kat sini. Mungkin Karina ada cerita kat awak pasal saya?”

Errr... sikit-sikit je, encik. Pasal encik ni bos dia je. Kay takde pun cerita perkara yang melibatkan peribadi encik.”

Bagus! Sangkaan Zayyan terhadap Karina nampaknya benar setakat ini. Walaupun dia yakin tidak banyak yang Karina tahu tentang hal peribadinya, setiausahanya itu nampaknya seperti seseorang yang boleh dipercayai.

“Okey, your turn,” ujar Zayyan. Dia bersandar ke dinding kerusi. Ingin mendengar segala yang akan lahir daripada bibir Aira.

Errr... saya anak kedua daripada tiga orang adik-beradik. Saya ada kakak dan adik lelaki. Mak saya dah takde. Ayah tinggal kat kampung. Dia pun... dia pun dah berkahwin lain...”

“Oh... bila mak awak meninggal?”

“6 tahun dulu. Arwah mak kena serangan asma.” Aira diam. Tidak tahu apa lagi yang mahu dikongsi tentang dirinya.

Zayyan mengangguk.

“Lagi? Takkan tu je?”

Aira menggigit bibir. Aksinya kelihatan comel sekali.

“Encik nak tahu apa lagi ya? Saya tak tahu dah nak cakap apa.”

Zayyan tidak dapat menahan senyuman yang terukir di pinggir bibir. Polos sungguh gadis ini.

“Saya nak tahu kenapa awak dah lama tak keluar dengan lelaki, boleh?” ungkit Zayyan. Perbualannya dengan Aira di dalam keretanya suatu malam dahulu dibangkitkan.

“Saya... saya takde masa, encik. Hari-hari saya kerja. Bila saya cuti, saya nak rehat dan luangkan masa dengan kakak saya.”

Zayyan merapatkan tubuh ke meja. Matanya jauh menusuk ke dalam anak mata Aira.

“Dan sebab yang utama?”

Bulat mata Aira. Zayyan bisa membaca hatinya ke? Takkan kut!

“Saya... saya...”

“Aira, saya dah lama jadi pelanggan kat kafe Azim tu. Saya pernah dengar orang minta nombor telefon awak dan saya pernah dengar ada orang ajak awak keluar, tapi semuanya awak tolak. Kenapa?”

“Mana saya kenal diaorang tu semua, encik? Takkanlah saya nak keluar dengan orang yang saya tak kenal?” Aira beralasan. Alasan yang pastinya logik.

“Saya ni?”

“Encik ni sepupu bos saya. Lagipun... saya rasa saya kenal encik lebih sikit daripada lelaki tu semua.”

Sekali lagi pada hari ini saja, balasan daripada Aira cukup memuaskan hati Zayyan. Tak kisahlah apa pun sebab Aira bersetuju keluar dengannya, namun yang pentingnya, dia merupakan seorang lelaki yang terpilih. Kembang terasa dadanya tiba-tiba.

Perbualan mereka terhenti tatkala pelayan menghidangkan makanan serta minuman yang dipesan oleh Zayyan tadi.

“Awak suka nasi mandi Arab ni?” tanya Zayyan.

Aira mengangguk sambil tersenyum. Dan lesung pipit itu membuat Zayyan terputus nafas sekali lagi. Zayyan melarikan mata daripada wajah Aira. Semakin lama, gadis itu kelihatan semakin manis di matanya.

Damn! I’m so screwed!’ bisik Zayyan sendirian.

 

            **BERMINAT? Boleh hubungi/ WhatsApp no ini : 011-40049752 (Admin Nina) /

: 019-3729676 (Admin Shida)

 

No comments:

Post a Comment