DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday, 14 December 2022

My Kind Of Different - Bab 8


MATA Luqman meliar ke sekeliling kafe. Resah gelisah tingkahnya. Peluh merecik di dahi. Kelibat orang yang dicari tiada. Dia menghela nafas lega.

“Kenapa you nak makan kat sini?” soal Luqman kepada gadis yang duduk bertentangan dengannya. Riaknya masih gusar serta tidak senang.

“Kawan I kata, kek dengan kopi kat ni sedap. I nak cubalah,” balas Nadia. Mata turut meliar ke sekitar ruang kafe. Ingin menikmati sendiri pengalaman yang sering dicanang oleh teman sepejabatnya. “Kawan I tu selalu datang sini. Dah jadi pelanggan tetap pun.”

“Eh... Amir...” Tergagap-gagap Luqman melihat pelayan yang sedang menghulurkan menu ke arah mereka.

“Amir buat apa kat sini?”

Nadia mendongak. Ingin melihat gerangan lelaki yang telah ditegur oleh Luqman tadi. Kenapa teman lelakinya kelihatan begitu terkejut ya? Wajah pun sudah bertukar sedikit pucat.

Ketat saja wajah Amir. Dari tadi lagi dia sudah menangkap kelibat Luqman yang masuk ke dalam kafe bersama seorang perempuan. Aksi Luqman yang keresahan juga tidak sukar untuk dimengerti. Pasti Luqman sedang tercari-cari kakaknya. Dan dia turut yakin bahawa perempuan di sebelah Luqman inilah yang telah menyebabkan kakaknya ditinggalkan oleh lelaki itu sebelum ini. Dia tak salahkan perempuan itu sepenuhnya. Dia lebih benci akan lelaki ini.

“Kerja,” balas Amir sepatah. Tidak perlu beramah mesra dengan lelaki yang telah menghancurkan hati kakaknya... yang menjadi punca Aira berubah menjadi seorang gadis yang kurang keyakinan diri... dan yang tidak mahu lagi membuka hatinya buat mana-mana lelaki.

“Oh...” balas Luqman. Dia menelan liur. Sedar riak dingin yang terpancar daripada setiap rongga di wajah Amir. Aduh, mengapalah kekasihnya memilih kafe ini ya? Macamlah kek yang dijual di kafe lain tidak enak! Dia tahu Aira bekerja di sini. Sejak dulu lagi. Dia pun pernah datang ke sini suatu ketika dahulu. Cuma sejak dia berpisah dengan Aira, dia sengaja tidak mahu menjejakkan kaki ke sini lagi.

“You kenal ke waiter ni, yang?” soal Nadia.

Errr ya, ya... kita orang sekampung,” balas Luqman.

“Tengoklah dulu menu tu. Nanti saya datang balik,” ujar Amir sebelum berlalu. Malas dia mahu berlamaan dengan sepasang kekasih itu.

Seketika itu, Aira keluar dari ruang dapur dan terus ke belakang kaunter. Masih tidak perasan akan sepasang makhluk yang telah mencemar duli masuk ke dalam kafe sebentar tadi.

Zayyan yang baru masuk, melabuhkan duduk di meja kegemarannya. Hati melagukan rasa lega melihat figura Aira di belakang kaunter. Eh! Mengapa harus dia berasa lega? Ah! Dia sendiri tiada jawapannya.

Amir menghampiri meja yang diduduki Zayyan lalu menghulurkan menu kepada lelaki itu.

“Kapucino satu, nasi lemak dengan lauk rendang ayam,” pesan Zayyan tanpa membaca menu. Seakan sudah boleh menghafal setiap hidangan yang tercatat pada menu.

“Baik, encik.” Amir mengangguk.

“Bos awak ada?” tanya Zayyan sebelum sempat Amir berlalu.

“Ada. Dia kat dapur. Kejap ya, saya tolong panggilkan.”

Zayyan melihat Amir singgah di belakang kaunter terlebih dahulu. Dia membisikkan sesuatu ke telinga Aira yang masih membelakangi ruang kafe. Kelihatan kepala Aira laju berpaling memandang ke wajah Amir sebelum dia kembali tunduk. Amir melabuhkan tangan ke bahu kakaknya seketika sebelum berjalan menuju ke dapur kafe. ‘Hmmm... kenapa pulak tu?’

“Ai, meja 22 nak kek Red Velvet dan Carrot Cake.” Laila menyampaikan pesanan sebelum menuju ke arah dapur.

“Okey.” Perlahan saja nada suara Aira. Dia menguatkan semangat untuk berpaling ke kaunter peraga kek. Mata dikerah agar tidak mengerling ke arah meja 22. Terketar tangan yang mengalihkan potongan kek ke atas piring.

Takpe, ngah. Biar Amir yang hantar. Angah pergi hantar kapucino ke meja 24 ya,” ujar Amir. Tangan kiri dan kanan sudah mengangkat piring berisi kek.

Aira mengerling ke meja 24. Dia mengeluh kecil.

“Laila takde ke?” Selalunya, laju saja Laila akan melayan lelaki yang sedang duduk di meja 24 itu. Kalau boleh, dia langsung tidak mahu keluar dari ruang di belakang kaunter ini.

“Kak Laila pergi toilet,” jawab Amir. “Sakit perut.”

Mahu tak mahu, Aira membawa cawan berisi air kapucino ke meja Zayyan. Seketika itu, Azim turut melabuhkan duduk di hadapan sepupunya.

“Kau cari aku ke, Zack?” soal Azim.

Hmmm...”

Belum sempat Aira berlalu, Azim sudah pun menahan.

“Ai, tolong buatkan saya mocha panas satu ya.”

Aira tunduk sekali.

“Baik, bos.”

Errr, waitress!”

Secara automatik setiap kali dipanggil oleh pelanggan, Aira akan berpaling. Spontan matanya berlaga pandang dengan sepasang mata itu. Mata yang sudah lama tidak ditatapnya. Mata yang kini memandangnya dengan riak bersalah.

Aira memaksa bibir agar tersenyum sebelum membawa mata ke gerangan gadis yang telah memanggilnya tadi. Kaki melangkah menghampiri meja 22.

“Ya, cik?”

“Tolong bungkuskan dua potong kek Red Velvet ni ya,” pesan Nadia.

Aira mengangguk.

“Baik.”

“Apa khabar, Ai?” Perlahan Luqman bertanya. Kalau tak tegur, tak wajar pula sedangkan mereka pernah berkasihan suatu waktu dahulu. Lagipun, mereka belajar di sekolah yang sama dan sekampung pula tu. Matanya menjamah ke wajah Aira yang sentiasa tenang itu. Wajah yang kini lebih matang daripada 2 tahun yang lalu. Dan yang semakin manis dan jelita. Ada secebis rasa rindu yang bertapa di hatinya buat Aira. Aira merupakan cinta pertamanya.

“Baik, alhamdulillah. Man sihat?” balas Aira.

Luqman mengangguk. Nadia memandang ke wajah Luqman dan Aira silih berganti.

“Ni siapa, you?”

Luqman menelan liur.

“Ni pun kawan sekampung I. Kita orang dulu satu sekolah. Dia kakak kepada Amir tadi tu.”

Tawar senyuman di bibir Aira kali ini. Kawan sekampung je?  Yalah... takkan nak mengaku Aira merupakan mantan kekasih kepada kekasih yang terkini pula, kan? Aira berpaling sebelum berlalu.

Nadia ketawa kecil.

“Kafe ni cari pekerja dari kampung you je ke, Man?” sindirnya. Sempat ditangkap oleh telinga Aira.

Berubah riak Luqman. Malu dia dengan kata-kata Nadia itu.

“Apa you ni?”

“Alaaa... I gurau jelah.”

Sementara Aira membungkus kek yang dipesan oleh Nadia, Amir ke meja 24 untuk menghidangkan mocha yang dipesan oleh Azim tadi.

“Amir... tu sape?” soal Azim dalam nada berbisik. Dia telah mendengar perbualan antara Luqman dengan Aira tadi. “Betul ke dia orang kampung awak, Mir?” Walaupun dia duduk membelakangkan meja 22, namun telinganya masih tajam ketika mendengar betapa lembutnya nada suara lelaki tadi menegur Aira.

Zayyan pula bukan sekadar dapat mendengar. Matanya jua dapat menangkap setiap perubahan riak di wajah Aira serta lontaran pandangan mata lelaki itu kepada gadis itu. Pandangan yang terselit rasa kasih dan juga rindu.

Amir mengangguk.

“Lelaki paling tak guna yang saya pernah kenal, bos!” Amir terlepas bicara. Rasa marahnya pada Luqman tak pernah surut, maka dia telah berkata-kata tanpa berfikir dahulu akan natijahnya.

Terjongket kening Azim.

Amir tersedar yang dia sudah terlepas kata.

Errr... sorry, sorry, bos. Bukan macam tu. Dia memang satu kampung dengan saya.” Laju Amir cuba membetulkan bicara, namun sudah terlambat.

Hmmm... interesting...’ fikir Zayyan.

“Saya ke belakang dulu, bos,” pinta Amir.

Zayyan melihat Aira kian menghampiri meja 22 dengan bungkusan plastik berisi kotak kek di tangan. Ketika itu jugalah gadis yang sedang duduk di meja itu bangun.

“Yang, I nak pergi toilet kejap.”

Luqman mengangguk.

“Ai...” seru Luqman sebaik saja Aira meletakkan bungkusan plastik ke atas mejanya.

Aira memandang ke wajah Luqman. Luqman mengeluh.

“Dah lama awak kerja kat sini, kan? Awak tak nak cari kerja yang lebih baik ke?”

Lesung pipit di tepi bibir Aira menampakkan bayangnya.

“Yang lebih baik tu, yang macam mana ya?” duga Aira. Ingin mendengar pendapat Luqman yang ternyata masih memandang rendah akan dirinya.

Luqman terdiam. Tiada jawapan. Adakah yang dimaksudkan dengan kerja yang lebih baik itu, memerlukan kelayakan yang lebih tinggi daripada yang dipunyai oleh Aira? Yalah, dengan kelayakan Aira, takkan nak minta kerja jadi doktor pula, kan? Rasa bersalah menghentak ke dada akan ketidaksesuaian pertanyaannya tadi. Dia tiada niat untuk menyindir gadis itu. Dia Cuma bertanya.

“Saya suka kerja kat sini. Kat mana pun sama je untuk saya,” tutur Aira tanpa menunggu jawapan daripada Luqman.

Luqman mengangguk untuk menutup kesilapan kata-katanya tadi. Ucap maaf tidak mampu diluahkan.

“Ayah awak sihat?”

Untuk seketika, berubah wajah Aira sebelum dia kembali tersenyum.

“Sihat, kut.”

Perkataan ‘kut’ itu memberikan maksud yang jelas lagi nyata bahawa Aira sebenarnya tidak tahu akan keadaan sebenar ayahnya. Luqman tak terkejut pun. Rata-rata semua di kampung, sudah mengetahui segala yang pernah terjadi kepada Aira tiga beradik.

“Bila kali terakhir awak balik ke kampung?” tanya Luqman lagi.

Aira menjongket bahu seolah-olah dia tidak ingat. Namun hakikatnya, mana mampu dia lupa? Episod terakhir dia pulang ke kampung pun masih segar di ingatan, seakan baru semalam kejadian itu berlaku. Melihat teman wanita Luqman yang sudah mula memunculkan diri dari balik pintu bilik air, Aira meminta diri. Tidak mahu wujudnya salah sangka antara Luqman dengan kekasihnya jika melihat mereka berbual begini.

“Jom, yang?” ajak Nadia. Plastik dari atas meja diangkat.

“Kejap I pergi bayar,” balas Luqman. Dia ke kaunter pembayaran. Aira menyerahkan bil ke tangan Luqman. Not wang kertas bertukar tangan.

“Ai, saya balik dulu. Awak jaga diri ya,” pesan Luqman. Wajah manis Aira ditatap lama. Luqman seolah-olah mahu menyambung bicara. Banyak yang dia mahu tahu tentang gadis itu. Aira sudah berpunya ke? Apakah Aira sudah bertemu dengan pengganti dirinya? Siapakah lelaki yang bertuah itu? Namun dia memilih untuk mengunci bibir. Sedar yang dia tiada hak untuk bertanya tentang peribadi Aira, waima sebagai seorang kawan. Dia sendiri yang telah melucutkan hak itu.

Aira hanya mengangguk sambil tersenyum. Sayu mata yang mengekor langkah Luqman ke luar kafe.

“Angah... angah okey tak ni?” bisik Amir yang sudah pun berada di sebelah Aira. Bahu Aira dipaut mesra.

Tangan menepuk lembut pipi adiknya.

“Angah okey. Amir tak payah risau, okey?”

“Tu, bos panggil.” Mulut Amir memuncung ke arah meja 24.

Aira mengalihkan arah pandangan matanya.

“Okey.”

Kaki disusun perlahan.

“Bos panggil saya?” tanya Aira.

Dua pasang mata kini melangut memandang ke wajahnya.

“Ai... awak okey?”

Berkerut dahi Aira. Kenapa pulak tanya macam tu? “Saya okey je bos. Kenapa?”

“Kalau awak tak okey, awak cakap je pada saya sekarang. Tak payah segan-segan. Zack ni pun bukannya orang lain. Sepupu saya jugak.”

‘Ohhh, sepupu...’ fikir Aira. Barulah dia tahu hubungan sebenar antara Azim dengan Zayyan. Patutlah lelaki itu sering ke mari.

“Saya okey, bos. Serius okey,” tegas Aira.

Azim tidak puas hati. Namun tak sanggup untuk memaksa Aira. Kata-kata Amir yang terlepas tadi masih mengganggu dirinya. Dia yakin lelaki tadi bukan sekadar kenalan sekampung buat Amir dan juga Aira.

“Kalau macam tu, okeylah. Awak boleh sambung kerja awak.”

Aira mengangguk.

“Kau rasa?” soal Azim kepada sepupunya.

How the hell would I know?” balas Zayyan.

“Hesy!” dengus Azim. “Kau ni tak membantu langsunglah!”

Zayyan menjongket bahu.

“Susah betul nak korek cerita daripada Ai ni. Dari dulu dia macam ni. Dia ni terlalu berahsia,” komen Azim.

“Yang kau sibuk nak tahu ni kenapa?”

“Aku tak nak dia susah hati. Nanti aku pun sama susah hati.”

Terjongket sebelah kening Zayyan. Eleh! Mengada-ada!

She has gone through a lot, Zack. Knowing her, dia susah macam mana pun, dia takkan minta tolong sesiapa,” jelas Azim. “Aku tak nak dia rasa susah hati lagi. Cukuplah apa yang pernah terjadi dulu.”

“Tu maknanya, dia boleh handle sendiri masalah dia dan tak perlu pertolongan orang lain. Kau tak payah sibuklah!” tegur Zayyan. Lebih-lebih pula si Azim ni. Bukannya ada apa-apa pun tadi. Memanglah nampak seperti Aira mengenali lelaki tadi tu. Dan memang juga kata-kata adik Aira tadi mengisyaratkan sesuatu tentang hubungan antara Aira dengan lelaki yang sama. Namun tak ada pula mereka bergaduh atau bertekak. Elok saja mereka berbicara sesama sendiri.

Tapi... kenapa ada kesyahduan pada sorotan mata Aira tadi ya? Dan mengapa jua pandangan yang dilemparkan oleh lelaki tadi kepada Aira nampak begitu lain sekali? Seakan ada rasa kasih dan kesal yang bercampur baur.

Zayyan mengeluh sendiri. Yang dia sibuk ni dah kenapa? Dia dengan Azim sama saja!

 

No comments:

Post a Comment