DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday, 14 December 2022

My Kind Of Different - Bab 5


“LONG, ngah... lepas SPM nanti Amir tak nak sambung belajar!” Tangan yang basah dilapkan dengan tisu. Sengaja dia menunggu mereka selesai menikmati hidangan KFC sebelum membuka bicara.

Terbuka mulut Aira tidak percaya. Dia dengan Maya saling berpandangan sebelum kembali melabuhkan mata ke wajah Amir.

“Apa Amir cakap tadi?” soal Maya. “Kak long tak salah dengar, kan?”

Amir tunduk. Tak sanggup bertatapan dengan dua wajah kesayangan yang duduk bertentangan dengannya.

“Mir... Amir ada masalah apa-apa ke yang Amir tak cerita pada kita orang berdua?” Lembut Aira bertanya.

“Kalau Amir ada masalah...”

“Bukan, bukan macam tu,” cantas Amir laju. Dia menongkat wajah. “Amir takde masalah apa-apa pun. Amir okey kat sini.”

“Habis tu? Kenapa Amir tak nak sambung belajar?” Masih lembut. Masih cuba memahami hati adik lelakinya ini.

“Angah, angah dah kerja berapa tahun?” Amir pula yang bertanya. Soalan daripada Aira dibiarkan tidak berjawab buat sementara waktu.

Bercantum kening Aira tidak mengerti.

“Angah mula kerja tak lama lepas habis SPM, kan? Dah 6 tahun angah kerja. Angah yang tanggung Amir belajar dan angah yang jaga along. Amir fikir lepas ni, biar Amir yang kerja dan tanggung angah sambung belajar pulak.”

“Amir...” bisik Aira dengan wajah yang berkerut. Sungguh tidak sangka dengan butir bicara adiknya itu.

Maya tunduk. Terharu dengan pengorbanan yang ingin dilakukan oleh adiknya. Tidak berdaya membantah kerana sedar keinginan yang terpendam dalam hati kecil Aira untuk sekian lama.

Aira suda mula menggeleng kepala.

“Sebelum angah cakap apa-apa, angah dengar dulu apa Amir nak cakap. Amir akan belajar bersungguh-sungguh. Amir akan cuba dapat keputusan yang terbaik masa SPM nanti. Tapi... Amir akan tangguh dulu pengajian Amir sampailah angah habis belajar. Tak lama pun, kan? Kalau angah boleh bekerja untuk tanggung Amir dengan along, kenapa Amir tak boleh buat perkara yang sama?”

“Amir... angah ni kan, dah lama sangat berhenti belajar. Angah tak rasa angah boleh sambung lagi. Otak angah pun dah berkarat.” Aira tergelak kecil. Gelak yang kedengaran agak hambar di telinga Amir dan juga Maya.

“Lagipun, sejak along dapat bantuan zakat untuk kos dialisis dengan ubat-ubatan dia, angah dapat simpan duit lebih sikit setiap bulan, cukup untuk Amir sambung belajar nanti. Entah-entah, Amir boleh dapat biasiswa, sebab Amir pelajar cemerlang. Jangan tolak kalau dapat tawaran biasiswa, Mir. Rugi!” sambung Aira lagi.

“Bukan senang nak dapat biasiswa sekarang, angah. Top student pun tak tentu akan dapat. Apa kata angah guna duit simpanan angah tu untuk angah sambung belajar dulu? Biar Amir pulak yang bekerja dan cari duit Amir sendiri,” saran Amir. “Amir pun boleh jaga along.”

Aira mengeluh panjang. Dia menoleh mencari wajah Maya.

“Kak long, apa pendapat akak ya? Ai tak berapa setuju dengan cadangan Amir. Ai nak Amir sambung belajar.”

“Bukannya Amir tak nak sambung belajar, ngah. Amir nak tangguh je dulu.” Sekali lagi Amir menyampuk.

Maya memandang ke wajah dua orang adiknya silih berganti. Adik-adik yang telah banyak berkorban untuknya selama ini.

“Ai... akak tahu Ai teringin nak sambung belajar dari dulu lagi. Akak tak tahu nak kata apa. Akak nak Ai dengan Amir berjaya dalam hidup masing-masing je. Buatlah keputusan yang terbaik. Akak akan sokong apa yang korang putuskan.”

“Amir... bos angah sekarang, baik sangat orangnya. Dia bos yang amat memahami dengan tanggungjawab angah. Jadi, setiap kali angah kena jemput along kat hospital lepas dialisis, bos angah tak pernah marah. Kalau Amir bekerja, tak tentu lagi Amir akan dapat bos sebaik angah.” Lembut nada suara Aira masih cuba memujuk adiknya agar tidak meneruskan dengan niatnya untuk menangguhkan pelajarannya. “Macam mana kalau Amir tak boleh nak hantar atau jemput along kat hospital nanti?”

Berubah riak Amir.

“Lagipun, Amir nak duduk kat mana kat KL tu nanti? Amir tak boleh nak duduk serumah dengan along atau angah sebab Kak Kay ada.”

“Angah... angah selalu kata rezeki kita, Allah yang tentukan. Kalau kita berusaha, Allah akan permudahkan. Lagipun, setiap kali cuti sekolah, bukannya Amir balik ke kampung pun. Amir duduk dengan kawan kat KL tu. Jadi, angah janganlah risau. Amir yakin Amir boleh sambung semua yang angah sedang buat untuk along. Along percaya kat Amir untuk jaga along, kan?” Amir memandang ke wajah kakak sulungnya.

Maya tersenyum seraya mengangguk.

“Badan akak pun dah semakin biasa dengan dialisis ni. Kalau Amir tak boleh nak jemput akak lepas dialisis nanti pun, akak boleh je naik teksi sorang-sorang. Insya-Allah akak okey.”

Aira tetap tak bersetuju. Cita-citanya sudah tak penting lagi. Sudah dikuburkan sejak sekian lama. Dia tak perlu belajar ke peringkat yang lebih tinggi untuk membuktikan kemampuannya untuk hidup dan mencari rezeki di bumi Allah ini. Perlukah dia menggenggam segulung ijazah untuk merubah kehidupannya?

“Ai... sampai bila Ai nak jadi pelayan kat kafe tu?” tegur Maya lembut. Dia seakan tahu kerunsingan yang melanda fikiran adiknya. “Dulu Ai kata nak sambung belajar, kan? Ai pun teringin nak bukak kafe atau restoran sendiri. Mungkin dah tiba masanya untuk Ai fikirkan tentang diri Ai sendiri.”

“Angah carilah mana-mana kolej atau universiti yang angah nak. Ada masa lagi ni kalau angah nak cari,” tutur Amir. “Amir minggu depan dah mula SPM.”

“Angah... angah tak tahulah...” Teragak-agak Aira bersuara. “Angah kena fikir dulu. Angah tak boleh nak buat keputusan sekarang.”

Simpati Amir akan Aira. Sejak 6 tahun yang lalu, kehidupan mereka berubah 100%. Aira dibuang ayah sendiri hanya kerana mahu menjaga hati isteri baharunya sedangkan dia terpaksa bertahan tinggal bersama ayah serta keluarga tirinya sehinggalah dia naik ke Tingkatan Satu. Masuk saja asrama, ayahnya sudah lepas tangan. Satu sen ayahnya tidak memberikan duit belanja kepada dirinya, sedangkan Amir yang masih di bawah umur, seharusnya masih dalam tanggungan si ayah. Airalah yang mengambil alih tanggungjawab yang seharusnya dipegang oleh ayah mereka. Sudahlah dibuang ayah, tak lama selepas itu, Aira dibuang oleh Luqman pula. Sebab itu dia membulatkan tekad untuk membalas jasa Aira. Aira perlu diberikan peluang untuk mengejar impiannya pula.

Amir memaksa diri untuk tersenyum.

“Angah kena tunjuk contoh yang baik kepada Amir. Kalau angah tak sambung belajar, kenapa Amir perlu sambung belajar? Along dah ada degree. Angah je yang takde lagi,” ungkit Amir.

Aira menjeling. Maya ketawa.

“Yalah, yalah. Nanti angah fikirkan,” janji Aira.

Mereka tiga beradik berbalas senyuman.

“Dah jom balik asrama.”

 

“AIRA, AWAK okey ke?” soal Azim. “Jauh betul awak termenung ni.”

Terangkat bahu Aira. Terkejut dia ditegur sebegitu oleh Azim. Pisau yang masih di tangan diletakkan kembali ke atas meja.

“Saya okey je bos.”

“Adik awak okey? Sejak awak datang kerja tadi, awak lebih banyak diam daripada bercakap.”

“Adik saya, okey. Dia macam tak stres pun nak SPM ni.” Aira tertawa kecil. “Saya dengan kak long saya pulak yang over risaukan dia.”

“Adik awak tu budak pandai, mestilah dia tak stres.”

Aira mengangguk.

“Insya-Allah.”

Azim masih tak puas hati. Dia yakin ada sesuatu yang mengganggu fikiran Aira. Dia mengilas pandang jam di dinding kafe. Jam sudah menginjak ke pukul 10.30 malam.

“Jom kemas, semua. Saya nak tutup awal hari ni. Lagipun orang dah takde.” Azim memberikan arahan kepada semua pekerja yang bertugas pada malam ini.

“Baik, bos.” Aira mengemas meja yang digunakan untuk menghidangkan kek. Tubuhnya membelakangkan ruang utama kafe, maka dia tidak sedar akan gerangan lelaki yang baru saja masuk ke dalam kafe.

“Eh Zack? Lambatnya kau datang. Aku nak tutup kafe dah ni.” Kedengaran suara Azim menegur seseorang.

Zayyan tidak membalas. Diri seakan terkejut melihat susuk tubuh yang amat dikenalinya berdiri di belakang kaunter.

“Zack?” tegur Azim lagi.

Barulah Zayyan membawa mata ke wajah sepupunya.

I need coffee!”

Hmmm yalah. Kejap. Kapucino, kan?” soal Azim.

Double espresso!”

Terbeliak mata Azim.

“Kau biar betul, Zack! Kau tak nak tidur ke malam ni?”

Zayyan tidak membalas. Mata kembali dibawa ke tubuh Aira. ‘Mengapa dia kerja syif malam pulak hari ni ya?’

“Ai, double espresso please,” pinta Azim.

“Baik, bos,” turut Aira. Sebaik mendengar suara Zayyan tadi, sedaya upaya dia cuba untuk tidak berpaling. Namun kini dia tiada pilihan lain. Dia terpaksa  memusingkan tubuh untuk ke alat pembuat kopi.

Coffee to go.” Zayyan bersuara.

Aira melangut. Dia mengangguk bersama sekuntum senyuman.

“Baik.”

“Kau buat apa kat kafe aku malam-malam buta ni Zack?” soal Azim dengan mata yang masih menunduk mengutip wang dari dalam mesin daftar tunai. “Hari Ahad pulak tu. Kau baru balik dating ke?” usiknya lagi.

Pada pandangan Aira, Azim amat mengenali lelaki yang dipanggil Zack ini. Setiap kali lelaki ini datang ke kafe, sudah tentu Azim akan duduk sekali di mejanya dan mereka akan berbual panjang bersama. Cuma Aira tidak pernah mahu bertanya. Bukan sikapnya ingin menjaga hal di tepi kain orang lain. Begitu dia tidak mahu orang lain bersibuk tentang halnya, samalah juga dia tidak akan bersibuk tentang hal orang lain. Prinsipnya mudah saja.

“Aku kerjalah,” balas Zayyan.

On a Sunday?”

Angguk.

“Ada krisis kat kilang. Aku kena handle.”

Ohh... Dah settle ke?”

“Dah,” balas Zayyan.

“Kopi dah siap, encik.” Aira menghulurkan kopi yang dipesan oleh Zayyan melalui atas kaunter.

Thanks,” ucap Zayyan. Mata sempat memandang ke wajah Aira yang lesu sebelum gadis itu hilang di balik pintu yang memisahkan ruang kafe dan ruang dapur.

“Kau tunggu aku kejap, Zack. Aku pun nak tutup kafe dah ni.”

Zayyan mengangguk. Pelan-pelan bekas cawan kopi dibawa ke mulut.

Aira bersama pekerja-pekerja lain sudah mula keluar daripada bahagian belakang kafe.

“Kami balik dulu, bos,” tegur mereka.

“Okey, terima kasih ya. Elok-elok jalan,” pesan Azim. “Ai, tunggu kejap!” tahannya.

Kaki Aira terhenti melangkah. Pelik Aira jadinya. Pekerja yang lain semuanya sudah mengosongkan kafe.

“Ada apa, bos?”

“Esok awak kerja syif pagi macam biasa balik, kan?”

Aira mengangguk.

“Tak penat ke?”

“Saya okey je bos,” balas Aira.

“Ni awak nak balik macam mana?” tanya Azim prihatin. Tahu perkara yang pernah terjadi kepada Aira suatu malam dahulu.

Errr... LRT.”

Takpe, saya hantar. Awak tunggu kejap.” Zayyan perasan akan mata Aira yang membulat sebelum riak lega terpancar daripada wajah gadis itu.

“Betul ke ni bos? Saya, saya tak nak susahkan bos. Saya okey je naik LRT.”

“Saya yang tak nak awak naik LRT. Tak tenang hati saya nanti lepas apa yang terjadi kat awak sebelum ni.”

Kening Zayyan sudah bercantum. Ni apa kes? Apa yang pernah terjadi kepada Aira? Hati meronta ingin tahu.

“Terima kasih, bos.” Aira tidak membantah lagi. Kepalanya ditundukkan beberapa kali menandakan betapa dia amat bersyukur dengan tawaran Azim itu. Rasa lega yang menakluki di segenap ruang hati, hanya Allah yang tahu.

Lampu kafe ditutup. Aira sudah berjalan ke luar. Begitu juga dengan Zayyan. Azim menutup serta mengunci pintu kafe. Aira berdiri sedikit di belakang Azim dan juga Zayyan.

“Zack, aku gerak dulu. Jumpa lagi nanti. Aku nak hantar Ai balik dulu.”

“Kau duduk kat mana?” soal Zayyan kepada Aira. Wajah masih serius. Nada suara juga begitu. Tiada kelembutan langsung pada peribadi lelaki itu.

Hairan Aira dengan soalan daripada Zayyan. Kenapa perlu dia tahu? “Sentul.” Walaupun tidak selesa, Aira tetap membalas.

“Kalau kau ada hal, Zim, aku pun boleh hantar dia balik,” pelawa Zayyan.

Aira menggigit bibir. Dia memandang ke wajah Azim. Hati merayu agar Azim menolak tawaran daripada Zayyan. ‘Tolonglah! Aku tak mahu... aku tak mahu...’

Takpe, dekat je. Aku boleh hantar,” tolak Azim.

Tangan dihulurkan ke arah Zayyan. “Ciao, bro.”

Zayyan mengangguk. Mata setia mengekor langkah Aira yang membuntuti Azim. Bukan dia tak perasan riak di wajah gadis itu ketika Zayyan menawarkan untuk menghantarnya pulang. Dia sedar Aira tidak senang dengannya. Sedikit pun dia tak salahkan Aira. Mestilah Aira lebih selesa bersama Azim jika dibandingkan dengannya. Lagipun menurut Azim, Aira sudah lama bekerja dengannya.

‘Agaknya, mereka ada hubungan apa-apa ke ya?’ Sempat hati Zayyan berdetik.

 

No comments:

Post a Comment