DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday, 14 December 2022

My Kind Of Different - Bab 7


“SIAPA budak tu?”

Azim mengangkat wajah lalu mengarahkan mata ke figura yang ditunjuk oleh mulut Zayyan.

“Oh, tu adik Ai. Dia baru je habis SPM. Baru 2 hari dia kerja kat sini. Dia kerja part time dulu dengan aku. Kalau bagus, bolehlah dia ganti tempat Ai bila Ai berhenti nanti.”

Lama Zayyan memerhatikan gelagat dua beradik itu. Manisnya senyuman gadis itu yang sedang mengajar adiknya cara menggunakan alat pembancuh kopi. Sesekali dia ketawa apabila mendengar adiknya berkata sesuatu. Adiknya pun nampak galak mengusik si kakak. Jelas hubungan mereka dua beradik amat rapat lagi mesra.

“Adik pun sama bijak macam si kakak tau. Dia budak asrama. Aku rasa SPM nanti pun mesti akan score macam kakak dia,” puji Azim.

“Pandai sangat ke si Aira tu?”

Azim tersengih lebar.

“Ai tu dapat semua A dengan A+ kecuali subjek Sejarah. Sejarah dapat B. Dia tak suka Sejarah. Tak suka pun, boleh dapat B. Kagum sungguh aku!”

Hampir saja perkataan ‘Wow’ terkeluar dari celah bibir Zayyan namun sempat dia menahan.

Azim menunggu saja Zayyan bertanya sebab Aira tidak meneruskan pengajiannya ke peringkat yang lebih tinggi. Penantiannya tidak lama.

“Dia tak sambung belajar sebab tak mampu ke?”

Tak sempat Azim menjawab, ada seseorang sudah memanggil.

“Maaf kacau bos, tapi cef minta saya tolong panggilkan bos ke dapur. Ada hal dia nak tanya bos.” Teragak-agak Aira bersuara. Dia terdengar soalan Zayyan yang terakhir itu, tapi dia tak pasti sama ada mereka sedang memperkatakan tentang dirinya ataupun orang lain.

“Oh okey.” Azim bangun. “Kau minumlah dulu, Zack. Nanti aku datang balik.”

Aira mengangkat gelas Azim yang telah kosong dari atas meja. Dia ingin berlalu namun ditahan oleh Zayyan.

“Hari ni ada kek apa?”

Aira kembali memalingkan tubuh.

“Semua yang dalam menu tu, ada, encik. Encik nak makan kek apa ya?” Sempat Aira mencapai menu dari atas meja yang berdekatan. Menu dihulurkan kepada Zayyan.

“Angah,” bisik Amir yang tiba-tiba berdiri di sebelahnya. “Ada abang kat meja belakang tu tanya nombor telefon angah. Boleh ke Amir bagi?”

Walaupun berbisik, telinga Zayyan masih bisa menangkap pertanyaan daripada adik Aira itu. Dia mengangkat wajah ingin melihat sendiri reaksi Aira. Sedikit pun Aira tidak menoleh untuk melihat gerangan lelaki yang meminta nombor telefonnya itu. Terus saja dia menggeleng.

“Tak boleh beri pada sesiapa pun.” Juga dalam nada berbisik.

Amir mengangguk seraya berlalu.

Zayyan kembali tunduk ke dada menu. Entah mengapa hatinya terasa begitu puas sekali dengan penolakan Aira.

“Kek apa yang paling sedap kat sini?”

Errr... taste orang berbeza, encik, tapi kalau encik tanya saya, saya suka kek Victoria Sandwich dan Salted Caramel.”

“Kenapa?” tanya Zayyan lagi seolah-olah sengaja ingin memanjangkan perbualan antara mereka. Mata sudah merenung tepat ke mata Aira.

“Sebab dua kek ni tak semanis Chocolate Fudge dan Red Velvet. Saya kurang suka yang manis-manis, tapi Karina kata dia suka sangat kek Red Velvet kat kafe ni.”

Then give me the Salted Caramel,” pinta Zayyan.

“Baik. Tu saja?”

For now.”

Aira tersenyum sebelum pergi menunaikan permintaan Zayyan. Hati sudah berdetik. ‘Mengapa lelaki itu bertanya pendapat aku ya?’

Zayyan mengeluh sendiri. Sudah hampir 2 bulan dia asyik mengunjungi kafe Azim ini dengan harapan dia bisa mengupas sedikit demi sedikit perihal gadis yang semakin menyesakkan mindanya ini. Namun bukanlah mudah untuk mencungkil maklumat tentang Aira. Azim begitu setia mengunci mulut.

Nak bertanya kepada Karina, dia tak sanggup. Dia masih belum percaya sepenuhnya pada Karina. Nanti, baru bertanya satu soalan, riuh pula satu pejabat tentang perihal peribadinya. Dia tak suka! Walaupun Karina tidak pernah menunjukkan dirinya seorang yang tidak wajar dipercayai, namun dia tetap mengambil sikap berjaga-jaga. Lagipun, abang Karina sendiri menaruh minat terhadap Aira. Tentu saja Karina tidak akan berkongsi maklumat tentang Aira dengannya.

Aira kembali menghampiri mejanya bersama sepotong kek.

“Encik... minta maaf sangat tapi saya terpaksa bertanya.” Teragak-agak Aira bersuara sebaik piring diletakkan ke atas meja. Wajahnya mencerminkan dirinya yang tak selesa. Tangan sudah mula menggumpalkan kain apron yang tersarung di pinggangnya.

Zayyan memanggung kepala. Mata mengisyaratkan agar Aira meneruskan kata.

Errr... kawan saya minta tolong saya tanya encik, encik sudi tak nak beri nombor telefon encik kepada dia?”

“Kenapa awak yang terpaksa bertanya?” Perkataan ‘terpaksa’ itu sengaja ditekankan.

“Sebab... sebab dia segan nak tanya sendiri dan dia minta tolong sangat kat saya untuk tanyakan bagi pihak dia.”

“Betul ke kawan awak yang nak tahu atau sebenarnya awak yang nak nombor telefon saya tu?” tanya Zayyan. Mata tidak beralih daripada wajah Aira.

Terbuka mulut Aira. Bulat matanya. Tidak sangka begitu jauh sekali jangkaan lelaki itu.

“Eh, tak encik. Bukan saya. Kawan saya yang nak tahu.” Laju Aira menidakkan tuduhan tidak berasas Zayyan itu.

Zayyan mengulum senyuman. Wajah serius cuba dikekalkan. Dia yakin Aira telah berkata yang benar kerana daripada apa yang dia tahu daripada Azim, Aira bukan jenis gadis yang sengaja mahu mendekati mana-mana lelaki. Dan dia seakan boleh mengagak gerangan ‘kawan’ yang dimaksudkan oleh Aira itu. Siapa lagi kalau bukan si gadis yang bernama Laila?

“Boleh, tapi dengan satu syarat.”

Aira menanti dengan penuh sabar.

My number, in exchange for yours!”

“A... apa encik?”

My number, in exchange for yours!” ulang Zayyan. Dia tahu Aira mengerti sepenuhnya maksud di sebalik kata-katanya. Kata pandai, kan? Bahasa Inggeris sekurang-kurangnya dapat markah A, kan? Jadi sila hadam permintaannya betul-betul ya!

“Kenapa encik nak nombor saya?” Riak tak puas hati ditayangkan.

“Kenapa kawan awak nak nombor saya?” Tanpa sedar Zayyan sudah tidak beraku-engkau lagi dengan Aira. Bahasanya pun sudah tidak sekasar atau sekeras sebelum ini.

Aira menggigit bibir. Kelihatan comel pula pada pandangan mata Zayyan.

“Sebab dia nak berkenalan dengan enciklah.”

Ditto!” balas Zayyan laju.

Semakin bulat mata Aira.

“Encik nak berkenalan dengan saya?”

“Tak... saya nak nombor awak supaya senang saya nak pergi beli nombor ekor nanti,” perli Zayyan. Polosnyalah minah sorang ni!

Aira menjeling. Aksi spontan yang tidak dirancang.

Errr... saya... saya tak jadilah nak tanya bagi pihak kawan saya tu. Saya tarik balik pertanyaan saya ya.” Kalut Aira jadinya. Lekas-lekas dia beredar meninggalkan meja Zayyan. Menyesal pula dia bersetuju membantu Laila kali ini. Laila pandai memujuk dan merayunya. Tahu-tahu dia pula dipermainkan oleh Zayyan.

Aksi Aira menerbitkan senyuman kecil di bibir Zayyan. Sejenak saja dia tersenyum sebelum pantas dilenyapkan daripada wajah. Kek mula disuap ke mulut. Mmmm memang sedap! Tepat sekali pilihan Aira.

Lebih kurang 10 minit kemudian, Zayyan bangun. Dia ke kaunter pembayaran. Azim masih tiada. Memandangkan hanya Aira yang masih berada di belakang kaunter, dia terpaksa melayan Zayyan walaupun diri masih berasa tidak selesa dengan kejadian tadi.

“Kapucino dengan kek Salted Caramel je kan, encik?” tanya Aira inginkan kepastian sebelum menekan kekunci di mesin daftar tunai.

Hmmm.”

“RM25.50, encik.”

Zayyan menghulurkan kad debit untuk membuat pembayaran secara imbasan di terminal pembayaran.

“Masih tak nak nombor saya?” duga Zayyan. Enak mata yang berlabuh di wajah Aira. Wajah yang sentiasa tenang dan mekar dengan senyuman.

Spontan mata Aira naik ke wajah Zayyan. Dia menggeleng perlahan. Terbias warna merah di pipinya. Comel!

“Kenapa awak tak tanya Karina je?”

Bulat mata Aira seketika. Ya Allah! Dia langsung tak terfikir! Macam mana dia boleh terlupa yang lelaki ini merupakan bos Karina? Kan elok dia tanya pada Karina. Taklah dia terpaksa menghadap lelaki tu tadi!

“Sama macam saya tak tanya Karina nombor telefon awak. Padahal saya boleh je tanya dia, kan?” sambung Zayyan.

“Kenapa encik tak tanya dia?”

Zayyan menjongket bahu.

That’s not my style.”

Belum sempat Aira meminta penjelasan, Zayyan sudah pun menyusun kaki keluar dari kafe. Langsung tidak meninggalkan pesanan kepada sepupunya yang menghilang sejak tadi.

“Ai... kau dapat tak?” Tiba-tiba Laila datang dari arah dapur.

Sorry, Laila. Tak dapat arrr...”

Masam wajah Laila. Dia kecewa. Susah betul mahu menarik perhatian lelaki itu. Sudah berminggu-minggu kut! Kebal sungguh dia. Tak tergoda sedikit pun dengan lirikan mata, dengan suara yang sengaja dilembutkan, serta bahasa tubuh yang memberikan isyarat bahawa dia sesungguhnya rela. Bukannya Laila tak biasa menggoda dan digoda. Tapi Zayyan begitu sukar untuk dilenturkan.

Daripada pemerhatiannya, lelaki itu lebih tertarik pada Aira. Matanya seakan tergam pada Aira setiap kali berada di dalam kafe ini. Jadi perlukah dia melupakan saja niatnya untuk mendekati lelaki itu?

 

No comments:

Post a Comment