DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday 14 December 2022

My Kind Of Different - Bab 6


“KAU kenapa?” Pelik Zayyan melihat sepupunya. Macam tak senang duduk saja lagaknya. Sekejap buntut dialih ke kiri, sekejap ke kanan. Tingkahnya seperti kerusi duduknya keras mengalahkan bata!

Azim meletakkan sudu dan garpu ke atas pinggan. Bibir dikesat dengan tisu. Pinggan nasi campur yang bersisa tulang dan kepala ikan ditolak ke tengah-tengah meja.

“Dari tadi aku tengok kau senyap je. Ada masalah kat kafe ke?” Selalunya mulut Azimlah yang pot pet pot pet, tapi pada tengah hari ini, berat sungguh dia mahu berkata-kata.

“Bukanlah masalah besar sangat pun, tapi aku tak tahu sama ada nasihat yang aku bagi kat staf aku sorang tu, betul ke tak,” ujar Azim. Dia serba salah sebenarnya. Dia tidak mahu berkongsi perihal Aira dengan sesiapa pun kerana tahu yang pekerjanya itu amat mementingkan privasi dalam kehidupannya. Namun, dia perlu bertanya pendapat daripada seseorang yang lebih berkecuali... seseorang yang tidak mengenali Aira seperti dirinya.

“Kenapa dengan staf kau?” Zayyan memaksa diri untuk bertanya sekadar menghormati masalah yang dihadapi oleh Azim. Kalau ikutkan hatinya, dia tak nak ambil peduli pun dengan masalah orang lain. Bukan sikapnya begitu!

“Staf aku tu, dia budak pandai sebenarnya. Masa aku nak ambik dia kerja kat kafe aku dulu pun, aku terkejut tengok keputusan SPM dia. Rasa macam dia tu over qualified sekadar nak jadi pelayan kafe. Ingatkan dia nak kerja sementara je, tapi tak. Dia tetap nak kerja sepenuh masa, sebab dia kata dia tak boleh nak sambung belajar.” Jeda. Azim menghirup air sirap bandung melalui corong straw.

Zayyan bersandar ke dada kerusi. Setia mendengar keluhan sepupunya.

“Sekarang ni, errr... dia ada peluang nak sambung belajar, tapi dia ragu-ragu dengan kemampuan diri dia sendiri. Dia tu memang ada low self esteem sikit. Dia macam tak yakin dan dia tanya pendapat aku sama ada dia perlu teruskan atau tak.”

“Jadi, kau kata apa pada dia?” soal Zayyan ingin tahu.

“Aku kata, kenapa perlu tolak peluang yang datang, kalau peluang tu boleh menjanjikan kehidupan yang lebih baik pada dia?”

“Betullah apa yang kau cakap tu!” setuju Zayyan. “Jadi, apa masalahnya?” Pelik Zayyan jadinya. Benda macam ni pun nak dipeningkan kepala. Entah apa-apa sepupu dia ni. “Kau sendiri kata yang staf kau datang dan pergi, kan? Kalau dia berhenti, kau cari jelah staf baharu, apa susah?” Selamba Zayyan mengutarakan cadangan.

Azim mengeluh panjang. Hesy Zayyan ni! Begitu mudah sepupunya itu berkata-kata. Tak sedarkah dia betapa payahnya untuk dia melepaskan seorang pekerja seperti Aira?

Wait! Don’t tell me...” Melihat riak cemberut di wajah Azim, Zayyan seakan bisa meneka gerangan staf yang dimaksudkan oleh sepupunya itu.

Azim tiada reaksi.

“Aira?” tanya Zayyan. Tubuh kembali dirapatkan ke meja.

Lambat-lambat Azim mengangguk. Pandai pun Zayyan meneka! Atau dia yang terlalu jelas dalam memberikan bayangannya sebentar tadi?

“Jadi kenapa kau sedih sangat macam kau akan hilang kekasih ni?” Tanpa sedar, keras sedikit nada suara Zayyan. Tajam matanya membelah ke wajah Azim. “Kau dengan dia ada apa-apa ke?”

“Hesy kau ni! Ada ke situ pulak!” pangkah Azim. “Walaupun dia tu staf yang paling aku sayang, tapi aku dah anggap dia macam adik aku sendirilah.”

“Habis tu?”

“Aku tak sanggup kehilangan dia. Aku dah biasa dia ada kat kafe tu.” Air sirap bandung dihirup lagi. “Dia macam penyeri kat kafe aku tu. Orang lain guna pelaris, tapi aku tak perlu benda tu semua. Cukup aku ada penyeri macam Ai. Dia cekap, rajin dan tak banyak kerenah. Pelanggan aku pun rata-rata suka dengan dia. Aku ikhlas bagi nasihat macam tu kat dia tadi, tapi kalau ikutkan rasa selfish aku ni, aku nak je larang dia daripada sambung belajar. Aku nak dia kerja dengan aku sampai bila-bila!”

“Dia tak boleh kerja sambil belajar ke?” Zayyan bertanya lagi.

“Entahlah... aku rasa macam tak boleh, sebab dia akan belajar full time, bukan part time.”

“Bila dia akan berhenti kerja?”

“Bukan dalam masa terdekat nilah. Dia kena cari tempat yang sesuai dulu. Tapi dia dah bagi aku advance notice tadi. Kalau tak silap, ada intake kolej bulan Mac tahun depan. Jadi lama lagilah.”

“Kenapa kau layan dia lain daripada staf kau yang lain?” Zayyan masih tak berpuas hati. Cara Azim bercerita tentang Aira pun dia bisa tahu.

“Sebab dia perempuan yang paling baik aku pernah jumpa dalam hidup aku!” Perlahan Azim bersuara. Wajah Zayyan dipandang. “Dia tak pernah ambik kesempatan atas kebaikan orang lain. Dia tak pernah nak susahkan orang atau minta pertolongan sesiapa pun. Selama aku bagi dia flexibility dalam bekerja, dia tak pernah sekali salah gunakan kemudahan yang aku bagi tu. Kalau dia lambat 5 minit pun, dia akan ganti balik 5 minit tu. Dia seorang yang amanah. Kau takkan jumpa perempuan lain macam Ai, Zack. Aku berani jamin dengan kau.”

What are you not telling me?” Mata Zayyan terpasak jauh ke dalam mata sepupunya. Apa yang dirahsiakan oleh Azim tentang Aira? Mengapa begitu lain sekali Azim berbicara tentang gadis itu? Memuji-muji dalam nada dan riak yang penuh dengan teka-teki.

Sorry, bro. Aku tak boleh nak cerita hal peribadi dia pada kau. Not my place to tell you. Tapi kau percayalah cakap aku. Aku dapat tahu pun lepas dah setahun dia kerja dengan aku. Itu pun secara kebetulan aku terdengar dia cakap kat telefon dengan kakak dia. Kalau tak, sampai sekarang pun aku mungkin tak tahu,” ujar Azim.

Zayyan semakin bersemarak ingin tahu tentang gadis itu. Lazim fitrah seorang manusia. Selagi tidak diberitahu, selagi itulah hati akan tertanya-tanya. Namun, seperti biasa, ego kembali mengetuk kesedaran yang seakan goyah sebentar tadi.

Pleaselah. There’s no such thing as ‘perempuan yang paling baik’! One is just as good as the other.”

Azim tersenyum nipis. Tak terkejut langsung dengan pendapat Zayyan. ‘Good’ yang disebut oleh Zayyan, tentu sekali mempunyai maksud yang bertentangan.

She is an exception, bro.”

“Kalau dia baik sangat, kenapa kau tak try dia?” duga Zayyan.

“Kau ingat aku tak pernah cuba?” Tak berkelip mata Azim. Mahu melihat riak di wajah sepupunya. Muka Zayyan kekal serius namun sempat Azim menangkap rahang sepupunya yang bergerak seperti sedang mengetap gigi. Kali ini, senyuman di bibir Azim tambah melebar.

“Lelaki yang bodoh je tak nak cuba dapatkan perempuan sebaik Ai sebagai teman hidup! She is perfect!”

Merekah sedikit bibir Zayyan. Senyuman berbaur sinis.

“Kalau kau nak isteri yang sikit-sikit terjatuh, sikit-sikit nak langgar orang, memang dia tu perfect!”

Azim ketawa. Kuat tawa yang dihamburkannya.

Takpe, kalau dia jatuh, aku boleh jadi hero yang tolong angkatkan dia. Berkali-kali pun aku rela. Takde hallah. Badan dia ringan dowh!”

Terjongket kening Zayyan. Tanpa sedar, mata sudah mula memerah. Hidung sudah menghembuskan nafas hangat.

“Macam mana kau tahu dia ringan?” Tak puas hati! Sangka Zayyan, hanya dirinya seorang yang tahu betapa ringannya tubuh Aira ketika diangkat suatu ketika dulu. Saat pertemuan mereka yang pertama kali. Rupa-rupanya, Azim turut mengakui hakikat yang sama.

“Dia pernah terjatuh kat dapur sebab lantai licin. Akulah yang cempung dia bawak ke klinik.” Selamba Azim bercerita. Dan sama seperti tadi, matanya utuh di wajah Zayyan. Melihat mata merah sepupunya, dia seakan bisa meneka perasaan yang cuba diselindung oleh Zayyan. Jika sebelum ini dia takkan membenarkan Zayyan mendekati Aira kerana tidak mahu kehilangan Aira, namun kini, alasan itu sudah menjadi tidak relevan lagi. Aira tetap akan meninggalkan kafe demi menyambung pelajarannya ke peringkat yang lebih tinggi. Maka, mengapa tidak dibiarkan Zayyan didampingi oleh perempuan sebaik Aira?

“Kau cintakan dia?” Soalan cepumas ditanya oleh Zayyan.

Azim sekadar menjongket bahu.

“Cinta? Entahlah... yang aku tahu, aku lebih sayangkan hubungan aku dengan dia sekarang. Aku takkan buat apa-apa yang bakal buat dia jauhkan diri daripada aku. All I know is that I love her as a sister.”

Zayyan mengetap bibir. Takkan Aira sebegitu istimewa? Dia tidak percaya!

“Aku rasa, aku nak beri hadiahlah kepada dia. Kira macam going away presentlah. Aku nak beli apa ek?” Azim mengetuk jari-jemari ke atas meja. Dia terdiam seketika seolah-olah sedang memikirkan hadiah yang sesuai untuk diberikan kepada Aira.

“Hah aku tahu! Memandangkan dia nak sambung belajar, aku akan belikan lap-top untuk dia. Zaman sekarang semua pelajar kena ada lap-top.”

‘Mahalnya hadiah yang Azim nak belikan!’ fikir Zayyan.

“Jenama apa yang best sekarang ek?”

Zayyan tidak membalas.

“Tapi mesti dia tak nak terima,” sambung Azim lagi. “Dia tu susah betul nak terima pemberian orang. Semua pun dia tolak.”

Tambah hairan Zayyan dengan ciri yang baru diiklankan oleh Azim ini. Betul ke ada perempuan yang begitu?

“Kau tahu, pernah ada sorang customer ni, hari-hari datang ke kafe. Rupa-rupanya dia datang sebab dah tertangkap leleh dengan Ai.” Azim semakin galak bercerita tentang Aira. Selalunya Zayyan tidak pernah menampakkan minat untuk mendengar, terutamanya tentang mana-mana gadis yang mahu diperkenalkan kepadanya. Namun melihat Zayyan tidak memintanya agar berhenti berbicara, sengaja dia mengungkit apa jua cerita yang melibatkan Aira.

“Bukan calang-calang orang. Anak Dato’ mana entah. Asyik tayang kunci kereta Ferrari kat atas meja sebab nak pikat Ai. Tapi aku rasa dia tu nak main-mainkan Ai je. Aku yakin yang dia ingat semua pelayan ni kira level murahlah. Yang boleh diusung ke sana ke sini. Yang akan buat apa-apa saja untuk dapatkan duit lebih.”

Zayyan mengetap gigi. Tangan sudah mengepal penumbuk. Rasa marah bagi pihak Aira mula melanda diri. Perasaan yang begitu asing bagi dirinya.

Then what?” soal Zayyan tidak sabar.

“Asyik bertunggu-tangga kat kafe aku, Ai buat derk je. Ego dia tercalar agaknya sebab Ai tak kisahkan dia. Ada sekali tu, masa Ai nak balik, dia paksa Ai naik kereta dia, kononnya dia boleh tolong hantarkan. Asyik tarik-tarik tangan Ai.” Sengaja Azim berhenti bersuara sebelum menghirup minuman yang masih berbaki. Aksinya sengaja diperlahankan. Mahu menaikkan sedikit suhu di jiwa sepupunya.

Zayyan sudah panas punggung. Bayangan Aira diganggu oleh seorang lelaki membuat hatinya terbakar! Walaupun kisah itu sudah tentunya berlalu, dia tetap mampu membayangkan sketsa yang sedang diceritakan oleh Azim kini.

“Aku dengan staf lelaki aku yang lain dah bersedia nak masuk campur. Kalau kena panggil polis pun, aku dah sedia nak call. Tapi kau tahu Ai buat apa? Dia tenang je. Dia tanya kat mamat tu... ‘Ego encik terlalu tinggi ke sampai tak boleh nak terima penolakan daripada saya?’”

Azim menggelengkan kepala.

“Lepas tu dia sambung, ‘saya tak mahu bukan sebab encik tak sempurna, tapi sebab saya yang tak sempurna.’ Mamat tu tak reti nak jawab apa, Zack. Dia pun blah macam tu je. Merah muka dia. Lepas tu terus tak datang lagi ke kafe. Malu agaknya!”

Zayyan terkelu. Seakan dapat membayangkan riak tenang Aira ketika berbicara dengan lelaki yang dimaksudkan oleh Azim tadi. Tenang sambil mengukirkan senyuman ke arah sesiapa pun yang cuba memprovokasi dirinya. Sama seperti tingkah Aira setiap kali berhadapan dengan kerenahnya.

“Aku respek gila dengan Ai. Mamat tu ada Ferrari kut! Tapi dia sikit pun tak hairan,” tutur Azim.

“Dia nak lelaki yang ada Lambo kut?” sindir Zayyan. Tindakan yang sengaja dilakukan kerana tidak suka dengan bisikan hati yang semakin kagum dengan gadis yang bernama Aira itu. Dia perlu kukuhkan kembali benteng hati yang seakan mula retak.

“Zack, Zack... kau dengan sangka buruk kau ni memang tak dapat nak dipisahkan ek?” tegur Azim. “Tak baik macam tu tau. Dah 3 tahun dia kerja dengan aku. Aku lebih kenal dia siapa.”

Whatever!”

“Hailah... manalah aku nak cari pengganti sebaik Ai?” Azim masih merungut. Tangan sudah berlabuh di atas meja sambil menongkat dagu. Tak sanggup rasanya tiba detik dan waktu dia terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada Aira. Serius tak sanggup!

 

No comments:

Post a Comment