DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Thursday 29 December 2022

My Guardian Angel - Bab 5


JIHAN memegang kepala yang terasa berat dan duduk bersila di atas karpet. Nasib baik lantai bilik ini dilitupi karpet. Kalau tidak, agaknya sudah ‘bertelur’ belakang kepalanya. Anak mata mencari jam dinding dan bulat matanya melihat jam yang sudah menunjukkan pukul 6.30 pagi! Sah, hari ini pasti dia akan lambat lagi. Sedang dia membayangkan apa yang bakal ‘diceramahkan’ oleh Tuan Zaid di pejabat nanti, kotak ingatannya menerawang ke peristiwa tengah malam tadi.

Seingat Jihan, dia bergerak ke tepi tingkap semata-mata ingin mengintai rumah jiran sebelah yang sememangnya sudah bertahun-tahun tidak berpenghuni. Kemudian dia terus pengsan dek ‘disapa’ oleh lembaga hitam. Cepat-cepat dia berdiri dan menyelak langsir. Rumah kosong itu masih kelihatan kosong dan seperti sudah lama ditinggalkan oleh penghuninya. Tiada langsung kelibat lembaga hitam malam tadi. Sangat pelik! Belakang tengkuknya sudah terasa sejuk semacam. Sudah Jihan, jangan fikir macam-macam!

 

“HANA, AKU nak tanya sikit,” tutur Jihan dan kerusi di hadapan Hana ditarik sebelum dilabuhkan duduk. Tangan kanan menarik keluar sekeping roti wheatmeal Gardenia sebelum roti tersebut disapu dengan Nutella dan disumbat ke dalam mulut.

“Nak tanya sikit tak apa. Nak tanya banyak-banyak tak boleh sebab kau tu dah lambat nak pergi kerja,” balas Hana selamba membuatkan Jihan mencebik. Macamlah si Hana ini tak terlambat nak masuk kerja jugak!

“Tengah malam tadi, kau ada dengar bunyi kuat daripada rumah jiran sebelah kiri kita ni tak?” soal Jihan sambil tangan mencapai sekeping lagi roti.

Terus terhenti tangan Hana yang tadinya asyik menyapu Nutella pada roti. Dahinya sudah berkerut memandang Jihan.

“Bunyi apa pula? Aku tak dengar bunyi apa-apa pun malam tadi.”

“Bunyi yang macam orang tengah pindah masuk barang. Kalau dengar betul-betul macam bunyi perabot kena tolak dan kena seret,” cerita Jihan serius. Dalam kepalanya sudah terngiang-ngiang bunyi yang dia dengar dari rumah sebelah tengah malam tadi. Sampai pengsan ke subuh jadinya. Seram!

Puk! Surat khabar yang dipegang oleh Hana digunakan untuk mengetuk kepala Jihan membuatkan Jihan membulatkan mata. Hampeh punya kawan!

“Sakitlah, Hana!” Tangan sudah naik menggosok perlahan kepala yang terasa pedih.

“Kau dah kenapa? Kau pun tahu yang dah bertahun-tahun rumah sebelah ni kosong. Tak ada sesiapa pun yang pernah datang jenguk. Kau tahu tak sebab apa sewa rumah kita ni murah? Sebab tulah.” Hana tayang riak wajah selamba sambil mencapai sekeping lagi roti.

Jihan mengambil surat khabar yang ada di atas meja dan digunakan untuk mengetuk kepala Hana pula.

“Sakitlah, mak cik!”

“Mulut kau tu kontrol sikit! Aku cabai sat gi. Tak pasai-pasai dapat gincu merah free!” balas Jihan geram dengan wajah yang sudah bertukar pucat.

Hana ketawa sambil mencampakkan surat khabar tersebut ke atas meja kopi. Tak senonoh betul perangai anak dara Mak Cik Hasnah ni.

“Kau tahu, malam tadi aku dengar bunyi kuat dari rumah sebelah kita ni siap dengan bunyi anjing menyalak lagi,” tambah Jihan lagi.

“Ala, biasalah si Ah Seng tu. Ah Seng kan suka menyalak malam-malam. Dia rasa dia tu abang long kawasan ni. Saja nak test suaralah tu,” jawab Hana bersahaja sambil meneguk kopinya. Ah Seng merupakan anjing bulldog milik jiran mereka yang mesra dipanggil sebagai Uncle Chong. Rumah Uncle Chong terletak di belakang rumah teres dua tingkat yang disewa oleh Jihan dan Hana.

“Tapi Ah Seng menyalak tepat pukul 12.00 tengah malam, Hana. Lepas tu aku terus dengar ada bunyi dari rumah sebelah. Selama insomnia aku makin menjadi-jadi ni, aku tak pernah lagi dengar bunyi dari rumah sebelah kiri kita ni tau. Aku nampak macam ada orang perhatikan rumah kita malam tadi,” balas Jihan masih tidak berpuas hati.

Dia yakin dengan apa yang dia nampak. Takkanlah orang yang cuba membunuhnya itu berjaya menjejaknya sehingga ke sini? Tahu tempat tinggal dia dan Hana? Adakah dia patut maklumkan kepada Inspektor Aliff? Macam mana kalau apa yang dia nampak malam tadi hanyalah mainan perasaannya yang terlalu banyak berfikir tentang apa yang berlaku di gudang terbiar bulan lepas?

Hana meletakkan semula cawan kopinya di atas meja, sebelum wajah Jihan yang kelihatan seperti sedang berfikir itu dipandang lama.

I think you really need to see a doctor, babe. Dah berapa minggu kau macam ni. Boleh dikatakan setiap malam kau tak boleh tidur. Nanti aku tolong carikan kau doktor yang sesuai ya?” Nada suara Hana sudah bertukar risau.

“Kan doktor dah cakap, masalah insomnia aku ni berkait rapat dengan dissociative amnesia yang aku dapat lepas apa yang berlaku dekat aku. Kalaulah aku dapat ingat secara detail apa yang berlaku lepas kereta aku dilanggar dan dapat cam muka penjahat tu...” Jihan terdiam dan dipejamkan mata. Dia cuba mengingat semula tetapi ingatannya masih kabur.

“Dah, Jihan. Dah. Kau tak payah nak paksa-paksa otak kau untuk ingat benda yang kau tak boleh ingat. Kan doktor sendiri yang cakap, bila sampai masanya ingatan kau akan datang balik dengan sendirinya. Ini semua disebabkan kesan trauma kau. Jadi jangan paksa diri kau sangat. Lagipun team Inspektor Aliff kan tengah siasat tentang kes ni. Janganlah bagi aku risau, Jihan.” Hana sudah mula membebel-bebel dengan pisau mentega di tangan kirinya menari-nari di udara.

Tidak lepas-lepas anak mata Jihan mengikut tangan Hana yang memegang pisau mentega itu. Risau kalau pisau tersebut terbang ke arahnya pula.

“Aku carikan kau doktor yang sesuai ya? Nanti aku tanyakan along aku kalau dia ada kenal mana-mana doktor yang sesuai kat hospital dia,” tambah Hana dan kali ini nada suaranya berubah menjadi tegas.

“Nanti doktor bagi aku ubat supaya senang nak tidur. Tak naklah.” Jihan pantas menggelengkan kepala.

“Mak cik, kau tengok jam sekarang dah pukul berapa?” Bulat mata Hana memandang Jihan, pura-pura tidak mendengar alasan Jihan sebentar tadi.

“Okey, aku gerak dulu. Nanti bising si tentera Jepun tu. Ingat tau, Hana. Jangan susah-susah carikan doktor untuk aku. Kalau nak carikan calon suami, tak apa. Yang itu aku terima dengan hati yang terbuka.” Jihan bingkas bangun daripada duduknya.

“Amboi, kau! Gatal tak beragak betul!” cebik Hana dan Jihan hanya ketawa lepas sambil mengatur langkah ke pintu utama.

 

TANGAN KIRI Jihan laju menolak gear ke simbol ‘P’ sebaik sahaja dia memarkirkan kereta di kawasan parkir basement sebelum terus melangkah laju menuju ke lif untuk ke ruang pejabat di tingkat atas. Kedua-dua kelopak matanya sudah mula terasa pedih. Mengantuk disebabkan dia tidak cukup tidur seperti selalu.

“Selamat pagi, Jihan.”

Suara lelaki yang menegur dari arah belakang itu membuatkan langkah kaki Jihan terhenti sebelum dia memusingkan tubuh. Melebar dua ulas bibirnya memandang Bakarudin atau lebih mesra disapa dengan panggilan Abang Din, pengawal keselamatan bertugas yang menegurnya.

“Selamat pagi. Hari ini Abang Din syif pagi ke?” tegur Jihan ramah. Selalunya Abang Din atau Pak Cik Mahmud yang bertugas untuk syif pagi. Jika Pak Cik Mahmud sibuk dengan urusan sekolah anaknya, pasti Abang Din yang akan bertugas pada waktu pagi dan Pak Cik Mahmud pada waktu malam.

“Pak Cik Mahmud cuti hari ni. Isteri dia masuk hospital malam tadi,” jawab Abang Din. Masih tersenyum memandang Jihan yang sudah menguap beberapa kali. “Pagi-pagi dah menguap ke, Jihan?” usik Abang Din.

“Macam biasalah, Abang Din. Orang lain akan mulakan hari dengan senyuman tapi saya ni mulakan hari dengan menguap pulak.” Jihan tayang sengih sambil melirik jam tangan. Alamak, dia dah lambat sangat sebenarnya!

“Saya gerak dululah, Abang Din. Kejap lagi mesti telinga saya ni nak kena dengar ‘ceramah’ tentera Jepun dekat atas tu,” bisik Jihan perlahan sebelum kelam-kabut mengatur langkah ke lif. Terdengar-dengar suara Abang Din yang sedang seronok ketawa di belakang.

No comments:

Post a Comment