DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Thursday 29 December 2022

My Guardian Angel - Bab 4


BUNYI berkeriut pintu yang ditolak dari arah luar membuatkan lelaki yang sedang menunggu di sofa kulit di dalam ruang pejabat itu mengangkat wajah. Wajah yang sudah ada di depan matanya itu dipandang tajam.

“Macam mana?” soalnya tidak sabar. Pembantunya yang bernama Burn itu sudah berdiri tegak.

Safe, bos.”

Pandangan mata lelaki yang dipanggil ‘bos’ itu semakin tajam menikam wajah Burn.

Safe kepala otak, kau! Kenapa kau tak bunuh aje perempuan tu malam tu? Kau buat kerja macam mana ni?”

“Bukan aku tak nak buat, bos. Tapi ada orang lain yang tiba-tiba muncul dan serang aku. Lebih baik aku selamatkan nyawa aku dulu,” jawab Burn berani.

Masih segar dalam ingatannya yang tiba-tiba sahaja seorang lelaki berpakaian serba hitam dengan topi yang menutup wajah muncul dan menyerangnya dari arah belakang. Teringat-ingat semula betapa payahnya dia yang sudah lembik dibelasah oleh lelaki itu mahu melarikan diri.

Pada mulanya dia ingatkan ahli kumpulannya sendiri disebabkan cara berpakaian yang sama, tetapi orang lain rupa-rupanya. Melihat pada cara lelaki misteri itu menyerangnya, dia tahu yang lelaki itu bukanlah setakat rakyat Malaysia prihatin yang mahu membantu, tetapi lebih daripada itu.

Bos Burn terus ketawa terbahak-bahak sebelum dia kembali merenung Burn.

“Selamat ke nyawa kau? Perempuan tu dah nampak muka kau, kan? Bila-bila masa dia akan buka mulut dan ceritakan kepada pihak polis.”

“Dia tak ingat dan dia tak dapat nak cam muka aku. Aku ada waktu pihak polis datang ke hospital tu tadi.”

“Kalau tiba-tiba dia ingat?”

Burn tarik senyum jahat.

“Aku akan pastikan dia tak sempat buka mulut dia kepada pihak polis pun.” Sebelum perempuan itu menghapuskannya, dia akan hapuskan perempuan itu terlebih dahulu kerana itu yang sepatutnya dia lakukan pada malam itu.

“Aku nak kau perhatikan perempuan tu. Hapuskan dia secara senyap-senyap bila kau ada peluang. Ingat, aku tak nak apa yang berlaku ni kacau plan kita selama ini. Ini VIP dah bising tanya aku macam-macam. Jangan sampai VIP tahu yang perempuan tu terselamat pula. Ingat, aku akan kerjakan kau dulu sebab ini semua salah kau.”

Burn yang masih berdiri tegak itu menelan liur yang terasa kesat.

 

Beberapa minggu kemudian...

JIKA PUTERI Aurora daripada kisah dongeng Sleeping Beauty itu tidur lama untuk melindungi dirinya daripada sumpahan si ibu tiri yang jahat, Jihan pula mengalami masalah untuk tidur ataupun insomnia selepas apa yang sudah berlaku bulan lepas. Bak kata Hana, mungkin dia boleh menjadi seperti Puteri Aurora yang menantikan ketibaan si prince charming untuk menjadi pelindung dan menghapuskan sumpahan.

Sumpahanlah sangat, kan? Mana ada orang kena sumpahan masalah insomnia ataupun sukar untuk tidur. Jika dia boleh melelapkan mata pula, pasti dia akan bermimpi tentang kejadian di gudang di mana sekumpulan wanita dipukul dengan teruk, dan dia akan terjaga daripada tidur dengan tercungap-cungap dan wajah yang dibasahi peluh.

Jihan meletakkan kedua-dua belah tapak tangan di atas perut sambil berbaring merenung siling bilik tidur. Kalaulah siling biliknya ini boleh bercakap, mesti telinganya akan mendengar rungutan siling setiap hari, “Pilah tidoq. Duk tenung aku bukan dapat  apa, dapat mata panda adalah. Bonus tambahan, kena bebel dengan si tentera Jepun.”

Sejak Jihan bertukar tempat kerja baharu ini, penyakit insomnia atau sukar untuk tidur ini semakin menjadi-jadi. Matanya akan celik, segar bugar sehingga pukul 4.00 pagi. Selepas pukul 4.00 pagi, barulah dia boleh terlelap dan pastinya akan mengantuk di tempat kerja. Di tempat kerja pula, dia akan tersengguk-sengguk di meja kerja sehinggalah dibebeli oleh bos yang serupa tentera pada zaman Jepun itu. Jihan rasa, mesti bosnya yang ‘mandrem’kan dia supaya jadi begini.

Malam semalam, Hana mengajak Jihan menonton filem Ju-On. Berdasarkan teori Cik Hana, selepas menonton filem seram seseorang itu akan terus masuk bilik, baca doa tidur dan ayat Kursi, pejam biji mata rapat-rapat dan terus tidur sampai subuh esoknya. Biji mata pasti tak nak buka dah. Kalau tak, terbayang-bayang Ju-On menari-nari di hadapan mata.

Malangnya, selesai menonton filem seram hantu Jepun itu, biji matanya terbuka luas sehingga pukul 4.00 dengan bayangan Ju-On di dalam bilik tidur gelap itu! Gila!

Pagi tadi, si tentera Jepun a.k.a. bos Jihan yang semua staf panggil sebagai Tuan Zaid itu, membuat konklusi yang dia boleh melihat hantu. Kata si tentera Jepun itu, hanya orang yang selalu ternampak hantu yang mengalami masalah tidur. Kurang asam boi sungguh!

Telefon pintar yang diletakkan di sebelah bantal dicapai sebelum skrin telefon disentuh. Baru pukul 12.00 tengah malam. Ada lagi empat jam sebelum pukul 4.00 pagi. Dia sendiri dah tak larat nak mengira kambing biri-biri. Entah berapa ribu ekor sudah selesai dikira sambil berbaring tadi. Tiba-tiba kedengaran bunyi anjing menyalak dan ditambah dengan bunyi kuat yang datangnya dari rumah sebelah yang sejak dahulunya kosong tidak berpenghuni. Menurut cerita tuan rumah sewa Jihan, tuan rumah sebelah ini sudah berpuluh tahun menetap di luar negara. Terus Jihan menelan liur sambil duduk bersila kaku di atas katil dengan jantung yang sudah berdegup kencang dan bulu roma yang terasa meremang.

Sekali lagi pandangan mata dihalakan ke arah tingkap bilik yang bertentangan dengan rumah sebelah. Nak intai ke tidak? Kalau 'Encik Han' yang muncul dan cakap hai macam mana? Kalau tak intai dan tengok dengan mata sendiri, lagilah matanya tak boleh berkompromi untuk tidur selepas ini. Dia akan terfikir-fikir sehinggalah pagi esok dan yang pastinya dia terus tak boleh tidur. Kesannya nanti, dia terpaksa menadah telinga mendengar sindiran Tuan Zaid lagi.

Jihan bangun daripada duduknya di atas katil dan berjalan perlahan-lahan merapati tingkap. Tingkap biliknya ini memang lokasinya strategik kerana senang untuk dia mengintai rumah kosong di sebelah.

Sedang Jihan terintai-intai, satu lembaga hitam berdiri betul-betul di luar rumah kosong itu, sedang memandang ke arahnya. Dan, Jihan terus pengsan!

No comments:

Post a Comment