DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday 14 December 2022

My Kind Of Different - Bab 1


Dua tahun kemudian...

LAJU Aira menanggalkan tali apron di bahagian pinggangnya sebelum digantungkan ke pencangkuk di dinding. Kemeja berwarna putih merangkap uniform kerjanya ditanggalkan laju sebelum menyarung baju-T berlengan panjang yang lebih selesa. Tudung dirapikan semampu boleh. Dia sudah lambat. Bergegas dia keluar dari bilik persalinan yang dikhaskan untuk pekerja kafe ini.

“Bos, saya pergi dulu,” ucapnya betul-betul di hadapan kaunter bayaran. “Saya dah lambat ni.”

Hmmm... kejap lagi sambung kerja tak?” soal Azim seraya menongkat wajah. Soalan yang sama diutarakan setiap kali Aira meminta diri untuk keluar dari kafe. Wajah kalut Aira dipandang.

Laju Aira mengangguk.

“Sambung, insya-Allah, bos.”

Hmmm...”

“Babai,” pamit Aira sebelum kaki dipecut laju menuju ke pintu utama kafe. Kaki yang sama yang tidak perasan akan kawasan lantai kafe yang masih sedikit basah dek kesan baru sahaja dikesat dengan mop. Sekelip mata buntut Aira sudah mencium lantai dengan kedua belah kaki terlunjur ke hadapan.

“Aduh!” Berkerut wajah Aira. Terkejut dia.

Belum sempat Azim mahupun pekerja lain membantu, ada tangan yang sudah menyauk di bahagian bawah ketiak Aira dari belakang dan dengan mudah mengangkatnya agar berdiri. Ternaik kedua belah kaki Aira ke udara seketika sebelum kembali diturunkan ke atas lantai. Lagaknya seakan Aira seorang kanak-kanak kecil yang begitu ringan sekali. Haruman minyak wangi yang agak maskulin menyapa deria hidung Aira. Belum sudah rasa terkejut ekoran terjatuhnya ke lantai tadi, dia dikejutkan pula dengan tubuh yang terapung kesan diangkat oleh seseorang.

Perlahan-lahan tangan yang memautnya tadi dilepaskan. Aira berpaling. Kepala terpaksa didongakkan. Bertatapan dengan sepasang mata yang tajam menikam terus ke dalam anak matanya. Bibir sudah mengukirkan senyuman manis. Mulut mula bergerak ingin mengucapkan terima kasih, namun tidak jadi apabila lelaki itu terus saja memarahinya.

“Lain kali jalan, cik kak. Bukan berlari! Faham? Kalau terlanggar waiter yang bawak air panas tadi macam mana? Kalau terkena pelanggan lain tadi, macam mana?” Keras suara lelaki itu. Tegang riak wajahnya

Berkerut dahi Aira. Mati senyuman di bibirnya. Ewah ewah! Bibir sudah bergerak mahu melancarkan serangan balas namun lelaki tadi sudah pun berpaling. Meninggalkan Aira terpinga-pinga keseorangan.

Hek eleh! Kalaulah aku ni ada masa, mahu je aku jawab!’ dengus Aira dalam hati. Dia menjeling ke arah belakang tubuh lelaki tadi. Kalau tak ikhlas, tak payah tolong! Dah tolong, nak marah-marah pulak! Baik tak payah! Huh!

“Kau okey, Ai?” soal Raj, seorang daripada pelayan yang bekerja di kafe.

Aira mengangguk. Rasa senak di punggung tidak diendahkan. Kaki dipaksa berjalan menuju ke luar kafe. Tiada masa untuk dibazirkan lagi ketika ini.

Zayyan melabuhkan duduk. Dia mengangkat tangan ke arah Azim. Azim kelihatan terkejut seketika sebelum senyuman lebar menghiasi wajah. Tangan diangkat mengisyaratkan agar Zayyan duduk dahulu menantikan dirinya. Zayyan bersandar ke dada kerusi. Entah mengapa senyuman gadis tadi masih berlegar di ruang mata. Senyuman yang menghadirkan lesung pipit di tepi bibir. Manis! Laju Zayyan menggelengkan kepala untuk menghilangkan bayangan yang entah apa-apa ini.

Azim menghampiri sepupunya. Tangan dihulurkan. Mereka berjabat mesra sebelum Azim tunduk sedikit untuk memeluk bahu Zayyan. Kerusi di hadapan Zayyan ditarik. Punggung dihenyakkan perlahan. Mereka saling bertanya khabar sebagai pemula bicara.

“Susah ke nak cari kafe aku ni, Zack?”

“Taklah, senang je,” balas Zayyan bersahaja.

Azim tersengih mengusik.

“Manalah tahu? Orang dah lama tak balik Malaysia. Mestilah sesat, kan?”

Zayyan menjongket bahu. Malas mahu membalas.

“Kau nak minum apa? Sebabkan ni kali pertama kau jejakkan kaki kat kafe aku ni dalam tempoh 3 tahun, aku belanja. Kau oder je apa kau nak. It’s on the house.”

“Kalau ya pun, bagilah menu. Manalah aku tahu kau ada apa kat sini?”

“Ya tak ya. Kejap!” Azim melambai ke arah pekerjanya. Isyarat menu diberikan dengan lukisan tangan di udara.

Sementara mata Zayyan menjamah menu di tangan, Azim mengamati sepupunya itu. Sudah 3 tahun mereka tidak berjumpa. Zayyan jarang-jarang pulang ke Malaysia kalau tiada sebab yang perlu. Tak banyak yang berubah dari segi penampilan dan sikap lelaki di hadapannya ini. Masih segak dan bergaya seperti lazimnya, namun sikapnya yang serius, yang kurang sabar dan kejang tiada perasaan, masih tidak berubah nampaknya.

Bukannya dia tak menangkap sketsa Zayyan memarahi Aira tadi. Nak ditegur pun buang karan saja. Zayyan tak mungkin mampu berubah. Akhirnya Zayyan membuat pesanan.

Zayyan menebarkan pandangan ke sekitar kafe yang agak lengang kini.

“Boleh hidup ke kafe kau ni? Macam takde orang je?”

Ouch! Mulut kau ni tak berubah dari dulu, ek?” sindir Azim. Namun dia tak berkecil hati. Sudah begitu biasa dengan perangai Zayyan. Mereka sebaya dan hubungan mereka sememangnya rapat sejak kecil. “Agak-agaklah kau pun. Sekarang dah pukul 2.30. Orang dah mula masuk kerja balik. Kalau kau datang waktu orang selalu breakfast atau lunch, atau masa hujung minggu, memanglah penuh kafe aku ni. Kejap lagi dalam pukul 5.30 ke atas, penuhlah balik kafe aku ni, orang singgah nak minum lepas kerja.”

Zayyan tidak memberikan sebarang reaksi.

“Tempat ni lagi baiklah kalau nak dibandingkan dengan tempat yang sebelum ni. Sebab tu aku pindah. Kat tempat ni, bangunan pejabat pun banyak, kawasan perumahan pun tak jauh. Jadi, masa hujung minggu pun ada pelanggan.”

Zayyan mengangguk kali ini.

“Bila kau balik ke sini?” soal Azim.

“Minggu lepas. Ada beberapa perkara aku kena selesaikan. Ni baru sempat aku nak singgah sini.”

Azim mengangguk.

“Kenapa kau balik?”

Duty calls.” Ringkas saja balasan Zayyan. “Aku dah tak boleh nak elak.” Keluhan penuh kesal yang dilepaskan tidak mampu disembunyikan daripada pendengaran Azim. Riak pasrah terpampang di wajah.

“Kau balik Malaysia for good ke ni?”

Zayyan mengangguk.

“Ingatkan kau takkan kerja dengan papa kau. Kenapa tiba-tiba?”

“Aku tak boleh nak batalkan deal aku dengan papa. Kau pun tahu dia bagi aku 5 tahun je untuk aku kerja dan cari pengalaman kat sana. Lepas tu aku kena balik kerja dengan dia. That was our deal,” jelas Zayyan.  “Kalau tak, dia takkan izinkan aku tinggalkan Malaysia ni dulu.”

Azim mengangguk kecil. Masih ingat akan perjanjian mulut yang terpateri antara Zayyan dengan papanya. Zayyan hanya dibenarkan bekerja di luar negara selama 5 tahun. Selepas itu, mahu tak mahu, dia perlu pulang dan sambung bekerja di syarikat papanya.

“Bila kau akan mula kerja dengan papa kau?”

“Tengoklah dulu esok lusa,” balas Zayyan endah tak endah.

Lama mereka berbual. Ingin mendengar perkembangan dunia masing-masing yang berbeza. Zayyan mencari rezeki di Australia manakala Azim tidak pernah meninggalkan bumi Malaysia. Tanpa sedar, 2 jam berlalu sebelum Azim mengilas pandang jam di pergelangan tangannya.

“Kau duduklah dulu, bro. Kalau kau nak kopi lagi, kau oder je. Aku nak ke kaunter kejap.”

“Tak, aku pun nak kena gerak ni. Aku ada hal.” Zayyan berdiri. “Nanti-nanti aku singgah lagi. Thanks for the free meal.”

“Lepas ni kalau kau datang, dah tak free lagi tau,” ujar Azim sambil menunjukkan barisan giginya nan putih.

Bahu Azim ditumbuk kuat.

“Kedekut kau ni, dari dulu sampai sekarang tak berubah!” sindir Zayyan.

“Tahu takpe. Ni business, bro. Takkan setiap kali aku kena bagi free, kan? Kalau adik-beradik, sepupu-sepapat semua nak makan free, bankraplah aku!” Kening dijongket berkali-kali. “Nilah masalahnya dengan orang kita. Asyik nak free je! Kalau tak free pun, asyik nak minta diskaun!”

Zayyan menggeleng kepala. Bibir langsung tidak mengukirkan senyuman. Kaki menapak ke pintu masuk kafe.

“Aduh!”

Suara mengaduh yang sama seperti tadi, ditangkap oleh telinga Zayyan. Dia tunduk melihat dahi yang menghentam dadanya. Spontan tangan Zayyan memaut kedua belah lengan gadis yang meluru berlari masuk ke dalam kafe sebelum melanggarnya untuk menahan agar si dia tidak jatuh terdorong ke belakang pula. Sepasang mata perang melangut ke wajahnya.

Sorry, encik. Saya tak sengaja.” ‘Kerasnya dada mamat ni. Macam tembok!’

Zayyan melepaskan pegangan tangannya daripada lengan Aira. Laju saja Aira menggosok dahinya.

“Kau lagi?” jerkah Zayyan.

Aira terkelu. ‘Eh, lelaki ni lagi? Aduh! Takde orang lain ke aku nak langgar? Tadi dah kena marah, sekarang pun nak kena marah lagi?’ Aira memaksa bibir agar tersenyum. Cuba menghormati gelaran ‘pelanggan’ yang dipegang oleh lelaki di hadapannya ini. Lagipun, customers are always right, kan?

“Tak puas lagi dah jatuh tadi? Nak jatuh lagi ke?” Sedaya upaya Zayyan cuba untuk tidak melihat senyuman yang terukir di wajah Aira.

Aira mengambil nafas.

“Haah, encik. Tak puas lagi. Kalau boleh, hari-hari saya nak jatuh.” Mata tajam Zayyan dilawan pandang penuh berani. Bibir masih tersenyum. Aira cuba berlalu. Tidak mahu berlamaan dengan lelaki ini. Lagipun dia sudah meminta maaf. Bukannya dia sengaja pun. Rasanya tiada apa-apa lagi yang perlu dilakukannya.

Pantas Zayyan merentap lengan Aira.

“Apa kau kata?” Tidak senang dengan balasan Aira yang jelas menyindirnya. Dan dia turut pantang jika ada yang melawan kata-katanya. Pantang sekali!

“Apa?” Lengannya cuba ditarik daripada cengkaman lelaki yang nyata kurang siuman ini. Tidak berjaya. “Encik tanya, saya jawablah, kan?”

“Zack, kenapa ni?” Azim berdiri di sebelah sepupunya. “Relakslah, bro. Orang tengah tengok ni.”

Zayyan tidak membalas. Langsung tidak kisah akan kata-kata sepupunya. Mata masih utuh di wajah Aira yang juga tidak berkelip membalas panahan matanya.

‘Berani pompuan ni!’ Sempat Zayyan berfikir. Langsung tidak takut dengan aura garang yang sengaja dizahirkan sejak sekian lama.

“Encik, boleh pulangkan balik tangan saya ni? Saya perlukan tangan untuk bekerja. Kalau encik pegang, saya nak pakai apa?” Kata-kata Aira setenang wajahnya. Senyuman masih tertampal di tepi bibir.

“Zack, lepaslah,” pinta Azim.

Lambat-lambat Zayyan menurut.

Tanpa sepatah kata, Aira berpaling.

“Kau ni! Dengan staf aku pun kau nak cari pasal,” tegur Azim. Lengan Zayyan ditarik ke luar kafe, jauh daripada telinga pelanggan yang sudah mula memenuhi kafe.

“Boleh tak kau ni sabar sikit?”

“Staf kau? Orang macam tu pun kau boleh ambik kerja ke? Dahlah cuai, kurang ajar pulak tu!”

Bro, kurang ajar apanya? Dia dah minta maaf kan tadi? Aku dengar. Kau yang tak nak terima. Aira tu dah lama kerja dengan aku tau. Dialah pekerja aku yang tak pernah bagi masalah kat aku.”

Azim tergelak kecil.

“Yang kau tanya dia macam tu tadi dah kenapa? Kan dah kena setepek kat batang hidung kau!” ungkit Azim tentang balasan Aira yang dirasakan agak lucu. ‘Tak puas lagi. Kalau boleh, hari-hari saya nak jatuh.’ Aira memang begitu orangnya. Dalam sikapnya yang tenang lagi lembut, hatinya keras dan berani. Dia tahulah. Aira kan dah 3 tahun bekerja dengannya.

Whatever!”

Jelas hati Zayyan masih hangat dengan sikap gadis tadi. Sedikit pun dia tak gentar dengannya. Berani melawan pandangan matanya dan berani juga menyindirnya.

“Alah, Zack. Bukannya dia sengaja nak langgar kau. Let it go, okay? Takkan tu pun kau nak marah?”

“Aku balik dulu,” dengus Zayyan tidak membalas teguran daripada sepupunya.

Azim hanya mampu menggeleng kepala melihat tingkah Zayyan. Sedar yang sepupunya itu memang pantang jika ada sesiapa berani melawan kata-katanya.

‘Bilalah kau nak berubah ni Zack? Garang tak bertempat!’

 

No comments:

Post a Comment