DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday 14 December 2022

My Kind Of Different - Bab 2


SETIA mata Zayyan mengekor setiap gerak-geri gadis itu. Aksi yang sengaja dilakukan bagi memancing rasa gelisah pada diri gadis yang bernama Aira itu. Namun  tindakannya ternyata sia-sia. Gadis yang berkemeja putih dan berseluar hitam dengan apron terikat di pinggang itu sedikit pun tidak menghiraukannya. Entah mengapa masih ada sisa-sisa rasa tidak puas hati yang bertapa dalam hati Zayyan buat gadis itu. Kecewa juga dia, kerana bukan Aira yang mengambil pesanannya tadi. Dia lebih banyak bertugas di belakang kaunter, memotong serta menghidangkan potongan kek yang dipesan oleh pelanggan kafe ini.

Ramah Aira melayan pelanggan. Bibir sentiasa manis dengan senyuman. Usikan daripada pelanggan lelaki, walaupun tidak dilayan, ditepis penuh berhemah. Bagai lipas kudung Aira bekerja. Kapucino yang masih panas dibawa ke bibir.

Pelayan yang mengambil pesanannya tadi kembali ke mejanya. Terlerai pautan matanya daripada figura Aira. Seketika, Zayyan menongkat mata. Sempat dia menangkap lirikan mata si pelayan yang berbaur menggoda. Pinggan berisi sepotong daging kambing bakar diletakkan di hadapan Zayyan.

“Encik nak apa-apa lagi?” Laila sengaja melembutkan suara. Matanya cuba menghantar isyarat.

Zayyan menggeleng. Wajah masih begitu. Serius tanpa segaris pun senyuman. Bukannya dia tidak mengerti maksud yang cuba disampaikan oleh Laila, namun dia sengaja tidak mahu memberi reaksi balas. Garpu dan pisau dicapai dari atas meja. Mahu tak mahu, Laila terpaksa berlalu. Dia hampa. Usahanya untuk menarik perhatian lelaki yang sudah dua kali mengunjungi kafe ini tidak berjaya.

“Bila kau sampai, Zack?” soal Azim yang tiba-tiba berdiri di tepi mejanya.

“Baru je,” balas Zayyan sambil mengunyah.

“Dalam 15 minit.”

“Kenapa kau tak cakap aku yang kau nak datang?”

“Saja.”

“Baru kelmarin kau datang. Hari ni dah teringin minum kopi kat kafe aku ke?” usik Azim. “Mesti sedap, kan?”

Seperti biasa, Zayyan tidak memberikan sebarang reaksi. Daging kambing di atas pinggan dipotong kecil lalu  dibawa ke mulut. Perlahan rahangnya bergerak mengikut  aksi kunyahannya.

Azim memandang ke sekeliling. Ramai juga pelanggan yang masih menikmati hidangan masing-masing walaupun jam sudah merangkak ke pukul 2.30 petang. Selalunya, waktu begini, kafe akan mula lengang.

“Bos,” seru suatu suara yang amat dikenali oleh Zayyan. Dia memanggung kepala. Rahang berhenti bergerak. Gadis yang menjadi objek matanya tadi sudah bersalin daripada kemeja putih kepada baju-T berlengan panjang berwarna hitam.

Azim berpaling.

“Dah nak pergi ke?”

Aira mengangguk.

“Kejap lagi saya datang balik ya. Sorry tau bos, saya terpaksa pergi walaupun pelanggan masih ramai ni.”

Memek bersalah terpampang di wajah si gadis. Dan ucap maafnya kedengaran begitu ikhlas di telinga Zayyan.

Takpe, saya dah balik dari bank ni. Saya boleh tolong cover,” balas Azim. “Awak pergi je, tak payah risau.”

Riak bersalah tadi kini sudah berganti dengan rasa terharu.

“Terima kasih tau, bos.” Tali beg disilangkan ke bahu.

Azim mengangguk.

“Elok-elok jalan,” pesan Azim melihat Aira yang sudah mengambil beberapa langkah.

Aira melayangkan senyuman manis. Ibu jari dinaikkan sebagai isyarat bagus. Sedikit pun dia tak memandang ke arah Zayyan. Berkerut dahi Zayyan jadinya. Terasa diri bagai halimunan.

Azim mengambil tempat bertentangan dengan sepupunya.

“Kau kenapa?”

“Dia nak pergi ke mana tu? Kelmarin pun dia keluar, lepas tu dia datang balik kerja, kan?” soal Zayyan.

Hmmm...” Terjongket kening Azim. Sejak bila Zayyan sibuk mahu bertanyakan hal orang lain yang tiada kena-mengena dengan dirinya? Rasanya, selama ni Zayyan mana kisah? Zayyan hanya hidup dalam dunianya sendiri. Atau Zayyan masih tak puas hati dengan kejadian kelmarin? Masih marah lagikah sepupunya itu akan Aira?

“Tengah sibuk macam ni kau bagi dia break ke?”

“Taklah. Si Ai tu mana pernah rehat? Kalau takde pelanggan barulah dia duduk dan makan bekal dia tu. Dia break untuk solat je.”

“Habis tu? Hari-hari ke dia keluar waktu macam ni?”

Tambah hairan Azim jadinya. Banyak pula soalan daripada sepupunya ini.

“Taklah... selang sehari macam tu. Dia sorang je ada waktu kerja yang fleksibel. Orang lain takde.”

Tak logik betul jawapan daripada Azim ni dan langsung tidak membantu. Jawapan daripada Azim hanya mengundang pelbagai persoalan lain di minda Zayyan. Dia sendiri tidak tahu sebab dia perlu bertanya. Namun, melihat riak Azim yang seakan mencabar dirinya untuk bertanya lagi, Zayyan tidak jadi bersuara. Tidak mahu sepupunya berfikir atau bertanya yang bukan-bukan.

Hujan lebat yang tiba-tiba tumpah dari awan kumulonimbus ke bumi membuat Zayyan kekal duduk di kafe Azim. Malas dia mahu meredah hujan sekadar mahu masuk ke dalam keretanya. Tak kuasa mahu mencari payung dari kedai serbaneka yang berhampiran. Senang dia menggunakan alasan hujan untuk berlamaan di sini. Namun mata tak berkalih daripada pintu masuk kafe. Setiap kali ada orang yang masuk ke dalam, matanya akan giat bekerja.

Ketika ini, hanya ada dirinya dan dua orang pelanggan lain yang masih berada di dalam kafe. Waktu puncak sudah lama berakhir. Muzik yang berbunyi dari corong pembesar suara seakan tenggelam dalam dentuman guruh dari luar. Zayyan sudah tidak senang duduk. Akhirnya, matanya menangkap tubuh gadis yang kini lencun berdiri di luar hadapan pintu masuk kafe.

Aira kelihatan teragak-agak mahu melangkah masuk ke dalam. Berkerut dahi Zayyan melihat Aira dengan pakaian melekap ke tubuhnya. Sesekali Aira menarik baju-T agar tidak melekat ke tubuh. Namun sebaik dilepaskan, baju-T kembali tergam ke kulit.

Zayyan menelan liur. Tidak sukar menggambarkan lekuk tubuh Aira ketika ini. Sebesar mana saiz pakaian yang dikenakan oleh gadis itu ketika kering untuk menyembunyikan bentuk tubuhnya, ternyata sia-sia ketika basah. Paksalah bagaimana pun, mata lelaki Zayyan tetap tidak mahu berganjak daripada sasaran.

“Ai! Ya Allah, kau takde payung ke?” Soalan yangtak berapa bijak disuarakan oleh Laila. Aira dihampiri.

Aira tergelak kecil. Gelak yang kedengaran begitu manja di telinga Zayyan.

“Ada je! Aku simpan kat dalam poket. Malas nak guna, sebab tu aku basah!”

“Hesy!” dengus Laila. Sedar yang diri sudah disindir oleh Aira.

“Dah, ke tepi. Karang kau pun sama basah dengan aku. Kejap lagi aku mop lantai yang basah ni ya. Aku nak salin baju kejap. Kau jaga jangan bagi sesiapa jalan kat sini tau. Licin,” pesan Aira. Kaki sudah bersedia mahu meluncur masuk ke dalam kafe.

Baru tiga langkah Aira berjalan, dia sudah terjelepok ke atas lantai.

“Aduh!” Kasutnya yang basah, langsung tidak memberikan daya geseran yang baik di atas lantai yang licin. Aira mengeluh dalam hati. Kasutnya dah lusuh. Tapak pun dah botak. Sengaja dia berlengah tidak mahu membeli kasut yang baharu. Hah, inilah padahnya!

“Ya Allah kau ni! Tulah, pesan orang suruh jaga-jaga, kau yang terjatuh,” ngomel Laila. Mulut sudah panjang sedepa.

Tegak tubuh Zayyan. Aksinya seakan mahu bangun dari tempat duduknya untuk membantu, namun sempat dia menahan diri. Mata hanya mampu melihat seorang pelayan lelaki membantu Aira berdiri. Kejap tangan yang memaut di lengan Aira. Walaupun Aira sudah pun berdiri, lelaki itu masih tidak melepaskan tangannya.

“Terima kasih, Abang Wan.” Tangan Shazwan ditolak perlahan.

“Kaki okey tak ni?” Shazwan mencangkung lalu memegang buku lali Aira pula.

“Okey je. Ai jatuh kat atas buntut. Bukan terpelecok kat kaki,” balas Aira. Perlahan juga Aira menarik kakinya daripada pegangan Shazwan. Kekok yang dirasakan dengan lelaki itu masih belum hilang. Lelaki yang tak putus-putus mencuba nasib untuk berdampingan dengannya.

“Hah, kenapa ni?” Muncul Azim dari ruang dapur. Mata menangkap tubuh Aira yang lencun.

Aira sudah tersengih. Dua jari diangkat tanda ‘peace’. Comel sungguh aksinya di mata Zayyan.

Sorry saya lambat, bos. Queue nak tunggu teksi kat hospital panjang sangat tadi. Teksi pun tak nak berhenti hujan-hujan ni. Grab pun takde. Sebab tu saya lambat.”

Azim mengangguk. Menerima bulat-bulat alasan Aira tanpa sedikit pun rasa ragu-ragu. Begitu percaya dia akan pekerjanya itu.

“Dah pergi masuk dalam salin baju. Lekas!”

Aira tidak membantah.

“Laila, tolong mop lantai ni ya,” arah Azim.

“Baik, bos.”

Zayyan setia menjadi pemerhati. Secebis rasa kagum singgah dalam hatinya buat Aira. Dalam keadaannya yang kuyup, dia masih mampu lagi berjenaka. Dalam keadaannya yang sakit, gadis itu masih bisa tersenyum. Dan matanya tidak salah menangkap aksi lelaki yang dipanggil Abang Wan oleh Aira tadi, yang asyik mahu menyentuh gadis itu.

Melihat Aira kembali bertugas di belakang kaunter, Zayyan memanggil pelayan yang paling dekat dengannya. Tanda nama yang tersemat di bahagian dada kiri lelaki itu  menunjukkan dia bernama Raj. Zayyan memesan kek keju. Dan Raj terus menyampaikan pesanannya kepada Aira.

Aira mengarahkan mata ke meja yang dimaklumkan oleh Raj. Matanya bersabung pandang dengan sepasang mata tajam lelaki itu. Lelaki yang sedari tadi tak lepas merenungnya. Lelaki yang sudah agak lama berada di kafe ini. Sejak sebelum Aira keluar lagi tadi dia sudah ada. Nampak sangat lelaki itu seakan tidak puas hati dengannya. Atas sebab apa pun Aira tak pasti. Takkan masih marah akan kejadian yang berlaku tempoh hari? Kan dia dah minta maaf!

Aira melarikan mata. Kek keju dikeluarkan daripada kaunter peraga kek. Sepotong kek diletakkan elok ke atas piring. Mata mencari Raj dan juga Laila. Tiada. Abang Wan pula sibuk melayan pelanggan yang masih ada.

Aira mengeluh. Piring bersama garpu kecil dibawa ke meja 24. Perlahan piring kek diletakkan di hadapan Zayyan. Selalunya Aira akan berkata, ‘Enjoy your cake, sir’ namun entah mengapa kali ini bibir tak mampu bersuara. Hanya tangan yang mampu digerakkan untuk mengemas cawan kopi dan gelas air suam yang sudah pun kosong.

“Encik nak air kosong lagi?” Akhirnya Aira menyoal. Seperti yang dijangka, mata lelaki itu kekal berada di wajahnya sejak mula dia berjalan dari belakang kaunter tadi.

Hmmm... yang suam.”

Aira mengangguk sebelum berlalu. Pesanan daripada Zayyan ditunaikan. Dia kembali ke meja 24. Gelas berisi air suam diletakkan cermat ke atas meja.

“Macam mana kau boleh kerja kat sini?” tanya Zayyan. Suaranya perlahan namun kedengaran sedikit garang.

Aira tak mengerti.

“Apa, encik? Saya tak faham.”

“Kau orang yang paling cuai aku pernah jumpa, jadi macam mana kau boleh kerja kat sini?” ulang Zayyan. Wajah tetap beku. Tajam matanya menikam ke mata Aira.

Dan seperti biasa Aira tersenyum. Tidak mahu membiarkan provokasi daripada lelaki itu mengganggunya.

“Tu namanya rezeki, encik. Rezeki saya dapat bekerja kat sini. Kalau encik tak puas hati, encik boleh tanya pada Allah ya.” Tenang saja dia menuturkan kata.

Belum sempat Zayyan membalas, Aira sudah menjauh.

Zayyan tergamam. Kali kedua dalam hidupnya dia tak menjangka balasan daripada seorang gadis mampu membuat dia kelu begini. Dia mendengus geram. Tak puas hati sungguh dia! Garpu dicapai lalu dicucuk kasar ke tengah-tengah kek. Dia sendiri hairan dengan sikapnya. Mengapa mudah sangat gadis itu menyemarakkan api dalam dirinya? Padahal bukannya ada apa-apa pun. Perkara kecil saja sebenarnya, namun masih membuat dia gelisah sendiri.

Gadis itu sentiasa tenang... sentiasa tersenyum... dan langsung tak melenting tatkala dicabar dan dimarahi. Dia pula yang merasa sebaliknya. Rasa bodoh pun ada!

Aira menghela nafas. Dia tersandar di bangku yang tersedia di koridor di luar bilik persalinan. Hairan betul dia dengan sikap lelaki tadi. ‘Aku ada buat salah ke? Tapi apa? Aku terlanggar dia sekali je. Yang dia tak puas hati sangat tu kenapa?’

Tubuh kembali ditegakkan. Dia tiada masa untuk berehat. Tadi pun dia terlambat kembali ke kafe jadi dia perlu mengganti semula waktu yang terlewat tadi. Nafas dihela dan dilepaskan berulang kali sebelum dia kembali ke ruang utama kafe. Mata sempat mengerling ke arah meja 24. Kosong! Yang tinggal hanya piring berisi kek keju yang langsung tidak berusik, dengan garpu terbenam di tengah-tengahnya.

 

No comments:

Post a Comment