DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Thursday 29 December 2022

My Guardian Angel - Bab 6


MATA Jihan terasa semakin lama semakin berat sehingga laporan rasmi yang sedang ditaip sudah kelihatan samar-samar tulisannya. Sesekali matanya mula tertutup dengan sendirinya, menyebabkan jari-jemarinya tertekan huruf yang entah apa-apa pada papan kekunci komputer. Sedar-sedar sahaja penuh huruf yang bukan-bukan pada muka surat tersebut.

Jihan mula berdiri sambil meregangkan sendi-sendi badan dengan sepasang mata yang cuba dicelikkan sebesar mungkin. Dia mencapai muk kaca yang terletak di tepi komputer dan mengintai ke dalam. Air kopinya dah habis rupa-rupanya! Sekali lagi dia menguap sambil tangan kanan menutup rapat mulut sendiri.

“Pukul berapa you tidur malam tadi?” Suara garau yang tiba-tiba menyergah itu membuatkan Jihan terkejut. Nasib baik tak terlepas muk kaca daripada pegangan apabila tiba-tiba sahaja Tuan Zaid muncul di hadapannya. Tuan Zaid a.k.a. tentera Jepun ini pun satu hal juga. Tak tahu ke yang dia ini sedang lemah semangat selepas disapa ‘Encik Lembaga’ malam tadi?

“Bos, terkejut saya!” Jihan pandang wajah tanpa senyuman milik Tuan Zaid. Sudah berlapis-lapis dahi Tuan Zaid memandang Jihan yang mula tersengih, menyebabkan Jihan yang mahu mengusik bosnya itu terpaksa membatalkan niat memandangkan mood Tuan Zaid jelas tak berapa baik.

“I lagi terkejut tengok you dah tertidur sedangkan baru setengah jam you ada dekat pejabat. I transfer you to our branch dekat London nak? I rasa time zone mereka kat sana sesuai dengan waktu tidur you,” sindir Tuan Zaid tanpa nada. Naomi yang sedang duduk berhadapan dengan meja Jihan sudah bergegar-gegar bahunya menahan tawa sendiri. Seronok betul amoi cantik ini tumpang gelak!

Jihan masih menayang sengih. Anggap sahajalah yang Tuan Zaid sememangnya prihatin dengan masalah insomnianya. Mungkin Tuan Zaid ini jenis yang mulut sahaja memang makan dalam, tetapi dia berhati baik. Husnuzon ajelah, Jihan Sofea!

“Boleh juga, bos. Good timing ni. Pound tengah naik mendadak,” jawab Jihan selamba.

Tuan Zaid masih senyap tetapi kelihatan tulang rahang pipinya bergerak-gerak. Sepasang anak matanya tajam memandang Jihan membuatkan Jihan menahan tawa sendiri. Marah lettew!

By the way, ini assistant you yang baharu. Selain daripada tugas dia untuk bantu you apa yang patut, dia kena pantau you sepanjang masa supaya you tak tertidur sewaktu buat kerja ataupun sewaktu tengah meeting dengan klien.” Tuan Zaid berdeham sebentar dan menoleh ke arah belakangnya, membuatkan anak mata Jihan turut sama mengintai ke belakang Tuan Zaid.

Kali ini barulah Jihan perasan ada seorang lelaki sedang berdiri di belakang Tuan Zaid. Apabila pandangan mata mereka bertemu, lelaki tersebut tersenyum sopan memandang Jihan sambil menundukkan sedikit kepala. Nampak macam budak baik yang ala-ala spesies mamat nerd. Apabila Jihan menayang senyum lebar, terus cermin mata berbingkai hitam yang tersangkut pada hidung lelaki ini melurut ke bawah. Kelam-kabut dia membetulkan cermin matanya sambil melarikan pandangan mata. Okey, nampak lurus bendul pun ada.

“Jangan you buli dia pulak.” Seolah-olah dapat membaca apa yang sedang berada di fikiran Jihan, Tuan Zaid terlebih dahulu memberi amaran.

“Mana ada saya nak buli dia, bos. Saya kenalah tatang assistant saya bak menatang minyak yang penuh. Saya kenalah jaga dia elok-elok. Lagipun, bukan senang bos nak izinkan saya ada pembantu. Bos kan tak suka spend duit company semudah tu je.” Jihan koyak sengih memandang Tuan Zaid yang sudah menggeleng perlahan.

So, meet Faliq Zulkarnain. Faliq, meet Jihan Sofea, team leader untuk event management. Walaupun Jihan ni ada masalah mengantuk yang melampau tapi so far VIP clients memang percayakan kebolehan dia untuk uruskan events yang penting. She is the best event manager that we have.”

Mungkin betullah yang Tuan Zaid ini jenis yang bercakap memang makan dalam tapi sebenarnya berhati baik. Tengoklah, dia sindir Jihan tetapi pada masa yang sama Jihan dipuji juga. Alahai, encik bos!

“Selamat datang ke Lucrative Holdings, Faliq.” Jihan ukir senyum memandang Faliq yang nampak segan-segan memandangnya.

“Terima kasih, Cik Jihan.”

Jihan pantas menggelengkan kepala sambil menggoyang-goyangkan jari telunjuknya di hadapan Faliq.

“Janganlah panggil saya Cik Jihan sebab bunyi formal sangat tu. Panggil Jihan je dah cukup.” Jihan tayang senyum dan Faliq pantas mengangguk. Tangan kanannya naik menggaru kepalanya sendiri. Sekali lagi dia membetulkan letak cermin matanya yang berbingkai hitam itu, membuatkan Jihan yang masih memerhati turut tersenyum sendiri. Kelakarlah dia ni! Comel pun ada!

“Kak Akma from HR on emergency leave hari ni. You tolong bawa Faliq dan kenalkan Faliq dengan staf-staf kita yang lain. It is good to help your sleepiness problem by walking around. Faliq, just to let you know, Jihan ni ada masalah mengantuk yang serius dekat ofis. You tolong tengok-tengokkan dia jugak. By all means, I benarkan you untuk buat apa sahaja supaya dia tak mengantuk,” pesan Tuan Zaid sebelum dia berlalu meninggalkan Jihan dan Faliq.

Mak aih! Seramnya pesanan! Terus Jihan menelan air liur sendiri memandang kelibat Tuan Zaid yang sudah hilang di sebalik pintu. Anak mata Jihan kembali kepada Faliq yang nampak terpinga-pinga. Terkejut agaknya dengan pesanan Tuan Zaid tadi. Sekali lagi Jihan mengukir sengihan lebar.

“Tuan Zaid memang macam tu, Faliq. Perangai dia memang ala-ala tentera zaman Jepun sikit tapi hati dia baik. Bak kata orang, dalam hati ada taman walaupun bunga-bunga kat taman dia tu macam lambat sikit berbunga sebab tak cukup baja. Jom, awak dah ready nak jumpa staf Lucrative yang lain?” Jihan letak semula muk kaca di atas meja kerjanya. Agak-agaknya kejam tak kalau dia minta Faliq isikan air kopi dia sekejap lagi?

Yup!”

“Okey, jom. Mula-mula saya kenalkan awak dengan amoi cantik depan meja saya ni. Nama dia Naomi dan dia PA tentera Jepun. Eh, tak. Naomi PA Tuan Zaid.” Jihan memperkenalkan Faliq kepada Naomi yang sejak tadi sibuk memasang telinga.

“Hai Faliq,” sapa Naomi ramah sambil berdiri daripada duduknya.

“Hai Naomi.” Faliq angguk perlahan sambil mengukir senyum ke arah Naomi.

“Nanti awak boleh duduk dekat sebelah saya ni sebab meja ni memang kosong, tak ada orang duduk.” Jihan tarik kerusi yang sememangnya kosong di sebelah mejanya.

“Terima kasih, Jihan.”

“Jom kita pergi jumpa geng Finance pula. Penting tau awak berbaik-baik dengan orang Finance ni sebab kerja kita ni banyak travel so banyak benda kita kena claim. Nak submit claim pula kena submit dekat team Finance sebab diaorang akan review dulu sebelum bos kita approve.”

“You ni, Jihan. Jangan ajar benda bukan-bukan dekat Faliq!” laung Naomi daripada tempatnya dan Jihan hanya ketawa senang.

 

TENGAH HARI itu Jihan membawa Faliq ke tempat makan tengah hari yang menjadi tempat kebiasaan dia dan Naomi. Galak akak-akak ofis memulakan sesi temu ramah tidak rasmi dengan Faliq sehingga merah padam wajahnya. Jihan menahan tawa sendiri apabila Faliq memandang ke arahnya setiap kali lelaki itu menerima soalan yang bukan-bukan daripada geng akak-akak ofis. Gaya pandangan Faliq yang seperti sedang meminta tolong supaya Jihan menyelamatkannya.

“Kita ada new handsome staff in the office ke, Jihan?” Tiba-tiba Saliha atau lebih popular dikenali sebagai Sally, sudah berdiri tercegat di sisi meja kerja Jihan menyebabkan Jihan beristighfar panjang. Kus semangat sekejap!

“Eh, bukan ke patutnya kau nak pergi jumpa client hari ni?” Jihan mengerutkan dahi memandang Sally yang sedang tersengih-sengih sambil anak mata meliar memandang sekeliling. Cepat sungguh berita tersebar sehinggakan orang yang tidak ada di ofis pun sudah tahu. Pantas sungguh! Ini mesti geng WhatsApp Group ‘Onionizers’ ofis dah mula membicarakan tentang Faliq. Pantang nampak lelaki helok sikit!

“Ala, half day meeting je pun. Ni aku baru je sampai ofis. Aku tahu pun sebab Kak Min beritahu time lunch tadi.” Selamba sahaja Sally menarik sebuah kerusi kosong dan terus duduk di sebelah Jihan.

Jihan sudah menggelengkan kepala perlahan. Pantas sungguh geng Kak Min and friends menyebarkan berita. Memang sesuai bekerja di Marketing Department dan ‘menubuhkan’ WhatsApp Group ‘Onionizers’ ofis. Kalau nak tahu apa gosip terbaharu, tanyalah Kak Min atau geng dia.

“Haah, kita ada staf lelaki baharu hari ni. Dia baru je report duty pagi tadi,” jawab Jihan malas sambil anak mata mula fokus membaca e-mel yang baru sahaja masuk.

“Mana dia? Tak nampak pun. Diaorang kata dia assistant kau ya? Untunglah kau, dapat assistant yang helok. Boleh buat penyegar mata kau yang asyik mengantuk tu. Betul, kan?” Sally tersenyum penuh makna. Jika sekali pandang, senyuman Sally nampak seperti senyuman biasa tetapi jika dipandang berkali-kali, senyuman itu kelihatan sinis.

Jihan tarik nafas dalam-dalam sambil wajah Sally dipandang lama. ‘Aku cabai jugak bibir merah bergincu dia ni!’

“Jihan, kotak-kotak tadi tu saya dah letak label dan simpan dekat dalam bilik stor. Saya dah susun ikut alphabet dan tahun supaya senang nak cari nanti.” Tiba-tiba Faliq muncul dari arah bilik stor dengan wajah yang sudah dibasahi peluh.

Mulut Sally sudah melopong sambil sebelah tangannya memukul-mukul kuat lengan kanan Jihan.

“Mak cik, kau ingat kau tengah pukul batang pokok pisang ke? Ni lengan aku tahu. Sakitlah, gila!” Jihan tepis kuat tangan putih melepak Sally. Minah ni dah kena sampuk ke apa?

Handsome sangat, mak cik! Muka helok betul. Sejuk mata aku memandang. Isy, lepas ni aku kena selalu ada kat ofislah.” Sally senyum lebar sambil anak mata tidak lepas-lepas menatap wajah Faliq sehingga merah padam wajah Faliq dibuatnya.

“Faliq, saya kenalkan ini Saliha atau lebih popular dikenali sebagai Sally dekat sini. Nak panggil Kak Sally pun boleh sebab rasanya Kak Sally ni lagi tua banyak tahun daripada awak tapi dia selalu perasan yang dia tu muda lagi, sampaikan budak intern sebelum ni pun dia nak kacau. Sally, aku kenalkan yang inilah Faliq Zulkarnain yang kau sibuk duk tanya dari tadi,” beritahu Jihan bersahaja membuatkan Sally terjerit kecil sambil memukul-mukul perlahan lengan Jihan sekali lagi.

“Janganlah panggil Kak Sally. Panggil Sally je. Jihan ni memang sengaja je.” Sally senyum gatal sambil anak mata digamkan pada wajah Faliq. Terus berkerut-kerut dahi Faliq memandang Jihan membuatkan Jihan menjongketkan kening.

“Faliq, umur you berapa? You duduk dekat area mana? You grad dari uni mana? Single and available tak?” Bertalu-talu soalan Sally kepada Faliq. Sally bangun daripada duduknya dan mula berjalan mendekati Faliq yang berdiri di sisi meja kerja. Terus  berubah riak wajah Faliq. Cuak agaknya!

Err... saya...” Faliq tergagap-gagap sambil anak matanya beralih daripada wajah Sally ke arah Jihan.

Sorry Sally, aku interrupt your interview session. Kita orang nak kena gerak sekarang sebab ada appointment dengan client pukul 3.00 petang.” Jihan berdiri dan terus mengambil handbag yang disimpan di dalam laci meja. Dia menghantar isyarat mata ke arah Faliq supaya turut mengikut dia memandangkan Faliq masih tidak bergerak.

“Ala, Jihan! Tak bagi peluang langsung kat aku.” Sally menayang riak wajah tidak puas hati, tetapi Jihan buat-buat tidak dengar.

“Jom, Faliq.” Jihan sudah menyandang handbag di bahu kanan. Menanti Faliq supaya mengambil beg galasnya.

“Oh, okey. Jom!”

Jihan dan Faliq berjalan ke arah lif. Telinga Jihan menangkap bunyi Faliq menarik nafas lega. Jihan terus memandang Faliq sambil ketawa. Sekali lagi kulit wajah Faliq bertukar warna.

“Ofis yang ramai staf perempuan memang macam ni, Faliq. Saya rasa awak patut minta kerja dekat modelling company. Kalau awak masuk sini, memang awak kena banyak tabahkan hati,” usik Jihan sambil tersenyum.

“Tapi tadi waktu briefing kan awak pesan yang meeting dengan client hari ni pukul 4.00 petang?” soal Faliq penuh naif.

“Awak ni pun! Awak kena berterima kasih dengan saya sebab dah selamatkan awak daripada diserang virus ‘ulat bulu’. Tak apa, kita pergi awal untuk survey tempat yang client kita nak buat event tu dulu. Lagi senang nak discuss dengan diaorang nanti. Saya boleh terus tunjukkan draft floor plan. Sekurang-kurangnya awak pun mudah faham apa yang kita nak bincangkan dengan Tun Fatimah kejap lagi.” Jihan terus melangkah masuk ke dalam lif sebaik sahaja pintu lif terbuka.

“Kejap, virus ‘ulat bulu’ tu apa?” soal Faliq dengan dahi berkerut tetapi dia mengikut juga langkah kaki Jihan.

No comments:

Post a Comment