DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Friday, 28 April 2023

Mawar Di arafah - Bab 10


Allah... Allah... Aghisna ya

Rasulullah...

 

NURUL Nisa...

Najmi telah tahu nama kanak-kanak itu ialah Nurul Nisa. Mereka membatalkan sesi berdating lalu segera ke HCTM kerana Hazel dipanggil oleh Salina. Doktor sudah membenarkan seberapa ramai pelawat kerana masa untuk anak itu pergi sudah terlalu dekat.

“Balik rumah I sekejap. I nak ambil tudung,” pinta Hazel sedikit resah.

“Okey.” Lelaki itu terus memandu ke arah rumah Hazel.

Buat beberapa minit Najmi sekadar menunggu di depan rumah sementara Hazel di dalam menukar pakaian. Najmi menoleh setelah gadis itu keluar. Matanya terpaku lama kerana susuk gadis di dalam gerabak itu kembali di depan matanya. Cuma, Hazel tidak pakai purdah. Dia mengenakan jubah hitam dan tudung hitam.

“Jom, cepat. I rasa macam tak jejak di bumi ni,” ucap Hazel saat lelaki itu seolah-olah mamai.

Sorry.” Najmi baru tersedar dari khayalannya.

Jam 9 malam, mereka tiba hampir serentak dengan Tan Sri Hairi dan Puan Sri Haslina. Mereka bertembung di tempat parkir.

Mereka semua dibenarkan masuk serentak ke dalam unit rawatan rapi. Hazel terlihat dari luar Salina duduk di sisi anak sulungnya itu melagukan surah Yasin sambil memeluk anak keduanya Nuril yang berdiri memandang si kakak.

Tan Sri Hairi masuk ke kamar kecil itu. Salina menoleh... air mata perempuan itu gugur melihat kedatangan orang tua itu. Puan Sri Haslina memeluk wanita muda itu agak lama sambil mengucapkan sesuatu kepada Salina yang menangis teresak-esak.

Hazel berdiri memandang ke katil. Anak kecil itu berjaga namun amat lemah. Mata Nisa kerap memandang ke hujung kepalanya seolah-olah ada seseorang di situ. Mereka berdua masuk ke dalam kamar itu. Tan Sri Hairi memegang kepala anak itu lalu berbisik kalimah syahadah buat anak itu berkali-kali.

“Nisa, nak... dengar apa yang tok pa sebut ni ya? Ikut apa yang tok pa baca ni. Lailahaillallah...”

Najmi sekadar memandang Hazel pergi ke sebelah kiri anak itu. Jemari anak itu dipegang Hazel lalu dikucup lembut.

Auntie datang, sayang...” ucap Hazel perlahan. Namun air matanya jatuh satu demi satu... hatinya tidak kuat melihat anak itu berdepan sakaratul maut. Dia tidak lagi memberi reaksi kepada orang sekelilingnya. Matanya asyik memandang ke atas, seolah-olah mahu tahu siapa yang berada di hujung kepalanya.

“Nisa... pandang tok pa ya? Sebut Allah, nak...” ucap Tan Sri Hairi sambil memegang kepala anak itu.

Anak kecil itu menoleh kepada Tan Sri Hairi.

“Allah... Lailahaillah...” ucap Tan Sri Hairi separuh berbisik sambil menatap ke dalam mata anak itu.

Bibir anak itu bergerak payah. Berkali-kali ucapan  itu disebut oleh Tan Sri Hairi dan bibirnya sentiasa bergerak mengikutinya sehingga orang tua itu menyebutnya lagi sambil menangis memandang anak itu. 

Salina memegang sebelah lagi tangan anaknya. Di ruang matanya terbayang anak ini yang begitu rajin semenjak kecil lagi, membantunya di gerai nasi lemaknya. Sehingga mereka mengenali Hazel yang menuntut di UiTM dulu. Ketika itu Nisa baru berusia 5 tahun dan Nuril baru 2 tahun. Kerana Nisa dan Nuril anak yatim, mereka dijadikan cucu angkat oleh ibu bapa Hazel.

Hazel terus setia mengelus tangan Nisa yang sudah sejuk itu. Dia tidak ingin menangis lagi. Dia mahu derita anak ini segera diangkat oleh Allah.

“Pergilah, nak. Mama reda. Pergi jumpa ayah...” ucap Salina. Sudah kering air matanya. Ujian hidup tanda Allah sayang.

 Sesuatu yang tidak boleh mereka tahan itulah ajal. Jam 10.30 malam itu, doktor mengesahkan nadi anak itu sudah terhenti. Denyutan jantungnya tiada.

Salina kelihatan tenang. Tabah. Tiada lagi air matanya jatuh kerana dia lebih rela melihat Allah mengambil anaknya ke sisi-Nya dari melihat anaknya menderita di atas dunia ini.

Puan Sri Haslina tidak jemu-jemu memberi kata-kata semangat buat si ibu. Pandangan Salina kosong saat memandang jasad anak itu diselimutkan ke hujung kepala. Mereka keluar dari ICU setelah doktor mengesahkan waktu kematian anak itu.

“You okey?” tegur Najmi saat Hazel sampai di depan matanya. Gadis itu longlai.

I don’t know...” ujar Hazel lantas memandang ke arah lain. Di ruang matanya hanya terbayang-bayang anak itu sedang nazak.

Tidak lama kemudian Salina pula keluar dari kamar ICU. Dia terus mendapatkan Hazel.

“Dia sebut nak jumpa Hazel semalam. Lama dia tak bercakap... semalam dia sebut tentang Hazel. Tapi Kak Sal cakap Hazel busy. Dia faham... waktu Kak Sal tak dapat bekerja, keluarga Hazel tanggung semuanya. Hazel kena kerja. Dia faham. Sebab dia tak ada ayah untuk pikul tanggungjawab tu.”

“Kak Sal tak mampu nak ucapkan kata-kata yang terbaik untuk famili Hazel semua kerana terlalu banyak bersusah payah untuk Nisa. Orang luar lebih banyak membantu Kak Sal berbanding keluarga sendiri. Ini takdir untuk Kak Sal.” Salina jadi sebak. Mereka berdua menangis saat berpelukan.

Hazel menarik Nuril yang memandang mereka lalu dipeluk bersama tanda mereka bersatu dalam keadaan yang susah ini.

Tengah malam itu, Tan Sri Hairi menelefon setiausahanya, meminta mesyuarat penting pagi esok ditangguh ke masa lain.

“Siapa lelaki tu?” tanya Salina saat mereka duduk berdua di depan rumah jenazah. Hazel tidak ada memperkenalkan lelaki itu kepadanya semenjak tadi. Lupa agaknya.

Hazel memandang ke arah Najmi yang duduk bersembang dengan papanya.

“Lupa nak kenalkan pada akak. Dia Najmi... kawan Hazel. Hazel ajak dia datang untuk kenal Nisa.”

“Kawan special?” tanya Salina.

“Mungkin. Entahlah...” Hazel tersenyum hambar.

Salina memegang bahu Hazel lalu diusap lembut.

“Nampak baik orangnya. Sesuai dengan Hazel. Dengan ayah Hazel pun dia baik,” ujar Salina lembut.

Hazel memandang ke arah Najmi. Dengan ayahnya, Najmi banyak cakap. Tidak sedar... agak lama dia memerhatikan perilaku Najmi.

“Kami kenal waktu Hazel di Mekah dulu.”

Salina mengangguk. “Jodoh?”

Hazel tersenyum serta-merta.

“Hazel suka dia?”

“Kami baru aje jumpa semula. Tak sampai dua bulan pun lagi,” ucap Hazel rendah.

“Masa bukan penentu mutlak kita sesuai atau tidak dengan seseorang, Hazel. Nak tahu dia baik ke tidak, tengok akhlaknya. Tengok adakah dia suka marah. Tengok apa dia katakan bila tengah marah... macam mana dia handle rasa marah,” ucap Salina lembut. 

Hazel kembali memandang raut Salina.

“Kak Sal tak sedih?” tanya Hazel. Wanita ini kehilangan suami terlalu awal kerana kemalangan jalan raya. Wanita berusia 36 tahun itu memandang ke hadapan.

“Mak mana tak sedih bila tengok anak menderita sakit berat, Hazel. Kalau boleh kita nak pikul kesakitan tu untuk dia. Tapi lepas doktor kata kemo tak lagi sesuai untuk dia, akak reda. Biarlah, anak-anak ni milik Allah. Setiap hari akak berdoa semoga Allah mudahkan perjalanan dia. Moga Allah ambil dia cepat-cepat,” luah Salina perlahan. Tidak pernah terbayang olehnya anak yang baru berusia 10 tahun mendapat penyakit berat seperti limfoma.

Sedih Hazel mendengar luahan wanita itu.

“Bila dia tanyakan Hazel hari tu... akak cakap, kita semua akan dipertemukan semula nanti, insya-Allah. Auntie Hazel kena kerja, cari duit untuk tampung rawatan Nisa. Dalam ramai-ramai orang, dia sebut tentang Hazel.”

Hazel memandang ke arah lain kerana air matanya gugur lagi. Dia enggan menangis kerana tidak mahu Salina bertambah sedih.

“Hidup ni pentas ujian,” ucap Salina perlahan.

Dia tunduk memandang ke bawah. Ujian getir hidupnya sebahagiannya Hazel sudah tahu. Ketika mereka berkenalan dulu, Salina baru kehilangan suami... Dia kehilangan kerja. Dia jatuh miskin! Gadis ini tiba-tiba datang sebagai pelanggan nasi lemaknya. Bermula dari situ mereka kenal dan jadi rapat. Tidak ada status kaya atau miskin. Gadis ini berkawan dengan sesiapa saja yang kena dengan jiwanya sehingga Salina juga dianggap sebagai anak oleh ibu bapa Hazel.

Salina memandang ke arah Nuril yang terbaring di atas kerusi. Kepalanya beralaskan paha Puan Sri Haslina. Nuril memang rapat dengan Puan Sri Haslina. Saat itu dia terkenangkan segala jasa baik keluarga Hazel kepadanya semenjak dari awal mereka kenal sedangkan mereka tiada ikatan darah. Hanya saudara sesama bangsa, sesama Muslim.

“Susah hidup akak ni, Allah bayar dengan hadirkan orang-orang baik macam keluarga Hazel. Allah Maha Adil,” tambah Salina. Ketika anaknya nazak, tiada pak cik atau mak cik Nisa yang datang. Dia pun sudah lama tidak pulang ke kampung kerana sibuk membesarkan anak dan mencari rezeki. Tiada sesiapa peduli biarpun dia masih ada adik-beradik dan ibu bapa. Tetapi ada orang luar yang sentiasa bertanya khabar.

Tetapi orang luar yang selama ini bersamanya ketika dia diduga dengan perjalanan yang berat sebegini. Syukur!

Hazel memegang bahu Salina.

Jam 4 pagi jenazah anak kecil itu dituntut oleh mereka untuk dibawa pulang ke kediamannya. Hanya tinggal Hazel dan Najmi menemani Salina di situ ketika itu. Tan Sri Hairi dan Puan Sri Haslina menempah bilik hotel terdekat. Nuril dibawa pulang bersama mereka kerana anak itu sudah keletihan berada di hospital semenjak pagi.

 Jenazah anak itu ditempatkan di dalam masjid terdekat dengan rumah sementara menunggu jemaah menunaikan solat subuh berjemaah. Imam sempat mendekati Salina sebelum masuk waktu subuh.

“Nak ke bumikan sebelum zohor?” tanya imam surau itu.

“Kalau boleh lepas terbit matahari nanti, solatkan terus dan ke bumikan, pak imam. Hari ni hari Jumaat. Saya nak lekas selesai hal pengebumian sebelum orang solat Jumaat.”

“Keluarga sebelah mak dan ayah dah sampai ke belum?”

“Saya tak tunggulah. Saya nak segerakan pengebumian,” ujar Salina. Hazel sekadar memandang paras kakak angkatnya itu.

“Yalah. Kita segerakanlah ya? Solat jenazah waktu duha nanti,” beritahu imam.

“Terima kasih banyak, pak imam.”

“Sabar banyak-banyak maknya ya? Moga Allah tempatkan dia bersama wildan yang lain. Moga Allah berikan rahmat kepada kamu asbab kamu bersabar dengan takdir Allah.”

Salina angguk. Ucapan aminnya itu hampir tidak kedengaran. Rautnya tidak mampu disembunyikan lagi, dia sedang keletihan dan sedih.

Mereka bersolat jemaah subuh bersama jemaah lain. Selepas matahari terbit, imam itu mengajak jemaah yang menunggu untuk melakukan solat jenazah. Hasilnya... penuh separuh dari bahagian ruang solat lelaki untuk sama-sama solat jenazah. Antara mereka adalah Najmi, Tan Sri Hairi, Hairul yang baru datang turut sama memenuhkan barisan itu bersama dua anak lelakinya dan Harith yang datang bersama isterinya.

 

Tidaklah seorang Muslim yang

meninggal dunia lalu disolatkan

ke atas jenazahnya itu tiga saf dari

kalangan umat Islam melainkan wajib

baginya (masuk ke dalam syurga).

~Riwayat Abu Daud (3166)~

 

Setelah itu imam itu bertanya adakah keranda itu mahu dibuka untuk si ibu melihat anak itu buat kali terakhir. Namun si ibu menolaknya kerana yang afdal adalah diselesaikan perjalanannya ke alam abadi sesegera yang boleh. Kelebihan meninggal pada malam Jumaat, dia mahu anaknya juga dikebumikan pada hari Jumaat juga.

Jam 9 pagi itu setelah jenazah selesai disolatkan... kakak ipar Hazel datang melakukan ziarah atas kapasiti sebagai menteri.

Your sister-in-law?” tanya Najmi saat berada di sebelah Hazel. Mereka menyandar di belakang kereta Najmi sambil menunggu keberangkatan jenazah itu ke perkuburan terdekat.

Yes. You tak ingat? Dia juga ada di Jeddah dulu. Waktu tu dia belum jadi menteri,” ucap Hazel.

“Tak cam. I cuma ingat kakak ipar you lagi seorang tu,” jawab Najmi.

“Gee. Yes, I paling rapat dengan dia sebab dia selalu bela I bila abang I buli I,” ucap Hazel dengan senyum kelat. Mereka sudah melihat jenazah anak itu dibawa keluar dari masjid itu untuk dibawa ke tanah perkuburan.

Lets go?” ajak Najmi lantas membuka pintu keretanya untuk Hazel.

Gadis itu tersenyum sebelum masuk ke dalam kereta. Dia tahu Salina akan pergi ke kubur menaiki kenderaan jenazah. Nuril pula bersama mama dan papanya.

Jam 10 pagi jenazah anak kecil itu selamat disemadikan. Ketika itu barulah Salina menangis semahu-mahunya. Puas ditenangkan oleh ibu-ibu yang ada di sekeliling. Sudahnya Puan Sri Haslina mendekat. Dia duduk di sebelah Salina lalu diberikan pelukan sebagai seorang ibu untuk menenangkan wanita itu.

Najmi memandang dari jauh bersama hati yang walang. Ada rasa sebak yang menekan kuat dadanya. Kerana dia sempat ternampak wajah anak itu setelah ikatan kain kapannya dibuka ketika di dalam liang lahad tadi. Hati mana yang tidak sedih.

Setelah jenazah anak kecil itu selamat disemadikan barulah datang bapa-bapa saudara dari sebelah ayah. Meminta dihalalkan kerana tidak menanggung nafkah sedangkan tentang faraid mereka menuntut sehingga balu arwah adik mereka jatuh miskin!

“Bukan saya yang berhak halalkan. Tapi dia...” ucap Salina sambil memandang semula kepada kuburan itu. Ketika itu Hazel berdiri di belakang Salina, mendengar perbualan itu.

“Saya dah beritahu awal, dia sakit... tak ada sesiapa datang pun,” ucap Salina lagi.

“Kami ingat dia tengah dalam rawatan,” ujar salah seorang lelaki itu. 

Salina senyum kelat. Hatinya sudah tepu dengan kesakitan ini. Dugaan hidupnya sangat menyesakkan semenjak arwah suaminya meninggal dunia kerana kemalangan motor. Rumah dituntut! Wang simpanan dituntut! KWSP dituntut! Insurans dituntut juga!

Sudahnya dia berniaga nasi lemak di tepi jalan danmenyewa rumah flat kecil anak beranak. Dah dapat harta faraid, pak cik-pak cik semua hilang entah ke mana. Sehingga diberitahu anaknya sakit pun, mereka hanya bertanya dari WhatsApp saja. Selepas itu... lesap!

“Ni lah orangnya yang selalu ambil berat tentang Nisa dan Nuril. Mak dan ayah dia ambil Nuril dan Nisa jadi cucu angkat. Tak ada pak cik-pak cik sebelah ayah, yang hukum agama tetapkan kena tanggung nafkah!” ucap Salina lantas menarik Hazel ke arahnya. Air mata Salina gugur setitis.

“Saya kenal dia waktu saya bertatih-tatih nak bina hidup semula selepas arwah Kamarudin meninggal dulu. Saya jatuh miskin! Dia selalu ada di sisi saya mendengar keluh-kesah saya.”

Kesemua lelaki itu diam memandang Hazel.

“Di depan Allah nanti kita semua akan bercerita. Perjalanan di alam akhirat ni susah dan panjang. Saya tak mahu berdendam. Allah ada bersama orang yang sabar,” ucap Salina perlahan.

Wanita itu menarik Hazel untuk pergi membiarkan semua lelaki itu. Nisa dan Nuril ada tiga pak cik sebelah ayah. Kalaulah hukum agama itu tidak diambil sekerat saja, tidaklah jadi begini. Bersama faraid yang Allah tentukan, ada kewajipan menyara nafkah anak yatim. Bahagian nafkah itu tidak ramai ambil berat. Menuntut pusaka bukan main laju!

 

**BERMINAT? Boleh hubungi/ WhatsApp no ini : 011-40049752 (Admin Nina) /

: 019-3729676 (Admin Shida)

 

No comments:

Post a Comment