DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Friday, 28 April 2023

Bila Aku Bukan Dia - Bab 9


“Kekecewaan adalah kesedihan yang

indah, berakhirnya sebuah kisah

harapan yang tragis.”

 

SEPANJANG perjalanan balik kampung, Nailah banyak mendiamkan diri. Dia tidak masuk campur dalam perbualan mereka bertiga. Dia lebih banyak memerhati pemandangan sepanjang jalan yang mereka lalui. Selebihnya dia tidur. Emosinya tidak stabil walaupun dia nampak tenang.

Anuar perasan Nailah lebih banyak mendiamkan diri sejak dia sampai semalam. Bukan macam sebelumnya, ada sahaja cerita yang ingin disampaikan.

“Ilah lapar tak?” Anuar melihat Nailah melalui cermin pandang belakang.

“Tak.”

“Tapi Wafa laparlah, Bang Nuar.” Wafa pula yang merengek manja, mahukan perhatian Anuar.

Nailah terasa loya mendengar suara manja mengada-ada Wafa itu. Dia membeliakkan mata ke atas sebelum kembali melihat ke luar. Hati sudah tidak ada rasa cemburu. Sebelum ini, berubah juga air mukanya apabila melihat dan mendengar secara terangan Wafa cuba menarik perhatian Anuar.

“I pun lapar. Kita singgah makan dululah,” sampuk Firdaus.

Lelaki itu kawan baik Anuar. Bujang dan sentiasa bersama Anuar. Nailah juga rimas dengan sikap Firdaus itu, ada sahaja benda yang dia hendak minta Anuar tolong. Bahkan rumah mereka pun Firdaus tahu password pintu rumah. Dia juga bebas keluar masuk ke dalam bilik Anuar.

“Okey. Kat depan ada restoran. Kita singgah makan dulu.”

Nailah mengikut tanpa sebarang bantahan.

“Ilah nak makan apa?” Anuar memandang Nailah. Isterinya masih diutamakan.

“Kita makan ikan patin masak tempoyaklah,” celah Wafa sambil menunjuk menu di atas meja.

“I pun dah lama tak makan,” sampuk Firdaus pula.

Nailah memandang Firdaus dengan hujung mata. Walaupun kenal lama tapi mereka tidak baik sangat. Seakan ada sesuatu yang menyekang hati Nailah untuk berbaik dengan lelaki itu. Lagipun, dia rasa Firdaus tidak sukakannya.

Pernah dia mengadu kepada Anuar, tetapi suaminya ketawa sahaja. Anuar cakap Firdaus memang macam tu, tidak suka perempuan. Trauma. Sebab semasa kecil dulu, dia jadi mangsa dera ibu dan kakak tirinya. Tapi Nailah tahu itu hanya alasan sahaja.

“Ilah?” Anuar masih lagi bertanyakan Nailah.

“Ikut merekalah. Lagipun saya tak ada selera nak makan. Nak minum je.”

Anuar mengeluh.

“Ilah kena makan sikit. Pagi tadi pun tak makan,” pujuknya.

Nailah geleng kepala. Perut sebu dan selera tidak ada. Kalau dipaksa pun dia tidak mampu menelan makanan.

“Tak apa. Boleh diet. Lagipun memang saya tak lapar.”

“Mengada-ada.” Wafa mencebik.

“Aku mengada-ada pun dengan laki aku, bukan laki orang,” pedas Nailah balas. Menyampah dengan manusia tidak reti bahasa ni. Hendak tunjuk cemburu tidak kena tempat, tidak sedar diri.

Wajah Wafa terus berubah.

Tapi Nailah buat tidak perasan. Dia tunduk melayan telefon.

Anuar perhati dalam diam. Nailah buat hal sendiri. Layannya pun acuh tidak acuh. Bukan seperti biasa. Dia lebih pendiam. Adakah kerana dia tidak menghubungi Nailah selama dua bulan ini?

Dan Firdaus memerhati perubahan sikap Anuar. Saat ini dia tahu dia perlu mengalih perhatian lelaki itu kepada perkara lain. Tidak perlu menyemak kepala dengan sikap tidak matang perempuan itu. Macam budak-budak, sikit-sikit merajuk.

“Nuar, tengok ni.” Ditunjukkan satu video yang membuatkan lelaki itu terjongket bibir.

Makanan mereka sampai. Walaupun Nailah kata tidak mahu makan, Anuar paksa juga dia makan sedikit. Perjalanan mereka masih lagi jauh dan perut perlu dialas. Dia takut nanti Nailah gastrik.

Mereka sampai ke kampung malam. Selepas turunkan Wafa di rumah keluarganya, kereta terus bergerak ke rumah keluarga Anuar. Tapi Nailah tidak mahu ke sana.

“Hantarkan saya balik ke rumah ayah,” arahnya.

“Kita pergi rumah mak saya dulu, malam nanti kita balik tidur rumah ayah Ilah,” balas Anuar.

“Tak nak. Hentikan kereta depan kedai Pok Di tu pun tak apa, saya boleh jalan kaki balik sendiri,” arah Nailah apabila nampak kedai runcit keluarga Hadi.

Wajah Anuar berubah apabila Nailah berkeras mahu turun juga. Panas hatinya dengan sikap Nailah kali ini.

“Nailah! Jangan buat perangai budak-budak boleh tak? Tak puas hati dengan saya, jangan libatkan orang lain.” Tinggi suara Anuar menegur sehingga Nailah terdiam.

Nailah terkejut. Dia ketap bibir, tahan hati, tahan air mata dari keluar. Dia pujuk diri supaya bersabar. Imej Anuar di mata hatinya semakin berselerakan.

Kereta terus meluncur menuju ke rumah Haji Ghani. Sampai di laman rumah, enjin kereta dimatikan dan Nailah yang terakhir sekali keluar. Dia tarik nafas. Cuba mengawal perasaannya seperti biasa.

Di dalam keluarga mentuanya, kedudukannya semakin ke bawah dan dia bukan lagi menantu yang diraikan. Ini semua kerana dua tahun berkahwin, perutnya belum berisi dengan zuriat keturunan Haji Ghani. Kerana itu sikap mak mentuanya semakin berubah, sinis.

Cik Milah, ibu mentuanya menyambut mereka dengan senyuman lebar. Gembira menyambut kepulangan anak kesayangannya. Lagipun dalam tiga orang anaknya, Anuarlah yang kerja jauh dari keluarga. Abang dan adik Anuar bekerja dengan ayah mereka, menjadi pengurus kedai emas.

Nailah senyum dan mendekati ibu mentuanya.

“Ibu sihat?” Nailah tunduk cium tangan Cik Milah.

“Sihat orang tualah,” balas Cik Milah separuh hati. Dia hanya memandang sekilas sahaja. Tumpuannya lebih tertumpu kepada anak lelaki kesayangannya.

“Kenapa kurus ni? Ilah tak jaga makan minum kamu ke?” tegur Cik Milah sambil membelek tubuh Anuar.

“Mana ada kurus ibu. Tengok ni...” Anuar tunjuk lengannya yang berotot. Tubuh Anuar bukan semakin kurus tapi semakin berotot dan padat.

“Betul tu mak cik,” sampuk Firdaus di sebelah.

Nailah pandang sebelah mata. Dan Cik Milah langsung tidak memandangnya lagi.

“Jom masuk. Mesti lapar dan letih ni. Ibu dah siap hidang atas meja dah.” Cik Milah mengajak mereka masuk.

Nailah terpaksa ikut, tidak lagi menyebut mahu balik ke rumah keluarganya.

Anuar menjeling Nailah. Wanita itu diam dan tunduk. Hati terasa bersalah. Lebih baik dia ikut saja keinginan Nailah. Mungkin hati isterinya akan terpujuk.

“Ilah, kita masuk dan makan dulu. Lepas makan saya hantar awak balik rumah mak.”

“Tak payah balik. Tidur sini malam ni,” sampuk Cik Milah. Suaranya kuat. Ada nada tidak senang di dalam intonasi suaranya.

Nailah tersentak, bahunya terangkat.

“Ibu, Nuar hantar Ilah balik je. Nuar tidur sini.”

“Tak payah. Kalau nak balik, balik terus. Jangan datang sini lagi. Macamlah esok tak ada.” Habis cakap Cik Milah terus melenggang masuk ke dalam rumah.

Firdaus angkat bahu. “Nasib baik aku tak kahwin lagi.” Perlahan suaranya tapi dapat didengar dengan jelas oleh Nailah. Sengaja menyakiti hati Nailah.

Anuar garu kepala. “Ilah, kita tidur dulu sini malam ni. Esok pagi kita balik rumah mak. Lagipun ibu dah kecil hati tu. Tak baik,” pujuk Anuar.

Nailah pandang Anuar dengan mata berkaca. Suaminya tidak pernah memahami hatinya. Bukan dia tidak suka tidur di rumah mentua, tapi dia mahukan perhatian Anuar. Di sini ada Cik Milah dan Firdaus. Buat sekian kalinya dia menelan keperitan jiwa sendiri.

 

No comments:

Post a Comment