DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Friday, 28 April 2023

Bila Aku Bukan Dia - Bab 3


“Hidup ini pendek. Kita harus mampu

tersenyum dalam kepedihan atau

kita tak akan mampu meneruskan

kehidupan.”

~Jeff Ross~

 

SEMINGGU telah berlalu, cuti Anuar telah habis. Hari ini Nailah akan mengikut Anuar ke Kuala Lumpur. Mereka akan memulakan kehidupan berkeluarga di sana.

“Jaga diri dan dengar cakap suami. Apa-apa pun nak buat, minta izin dulu. Ilah bukan lagi bersendirian tapi telah jadi isteri orang,” pesan Cik Idah kepada Nailah, anak ketiga dan perempuan bongsunya.

Kalau ikutkan hati berat dia mahu melepaskan Nailah mengikut Anuar memulakan hidup di Kuala Lumpur. Selepas Nailah habis diploma dulu memang sengaja dia tidak bagi cari kerja jauh dari kampung. Sebab itu jugalah Nailah jadi jurujual di kedai emas Haji Ghani. Tapi tidak sangka pula boleh berjodoh dengan anak tuan kedai.

Hatinya gembira dapat berbesan dengan orang kaya kampung mereka tapi dalam masa yang sama sedih kerana terpaksa melepaskan Nailah mengikut suaminya.

Nailah angguk. Dia peluk erat tubuh rendang maknya. Matanya berkaca. Sedih sebab kena berpisah dengan mak. Kemudian dia bersalam dan peluk mak tok pula.

“Kenapa nak sedih? Bukannya tak balik mari. Kalau rindu kampung, ajak Nuar balik,” pesan mak tok.

Semakin merah mata Nailah mendengarnya.

Anuar datang memujuk. “Betul mak tok cakap tu. Nanti kalau Ilah rindu kita balik kampung,” pujuknya.

Nailah angguk. Senyum diukir untuk menutup kesedihannya. Kemudian dia bersalam pula dengan kedua mentuanya. Seperti mak dan mak tok, pesanan supaya jaga diri turut dititipkan.

Kereta dipandu Anuar bergerak perlahan meninggalkan halaman rumah keluarga Nailah. Cermin pintu dibuka dan Nailah melambai mereka semua.

Anuar melihat kesedihan di wajah isterinya namun dibiarkan. Dia tidak sabar sampai ke Kuala Lumpur. Banyak kerja dan programnya tergendala disebabkan cuti panjang berkahwin ini. Namun dia juga faham kesedihan Nailah berpisah dengan orang tuanya. Jadi sengaja kereta dipandu perlahan, memberi peluang kepada Nailah melihat keluarga mereka lebih lama.

Perjalanan dari Kelantan ke Kuala Lumpur mengambil masa tujuh jam. Sepanjang perjalanan tidak banyak yang mereka bualkan. Nailah merasakan atmosfera di dalam kereta tidak sama ketika mereka berduaan di kampung.

Dia mengerling Anuar yang tengah fokus memandu. Entah kenapa hatinya berdetak, suaminya telah berubah sikap selepas mereka keluar dari kampung mereka. Wajahnya serius dan banyak berdiam diri. Mereka hanya bercakap apabila Nailah memulakan dulu.

Nailah jadi kekok dan terasing. Dia memandang jauh ke depan. Jalan nampak lurus ke hadapan, seolah-olah tidak ada halangan yang menjadi penghalang perjalanan mereka. Kenderaan pun kurang. Namun perjalanan hidup bukan seperti jalan lurus ini. Banyak halangan dan liku-liku kehidupan perlu dilalui.

Membuatkan Nailah terfikir hala tuju rumah tangga mereka. Dia masih belum mampu melihat masa depannya bersama Anuar. Pemahamannya terhadap Anuar sangat sedikit, hanya di luaran sahaja. Itu pun semua yang molek dan baik-baik.

Namun dia tahu tidak ada manusia yang sempurna di dunia ini walaupun Anuar adalah lelaki sempurna di mata orang kampung. 

Lewat petang mereka sampai ke apartmen Anuar. Nailah pandang sekeliling sambil mengikut suaminya dari belakang. Kawasan apartmen ini cukup lengkap, nampak mewah dan banyak kereta mewah terparkir di tempat letak kereta.

“Apartmen kita di tingkat lapan. Ini blok A. Setiap tingkat ada 3 buah unit sahaja. Kolam mandi, sauna dan gym di tingkat 2. FamilyMart, kafe dan fresh market ada di blok B. Jadi senang, nak beli barang atau malas masak tak perlu keluar dari kawasan apartmen ni, beli aje kat situ.” Sambil berjalan Anuar tunjukkan tempat dan ceritakan kemudahan di dalam kawasan apartmen ini.

“Surau ada tak?”

“Nampak tak bumbung hijau tu? Itulah surau.”

Mata Nailah bersinar sambil senyum. Dia memandang suaminya. “Dah lama ke awak tinggal kat sini?”

“Baru lagi, tak sampai 2 tahun. Apartmen ni baru siap. Saya antara penghuni awal masuk.”

Lif sampai dan mereka terus masuk. Mereka tidak lagi berbual dan melayan perasaan sendiri. Dalam diam Nailah memerhati suaminya melalui pantulan di pintu lif. Tidak dinafikan Anuar ni segak dan tegap. Dia terasa bertuah memilikinya.

“Kita dah sampai,” umum Anuar.

Bagasi mereka ditarik keluar dan Nailah setia mengikutnya. Sampai di unit bernombor 801, Anuar berhenti. Dia menekan password untuk membuka pintu apartmen.

Password 140312. Kena ingat tu, kalau lupa tak boleh masuk,” pesan Anuar.

Nailah sengih. 140312 diulang-ulang untuk mengingatinya sambil melangkah masuk ke dalam. Cantik dekorasi di dalam rumah barunya. Kaki ringan menjelajah setiap sudut apartmen itu. Besar dan luas, lari dari apa yang dia bayangkan saat tahu Anuar tinggal di apartmen.

“Ini bilik awak dan itu bilik saya.”

Suara Anuar itu membuat Nailah berpaling. Dahinya berkerut. Kenapa perlu tinggal dalam dua bilik? Bukankah mereka suami isteri? Hati merusuh.

“Ilah jangan salah sangka. Kita tetap tidur sebilik tapi saya adakalanya perlukan ruang sendiri. Awak boleh faham, kan?” Anuar mendekati Nailah apabila tidak mendengar suaranya.

Nailah terkebil-kebil memandang wajah tampan suaminya. Selangkah demi selangkah lelaki itu mendekatinya.

“Kerja saya stres, jadi saya tak nak mood tak baik saya terkena tempiasnya kat awak. Jadi bila mood saya tak okey saya lebih suka bersendirian. Tak suka orang lain ganggu.”

“Tapi kita kan dah jadi suami isteri. Bukan ke tugas isteri menghiburkan hati suami? Meringankan beban yang suami tanggung. Saya tak kisah susah. Saya nak sama-sama berkongsi susah senang bersama awak,” balas Nailah. Dia tunduk. Hati memang terasa apabila suaminya cakap ini bilik dia dan itu biliknya.

“Saya tahu tapi kita perlukan masa untuk membiasakan diri dengan kehidupan baru ni. Jadi please, fahami saya. Saya tahu awak isteri saya. Saya tahu kita kena belajar hidup bersama. But, ada certain part dalam hidup saya susah saya nak ubah dan perlukan masa. Saya harap Ilah faham.” Lembut suara Anuar memujuk. Kedua belah bahu Nailah dipegang dan dia tunduk menatap mata Nailah, memohon pengertian.

Rela dalam terpaksa Nailah angguk. Mungkin dia perlu banyak bertoleransi dalam perhubungan ini.

“Terima kasih sayang.” Anuar merapatkan tubuh mereka. Kedua tangannya merangkul tubuh kecil Nailah erat ke dadanya.

Nailah menarik nafas panjang. Mata dipejamkan dan haruman suaminya meresap ke dalam jiwanya. Hati kembali tenang. Pelukan dibalas. Mereka berkeadaan begitu buat seketika sebelum pelukan terlerai.

“Pergilah masuk berehat dulu. Saya keluar kejap beli makanan. Tentu awak lapar, kan?”

Nailah senyum dan angguk.

“Tapi awak patut rehat. Penat drive tadi.”

Anuar senyum, tangannya diangkat mengusap kepala Nailah.

“Penat sikit tapi baru dapat tenaga tadi terus hilang penat tu.” Manis mulutnya mengusik Nailah.

Wajah Nailah merah. Naif. 

 

No comments:

Post a Comment