DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Friday 28 April 2023

Bila Aku Bukan Dia - Bab 5


“Kadang-kadang langit bisa kelihatan

seperti lembar kosong. Padahal

sebenarnya tidak. Bintang kamu tetap di

sana. Bumi hanya sedang berputar.”

~Dee Lestari~

 

BANYAK telah berubah. Nailah semakin matang dan menjalani kehidupan sehariannya dengan tenang. Dari jawatan kerani dia naik pangkat menjadi eksekutif. Kehidupannya nampak stabil dan bahagia.

Ada suami yang baik dan sempurna. Kerja yang bagus dan mentua yang baik. Pendek kata tidak ada apa pun yang kurang dalam kehidupannya. Tapi orang tidak tahu, hati dan kehendaknya apa.

 

Assalam sayang. Lusa saya balik. I

miss you.

 

Bibir terjongket sebelah apabila membaca WhatsApp dari suaminya. Dia merenung kosong. Rindu tapi kenapa semakin lama perasaan itu sudah tidak indah lagi? Orang kata kalau sayang, tinggal-tinggalkan. Tapi kalau asyik kena tinggal berbulan-bulan, jumpanya sekejap. Masa sekejap itu kena berbagi pula, membuatkan hatinya tertanya-tanya di mana letaknya dia dalam hati Anuar. Dalam hendak cakap tidak suka dan teruja, tidak juga. Tapi entahlah...

Puk!

Kepalanya beralih, memandang kepada orang yang menepuk mejanya.

“Kau termenungkan apa?”

Nailah geleng kepala.

“Nak apa?” Telefon diletakkan di atas meja dan dia kembali membuat kerjanya yang tergendala dek notifikasi WhatsApp tadi.

“Encik Nik dah balik outstation. Dia ada dalam officenya sekarang.”

So?” Kening Nailah terangkat memandang wajah teruja Juliana.

“Kau... hmmm... spoil mood aku nak ajak kau  bergosip,” dengus Juliana tidak puas hati.

“Cik adik, aku bukan orang sesuai kau ajak bergosip pasal bos segak kita tu. Kau patut ajak minah single macam Laili, Lucy atau Dihah tu. Aku ni bini orang. Kacak lagu mana pun, tak boleh nak admire pun, berdosa tau.”

“Bukannya suruh kau jatuh suka pun kat Encik Nik tu, saja nak cakap-cakap pasal dia.”

Nailah mengeluh. Lelaki kacak? Kaya? Tegap atau tampan sekali pun tidak akan dapat menjamin kebahagiaan hidup. Cita rasa dia dulu pun sama macam Juliana. Tapi bila semakin memanjat usia ni, dia jadi tidak kisah lagi semua itu asalkan dapat memiliki bahagia. Kerana kalau tersilap pilih, sendiri yang menanggung akibatnya.

“Aku tahulah suami kau segak, jadi tak hairan pun kat lelaki segak lain kan,” sindir Juliana.

Nailah angguk mengeyakan. Dia senyum nipis. Tapi senyum itu tidak lahir dari hati. Senyum kosong tanpa sebarang emosi. Ke mana hilang cintanya?

Juliana memusing mata ke atas, buat-buat menyampah apabila bercakap tentang suami Nailah. Tapi dalam hati dia tidak iri pun, malah sentiasa mengharapkan Nailah bahagia. Namun begitu dia kasihan juga dengan Nailah ni, suaminya selalu outstation, balik seminggu perginya berbulan-bulan. Kasihan Nailah selalu ditinggalkan.

“Tahu tak apa. Tapi kalau kau nak cerita, aku dengar je.”

“Kau rasa kenapa Encik Nik tu tak kahwin lagi eh? Rupa dan harta ada tapi bini tak ada.”

“Mungkin dia tunggu kau kut,” usik Nailah.

OMG... I’m so luckylah.” Mengekek Juliana ketawa. Perasan sendiri.

 Nailah ikut tergelak. Dia cemburu dengan Juliana. Sentiasa senyum dan ketawa seolah-olah tidak ada masalah dalam hidup. Walaupun dia tahu setiap orang ada ujian hidup masing-masing.

“Tapi kan, tak salah kalau kau cuba mendekati Encik Nik tu. Mana tahu berjodoh? Jadi baik kau ambil peluang itu,” Nailah memberi sokongan dan galakan. Belum bertunang atau berkahwin. Jadi peluang itu masih ada. Bukan macam dia, isteri orang. Dah jadi edisi terhad, milik Anuar.

Juliana menutup mulut, ketawanya bersambung.

“Kalau berjodoh, nanti aku bolehlah jadi Mrs. CEO kan?” nadanya bercanda.

“Betul tu. Nanti kau jangan lupa sahabat pula. Kena naikkan pangkat aku.” Naila melayan. Dia tidak rasa pun Juliana serius dengan kata-katanya.

“Tapi... sayanglah aku baru terima Zul minggu lepas.”

“Zul? Kawan kau masa kat UKM dulu?”

Juliana angguk.

“Kau kata tak boleh nak anggap dia lebih dari kawan.” Kening Nailah terangkat, bertanya.

“Entahlah. Mungkin Allah telah balikkan hati aku supaya memberi peluang jadi lebih dari kawan.” Perlahan suara Juliana.

“Mungkin. Sebab itulah jodoh ni kita tidak tahu siapa walaupun ada di depan mata. Hanya bila sampai masa baru kita tahu dia itulah jodoh kita.”

Macam jodoh dia dengan Anuar. Dua tahun lepas, Nailah tidak terfikir pun hendak bersuamikan Anuar. Wafa yang selalu bercerita pasal Anuar, selalu kongsi itu ini tentang Anuar. Tapi yang berjodoh itu dia.

 “Tapi belum kahwin lagikan, ada peluang lagi tu.”

“Kau ni nak suruh hati aku bercabang dua ke?”

Juliana tergelak.

Nailah turut sama ketawa. Saja menduga dan menyakat Juliana.

“Keluarga aku dah tahu, aku serius dengan Zul. Zul pun dah beritahu keluarga dia. Kami dah lama kawan jadi keluarga kami tak bagi kawan lama-lama. Suruh terus ikat. Kahwin. Lagipun kerja dah stabil.”

“Jadi kau akan ikut cakap keluarga?”

Juliana angguk.

“Insya-Allah, aku dan Zul plan majlis hujung tahun. Minggu depan keluarga dua belah pihak berjumpa dan berbincang.”

“Alhamdulillah. Tahniah.”

Lupa sudah mereka gosip tentang bos bujang mereka.

 

 

“AWAL BALIK hari ni Nailah,” tegur Encik Nik Zayan. Ketika itu Nailah sedang menunggu lif untuk turun.

Nailah melihat ke sebelah. Dia senyum hormat kepada orang yang menegurnya.

“Encik Nik pun awal jugak balik,” balas Nailah.

“Terpaksa. Petang ni saya kena pergi blind date. Kalau tak pergi, nanti umi saya berkampung dekat office ni pula,” adu Nik Zayan secara berseloroh.

Nailah ketawa dengan penjelasan ikhlas Nik Zayan.

Nik Zayan terpesona mendengar tawa itu. Ditarik nafas, tapi dia sedar Nailah ini isteri orang.

“Dia tak sabar nak bermenantu dan bercucu tu Encik Nik. Tak patut hampakan hasrat orang tua ni.”

Nik Zayan mengeluh. Tangan memicit dahi menunjukkan dia pening kepala dengan permintaan uminya yang satu ini. Dia langsung tidak ada keinginan berkeluarga, melainkan... mata melirik kepada Nailah.

“Bukan sengaja tapi nak buat macam mana, saya tak jumpa lagi gadis yang mampu buat saya terbuka hati berkahwin.” Dia yang terlewat kenal Nailah.

“Mungkin sebab Encik Nik letakkan syarat tinggi kut.”

Nik Zayan geleng kepala.

“Tak jugak. But something feels not right. Adakala tu saya rasa macam rindukan someone, but saya tak tahu siapa. Sampai hari ini saya tertanya-tanya dan tercari-cari.”

Lif sampai dan terbuka. Mereka sama-sama melangkah masuk ke dalam lif. Lif kosong dan hanya ada mereka berdua sahaja. Perbualan mereka bersambung.

“Perasaan Encik Nik je tu. Saya pernah rasa macam tu. Rindukan someone tapi tak tahu siapa.”

Aik... bukan suami awak?”

Nailah tarik senyum segaris. Rindu itu lain daripada rindu kepada suaminya.

“Bukan, lain. Sebab itu saya kata mainan hati Encik Nik. Benda tu imaginasi hati sahaja.”

“Mungkin betul cakap awak tu.”

Ding... Pintu lif terbuka dan mereka sampai di lobi.

Good luck. Semoga Encik Nik tersangkut jodoh kali ini.” Ikhlas Nailah mengucapkannya.

Nik Zayan, CEO syarikatnya, baik orangnya. Dia sentiasa sibuk dan jarang masuk ke pejabat. Selalu outstation. Tapi sekali masuk dia umpama kumbang yang ditunggu oleh bunga di taman.

Hanya senyuman senget Nik Zayan balas.

 

No comments:

Post a Comment