DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Friday 28 April 2023

Mawar Di Arafah - Bab 8


BIP! Bip!

Tumpuan gadis itu terganggu apabila terdengar bunyi dari telefonnya yang terbiar di sebelahnya. Hazel menoleh spontan kepada telefonnya. Terlihatnya sekali imbas, ada notifikasi di WhatsApp. Hazel sekadar menolak skrin di atas untuk memastikan mesej itu bukan daripada Rizal.

Matanya terpaku memandang perkataan ‘crush’ di skrin itu. Hazel terus mengambil telefon itu. Tidak sanggup dibiarkan mesej daripada Najmi tanpa dibaca.

 

How are you?

 

Bibir Hazel tersenyum sendiri membaca mesej itu walaupun mesej itu biasa-biasa saja. Sekadar bertanya khabar apalah yang istimewa benar. Tetapi ada denyutan teruja dalam jiwa Hazel saat itu.

 

Good. I tunggu you mesej. Lama you.

 

Tidak lama kemudian datang lagi mesej balasan daripada Najmi.

 

I’m definitely okey lepas kena hamun

hari tu, naughty girl! 2 hari kita tak

saling bertegur sapa. I tunggu you

contact I. You tunggu I contact you.

Sudahnya 2 hari kita buang masa

dengan berdiam diri. Lain kali I akan

mesej you saja, tak kisah you busy

atau tak.

 

Hazel memandang ke hadapan saat ada orang berjalan di depan biliknya. Namun dia kembali memandang mesej itu. Kali itu tumpuannya sepenuhnya kepada mesej itu walaupun kerjanya sedang bertimbun.

 

I’m sorry for my behavior last time. I

lepaskan kemarahan pada you hari tu.

Sorry sangat-sangat.

No big deal. Semua manusia ada

emosi. I tak berniat nak ganggu

waktu you kerja. I pun tengah kerja.

Cuma, I teringatkan you. So hanya nak

bertanya khabar.

Thanks.

 

Ada emoji hati disertakan Hazel pada hujung mesejnya tanda hatinya amat menyenangi kunjungan mesej daripada Najmi.

Hazel cuba menyambung kerjanya semula. Namun fikirannya masih tidak lari dari mengenangkan Najmi. Perlahan dia menekan lagi telefonnya, lalu gambar yang dimuat turun dari IGnya itu direnung tanpa jemu.

“Hai, H,” sapa Lydia dari pintu kamar Hazel yang terbentang luas menyebabkan khayalan Hazel terganggu. Dia segera memandang ke pintu.

Yes, Lyd.”

Sorry, ni sepatutnya I bagi pagi tadi tapi terletak salah tempat,” ujar Lydia sambil dia berjalan masuk ke kamar bosnya.

Hazel terus menghulurkan tangan untuk mencapai fail nipis itu. Dia membukanya. Bibir bawahnya digigit sedikit sambil melihat isi kandungan fail itu. Lydia keluar tanpa meminta diri. Hazel menghela nafas panjang sebelum lengan kemejanya dilipat lebih tinggi.

Gadis itu meneliti satu demi satu angka dalam laporan yang telah dibuat oleh kakitangannya. Seterusnya Hazel menggerakkan kerusinya ke arah komputernya. Satu demi satu laporan kewangan syarikat-syarikat itu disemaknya. Matanya berulang alik melihat dan membaca angka di skrin itu.

Seketika kemudian Hazel mengangkat gagang telefon. Dia meminta pengurus senior Bahagian Perancang Pelaburan masuk ke biliknya. Tidak lama kemudian datang seorang lelaki lingkungan usia 40-an ke biliknya.

Hazel terus memandang langkah lelaki itu. Setelah lelaki itu datang, dia menunjukkan satu angka di komputernya.

It is 41 percent...” ucap Hazel. Syarikat kewangan mereka sudah memegang kepentingan sebanyak itu di dalam syarikat pengeluar tayar kenderaan di luar negara.

Yes...” balas Encik Johari biasa.

Hazel segera menunjukkan pula jumlah kemasukan wang ke dalam bank mereka dalam bentuk keuntungan.

That’s almost 67 million.”

That’s true,” ucap lelaki itu dengan riak wajah yakin.

Impressive! I akan pastikan bonus team you tahun ni paling tidak 5 bulan, Encik Jo. Good work!”

Lelaki itu ketawa mendengar bicara pengarah muda itu. Sangat menyenangi karakter pengarah ini walaupun masih muda namun dia tidak kedekut memuji kakitangan bawahan yang buat kerja untuk syarikat.

Thank you, Miss Hazel.”

Congratulations,” ucap Hazel lembut.

Lelaki itu berlalu dengan hati kembang setaman kerana pendapat penghargaan dari bosnya. Walaupun dulu dia hampir tidak percaya dengan kebolehan gadis itu memimpin department yang besar kerana Hazel melompat terus dari jawatan seorang pengurus bank kepada pengarah.

Balik lambat kerana kerja. Hazel tidak sedar masa berlalu sehinggalah Najmi menelefonnya.

“Hai,” ucap Hazel sambil memandang komputernya.

Where are you? I ada di kafe tapi you tak ada. I ingat you datang sini?”

“Oh, I ada kat ofis lagi.”

“Masih kat ofis?” ucap Najmi terkejut.

Yes. I ada banyak kerja. Lusa ada miting dengan CEO dan Chairman. So, I stuck dekat ofis dengan kerja bertimbun.”

“I ganggu?”

No. Not really. You nak dinner?” ucap Hazel lantas bersandar di kerusinya.

“Ya. I nak ajak you dinner dengan I. Tapi tak apalah. You perlukan apa-apa?”

Dinner would be nice. I agak lapar ni tapi I balik lambat lagi,” ujar Hazel.

“Okey. Ofis you level berapa?”

Level 16. Naj, you nak datang?” Kening Hazel berkerut sambil memandang ke hadapan. Dia hanya bergurau tadi.

“Tak boleh?”

“I tak kata macam tu. Dah malam ni. I susahkan you aje,” ujar Hazel sambil memandang jam tangannya. Sudah hampir jam 9 malam rupanya.

“Tak apa. I cuma nak jumpa you sekejap. I tapaukan you dinner? What do you want me to order?”

Fish and chips. Extra fries. Call me when you’ve arrived.”

Will do,” balas Najmi lantas mematikan talian.

Hazel menghela nafas panjang sambil tersenyum sendiri. Dia kembali menyambung kerjanya dengan hati yang berbunga-bunga. Hampir jam 10, Hazel memang lapar benar. Barulah ada panggilan daripada Najmi. Gadis itu lekas keluar dari pejabatnya untuk turun ke bawah.

Najmi ketika itu sedang berdiri di luar lobi yang sudah berkunci sambil bersembang dengan pengawal keselamatan. Lelaki itu menoleh sebaik saja Hazel mengetuk cermin, meminta pengawal keselamatan itu membuka pintu kaca yang sudah dikunci.

Walaupun sudah malam, gadis itu masih kelihatan cantik di matanya. Dia mengenakan seluar slack slim fit dengan kasut tumit berwarna hitam.

Hazel tersenyum kepada lelaki itu dari dalam. Seterusnya dia melambai Najmi, mengajak lelaki itu masuk.

“Hai, I bawa dia naik atas. Kami belum dinner,” ujar Hazel kepada pengawal keselamatan itu.

“Okey.”

Come?” ajak Hazel sambil menyambut bungkusan makanan dari tangan Najmi.

Mata lelaki itu meliar melihat lobi bangunan ibu pejabat bank itu. Tidak pernah dia jejak di tempat ini sebelum ini. Lif memerlukan kad akses pekerja. Setiap pintu terkunci secara automatik. Semuanya dikawal dengan kawalan keselamatan yang tinggi tanda orang luar tidak boleh masuk ke situ sesedap rasa seolah-olah di dalam ada tersimpan berkepuk-kepuk duit.

Ruangan pejabat itu sudah malap namun Najmi lihat Hazel tidak sendirian di pejabat. Ada beberapa pekerja lain di dalam bilik mereka dan di meja.

“Selalunya ada staf balik lambat?” tanya Najmi sambil mengekori gadis itu.

Yes. Time zone berbeza... mereka berurusan dengan syarikat di luar negara,” ujar Hazel.

“You selalu balik lambat?” tanya Najmi sambil memandang gadis itu berjalan di depannya.

“Kadang-kadang,” balas Hazel lantas menoleh kepada Najmi. Dia menarik pintu biliknya.

Nice office...” ucap Najmi. Dinding semuanya cermin sepertimana lazimnya bank. Dekorasi bilik itu ringkas.

Please make yourself comfortable. I ambil air sekejap,” ucap Hazel lantas meletakkan makanan itu di atas meja di sofa.

Najmi duduk sambil memandang Hazel berlalu ke kabinet untuk mengambil air mineral untuk mereka.

“Lambat you makan sebab I,” ujar Hazel.

“Tak selalu,” balas Najmi sambil matanya memandang coffee coaster di atas meja itu. Bibirnya tersenyum membaca quote di atas coffee coaster yang diperbuat dari kayu itu.

‘You’re the cream in my coffee.’

“You suka coffee, kan?” ucap Hazel sambil menunggu mesin kopi memerah kopi dari kapsul.

Yes.” Najmi memandang ke arah Hazel yang sedang berdiri menghadap mesin kopi Illy. Lelaki itu memerhatikan gadis itu tanpa jemu. Cantik sungguh gadis itu dengan pakaian formal ke pejabat. Dia pandai bergaya.

I like your office,” ucap Najmi saat gadis itu datang kepadanya.

Why?” tanya Hazel tidak faham.

Simple...” ujar Najmi.

Hazel tersenyum sebelum dia duduk di sofa single seater. Muk kopi diletakkan di atas coffee coaster yang dibelek Najmi tadi.

Milk tak ada. So, I letak gula satu sudu.”

“Tak apa. You’re the cream in my coffee,” ucap Najmi sambil menarik muk itu ke arahnya.

Hazel kembali memandang Najmi. What?”

“I baca kat sini... I suka quote ni,” ucap Najmi lantas mengangkat muk itu.

“Oh, ya... Lydia yang bagi pada I lama dulu,” ujar Hazel sambil menarik beg kertas di atas meja itu.

Najmi menghirup kopi itu. Hazel meletakkan hidangan buat Najmi di depan lelaki itu.

“I dah lapar,” ucap Hazel lantas membaca bismillah. Tidak pelawa Najmi, dia terus menyuap kentang goreng ke mulutnya. Dia punya lapar memang tak boleh bawa bincang. Macam nak disumbatnya semua kentang itu ke dalam mulutnya sekali gus.

Tersenyum Najmi melihat gelagat Hazel. Bekas sos tidak sempat dibuka oleh Hazel. Sudahnya lelaki itu mengambil bekas kecil berisi sos dan tartar sauce.

Hazel memandang Najmi yang begitu tertib meletakkan bekas itudi depannya.

“Makanlah. I tahu you lapar,” ucap Najmi lembut. Barulah dia memulakan makan pula.

“Rajin you layan kerenah I ni, Naj.”

Lelaki itu memandang Hazel dengan pandangan lembut. Dia tidak menjawab bicara gadis itu.

Sedang makan, Hazel terpaksa bangun kerana telefonnya di atas meja berbunyi. Najmi sempat memandang gadis itu berjalan ke arah mejanya sambil mengeringkan tangan dengan tisu. Hazel duduk di kerusi dan terus menjawab panggilan itu.

Kening Najmi berkerut apabila Hazel tiba-tiba membalikkan kerusinya dan mendekati dinding cermin seolah-olah mahu menjauhi Najmi agar Najmi tidak mendengar perbualannya.

I know its hard, Kak Sal. Don’t cry...” ucap Hazel perlahan.

Agak lama Najmi terbiar sendirian sementara Hazel melayan seseorang di telefon. Gadis itu memandang ke luar bangunan itu melalui dinding cermin itu. Tidak sedar oleh Najmi, Hazel menyeka air matanya saat berbicara dengan orang di hujung talian itu.

“Hazel akan cuba datang nanti, insya-Allah...” ucap Hazel perlahan.

Najmi berdiam diri tanpa mengganggu gadis itu. Dia meneruskan makan seperti biasa. Tidak lama kemudian Hazel bangun dari kerusinya sambil menghela nafas panjang. Dia meletakkan telefon di atas mejanya dan kembali mendekati Najmi.

Lelaki itu memandang gelagat Hazel tanpa jemu. Pada raut gadis itu, ada sedikit kerusuhan yang cuba disembunyikan. Dan selera gadis itu tidak lagi sebaik tadi.

“Ada apa?” tanya Najmi perlahan.

Hazel memandang Najmi.

What?”

“You nampak sedih lepas bercakap dengan orang tu,” ucap Najmi.

Hazel diam. Isi ikan dowri itu masih banyak, dikuis-kuis saja tanda fikirannya sudah ada di tempat lain. Namun kemudian mereka saling berpandangan. Najmi masih setia memandangnya seolah-olah menunggu penjelasannya.

“I baru nak makan... tiba-tiba dengar berita sedih. Selera I jadi tumpul.”

Share with me. What is it?”

“Kakak angkat I... anaknya sedang bertarung dengan limfoma semenjak beberapa bulan lepas.” Hazel berkata perlahan. Dia mengelap tangan dengan tisu sebelum bersandar dan menindih lutut. Matanya merenung makanan yang terdedah di atas meja di depannya.

“Baru tadi I dengar anak dia minta untuk hentikan kemo beberapa hari lalu. So, keadaan dia tiba-tiba berubah kritikal semalam,” jelas Hazel.

Kunyahan Najmi mula jadi perlahan. How old is the child?”

“10,” jawab Hazel lantas membalas pandangan Najmi.

“Dia kawan you?” tanya Najmi sekali lagi.

“I kenal dia waktu I di UiTM dulu. Dari kerja syarikat besar... kena berhenti kemudian jual nasi lemak tepi jalan dekat dengan rumah sewa I. Waktu I kenal dia, suami dia baru saja meninggal. Dari situ I kenal dia. Dugaan hidup tak pernah habis.” Hazel tidak dapat meneruskan cerita kerana dia terasa mahu menangis. Jadi, dia berdiam untuk mengawal rasa sebak itu.

Najmi terpaku memandang Hazel. Gadis ini anak CEO bank tapi berkawan dengan penjaja nasi lemak tepi jalan? Kagum dia mendengar itu.

“I tak pernah diuji hidup macam tu. Tapi sesuatu yang I belajar. Anak dia sakit... kanser tu merebak terlalu cepat. Keluarga I boleh limpahkan segala duit yang kami ada untuk rawat dia. Tapi duit tetap tak mampu buat anak dia sembuh,” ujar Hazel. Bukan duit masalahnya lagi kerana keluarganya yang menanggung kos rawatan yang tidak mampu oleh Salina.

“Allah Maha Menyembuhkan...” ucap Najmi.

Yes.” Hazel diam menahan rasa sedih.

“I kena pergi tengok dia dalam waktu terdekat ni. Kanser dia masuk stage baru. Doktor kata tiada apa mereka boleh lakukan lagi,” ujar Hazel.

That’s why you looked sad. Semua orang akan rasa terkesan apatah lagi dia masih budak,” balas Najmi.

“I layan dia macam anak-anak buah I sendiri, Naj. I suka budak-budak. I tak boleh tengok budak-budak sakit, sedih... apatah lagi tak makan. Setiap kali hari raya I pergi rumah dia sebab dia tak ada ayah sampai mama dia selalu sebut I sebagai mak angkat Nisa,” ujar Hazel rendah.

Najmi diam merenung gadis itu. Nama anak itu adalah Nisa. Namun sesuatu menarik perhatian Najmi. Dia tidak tahu banyak tentang Hazel. Luaran gadis ini kelihatan seperti gadis kota. Berbeza berbanding gadis purdah yang ditemuinya dulu. Namun hatinya... hati gadis ini secantik wajahnya.

 

 

AMAN DAMAI hidup Hazel menghabiskan cuti hujung minggu di rumah ibu bapanya. Dia tidak melayani mesej daripada Rizal semenjak meninggalkan lelaki itu di restoran minggu lepas. Saja dia biarkan Rizal tercari-cari, merayu-rayu. Biar padan dengan muka Rizal!

“Hazel?” Suara Puan Sri Haslina bergema di dalam rumah memanggil anak daranya di tingkat atas.

“Ya, ma...” laung Hazel dari atas.

“Turun. Kita ada tetamu hari ni,” ucap Puan Sri Haslina.

Hazel terus berlari ke jendela. Dia nampak ada banyak kereta berhenti di depan pintu pagar rumahnya.

“Alamak... siapa pulak tu?” bisik Hazel seorang diri. Riuh-rendah dalam rumah suara lelaki dewasa saling  menyapa. Hazel mandi dan segera bersiap untuk turun ke bawah.

Namun ketika di tangga, dia nampak susuk Najmi di sofa. Berderau darahnya. Rasa nak naik balik ke atas! Namun Hazel turun juga ke bawah dengan muka tebal. Semua mata  mula memandang ke arahnya setelah kakinya mencecah ruang tamu.

“Ha... Hazel, come, sayang...” ucap Puan Sri Haslina dengan senyum mekar.

Hazel mula menyeringai tidak tentu arah di depan mata semua orang. Ini macam sesi mencari jodoh saja???

“Auntie Lai,” sapa Hazel, sudah kenal wanita yang turut ada bersama tetamu keluarganya itu.

“Eh, kenalkan... ni Datin Zuraidah, mama Najmi. Najmi you dah kenal, kan? Dah jumpa di kenduri anak auntie baru-baru ni. Umi Najmi kata belum kenal you.”

Dengan penuh sopan santunlah perempuan seorang itu mendekati Datin Zuraidah. Dia ada nampak wanita ini ballroom hotel minggu lalu. Namun mereka tidak ada berkenalan. 

“Nilah Hazelina? Anak perempuan seorang ke ni?” sapa Datin Zuraidah lantas memandang Puan Sri Haslina.

Puan Sri Haslina ketawa kecil. Bangga menayang anak gadisnya yang semua orang kata jelita. Tak ada orang cakap Hazel tak cantik!

“Inilah satu-satunya bunga dalam rumah I ni, Datin. Anak I yang lain semua lelaki,” beritahu Puan Sri Haslina.

“Lawa anak you, puan sri...” puji Datin Zuraidah.

Kembang... kembang setaman si Hazel. Dipuji oleh ibu Najmi di depan Najmi!

“I dah cakap dah, Zu. Kat sini ada stok bakal menantu... baik punya!” ucap Datin Seri Laili lantas gelak besar dengan birasnya itu.

Hazel menoleh kepada Najmi yang hanya memegun di tempat duduknya. Ketawa tidak, senyum pun tidak. Dia macam tidak dengar pun jenaka ibu-ibu itu.

“Hazel kerja dengan papa ke?” tanya Datin Zuraidah.

“Ya.” Hazel menyengih sebelum dia mengambil tempat duduk dekat dengan mamanya.

“Kerja dengan famili. Senang sikit I nak rantai kaki dia,” ucap Puan Sri Haslina sambil mengerling anak gadisnya. Sibuk melobi anak gadisnya yang masih belum bersuami. Dia dah jumpa Najmi... jadi dia berkenan hendak jodohkan Hazel dengan pemuda itu. Harap-harap Najmi berkenankan anak gadisnya ini.

Tapi kalau boleh... dia mahu bakal menantu dalam kalangan orang berada saja. Sementelah anak gadisnya sudah berusia 29 tahun. Eloklah bersuami.

Hazel mengerling ke arah Najmi yang sedang berbicara dengan ayahnya. Entah apa yang dibualkan oleh mereka. Lelaki itu tidak pandang dia pun! Mukanya macam tidak berperasaan.

“Naj... ajaklah Hazel ni keluar. Sembang-sembang,” tegur si ibu kepada Najmi. Dia lihat gadis itu mati kutu di situ.

Najmi bangun tanpa berkata apa-apa.

“Jom,” ucapnya kepada Hazel. Itu saja yang dia ucapkan kepada Hazel.

“Kenapa you ada kat sini? Jangan beritahu mama I pasal Rizal. Please???” tekan Hazel setelah mereka berada di gazebo rumahnya.

Najmi hanya diam sebelum dia menoleh kepada Hazel.

“Auntie Lai sibuk nak umi I kenal dengan you dan mama you. Papa you pun memang ada jemput kami ke rumah hari ni,” beritahu Najmi.

I see...” Dah agak dah! Mak datin seorang itu sibuk nak carikan jodoh untuk Najmi.

So, you ikut aje?” tanya Hazel.

“Ya.” Najmi mengulum senyum tiba-tiba.

“You tak suka I pun. Tapi you datang jugak,” teka Hazel.

Najmi menoleh kepada Hazel. Saat itu fikirannya memikirkan orang lain, bukan Hazel. Lelaki itu segera memandang ke arah lain.

“I hanya ikut keadaan,” ucap Najmi perlahan.

I see. Kalau orang tua you bersungguh, you akan ikut keadaan?” tanya Hazel.

What about you?” Najmi memulangkan soalan itu kepada Hazel pula.

“I tak akan kahwin dengan Rizal. You nampak mama I? Dia cerewet,” ucap Hazel perlahan. Kalau keluarganya tahu Rizal itu suami orang atau duda, memang takkan lah lelaki itu jejak dalam keluarga ini sebagai sesiapa pun!

“Tapi you perjudikan nasib berkawan dengan Rizal yang bukan dari kalangan orang kaya,” telah Najmi.

“Manalah I tahu dia jahat! Nama pun penipu. Takkan penipu nak kata dia seorang penipu?” ucap Hazel tajam.

Makes sense,” balas Najmi lantas tersenyum sedikit.

“I... err...” Hazel mula memandang Najmi.

“Apa?” tanya lelaki itu.

“Berhari-hari I fikir pasal ni. I rasa I nak kenal dengan isteri Rizal,” ucap Hazel.

“Untuk?”

Hazel diam seketika.

“Entahlah... I nak isteri dia tahu Rizal tu lelaki tak guna. Tapi I takut dia akan salahkan I,” ucap Hazel.

Najmi diam memandang gadis itu. Perempuan bernama Camille itu tidak sebaik yang disangka. Namun Najmi tetap berdiam, tidak menyebut tentang itu di depan Hazel.

“Ikut keadaan,” ucap Najmi selamba sambil menyandarkan belakangnya ke kerusi.

Meaning?”

Lelaki itu memandang Hazel semula.

“I ikut keadaan. You ikut keadaan. You tak suka lelaki yang pasang ramai wanita. You rasa okey ke kalau you juga buat hal yang sama?” ucap Najmi biasa.

Hazel terdiam memandang lelaki itu. Kata-kata Najmi mengitari fikirannya.

“I pernah lalui keadaan ni. Malah lebih teruk lagi. I pernah berkawan dengan seorang perempuan cukup lama. Kami berpisah sekejap kerana I sambung pengajian masters di US. Ketika I di US, dia di sini melayan lelaki lain. Dia tak beritahu I dia sudah ada lelaki lain ketika keluarga putuskan supaya kami bertunang. Bila I balik ke sini, kami seharusnya terus kahwin. Tapi dia tak mahu jumpa I. Dia hanya wakilkan keluarga dia pulangkan cincin. Tak lama kemudian I dapat tahu dia kahwin dengan lelaki lain,” cerita Najmi serba ringkas.

Hazel diam merenung paras Najmi. Otaknya berfikir sendiri... kacak macam ni pun ada perempuan curang padanya? Aneh!

“Lepas dia kahwin, dia mesej minta maaf pada I. Dia kata dia lonely. Itu sebabnya dia curang. I tak boleh nak marah kerana dia hanya bekas tunang. I hanya mampu tahan rasa kecewa dan dikhianati itu seorang diri,” ujar Najmi.

“Siapa perempuan tu?”

“You akan tahu tak lama lagi...” ucap Najmi lantas tersenyum sedikit.

Rizal merampas wanita yang dicintainya. Apa salahnya jika dia pula yang berbuat benda yang sama? Dan dia mahu Hazel terus membiarkan lelaki itu terkapai-kapai sehingga tiba saatnya, dia mahu Rizal dan Camille terduduk oleh perbuatan mereka sendiri!

Tidak adil untuk dirinya. Dia menelan kekecewaan sendiri dalam pada Camille membina bahagia baru begitu saja. Sekarang suami wanita itu main kayu tiga. Dia rasa mahu ketawa besar untuk memadankan muka bekas tunangnya itu kerana meninggalkannya.

I’m sorry about that,” ucap Hazel perlahan.

Not your fault. Sekurang-kurangnya you tahu lebih awal. I jadi orang terakhir yang tahu bekas tunang I ada lelaki lain. I dapat tahu dari Pejabat Agama. Dengan kerjasama keluarga dia, dia mempermainkan maruah I,” ucap Najmi lantas tersenyum sendiri.

“Maksud you?”

“Keluarga dia tahu sebelum kami bertunang, my ex dah ada orang lain. Tapi mereka diamkan dan cadangkan agar kami bertunang walaupun waktu tu I ada di US. 3 tahun... 3 tahun dia tipu I. Bila I balik, seharusnya kami berkahwin. Dia tak mampu nak teruskan tapi dia tak berani nak berterus terang. Sudahnya dia buat permohonan untuk batalkan pernikahan kami dan buat permohonan pernikahan baru. Barulah I tahu dia ada orang lain. Bila I call dia untuk minta penjelasan, dia silentkan phone. Dia hanya suruh keluarga dia pulangkan cincin dan dia larikan diri. Lebih menyakitkan lagi bila dia letakkan kesalahan tu di atas bahu I. Sebab dia curang... I berada jauh dari dia.”

“You tak maafkan dia?”

“I maafkan... I percaya kepada jodoh, Hazel. Tapi sekurang-kurangnya jangan beri penghinaan yang macam ni pada I kerana I percaya, perempuan takkan curang. Kan?” Najmi menoleh kepada Hazel pada hujung bicaranya.

“Mungkin.” Hazel jawab sepatah. Perempuan lain yang curang, dia pula yang rasa pedih telinga. Buat malu kaum saja perempuan itu!

Najmi menghela nafas panjang sambil memandang ke hadapan.

“I setuju dengan apa saja yang parents kita putuskan,” ucap Najmi.

Terbeliak mata Hazel memandang sisi paras Najmi.

“You tak kenal I pun!”

“I dah kenal...” ujar Najmi perlahan. Gadis ini tidak tahu dia sering memandang Hazel dari jauh. Dia memutuskan untuk datang ke sini kerana inilah suara hatinya. Dia rasa Hazel gadis yang tepat untuk dirinya. Lelaki seperti Rizal tidak layak untuk memiliki gadis ini.

“Maksud I, you tak kenal hati budi I. Perangai I yang sebenarnya...”

“Macam mana I nak kenal perangai you yang sebenarnya?” tanya Najmi.

Be friends with me.”

“You rasa itu memadai? Jadi, orang yang bercerai berai tu mereka tak menjadi kawan sebelum kahwin?” ujar Najmi separuh menduga.

Hazel terdiam saat wajahnya ditatap oleh Najmi.

“You nak kenakan lelaki curang tu... let me play along with you. You’re much safer with me,” ucap Najmi dengan senyum semacam.

Hazel terpanar memandang lelaki ini. Aneh. Keluarga mereka berhajat hendak jodohkan mereka. Lelaki ini pula beri dia lampu hijau untuk melayan lelaki lain selain darinya.

“Kenapa you tak kisah I berkawan dengan Rizal?” tanya Hazel bersungguh-sungguh.

“Bila kita disakiti, kita tak akan berhenti memikirkan tentang itu tanpa menyakiti orang itu semula. I dah biasa dengan perasaan tu,” balas Najmi.

Hazel masih diam memandang paras lelaki ini. Dia rasa lelaki ini menyimpan sesuatu dalam dirinya sendiri.

“You pernah terlalu sayangkan seseorang?”

“Pernah,” balas Najmi dengan nada perlahan.

Camille itu cinta pertama, wanita yang pernah dianggap paling ideal untuk dijadikan isteri. Cantik. Mereka bercinta semenjak dari zaman sekolah. Keluarga mereka tahu mereka saling mencintai suatu masa dulu. Malah kedua-dua keluarga sama-sama memberi restu. 

Najmi kemudian menoleh kepada Hazel. Hari ini keluarganya mahu menjodohkan dia dengan Hazel, juga gadis jelita dan dari keluarga berada.

“I tak ingin letak cinta sebagai matlamat utama untuk kali ni. I rasa you juga begitu,” ucap Najmi.

“You hanya setuju kerana keluarga kita.”

“Mungkin. Macam I katakan tadi... kita hanya ikut keadaan. Kita boleh terima antara satu sama lain, kita kekal sampai tua. Kalau tidak, mungkin kita berpisah saja,” ucap Najmi selamba.

Hazel diam mendengar itu. Dia rasa lelaki ini tidak tertarik pun kepadanya. Namun ada banyak dalam diri Najmi yang menjadi rahsia. Dia masih belum dapat melihatnya. Dan itu membuatkan dia gentar! Tidak mungkin lelaki yang pernah ditemui di Jabal Rahmah ini bersikap seperti ini. Keadaan ini tidak seperti yang diharapkannya.

“I tak tahu nak cakap apa,” ucap Hazel. Dia malu hendak mengaku dia mungkin sukakan Najmi.

Take your time. Tak ada sesiapa paksa you terima I hari ni,” ucap Najmi lembut.

Spontan Hazel menoleh dan mereka berpandangan.

“Kenapa you tak macam gadis yang I jumpa dalam gerabak tu?”

“Maksud you?”

“You tak pakai tudung.”

Hazel tersentak dalam diam mendengar itu.

“I memang free hair. I pakai tudung sebab pergi umrah,” akui Hazel akhirnya.

Najmi mengangguk sedikit sebelum dia memandang ke hadapan. Tiba-tiba dia teringat wanita di dalam mimpinya itu. Siapakah itu? Lelaki itu menghela nafas perlahan.

“I cuma tak mahu you benarkan dia pegang tangan you lagi,” ucap Najmi.

Hazel menoleh kepada Najmi. Seketika kemudian mereka berbalas pandangan apabila lelaki itu turut menoleh kepadanya.

“Adakah permintaan I ni besar?” ucap Najmi lembut.

No. I tak seharusnya biar dia sentuh I,” balas Hazel kelat.

Good. Since dia tak pernah janji nak kahwin dengan you, you’re mine now.”

Hazel terus bangkit lalu berdiri depan Najmi kerana dia terkejut mendengar bicara Najmi tadi.

“Apa maksud you?”

“Kalau you nak lelaki yang dijadikan teman hidup, you kena fokus pada I. You kena kenal sikap dan perangai I. Cari kebaikan tentang I. Bukannya bandingkan I dengan lelaki lain. You akan tertipu dengan fikiran you sendiri,” ucap Najmi.

Hazel membisu merenung tampang Najmi. Dia masih berfikir apa yang diucapkan Najmi tadi.

“I kenal you buat pertama kali sebagai wanita berniqab yang I jumpa di dalam gerabak itu. Tapi bila I tahu inilah diri you yang sebenarnya, apa yang I buat? I tak tinggalkan you. Kita semua hanya manusia biasa. Kita ada kurang lebihnya. I tak tinggalkan you untuk cari wanita yang lebih sempurna kerana wanita seperti itu tiada!” ucap Najmi.

I’m sorry... I salah faham apa yang you maksudkan tadi. Sekarang baru I faham,” ucap Hazel lantas duduk semula.

Its okay...” Najmi hela nafas lembut.

Hazel jadi tidak petah bercakap kerana dia masih terfikirkan apa yang diucapkan Najmi tadi. Lelaki ini kadangkala bicaranya kedengaran seperti lelaki dominan. Tetapi sikapnya menjelaskan sebaliknya.

Selepas zohor baru keluarga Najmi meninggalkan kediaman itu. Biarpun keluarga Najmi sudah berlalu, senyum Puan Sri Haslina masih lebar tanda hatinya sedang berbunga-bunga gembira dengan kunjungan itu.

“Macam mana dengan Najmi tu? Okey tak?” tanya Puan Sri Haslina kepada Hazel.

“Bolehlah...” ucap Hazel dengan reaksi biasa-biasa.

“Bolehlah aje?” sambut Puan Sri Haslina lantas memandang suaminya.

“Yalah. Baru kenal, ma. Hazel nak cakap apa? Setakat ni bolehlah dihadap perangainya tu,” ucap Hazel kelat.

“Bagi mereka masa sikit. Lama-lama mereka serasilah nanti,” ujar Tan Sri Hairi lembut.

“Mama harap menjadi ya?” ucap Puan Sri Haslina sambil tersenyum.

“Tengoklah, ma...” Hazel tersenyum kelat sebelum berlalu untuk naik ke atas. Dia mahu bersiap untuk pergi ke HCTM untuk menjenguk keadaan Nisa.

 

 

HAZEL TAHAN air mata sekuat-kuatnya saat batang tubuh yang kian lemah itu ada di depan matanya. Dia tersenyum sambil memegang tangan anak kecil itu.

“Auntie Hazel datang...” bisik Salina perlahan.

Perlahan kelopak mata Nisa celik. Sedaya upaya dia cuba untuk tersenyum. Hazel tersenyum payah sebelum dahi anak itu dikucupnya lama. Kemudian pipinya diletakkan di atas dahi Nisa. Tangisannya mahu pecah. Namun dia tidak ingin menangis di depan Nisa.

“Nisa okey, sayang?” tanya Hazel perlahan.

Bibir anak itu bergerak sedikit. Namun apa yang diucapkan itu tidak kedengaran jelas.

Auntie Hazel bawa burger ni... Nisa suka, kan?” ucap Hazel perlahan. Dia buka burger ayam itu di depan Nisa. Walaupun dia tahu anak itu tidak lagi makan dan minum seperti biasa, dia beli juga untuk menggembirakan hati Nisa.

“Nisa rasa sakit?” tanya Hazel sambil memegang tangan anak itu.

Nisa menggerakkan kepala mengangguk.

“Nisa... dah nak mati,” bisik anak itu.

“Ya Allah, jangan cakap macam tu. Sedih auntie dengar. Kalau boleh auntie nak Nisa sihat, sembuh.”

Salina hanya tenang. Bukan kali pertama anaknya bercakap tentang mati. Macam sudah tahu.

Auntie tiap-tiap hari doakan Nisa supaya sembuh. Rindu nak tengok Nisa senyum macam dulu,” ujar Hazel.

Anak itu memandang Hazel lama dengan pandangan lemah. Sehingga hati gadis itu jadi sayu yang amat dalam.

Hazel menggenggam jemari anak itu.

Auntie tak mampu kurangkan kesakitan tu untuk Nisa. Tapi auntie selalu doakan semoga Allah kurangkan sakit tu. Auntie nak Nisa kuat ya? Sabar,” ucap Hazel bersungguh-sungguh. Dia tahu kata-kata itu hanya sekadar angin lalu buat anak sekecil Nisa.

Auntie sayang Nisa selalu,” ucap Hazel perlahan. Nadanya berubah jadi sedih. Anak itu mengalihkan pandangan ke atas.

“Nisa, banyakkan selawat ke atas Nabi ya?” ucap Salina kepada anaknya.

Anak itu hanya mendengar. Biarpun Hazel ada di situ, Salina ada memegang lengannya; dia seperti sedang melihat sesuatu yang hanya dia seorang boleh melihatnya.

Gusar hati Hazel melihat keadaan anak itu. Dia sedar... tiada harapan untuk sembuh boleh disandarkan. Dia hanya mampu berdoa agar Allah mempermudah keberangkatannya ke alam abadi. 

Sebelum habis waktu melawat, Hazel sempat berbual dengan Salina ketika di luar bilik Nisa. Matanya terus setia memandang ke dalam.

“Doktor bagi ubat untuk kurangkan sakit dia. Mata dia kuning tanda hati dah rosak,” ucap Salina.

Hazel memejamkan mata. Dia tidak ingin mendengarseberapa teruk keadaan anak itu. Dia tidak berdaya menahan kesedihannya. Dia tidak setabah Salina.

“Akak tak nangis? Kuatnya akak,” ucap Hazel perlahan.

Salina menelan liur payah sebelum kembali memandang susuk anaknya itu.

“Kering dah air mata ni, Hazel. Tapi kita manusia hanya ikhtiar. Anak-anak ni... Allah tak pernah janji mereka akan ada dengan kita sehingga dewasa. Mereka akan tinggalkan kita juga,” ucap Salina perlahan.

Hazel memandang lama tampang wanita di depannya itu.

“Kalau termampu Hazel nak ambil separuh dari beban tu untuk pikul bersama.”

“Jangan. Kita ada takdir kita sendiri. Ujian kita sendiri. Allah uji sebab sayang. Dunia ni hanya pinjaman, Hazel.” Salina kembali memandang adik angkatnya itu.

“Keluarga akak tak datang?”

“Mereka sibuk. Keluarga arwah Abang Din pun tak ada yang datang ziarah. Biarlah. Mereka tak bertanya, akak pun segan nak tertagih-tagih beritahu mereka,” ujar Salina rendah.

Hazel memegang bahu ibu tunggal itu sebelum tubuh Salina dipeluknya. Air matanya jatuh juga setitis dua. 

“Hazel ada kalau akak perlukan apa-apa,” ucap Hazel saat mendakap Salina.

“Jasa baik Hazel dan keluarga Hazel selama ini dah setinggi gunung. Tak dapat akak bayar. Hanya akak mampu minta Allah yang balas nanti,” ucap Salina selepas pelukan dileraikan.

“Semua ni macam mimpi...” ucap Hazel lantas kembali memandang Nisa di dalam wad ICU itu.

“Kalaulah ini mimpi, akak orang pertama yang ingin terjaga dari lena. Tapi ni hakikat hidup. Allah ada, Hazel. Allah tu wujud,” ucap Salina sebagai kekuatan untuk dirinya sendiri.

“Ada apa-apa nanti akak beritahu ya?” pesan Hazel. Waktu melawat sudah tamat.

“Insya-Allah... jangan susah hati, Hazel. Dia tak ke mana-mana... Dia hanya akan kembali kepada Pemilik dia,” ucap Salina sambil memegang erat jemari Hazel.

Hazel menoleh ke arah Nisa semula. Kebetulan ketika itu anak itu sedang memandang ke arah mereka. Dia tersenyum dan melayangkan flying kiss. Hazel melambai tanda sampai di sini saja pertemuan mereka.

Setelah dia melangkah pergi, rautnya mula berkerut. Air mata yang ditahan jatuh lebih laju berbanding langkah kakinya. Jururawat yang bertembung dengannya hanya memandang. Sudah terbiasa melihat pemandangan seperti ini. 

 

No comments:

Post a Comment