“Menjalin hubungan bukan bererti
tanpa ada pertengkaran. Kita
bertengkar, tapi setelah itu kita saling
memaafkan dan mencintai satu sama
lain, lebih dari sebelumnya.”
BERDUA dengan suami, Nailah terasa janggal. Padahal sudah dua tahun mereka kahwin. Gembiranya hilang. Hati beku kembali. Putik-putik cinta mati apabila melihat Firdaus keluar dari bilik Anuar. Ya, bilik suaminya. Bilik rahsia yang sentiasa berkunci.
Sejak awal kahwin sehingga sekarang mereka tetap mempunyai bilik sendiri. Kalau mereka tidur sekali, Anuar akan tidur di dalam biliknya. Bilik Anuar berkunci sepanjang dia tiada di rumah. Kuncinya tidak pernah dilihat dan hanya ada pada Anuar. Jadi dia tidak pernah masuk ke dalam bilik itu.
Hati meronta ingin tahu apa ada di dalam bilik itu. Tapi Anuar cakap dalam tu banyak dokumen penting dan tidak patut dilihat oleh sesiapa walaupun isteri sendiri. Hati terasa. Macamlah dia seorang isteri yang suka ambil tahu hal suami. Selama mereka kahwin, dia tidak pernah kepoh ambil tahu apa yang tidak patut dia tahu. Dia cuma mahu melihat-lihat sahaja.
Patutnya tidak ada rahsia lebih daripada rahsia. Isteri adalah cermin suami. Begitu juga suami adalah selimut isteri. Tapi konsep itu tidak pernah terguna pakai di dalam hubungan mereka suami isteri. Nailah pernah merajuk tentang perkara itu tapi Anuar tidak pernah melayan rajuknya. Dia bijak mengalihkan perhatian Nailah sehingga lupa perkara itu.
“Kenapa tak tidur lagi ni?” Entah bila Anuar tercegat di depannya.
“Awak...” Nailah terkejut. Tidak dengar langsung bila Anuar masuk ke dalam biliknya.
Anuar berjalan ke tepi katil belah kanan, dia tarik selimut dan duduk ke atas katil. Dia menyelesakan duduk bersandar di sebelah Nailah.
Soalan Anuar tidak dijawab. Mereka sama-sama diam melayan perasaan. Dekat tapi jauh. Itulah yang Nailah rasakan.
“Sampai bila kita hendak hidup begini?” Tanpa sedar Nailah bertanya. Soalan yang setiap hari dia tanyakan dalam hati.
“Apa maksud Ilah?” Kening Anuar bertaut. Tangan Nailah dicapai dan disulam. Anuar melihat tangan mereka bertaut, senyum puas. Tangan isterinya tetap lembut bila dipegang. Rasa itu tidak pernah berubah.
Nailah yang pendiam dan taat. Nailah yang sentiasa cuba memenangi hatinya. Nailah yang lurus dan naif. Hati terasa bersalah. Bukan tidak sayang atau cinta. Namun tentang naluri dan perasaan ni sukar untuk dia ubah. Imannya rapuh. Dia tidak mampu menahan godaan. Mungkin sudah sampai masanya dia melepaskan Nailah dari sangkar ini. Tapi hatinya tidak sanggup kehilangan Nailah.
“Saya nak anak. Boleh tak awak berikan saya anak sebagai teman bila awak outstation berbulan-bulan?” pinta Nailah tiba-tiba. Dia mahukan zuriat sendiri. Buat teman bila Anuar tiada di sisi.
Anuar diam. Hatinya tersentap. Ini kali pertama Nailah timbulkan soal anak.
“Saya tak sampai hati tengok awak sakit nanti,” dalihnya.
Dia dapat agak lambat laun Nailah akan sebut juga perkara ini. Bukan dia tidak tahu, tapi buat tidak tahu. Setiap kali balik kampung ibunya akan bawa Nailah berurut dan berubat sana sini. Ibunya anggap Nailah yang bermasalah. Padahal, hakikatnya hanya mereka berdua saja tahu. Tapi Nailah sabar. Dia tidak pernah membantah atau menolak. Ibu cakap apa pun dia diam. Tapi bila dengar permintaan Nailah ini, dia tahu sabar Nailah semakin menipis.
“Tak apa. Saya rela. Lagipun sakit saya sebab mengandungkan zuriat awak, anak kita.” Naluri keibuannya kuat. Setiap kali balik kampung soalan sudah berisi ke belum, membuatkan dia tertekan. Dia jadi benci pada orang yang sibuk bertanya itu.
“Nanti saya fikirkan. Saya penat. Tak rehat lagi sejak semalam.” Anuar paut tubuh Nailah berbaring. Tangannya dijadikan bantal kepala Nailah.
Anuar berdalih lagi. Hati Nailah semakin kecewa. Dia jadi letih dan lelah. Bibir digigit kuat, hati dipujuk jangan menangis. Sudah diagak, dia kecewa lagi. Walaupun begitu dia tetap mahu berprasangka baik terhadap suaminya.
Tidak mungkin Anuar tidak sanggup memberikannya anak. Terasa tubuhnya dipaut dan dahinya sejuk. Setiap kali hati dikecewakan, Anuar akan memeluk dan memujuknya dalam diam. Dan dia selalu mengalah dan terus mengalah.
Nailah pejam mata.
“Lupa nak cakap, esok tengah hari kita gerak balik kampung. Ibu call suruh balik. Wafa dan Firdaus pun akan ikut kita sekali.”
Nailah diam. Dia dengar tapi dia malas menjawab. Nak tak nak sudah tentu dalam paksa rela dia kena ikut balik. Lagipun sudah lama tidak balik kampung. Berbulan Anuar tidak balik, berbulan juga dia tidak balik. Kalau balik sendirian pasti orang akan tanya, mana Anuar? Tidak balik sekalikah?
Dia mahu tidur. Tidak mahu fikir apa-apa lagi. Kehangatan tubuh Anuar tidak mampu menenangkan hatinya. Jadi dia kena paksa diri, terima seadanya.
WAFA SENYUM sinis melihat Nailah. Awal pagi lagi dia telah sampai ke apartmen Nailah. Tidak sabar hendak balik kampung. Itu alasannya. Padahal bukan Nailah tidak tahu, Wafa tidak sabar hendak jumpa Anuar, lepas rindu.
Bukan Nailah tidak tahu, sejak sebelum kahwin lagi Wafa cakap dia sukakan Anuar. Mungkin kecewa sedikit selepas dia dan Anuar kahwin, tapi selepas itu Wafa datang meminta maaf dan dia maafkannya walaupun separuh hati.
Kerana Nailah tahu, baik Wafa bersebab. Awal lagi Wafa cakap, cintanya kepada Anuar tidak hilang malah semakin mendalam. Dia rela jadi isteri kedua kalau Anuar sanggup memperisterikannya.
Tapi Nailah tidak sanggup. Anuar pula cakap biarlah Wafa itu berangan sendiri, dia baik dengan Wafa sebab Wafa sekampung dan kawan baiknya. Dia langsung tidak ada perasaan pun dekat Wafa.
Hati Nailah lega mendengarnya. Tapi layanan Anuar kepada Wafa membuat dia makan hati. Kenapa tidak jadikan Wafa itu isteri kedua? Tapi Anuar kata dia hanya sayangkan isterinya sahaja.
“Kau ni banyak beranganlah. Laki depan mata pun tak layan. Memang patutlah kut Nuar cari lain,” sindir Wafa.
“Cari siapa? Kau?” balas Nailah diiringi ketawa sinis.
Wajah Wafa berubah.
“Lambat-laun Nuar akan jadi suami aku jugak,” ucap Wafa penuh perasaan. Sudah lama dia sakit hati dan cemburu. Sudah dua tahun juga dia berusaha cari peluang memikat Anuar. Biar Anuar jatuh cinta dan terbuka hati jadikan dia isterinya.
“Aku izinkan. Pikatlah. Bila jadi suami kau tu, jangan lupa suruh dia ceraikan aku pula ya.” Terluah keluar apa yang ingin dicakap sebelum ini. Mungkin kerana dipengaruhi oleh perasaan kecewa malam tadi.
“Masin mulut kau. Aku pun tak nak bermadu.” Wafa juga tidak mahu kalah. Tentulah dia gembira kalau Anuar setuju ceraikan Nailah. Jadi dia ada peluang jadi isteri lelaki itu.
Nailah angguk-angguk dan senyum. Dia pun lagilah tidak mahu bermadu apatah lagi bersuami. Dia serik.
Kalaulah dia dapat melepaskan diri dari perkahwinan ini, mungkin hatinya lega walaupun luka.
“Laa... Ilah kenapa tak ajak Wafa masuk? Berborak apa kat luar tu?” tegur Anuar di muka pintu.
Wajah Wafa berseri mendengar suara Anuar.
“Abang Nuar, tak apakan Wafa datang awal? Tak mengganggu, kan?” Lemak manis suara Wafa bercakap. Bukan macam dia bercakap dengan Nailah tadi.
“Taklah. Elok jugak tu. Boleh kita gerak awal.”
Nailah cuba bermanis muka.
“Masuklah Wafa, buat macam rumah sendiri,” ajak Nailah.
“Awak layanlah Wafa ni, saya nak siapkan kemas baju,” pesannya lagi sebelum meninggalkan mereka berdua.
Sengaja mencipta peluang. Biar mereka mencipta bahagia di depan mata dan bukan di belakangnya.
Namun Anuar dapat menangkap rasa sedih Nailah di dalam nada suara itu.
“Masuk Wafa. Kalau nak air ambil sendiri dekat dapur tu. Abang Nuar tolong Nailah kemas beg kejap.”
Terpaksa Wafa senyum manis dan angguk.
Di dalam bilik Nailah, Anuar perhati setiap perbuatan Nailah dalam diam.
“Ilah ni kenapa? Sejak semalam saya rasa fikiran awak terganggu. Tak nak kongsi dengan saya?” Lembut Anuar memujuk dan menegur Nailah. Prihatin dengan keadaan isterinya.
“Period. Mood swing,” jawab Nailah ringkas. Memang dia baru datang haid pagi tadi.
Hati Anuar lega. Ingatkan apa.
“Sampai kampung nanti mesti hilang mood swing tu.”
Mungkin!
Nailah paksa senyum.
No comments:
Post a Comment