PULANG dari majlis kahwin, Hazel terus meninggalkan kediaman ibu bapanya. Tujuannya tiada lain... Dia mahu keluar dating dengan kekasih gelapnya. Tidak tahulah siapa yang kekasih gelap. Dia kekasih gelap si Rizal... atau Rizal kekasih gelap dia kerana sama-sama mereka berahsia.
Mungkin sama-sama kekasih gelap gelita!
Dan yang lebih gelap lagi adalah... tengah dia melayan rindu si Rizal kerana hampir 2 minggu tidak bersua muka, dia mendapat mesej daripada Najmi.
Mana you? Dah balik ke?
I’m right here. Watching you. Belum
lama... you dah keluar dengan dia.
I have to.
Explain?
“Siapa tu, sayang?” tanya Rizal saat Hazel tunduk menatap telefon.
Spontan jari Hazel menyimpan nombor telefon itu dengan nama ‘Indo orang gaji’ di telefonnya.
“Pembantu rumah I ni. Nak basuh pinggan pun nak tanya I,” rungut Hazel. Jemarinya laju menaip sesuatu buat Najmi.
Spontan Hazel mengangkat pandangan sambil memandang sekeliling. Matanya liar mencari susuk lelaki itu. Dia akhirnya ternampak Najmi di meja yang sama. Masih dengan baju Melayu dari majlis kenduri tadi. Berderau darahnya. Hazel terbaca mesej terbaru Najmi.
Dating dengan lelaki lain. Layan lelaki
lain.
Laju jemarinya membalas.
Dah tahu, kenapa ganggu juga?
I mengaku I tak sebaik yang you
harapkan.
Setelah menekan butang hantar, dia memandang ke arah Najmi yang sedang minum kopi sendirian. Sakit hati juga kerana rasa disindir oleh Najmi.
Selagi belum isteri orang, masih milik
ibu bapa. Kenapa berahsia dengan
parents you? Mesti Puan Sri Haslina
suka dengan bakal menantu dia.
Riak wajah Hazel berubah membaca mesej itu. Entah kenapa dia merasakan Najmi tahu Rizal suami orang dan dia masih melayan Rizal. Kata-kata Najmi itu menyedarkan dia yang perbuatannya ini tidak elok.
Hazel memandang ke arah Najmi yang duduk santai sambil membelek telefon. Otaknya mula sudah sampai ke meja sana. Dia tidak lagi berminat hendak berada di situ. Namun satu lagi mesej sampai di telefonnya setelah itu.
Lepas ni giliran I pulak dating dengan
you?
Pertanyaan itu memang menyakitkan hati Hazel. Mesej itu tidak dibalas oleh Hazel.
“You okey?” tanya Rizal lembut saat terpandangkan raut Hazel agak mendung. Dia memandang Hazel seketika sebelum sambung makan. Bertanya pun macam sekadar nak cukup syarat. Dia tidak beria mengambil berat.
“Okey. I cuma nak tanya you sesuatu. You pernah rahsiakan apa-apa dari I ke, Riz?”
“Nope. Kenapa?” Riak wajah Rizal berubah sedikit. Dia mula kalut dalam diam.
“Tak ada apa-apa. I... err...” Hazel diam seketika. Seketika kemudian dia menarik nafas panjang sebelum menuturkan kata-kata.
“I berahsia dengan parents I tentang kita. I rasa bersalah pada mereka,” ucap Hazel rendah.
“Kenapa you bercakap pasal ni?” Kening Rizal mula berkerut dengan riak wajah semacam tanda dia tidak suka arah perbualan ini.
“Riz, mama I dah bising pasal kahwin. Macam mana?” tekan Hazel perlahan.
Rizal serta-merta terdiam. Kerana itu sesuatu yang amat besar untuknya. Ya, sudah tentu dia hendak mengahwini Hazel. Tetapi dia perlu selesaikan sesuatu dulu. Dia perlu ceraikan isterinya yang sekarang sebelum menikahi
Hazel. Hazel anak orang kaya. Bekerja sebagai pengarah di bank. Sudahlah jelita, anak CEO bank... siapa tak mahu? Isterinya itu? Camille juga anak orang kaya. Cuma antara Camille dan Hazel, dia rasa keluarga Hazel lebih berkedudukan. Jadi, dia harus menceraikan Camille. Tidak mungkin dia akan melepaskan Hazel. Lagipun bersama Hazel dia rasa lebih gembira. Gadis ini jenis tidak banyak kerenah.
“Nanti I fikirkan dulu.”
“Fikirkan dulu? Kenapa? You tak mahu jumpa parents I? Sekurang-kurangnya I kena kenalkan you pada mereka,” duga Hazel. Buatnya Rizal setuju nak berjumpa keluarganya, masak dia!
“Kita kena berbincang tentang ini baik-baik. I nak kita kahwin bila kita sama-sama dah bersedia. I tak mahu kita terlalu mendesak antara satu sama lain,” ucap Rizal.
Hazel diam memandang Rizal. Tunggu bersedia ke... tunggu bini kat rumah tu setuju? Andaian itu bermain dalam fikiran Hazel apabila melihat Rizal terus beralasan. Meluat sungguh dia melihat lagak Rizal.
“You rasa I sedang desak you sekarang?”
“No, sayang. Listen... parents you tak kisah kalau you pilih lelaki yang biasa-biasa?”
“I tak tahu. Sekurang-kurangnya mereka perlu kenal you dulu, kan? You nak jumpa parents I? Mama dan papa I free kat rumah sekarang ni. I boleh bawakan you ke sana. No problem,” balas Hazel separuh menyindir.
Rizal mula menggelabah. “Mungkin nanti saja, sayang.”
Hazel mendengus. Dia dah agak dah. Lelaki ini tidak berani.
Najmi di sana seperti tidak mempedulikan Hazel namun sebenarnya ekor matanya memerhatikan gadis itu. Dia bimbang Hazel susah hendak meninggalkan Rizal kerana sayangkan lelaki itu. Hatinya sakit... teringatkan bekas kekasihnya juga meninggalkannya demi lelaki seperti Rizal. Entah apa yang istimewa benar dengan pisau cukur versi jantan ini!
Pertemuan antara Rizal dan Hazel berakhir dengan pergaduhan apabila jawapan Rizal tidak seperti yang dimahukan Hazel. Gadis itu meninggalkan Rizal dalam pada lelaki itu terkumpal-kumpal tidak tahu mahu buat apa untuk memujuk Hazel.
Najmi bangun setelah melunaskan bayaran. Dia mendapatkan keretanya dan berlalu mengekori kereta Hazel. Namun Hazel memberhentikan kereta di tepi jalan setelah dihubungi oleh Najmi.
Lelaki itu mendekati kereta Hazel. Lelaki itu mengetuk cermin sebelum Hazel membiarkan Najmi masuk ke dalam keretanya.
“Gaduh?” tanya Najmi.
“You perhatikan I untuk apa, ha? You pun nak cari gaduh dengan I???” tekan Hazel bengang.
Lelaki itu diam memandang sisi paras Hazel. Tampak gadis itu seperti mahu menangis. Dia tahu Hazel sedang menahan kemarahan.
“Dia tipu I! Dia tipu I selama 10 bulan ni! I geram kerana I tak mampu buat apa-apa untuk balas semula pada dia,” luah Hazel agak kuat.
“Tipu apa?”
“Dia suami orang!” jawab Hazel pantas.
Najmi langsung tidak terkejut mendengar itu.
“Jadi, apa lagi yang you buat dengan dia? Kenapa masih tunggu lelaki macam tu? Dia adalah masalah. You nak tambah masalah lagi? You pun bermasalah sebenarnya. You suka perhatian ramai lelaki. You suka lelaki yang trouble.”
Menyirap darah Hazel mendengar ucapan dari lidah tidak bertulang lelaki itu.
“Okey. I memang suka perhatian lelaki. I suka kumpul ramai lelaki. Apa lagi you tunggu??? Get out! I don’t give a damn. Ingat I hairan sangat ke, Najmi???” ucap Hazel agak lantang.
“You’re being ridiculous...”
“Yes, I am. Now get out! Berambus! Kalau setakat datang nak menyakitkan hati aku, baik kau pergi mampus aje. Lelaki semuanya sama ajelah! Semak!” ucap Hazel lantas menolak lelaki itu.
Berdesing telinga Najmi mendengar bicara kesat gadis itu.
“What? Kau ingat aku akan diam aje bila orang judge aku macam-macam? Kau tak tahu aku siapa. Dan aku pun tak hairan pandangan kau pada akulah! Dasar jantan sungguh! Kau ingat kau handsome sangat, aku nak tergila-gilakan kau!!!” pekik Hazel kepada lelaki itu.
“Okey... okey. Calm down. I’m sorry. Please?” ucap Najmi serta-merta memegang dua tangan Hazel yang sibuk menolaknya agar keluar dari kereta itu.
“I tak bermaksud nak lemparkan kata-kata tak elok dalam keadaan you tengah tak okey.”
“Baguslah! Lain kali kalau tak boleh menenangkan... tak payah nak semak sakitkan hati orang. Kau ingat bila orang buli aku, aku menangis kat bucu katil ke??? Kau tahu aku suka ramai jantan... kenapa kau cari aku?” bentak Hazel dengan suara yang membingitkan di dalam kereta itu.
Najmi diam memandang gadis itu. Dia kena hamun begitu saja! Dibiarkan gadis itu tenang seketika.
“Keluar! Aku tak nak tengok muka kau dah!”
“Please... I minta maaf tentang apa yang I cakap tadi. Okey, I salah cakap. I tak sepatutnya cakap macam tu bila you tengah stres. I cuma risaukan you,” tekan Najmi cuba memujuk semula.
Hazel diam sambil menyandarkan kepala dan memandang ke luar sana. Seketika kemudian dia memejamkan mata agar rasa marah ini segera memudar. Hanya dia saja tahu apa yang sedang dibuatnya. Orang lain tidak berhak menghakiminya. Berhadapan dengan Rizal dengan lebih banyak penipuannya, memang menyakitkan jiwa. Dia jadi benci.
“Hazel?” panggil Najmi.
“Shut up,” balas Hazel dalam mata terpejam. Namun matanya celik semula apabila jemarinya diraih Najmi.
“I minta maaf. Pandang sini...” pinta Najmi bersungguh.
Perlahan Hazel menoleh juga kepada lelaki itu.
“I’m sorry. I tak suka you ada dekat dengan dia. Itu saja,” ujar Najmi lembut.
Hazel meraih semula jemarinya sebelum dia menghela nafas panjang. Dah dihamunnya si Najmi... cukuplah kut.
“I takut... isteri dia akan tahu,” ujar Hazel seketika kemudian.
“Jadi, tinggalkan dia. Selesai masalah,” sambut Najmi.
“I akan decide bila masanya I nak tinggalkan jantan tu! You ingat I kebulur sangat nak rebut suami orang??? Jantan tak guna tu tak sepatutnya ditinggalkan macam tu aje. Not that easy!” tegas Hazel siap meninggikan suara semula, membuatkan Najmi diam.
Lelaki itu hanya tenang biarpun dimarahi oleh Hazel berkali-kali semenjak tadi. Dia fikir Hazel bukan sekadar beralasan menafikan yang dia masih sayangkan Rizal. Perempuan seperti ini, kepercayaannya jangan dipermainkan. Dia tidak menangis di bucu katil meratapi kesedihan hatinya sebaliknya dia membalasnya semula.
“You akan buat masalah ni jadi lebih besar kalau isteri dia tahu. That is my concern,” ucap Najmi seketika kemudian.
“You dah tahu dia suami orang ya?” teka Hazel lantas memandang Najmi dengan pandangan tajam. Dia rasa aneh dengan lelaki ini. Macam ada agenda.
“Tak. I tahu lepas you beritahu,” ucap Najmi, sambil berlagak tenang. Hakikatnya dia memang tahu semenjak sebelum ini lagi. Cuma, dia akan beritahu siapa Rizal itu sebenarnya apabila masanya sudah tiba.
Hazel diam seketika sambil memerhatikan tindak-tanduk lelaki di sebelahnya itu. Cuba mencari kejujuran dalam bicara itu.
“I sakit hati sebab dia mempermainkan kepercayaan I. I asyik terfikirkan apa yang dia buat dan katakan kepada I selama ni hanya pura-pura. Semuanya tipu,” luah Hazel rendah.
Najmi diam memandang Hazel. Dia pernah rasa kesakitan itu. Memang sukar melepaskannya dari hati. Melupakan pengkhianatan itu lebih payah berbanding melupuskan rasa cintanya kepada Camille suatu masa dulu. Namun kemudian sang lelaki memandang ke hadapan dengan helaan nafas panjang.
“I tak tahu apa yang I nak buat sekarang,” ucap Hazel perlahan.
“Then leave him, Hazel. Ada pilihan yang lebih baik daripada bersama dengan suami orang. You nak balas apa kalau you sendiri tak tahu tindakan ni benar atau tidak,” balas Najmi.
“No way! I takkan tinggalkan dia selagi I tak nampak dia jatuh terduduk lepas apa dia buat. Dia main-mainkan I... Isteri dia! Macam nak meletup kepala I ni bila fikir tentang itu,” tegas Hazel.
Najmi diam memandang paras sang perempuan itu. Jadi, gadis ini sedang mempermainkan Rizal semula. Dia tidak tahu adakah kata-kata gadis ini boleh dipercayai. Entah-entah Hazel susah hendak meninggalkan Rizal kerana terlalu sayang.
“Jadi, selama ni you melayan dia sebab you nak test dia?” duga Najmi.
“Test? No... test dia untuk apa? Apa I dapat kalau dia lulus test tu pun?” Hazel ketawa sinis. Dia mahu beri lelaki itu harapan palsu. Selepas itu dia akan tinggalkan!
“You kenal isteri dia?” tanya Najmi lembut.
“Tak. I hanya tahu nama dia dan I ada tengok rupa isteri dia di IG. That’s all,” jawab Hazel mula mengendur nadanya.
“Macam mana you tahu dia dah ada isteri?”
“I check nombor MyKad dia dengan laman web Pejabat Agama. Sebab dia mengelak bila I cakap pasal kahwin. So, I decided nak check status dia bujang atau dah kahwin. Lepas tu baru I cari tahu siapa isteri dia. I ada jumpa IG isteri dia. Anehnya, dia kahwin bulan Disember 4 tahun lepas. Waktu kita ada di Mekah, mereka di Paris berbulan madu. Ironi?” jelas Hazel.
Najmi mengangguk puas hati dengan penjelasan itu.
“I tak boleh maafkan dia macam tu saja. Memalukan tau bila perempuan macam I... kena tipu dengan buaya paya macam tu!”
“Perempuan macam you... I tak faham apa maksudnya,” ucap Najmi.
“I terlalu memilih bila berkawan dengan lelaki. Kononnya tak mahu suami orang. Tapi rupanya selama ini berbulan-bulan juga I berkawan dengan suami orang. Sadis nasib I ni!”
Najmi buat-buat mengangguk walaupun sebenarnya dia nak ketawa dengan bicara itu. Tak baik ketawakan perempuan yang baru kena tipu. Nak ketawa pun, bimbang dia kena hamun lagi.
“I pun pernah kena tipu. Kita cuma manusia biasa tak lari dari tu semua,” ucap Najmi cuba memujuk gadis itu.
Hazel hela nafas keras cuba meredakan rasa sakit hati yang masih mengasak. Selagi tidak dapat diramas-ramas muka si Rizal itu, hatinya tidak akan damai.
“So, lepas ni you nak balik?”
“Yalah. Apa lagi I nak buat? Tengok TV kat rumah lagi baik dari menghadap muka jantan tak guna tu!” gerutu Hazel.
“So, you okey ke tak ni?” tanya Najmi lagi.
“Kenapa? You risau I terjun bangunan sebab kecewa dengan lelaki macam tu? Lambat lagi!” jawab Hazel selamba.
Najmi ketawa spontan. Selamba sungguh perempuan seorang ini.
“No. I’m talking about us. Are we good?”
“Nak dekat dengan I, syarat pertama... kena tahan caci, Encik Najmi. You tak tahan... silakan blah,” ucap Hazel selamba.
“Tak baik macam tu...”
“Baik apa? You cakap sesuka hati... bila dah kena hamun dengan I, baru nak cakap I ni tak baik???” tekan Hazel.
“I tak bermaksud macam tu. Okeylah... I mengalah. I tak mahu gaduh. Cuma, please accept my piece of advice. Jangan bermain dengan api. You tak tahu apa yang akan datang kepada you kalau you biarkan keadaan ni berlarutan lama,” pesan Najmi sebelum dia keluar dari kereta.
Hazel memandang lelaki itu sehinggalah pintu keretanya itu tertutup semula. Bicara lelaki itu melekat dalam fikirannya sehingga bayang Najmi hilang dari pandangan matanya. Hazel terus memandu pulang ke rumah sambil memikirkan apa yang dibualkan dengan Najmi di dalam kereta itu.
Setiba di rumah, kepulangannya disambut pembantu rumah.
“Kau mahu makan?”
“Tak. I kenyang. Mbak makan ajelah. Jangan tunggu I,” balas Hazel lantas naik ke atas.
“Aku sudah makan juga,” balas Mbak Omni kepada gadis itu.
Hazel duduk di birai katil sambil menaip sesuatu di grup WhatsApp kawan-kawan rapat dengannya. Lebih baik dia mengajak kawan-kawannya berborak daripada dia memikirkan tentang Rizal tak henti-henti.
Dari sekadar berborak, mulalah mereka berjanji nak berjumpa pula. Hazel yang paling laju bersetuju bila ada geng ajak mengeteh.
Tetapi ketika duduk di meja, kawan-kawannya sibuk bersembang, dia pula mencari foto yang dimuat naik di memori FB dan IGnya semenjak 4 tahun lalu. Satu persatu ditiliknya sehinggalah dia terjumpa foto ketika mereka berada di dalam terminal untuk menaiki tren.
Ada beberapa gambar yang memang ada wujud kelibat Najmi namun tiada mukanya dapat dilihat dengan jelas. Hanya susuknya sedang memandang ke arah lain terakam bersama. Tetapi bukan gambar itu yang dicarinya. Pencariannya berakhir pada beberapa foto rakaman curi-curi.
Najmi sedang berjalan mencari gerabak di depan mereka. Sekali lagi adalah ketika lelaki itu keluar dari tren. Hanya itu saja gambar yang ada muka Najmi kelihatan jelas. Lama Hazel merenung susuk di dalam gambar itu. Lelaki itu memakai kurta dengan seluar seperti orang Pakistan namun mengenakan jaket musim sejuk sederhana tebal.
“Handsomenya mamat ni...” ucap Hazel perlahan.
“Siapa handsome???” Semua mata dah mula memandang ke arah Hazel.
“Ha? Tak adalah. Tak ada.” Hazel cepat-cepat skrol ke gambar lain.
“You tengok apa? Dari tadi tengok telefon. Ajak mengeteh tapi dia sibuk tengok medsos.”
“Tak adalah. I cari gambar lama waktu pergi umrah dulu. I naikkan di FB dan IG. Rindu rasa nak pergi lagi,” ujar Hazel perlahan. Dia tunjuk gambar dirinya ketika di Jabal Rahmah kepada temannya.
“Nampak ni... baik I, kan?”
Semua perempuan itu tumpang tengok gambar itu. Spontan mereka gelak.
“Baiknya dia. Plastik betul! Kat Mekah macam wanita solehah. Kat sini... dengan skirt ketat bagai. Tuhan nak kena ampunkan you banyak kali.”
“Amboi... mulut,” gerutu Hazel saat kawan-kawannya gelak besar.
“Ni siapa?” tanya temannya yang lain sambil menunjukkan susuk seorang lelaki yang kelihatan seperti berdiri sebelah Hazel. Namun setelah diamati betul-betul lelaki itu sebenarnya berada jauh daripada Hazel.
Hazel baru menyedari tentang susuk lelaki yang ada di dalam gambar itu.
“Selalu Jabal Rahmah penuh orang, kan? Ni ada you all berdua aje,” ucap Syahrina turut terpandang gambar unik itu.
Hazel terdiam saat merenung susuk lelaki berjubah putih dan serban merah itu. Entah bagaimana dia boleh merasakan lelaki itu adalah Najmi.
“I mula-mula jumpa dia kat sinilah...” bisik Hazel setelah melihat gambar itu.
“What?” Mereka semua merenung Hazel.
“Siapa dia?” tanya Syahrina.
Hazel memandang semua temannya yang merenung wajahnya.
“Cakaplah, babe! Siapa ni???” tekan Monalisa sudah tidak sabar hendak tahu.
“I kenal seorang lelaki ni baru-baru ni. Secara tak sengaja rupanya I pernah crush pada dia dulu. Kami jumpa di Madinah. Itu setahu I. Tapi bila tengok gambar tu... I baru sedar, kali pertama I jumpa dia adalah di Jabal Rahmah,” ujar Hazel.
“Ni dia...” tambah Hazel lalu menunjukkan satu gambar Najmi ketika di tepi tren ketika di Madinah.
Syahrina menarik nafas panjang dengan mulut terlopong.
“Handsomelah. Patutlah crush! Kalau tak crush, hati batulah tu,” ucap Syahrina spontan lantas gelak mereka meledak di meja itu.
“Entah-entah jodoh nak sampai you yang tak sedar tak, H?”
Mereka gelak ramai-ramai.
“Rindu nak pergi umrah lagilah. Mana tahu kita pun jumpa crush kat sana,” ucap Syahrina.
“I tak pernah pergi. Tak beranilah nak pergi seorang.”
“Siapa suruh pergi seorang? Ikut agensilah. Ada mutawif,” sambut yang lain.
Saat itu Hazel kembali terkenangkan kenangan di Madinah itu. Dia rasa dia seperti telah terpandangkan Najmi di dalam Masjid Nabawi namun dia tidak menoleh sekali lagi untuk memastikan memang benar itu Najmi.
Sebuah keluhan dilepaskan Hazel saat semua orang riuh-rendah di meja itu. Jiwanya ada rindu, benar-benar berharap momen itu akan berulang lagi. Ada banyak tentang dia ‘tidak terfikir’ untuk dilakukan ketika itu. Agar takdir hari ini berubah. Sudah tentu dia tidak akan ‘terbercinta’ dengan suami orang.
Namun dia juga segera tersedar mengapa takdir hidupnya telah sampai kepada hari ini... pada hari dia bertemu Najmi, pada hari dia telah tahu seorang lelaki yang ingin diangkat menjadi tunjang kehidupannya itu bukanlah kekasih sebenarnya. Tetapi kehadiran Rizal dalam hidupnya sekadar satu puing puzzle untuk melengkapi perjalanan takdirnya.
Saat semua orang riuh di depan matanya, gadis itu diam seribu bahasa mengenang Najmi. Fikirannya tidak berada di situ.
Sebelum maghrib, Hazel segera meminta diri. Namun ketika di rumah, dia dihubungi oleh Rizal. Gadis itu sekadar mencebik sebelum telefonnya diselit di bawah bantal. Gadis itu masuk ke kamar mandi untuk mandi dan bersolat.
No comments:
Post a Comment