DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Friday 28 April 2023

Bila Aku Bukan Dia - Bab 6


“Jangan pernah meremehkan diri

sendiri. Jika kamu tak bahagia

dengan hidupmu, perbaiki apa yang

salah dan teruslah melangkah.

 

PULANG ke apartmen, Nailah memberi salam sebelum masuk. Tidak ada yang menjawab salam kerana di dalam tiada siapa. Setiap hari dia pulang, hanya ruang kosong yang menyambutnya.

Nailah ketawa sendiri, air mata bertakung di birai mata. Selama dua tahun, boleh kira dengan jari berapa kali Anuar pulang. Memanjang kerjanya outstation. Bukan dia tidak cuba memahami, malah lebih dari batasan yang mampu hatinya terima.

Bukan dia tidak pernah bercakap dari hati ke hati dengan Anuar, tapi lelaki itu cukup pandai memanipulasi hati dan fikirannya mengikut acuan yang dia mahukan. Sikap lembut dan romantiknya membuatkan Nailah terbuai. Lupa derita hatinya. Lupa apa yang ingin diluahkan. Dia menurut dan taat kepada lelaki itu. Tapi kenapa dia tidak berasa bahagia.

Dua tahun berkahwin, dia semakin hilang rasa. Menjalani kehidupan tanpa perasaan. Hanya mengikut rutin harian setiap hari. Pergi kerja, balik kerja. Hujung minggu pula berehat di rumah dan membaca buku ataupun maraton drama di Netflix. Sendirian. Bukan berdua dengan Anuar.

Tubuh dihempaskan ke sofa. Dia menangis. Hari ini, saat dia menerima WhatsApp dari Anuar, hati sudah rapuh. Dia mahu menangis. Dua bulan tanpa berita, WhatsApp tidak berbalas dan panggilan tidak bersambung. Hati risau, hati rindu.

Tapi Anuar, suami mithalinya hilang tanpa sebarang berita. Baru hari ini dia menerima WhatsApp daripadanya. Tapi bukan meminta maaf pun. Sikit pun tidak bertanya khabar. Sekuat mungkin dia menahan perasaan di pejabat tadi. Buat kerja macam biasa, berbual dan ketawa seolah-olah hidupnya tiada sebarang masalah. Tetapi dia sebenarnya hampir rebah.

Mana bahagia? Mana cinta? Mana Anuar, suaminya?

Air mata terus mengalir tanpa henti. Nailah meringkuk dengan kedua belah tangannya memeluk kakinya kuat. Dia terus menangis melepaskan perasaan yang tersimpan selama dua bulan ditinggalkan. Tanpa sedar dia tertidur di atas sofa itu.

Awal pagi dia mencelik mata. Ruang rumah gelap tanpa cahaya. Namun cahaya bulan dan lampu dari luar apartmen menyusup membuatkan ruang tamunya samar-samar.

Nailah perlahan bangun dan duduk bersandar. Tudung ditanggalkan dan diletak tepi. Rambut disisir menggunakan jemarinya. Seharian tidak mandi membuatkan tubuhnya berpeluh. Dia merenung kosong dalam kegelapan. Namun hati kembali tenang. Mungkin kerana tangisan semalam telah membuang pergi segala sakit hati yang bermukim dalam tempoh dua bulan ini.

Hidup kena diteruskan walaupun hati semakin tawar dengan perkahwinan ini. Mungkin dia perlu berani mencari bahagianya. Tapi Nailah teringatkan kebaikan mentua dan orang tuanya di kampung. Dia tidak sanggup melukakan hati mereka.

‘Mungkin aku perlu bertahan dan terus bertahan. Hati mereka lebih penting daripada bahagia aku.’

Nailah memejamkan mata. Mujur dia cuti solat, kalau tidak, tidak pasal mengumpul dosa meninggalkan solat maghrib. Kemudian dia bangun menuju ke biliknya. Hari baru muncul lagi. Dia perlu meneruskan kehidupan ini.

 

“HELO ILAH, esok Nuar balik, kan?” Awal pagi Nailah menerima panggilan daripada Wafa. Nada suaranya teruja dan macam tidak sabar menunggu kepulangan Anuar.

“Haah. Esok.”

“Okey, lepas kerja esok tunggu aku. Kita balik sama-sama.”

Kening berkerut. Suara gembira Wafa macam suami dia pula yang balik.

“Nak balik mana?” Nailah berasa bengang. Setiap kali Anuar balik, ada saja makhluk penyibuk mengganggu mereka. Tidak memberinya peluang berdua-duaan dengan suami sendiri.

“Rumah kaulah.” Wafa cakap terus tanpa memikirkan perasaan Nailah.

“Buat apa?” Nailah jadi malas hendak melayan. Kali ini dia akan bertegas, tidak mahu Wafa menjadi orang ketiga. Dia mahu menghabiskan masa bersama suaminya. Sudahlah berbulan kena tinggal, sudah tentu dia mahukan perhatian penuh daripada Anuar.

“Jumpa Nuarlah. Aku rindu. Dah dua bulan tak jumpa.”

Lagi sakit hati Nailah mendengarnya.

“Wafa, kau sedar tak yang kau kata rindu tu dekat laki aku, bukan laki kau? Boleh faham sikit tak? Laki aku balik dah tentu aku nak masa dia sepenuhnya tanpa gangguan sesiapa.”

Terdiam Wafa mendengar cakap Nailah itu. Kegembiraan terbantut. Benci dan cemburu timbul.

“Kau, walaupun bini Anuar, jangan perasan sangat Anuar tu sayang dan cintakan kau,” sindir Wafa.

Sudah lama dia bersabar dengan Nailah ni. Sudahlah merampas Anuar, itu dia belum berkira lagi. Sekarang ni hendak halang dia jumpa Anuar pula, jangan harap dia akan mengalah.

Jiwa Nailah letih. Dia tidak faham kenapa Wafa masih tidak berputus asa memburu perhatian dan cinta Anuar. Tidak faham-faham lagi ke Anuar itu suaminya. Cinta ke tidak, lelaki itu sah miliknya.

“Tapi kau kena sedar diri Anuar itu suami aku. Melainkan aku bercerai dengan dia, baru kau boleh jadi isteri dia. Tapi dah dua tahun Wafa, sedar dirilah sikit. Anuar tu takkan ceraikan aku. Dia tetap jadi suami aku selamanya.”

“Kau pasti ke?” Soalan Wafa itu seolah-olah jarum yang mencucuk hati Nailah.

Nailah menarik nafas. bibir diketap dan dia cuba bertenang.

“Kau tahu macam mana aku boleh tahu Anuar balik esok?” Soalan itu yang berlegar di dalam fikirannya ketika menerima panggilan Wafa tadi.

“Kalau kau nak tahu, macam-macam cara kau boleh cari.” Wafa ketawa sinis.

“Dia sendiri yang WhatsApp aku cakap. Kata tak sabar dan rindu nak jumpa aku. Suruh aku datang ke rumah.”

Nailah bungkam. Hati berasa sakit tiba-tiba seolah-olah kena ramas dengan  tangan ghaib. Dia tidak sedar bila panggilan itu terputus.

 

No comments:

Post a Comment