DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Friday, 28 April 2023

Bila Aku Bukan Dia - Bab 7


“Janganlah pernah menyerah ketika

kamu masih mampu berusaha lagi.

Tidak ada kata berakhir sampai kamu

berhenti mencuba.”

~ Brian Dyson~

 

NAILAH merenung kosong. Dia semakin tidak teruja dengan kepulangan Anuar.

‘Lebih baik tidak payah balik langsung,’ dengus hatinya.

Hidup mereka tidak ada ruang peribadi langsung. Ada sahaja orang yang mengacau masa mereka. Padahal orang itu tahu mereka jarang berjumpa dan mahu menghabiskan masa bersama. Tapi kenapa orang itu tidak mahu faham?

Dia perlukan Anuar dan tidak mahu berkongsi Anuar dengan orang itu. Tapi kenapa Anuar suka sangat menghebohkan kepulangannya kepada orang itu sedangkan  masa mereka bersama terhad?

Nailah semakin tawar hati. Berapa lama dia harus memendam dan berkorban perasaan ini? Dia juga mahu bahagia dan memiliki anak. Dia mahu perhatian suaminya seratus peratus untuknya.

Dia lemas. Dia mahu meluahkan tapi tidak tahu pada siapa. Dia terasa terkongkong dalam satu kotak besar, gelap tanpa cahaya. Dia sedaya upaya berusaha keluar dari keadaan itu. Apabila nampak sedikit cahaya, dia berusaha mengikut cahaya itu. Tapi malangnya setiap kali dia hampir, cahaya itu menghilang meninggalkan dia di dalam kegelapan lagi.

Skrin komputer ditenung lama. Dia jadi tidak faham apa yang tertulis di hadapannya. Sebelum menerima panggilan daripada Wafa, dia telah merancang dalam hati, mahu mengambil cuti seminggu. Dua hari habiskan masa berdua di sini, selepas itu mereka akan balik kampung berjumpa keluarga. Tapi sekarang, jarinya kaku. Dia sudah tidak ada hati ambil cuti lagi. Daripada makan hati lebih baik dia kerja.

Weh...”

Nailah terkejut daripada lamunannya.

Kening Juliana berkerut.

“Kenapa? Ada masalah ke?” Dia jenguk skrin komputer Nailah.

“Cuti kau tak approved?”

Nailah geleng kepala.

“Aku tengah fikir nak ambil cuti ke tak,” dalihnya.

“Laki kau balik ke?” Senyum-senyum Juliana mengusik.

Nailah tarik senyum dan angguk.

“Ambil je. Cuti kau banyak. Bukan ke kau memang simpan cuti kau sebab nak cuti bila laki kau balik?”

Nailah melepaskan keluhan. Kalaulah kepulangannya memberikan bahagia, sudah tentu dia tidak teragak-agak mengambil cuti panjang. Tapi... entahlah.

“Kau ni laki tak balik salah, balik pun salah. Hailah... tak faham aku.” Juliana geleng kepala.

Orang tidak akan faham. Pada pandangan orang Anuar tu baik dan sempurna. Dia bertuah bersuamikan Anuar itu. Serba serbi cukup dan tidak ada yang kurang. Tapi dia tidak mahu semua itu. Yang dimahukan masa dan perhatian Anuar khas untuk seorang, bukan hanya dipertontonkan kepada orang yang mereka ni pasangan bahagia.

“Kau cari aku ni nak apa?” tanya Nailah. Dia tidak mahu meneruskan perbualan itu lagi.

“Semalam aku nampak Encik Nik dating.” Bersinar mata Juliana bercerita.

“Cantik awek dia. Memang sepadan dengan Encik Nik kitalah.”

“Aku tahu Encik Nik ada blind date malam tadi.” Nailah jatuhkan bom.

Blind date?” Suara Juliana terkuat.

“Kau ni perlahan sikit boleh tak?” Nailah ketap gigi.

Spontan Juliana tutup mulut.

“Mana kau tahu?” bisiknya bertanya.

“Masa nak balik semalam aku turun lif sekali dengan Encik Nik. Dia yang cakap kena pergi blind date, kalau tidak umi dia nak datang berkampung kat office.”

Sakan Juliana ketawa. Bos besar syarikat pun terpaksa ikut cakap mak, janji temu buta.

“Tapi cantiklah blind date Encik Nik semalam.”

“Harap-harap dia terbuka hatilah, terima.”

Juliana angguk setuju.

“Kalau tak jatuh hati lagi aku tak tahulah perempuan macam mana lagi Encik Nik tu nak. Umur dekat 40 tahun pun masih lagi memilih. Entah umur berapa ada anak nanti.”

“Orang macam dia lebih pentingkan kerjaya. Tak kisah kahwin ke tidak. Dia dah cukup sibuk cari harta nak jadi lebih kaya lagi.” Nailah teringatkan suaminya.

Kalau bukan kerana keluarga mereka yang menjodohkan, rasanya sampai sekarang Anuar tidak kahwin lagi. Sepanjang mereka hidup bersama dia cuba adaptasi cara hidup lelaki itu. Kerja nombor satu, kawan nombor dua, mak ayah nombor tiga dan isteri mungkin nombor terakhir sekali.

Jadi corak hidup bosnya dan Anuar rasa lebih kurang sama. Tapi mungkin juga tidak sama, keutamaan itu berubah atau sama. Kalau berubah, alhamdulillah bertuah bakal isteri Encik Nik Zayan nanti.

Juliana angguk setuju.

 

 

HATI BERDEBAR-DEBAR. Keluar dari lif semakin kuat debarannya. Adakah Anuar telah sampai ke rumah? Dalam hati tak berapa suka, dia ambil juga cuti seminggu. Sekejap sahaja diluluskan. Esok mula cuti.

Langkah semakin perlahan. Sampai di depan pintu, dia tarik nafas panjang dan membaca Al-Fatihah sebelum memasukkan password pintu. Ruang tamu cerah. Penghawa dingin terpasang. Sejuk saat kaki Nailah memijak lantai.  

Anuar telah pulang.

Anuar senyum lebar apabila melihat Nailah muncul di depan pintu.

“Sayang, I’m back!”

Mata Nailah berkaca. Rindunya luruh. Sakit hatinya hilang.

“Awak...” Pantas didekati lelaki itu. Dipeluk erat. Nailah menangis melepaskan perasaan rindunya.

Anuar membalas pelukan Nailah. Dia ketawa kecil.

“Rindu sangat ke ni?”

Nailah angguk. Wajah masih lagi disembunyikan di dada Anuar.

Opps... sorry.

Serta-merta Nailah melepaskan pelukan itu. Bahagia yang dirasakan sebentar tadi berderai seperti gelas kaca yang terjatuh ke lantai.

Dia melihat Firdaus senyum mengusik memandang mereka berdua.

“Abang tak sempat nak cakap, Firdaus tumpang tandas sekejap. Tadi dia ambil abang kat airport.

Manis-manis kelat wajah Nailah. Patutnya dia dapat agak, Firdaus mesti ada sekali.

“I balik dululah. Jumpa esok.” Firdaus meminta diri.

Nailah tidak melihatnya.

Anuar mengiringi Firdaus sehingga ke pintu, manakala Nailah masuk ke dalam bilik.

Jadi isteri ini kena banyak sabar. Jadi dia akan tetap sabar. Firdaus itu kawan baik Anuar. Tidak patut dia berasa cemburu ataupun marah.

 

No comments:

Post a Comment