DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Friday, 28 April 2023

Mawar Di Arafah - Bab 6


SEMENJAK tahu Rizal sudah beristeri, Hazel sehabis daya beri alasan untuk mengelak berjumpa Rizal. Pertamanya, dia takut juga... bimbang isteri Rizal tahu tentang kewujudan dia dalam hidup Rizal semenjak 10 bulan lalu. Biarpun tidak berjumpa, dia tetap tidak memutuskan hubungan dengan Rizal.

Ada sebabnya!

“Mana kamu nak pergi ni?” tegur Puan Sri Haslina kepada anak gadisnya itu.

“Baliklah, mama. Dah pukul 5, kan?” ucap Hazel hairan apabila ibunya seperti sedang mencari salahnya.

“Kamu nampak mama masih tercongok kat sini, kamu nak balik?” tegur wanita itu kepada anak gadisnya itu. Dia rasa Hazel seperti sedang berteman dengan seseorang namun anaknya ini merahsiakan dari mereka.

Hazel termangu memandang raut ibunya itu. Dah habis waktu kerja, dia nak balik. Itu pun salah? 

“Kamu nak ke mana hujung minggu ni?” tanya Puan Sri Haslina kepada anak daranya itu. Nadanya macam guru besar.

“Tak ada ke mana-mana pun. Kenapa?” tanya Hazel hairan.

“Minggu ni ada jemputan kenduri kahwin anak Datuk Seri Abdullah. Mama nak Hazel ikut mama dan papa hadir kenduri tu,” ucap wanita tua itu sambil dia mematikan komputernya.

“Kenduri kahwin? Okey... emm... tapi kalau Hazel tak pergi, tak boleh ke?”

Spontan sang ibu memandang raut anak gadisnya itu dengan pandangan tajam.

“Kenapa bila mama ajak ke mana-mana, kamu tak mahu?”

“Kalau mama ajak pergi shopping atau vacation, Hazel ikut aje. Tapi kalau mama ajak pergi kenduri kahwin orang, Hazel tak berapa suka.”

“Kenapa? Pedih telinga bila orang tanya bila nak ada suami?” perli Puan Sri Haslina sambil mengerling anak gadisnya itu.

“Boleh dikatakan begitu.” Hazel jawab perlahan. Dia seorang saja dalam keluarga ini yang belum ada pasangan hidup.

Puan Sri Haslina hela nafas perlahan. “Sesekali pekakkan ajelah telinga tu. Mama dan papa bukannya paksa Hazel kena kahwin cepat-cepat. Orang luar tu... buat tak tahu ajelah.”

“Masalahnya yang suka ejek Hazel tak lain dan tak bukan... Abang Sham dan Abang Harith. Orang single...” ucap Hazel siap dengan mimik muka melucukan membuat Puan Sri Haslina tidak mampu menahan diri dari tergelak. Biasalah anak-anak lelakinya suka mengusik adik perempuan mereka.

“Yalah... nanti mama cakap dengan Abang Sham tentang itu,” ucap Puan Sri Haslina lembut.

Hmm... okeylah. Esok pagi Hazel balik rumah mama ya?” ucap Hazel lembut.

“Okey. Pergilah balik. Drive carefully, sayang...” ucap Puan Haslina lembut.

Gadis itu berlalu ke lif segera. Nak balik segera bukannya sebab apa... Dia tak mahu tersekat dalam kesesakan lalu lintas. Mamanya lainlah... ada pemandu menunggunya di depan lobi. Tersekat di dalam jem pun dia boleh bersenang lenang di dalam kereta.

Keesokan paginya, Hazel memandu pulang ke rumah ibu bapanya. Kelihatan ayahnya sudah bersiap hendak pergi kenduri.

“Tak siap lagi???” tekan Puan Sri Haslina geram dengan anak gadisnya. Terpampang baju di tangannya belum dikenakan.

“Sekejaplah, mama...” rungut Hazel lantas bergegas naik ke atas.

“Tengoklah perangai anak dara you ni, bang!” gerutu Puan Sri Haslina kepada suaminya sambil menuruni tangga.

“Tunggulah kejap. Lagipun masih awal,” ucap Tan Sri Hairi lembut.

Muka sang ibu berkerut masam. Sekejap bermaksud setengah jam! Setengah jam kemudian barulah muncul muka Hazel dengan baju kurung putih.

Sorry, mama...” ucap Hazel perlahan.

Hmm... cepatlah. Papa dah tunggu kat luar,” ucap Puan Sri Haslina mula mengendur suaranya. Suka melihat anaknya berhias cukup jelita.

Lelaki tua itu menoleh setelah isteri dan anaknya keluar dari rumah. Dia terus bangun ke keretanya. Pemandu sudah menunggu agak lama.

Kenduri orang kaya-kaya sudah tentu di hotel terkemuka. Ketika mereka sampai, orang sudah ramai memenuhi ruangan ballroom itu. Namun apa yang Hazel tidak perasan, sebaik saja dia masuk... ada seorang lelaki memandang ke arahnya tanpa jemu. Dia hanya mengekori ibunya yang ramah menegur orang yang tersenyum kepadanya sementara mata lelaki itu setia mengekori dirinya.

“Anak dara you ke, Puan Sri?” tanya Datin Seri Laili, tuan punya majlis.

“Ya. Hazelina...” ucap Puan Sri Haslina lantas memandang anaknya.

“Lawa anak you, Puan Sri. Dah kahwin ke?” tanya Datin Seri Laili dengan pandangan teruja kepada Hazel.

“Belum sampai jodoh lagi, Datin.” Puan Sri Haslina menoleh kepada anaknya dan membuat isyarat mata agar bersopan dengan wanita berusia itu. 

Hazel tersenyum kelat saat bersalaman dengan wanita itu. Dia sakit hati mendengar orang bertanya pasal statusnya dah kahwin ke belum. 

“Kenal tak?” tanya Datin Seri Laili kepada gadis itu.

“Tak,” jawab Hazel lantas tersengih-sengih malu.

“Panggil Auntie Lai aje. Auntie pernah pergi haji sama-sama dengan mama you dulu. Satu batch,” beritahu Datin Laili.

Oh, I see? Baru teringat. I ada nampak gambar mama dengan Auntie Lai kat Mekah dulu,” ucap Hazel.

“Ha... kenal pun!” Datin Seri Laili ketawa.

“Patutlah selalu dengar nama,” jawab Hazel lantas tersenyum.

“Jom... Auntie nak kenalkan dengan anak buah auntie. You bawa anak dara. I bawa anak buah I yang masih bujang, puan sri. I tak datang dengan tangan kosong tau.”

Meledak tawa Puan Sri Haslina mendengar bicara wanita itu. Mereka terus ke meja wanita itu. Riak wajah Hazel berubah habis saat terpandangkan seorang lelaki duduk memandang ke arah pelaminan yang kosong.

“Naj,” tegur si ibu saudara kepada anak muda itu.

Najmi menoleh. Dia buat-buat tidak kenal Hazel sebelum berdiri lalu mendekati ibu saudaranya.

Puan Sri Haslina termangu memandang anak muda itu. Sungguh elok rupa paras yang Allah berikan kepada anak muda itu sehingga dia turut terpanar. Terpanar bukan kerana tergoda sebaliknya berharap dapat memadankan anak gadisnya dengan lelaki setampan ini. Najmi mengenakan baju Melayu cekak musang berbutang penuh dan songkok tinggi.

“Ni anak buah sebelah husband I... Aminudin,” beritahu Datin Seri Laili.

“Oh, ini anak Dato’ Amin?” tanya Puan Sri Haslina.

Mereka tidak saling mengenali namun nama Dato’ Aminudin sudah kerap mereka dengar sebelum ini. Datin Seri Laili juga kerap bercerita tentang adik-beradik dan iparnya.

Yes, anak sulung dia.”

Najmi tersenyum memandang Puan Sri Haslina.

Hazel di belakang ibunya ralit memandang lelaki yang jual mahal kepadanya tempoh hari. Kecil saja dunia ini rupanya. Mereka jumpa lagi.

“Najmi... kenalkan ini anak kepada Puan Sri Haslina... Hazelina.”

“Hai,” sapa Najmi, buat-buat macam tak pernah kenal gadis itu.

“Hai...” balas Hazel dalam tidak tentu arah. Entah apa yang dia takutkan entahlah. Sudahnya mereka saling berpandangan saat kaum ibu itu bersembang.

Najmi mengajak gadis itu jauh sedikit dari ibu saudaranya itu.

“Anak tan sri rupanya...” ucap Najmi selamba, buat-buat tidak tahu tentang itu.

“Kenapa?” balas Hazel sambil memandang ke arah pelamin.

“Buat apa dengan lelaki yang biasa-biasa macam lelaki hari tu?” duga Najmi lantas memandang sisi paras Hazel.

Hazel diam pula tanpa terus memberikan jawapan.

“I bukan player,” ucap Hazel perlahan.

“Okey...” balas Najmi seolah-olah baru tahu kenyataan itu.

Hazel menoleh kepada lelaki itu. Najmi sedang merenung sisi wajahnya.

“Jangan beritahu mama I pasal lelaki tu,” ucap Hazel perlahan saat mereka saling bertentangan mata.

“Kenapa?”

Hazel menggeleng sedikit.

“Dia bukan lelaki yang I nak kahwini,” bisik Hazel hanya untuk pendengaran Najmi.

“Jadi, you buat apa dengan dia selama ni? Main-main?” tanya Najmi pula.

Hazel memandang ke arah lain, memikir jawapan yang sesuai.

“I tak pernah kena tipu dengan lelaki. Tak pernah!” ucap Hazel perlahan namun tegas.

Lelaki itu ketawa tiba-tiba. Namun dia tidak melanjutkan pertanyaannya. Dia juga pernah ditipu gadis ini tanpa Hazel sedar. Mahu saja dia bertanya... mana pergi tudung dan purdahnya dulu? Sudah balik dari Mekah, semuanya terbang entah ke mana. Rupanya gadis ini hanya pakai tudung ketika pergi umrah saja.

“Kenapa you gelak?”

“Tak ada apa-apa. Silakan. Hari ni cousin I kahwin. So, you kiranya tetamu I juga,” ucap Najmi lantas menuding ke meja untuk keluarga Hazel.

Hazel berlalu ke meja itu dalam perasaan gemuruh semacam. Dia harap lelaki itu tidak membocorkan rahsianya tentang Rizal.

“You kenal teman lelaki I tu?” tanya Hazel saat lelaki itu menarik kerusi buatnya.

“Tak berapa kenal. Bukan urusan I,” balas Najmi.

You’re such a nice guy. Thank you,” ucap Hazel lega mendengar itu.

Lelaki itu tersenyum sedikit sebelum dia menegakkan tubuhnya memandang Hazel yang duduk di kerusinya.

May I ask you something?” ucap Najmi.

“Apa?”

“You berada di mana pada bulan Disember 4 tahun dulu?”

Pertanyaan itu membuatkan Hazel hampir termangu kerana sangat aneh. Dia mengerutkan kening membalas tatapan Najmi.

“Kenapa you tanya pasal tu?”

“I suka tanya soalan yang pelik. Please answer my question...”

“Disember ada 31 hari ya, cik abang. Manalah I ingat semuanya? I cuma ingat peristiwa penting-penting saja. I ikut mama dan papa pergi umrah. Yes. Papa I selalunya habiskan cuti hujung tahun dengan pergi umrah. So, I ikut sekali. Tu ajelah yang I ingat.”

Najmi terdiam memandang Hazel. Sahih memang mereka pernah bertemu sebelum ini namun gadis ini tidak ingat kepadanya.

“You tak ingat I ya?” tanya Najmi.

“You makin pelik. I tak pernah jumpa you...”

“Dalam gerabak ke Medina...” celah Najmi sebelum Hazel habis berbicara.

Spontan Hazel termangu dan melopong dengan mata membesar.

“Eh, you...” Spontan Hazel menarik tangan Najmi agar duduk di sebelahnya.

“Itu you???” tekan Hazel lantas memandang seluruh wajah Najmi. Mencari kesamaan.

“You tak ingat I langsung?” tanya Najmi.

No. I tak cam you sebab you pakai kain macam orang Arab atas kepala tu. Waktu kat Masjid Nabawi papa I cari you tapi you tak tahu ke mana. Yalah! Nama you Najmi. I lupa. I tak terfikir you lelaki tu bila I tahu nama you,” ujar Hazel macam tidak percaya dia akan melihat lelaki ‘Arab botak’ itu di depan matanya. Sekarang dah tak botak! Bagaimana dia boleh lupa? Orang buat umrah... ada yang membotakkan kepala. Sekarang sudah ada rambut. Patutlah dia tidak kenal langsung kerana ciri-ciri yang ada dalam fikirannya sudah lenyap. Najmi kelihatan berbeza saat ini.

“You ada abang kembar nama Hazran dan Hafsham... betul? I masih ingat papa you beritahu I dia ada anak kembar lelaki dengan nama itu.”

Yes. Abang kembar I pun ada waktu tu,” jawab Hazel. Itulah satu-satunya momen mereka 5 beradik dapat pergi umrah bersama selain abang sulungnya Hairul. Harith dan Hafsham masing-masing membawa isteri bersama. Abang Hazrannya masih bujang ketika itu.

Najmi tersenyum entah kenapa. “You sakit perut nak pergi tandas, masih ingat?”

Sorry ya. Bukan sakit perut nak melepas. Tapi sebab sejuk. Asyik nak pee-pee aje,” ujar Hazel lantas menekup mulutnya. Malu. Ada mamat handsome kat sebelah, dia sibuk nak terkencing!

“You seorang diri waktu tu... kenapa? Papa I cakap you bermusafir,” ucap Hazel.

Senyum Najmi tiba-tiba kelat.

“Saja bermusafir mencari kebesaran Allah,” ujar Najmi perlahan. Enggan bercerita, selama seminggu dia dari Malaysia ke India ke Dubai dan terus ke Mekah kerana berkelana. Ibu bapanya tidak tahu ke mana dia pergi. Dia hanya membawa diri kerana kecewa. 

“Macam mana you tahu I yang ada di dalam gerabak waktu tu?” tanya Hazel pelik. Dia pakai purdah ketika itu.

“Nanti I beritahu. Bukan sekarang,” ujar Najmi lembut. Melihat ayah saudaranya, dia meminta diri mahu kembali ke mejanya kerana pengantin akan sampai tidak lama lagi. Najmi menoleh semula ke arah gadis itu setelah melangkah selangkah dua.

I have your number,” ucap Najmi. Bibirnya tersenyum semacam sebelum dia berpaling ke hadapan semula untuk kembali ke mejanya.

Hazel terpaku di tempat duduknya seperti sedang di awang-awangan. Dia memandang ke hadapan sambil mengenang semula lelaki Arab yang diintai olehnya dan kakak iparnya sebelum ini. Dia tidak menegur Najmi ketika di dalam gerabak hanya satu saja sebab... Dia sangka Najmi orang Arab. Dia tidak tahu bercakap bahasa Arab! Lagipun Najmi ketika itu juga tidak pandang kepadanya pun. Malulah kalau dia terhegeh-hegeh!

Setelah bertemu secara berdepan, barulah Najmi sedar... Tan Sri Hairi memang lelaki yang ditemuinya di Masjid Nabawi 4 tahun dulu. Entah kenapa lelaki tua itu memeluknya dan memegang wajahnya lalu dua pipinya dikucup oleh Tan Sri Hairi. 

Uncle cari kamu waktu kat masjid dulu. Tak ada rezeki kita jumpa semula lepas kita bersembang di pintu masjid.”

“Saya hanya 2 hari saja di Madinah. Saya ke Dubai. Uncle nampak berbeza sekarang,” jawab Najmi. Perut ke depan dulu memang sudah hilang.

Tan Sri Hairi ketawa kecil.

“Dulu 100 kg. Makan apa saja. Sekarang dah turun sikit. Risau kena diabetes. Wife uncle bising uncle tak jaga kesihatan.”

Najmi ketawa kecil sambil mengangguk. Ya, susuk lelaki tua ini sudah berubah kerana berat badannya berkurangan. Hazel memandang ayahnya bercakap dengan Najmi dari jauh. Mimpikah dia? Setelah ayahnya beritahu yang lelaki Arab di dalam gerabak itu sebenarnya Melayu, dia teringin hendak jumpa lelaki itu lagi. Namun hanya hari ini baru dia sedar, lelaki itu sudah ada dekat dengannya.

Najmi memperkenalkan lelaki itu kepada ayahnya. Dato’ Aminudin agak terkejut mendengar cerita di Madinah itu kerana anaknya tidak pernah bercerita pun tentang itu.

“Saya berbesar hati dapat berkenalan dengan Tan Sri. Nama besar dalam bidang kewangan,” ucap Dato’ Aminudin.

“Dato’ pun apa kurangnya? Alhamdulillah... saya tak sangka sungguh rupanya anak muda yang saya jumpa 4 tahun dulu di Madinah rupanya anak dato’. Kecil saja dunia ni rupanya.”

Dato’ Aminudin ketawa kecil.

“Anak saya ni kadangkala suka buat semuanya sendiri tanpa kami. Dia pergi ke Mekah pun saya tak tahu. Tahu-tahu dah sampai ke sana,” ucap Dato’ Aminudin.

Najmi tersenyum mendengar bicara ayahnya.

“Anak muda macam dia... suka berdikari, itu bagus. Orang yang matang. Ada vision dia sendiri.” Tan Sri Hairi menepuk lembut bahu Najmi.

Perbualan itu tidak lama kerana ketibaan pengantin. Majlis perkahwinan itu meriah. Pertama kali Hazel merasa senang berada di majlis kahwin orang. Selalunya dia tertekan kerana merasa diejek. Sebelum pulang Hazel perasan ada satu mesej sampai di kotak WhatsAppnya.

 

Call me if you need me. And I would

like to go out with you.

 

Hazel tiba-tiba tersenyum. Dia menoleh untuk mencari kelibat lelaki itu. Dia nampak Najmi berdiri agak jauh daripadanya sambil merenung wajahnya dengan renungan yang dalam. Membuatkan dia merasa terpesona. Sesuatu yang tidak pernah dirasainya saat bersama Rizal. Dan itulah renungan yang dilihatnya setelah keluar dari gerabak di Madinah dulu.

Hazel lebih banyak membisu ketika dalam perjalanan pulang. Rasanya semua ini seperti mimpi. Dia telah bertemu lagi dengan lelaki asing di dalam gerabak itu. Dan perasaannya ini jadi sangat asing... namun mengasyikkan! Dia merenung tanpa jemu mesej daripada Najmi. Dia benar-benar ingin bertemu lelaki itu lagi.

 

No comments:

Post a Comment