DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday, 27 November 2018

Cinta Adik Manja - Bab 1

7 tahun kemudian...

“ADIK balik nanti, jangan beritahu abah sakit.”
Pesanan itu telah berkali-kali diulangi. Namun hati masih
juga mahu berpesan.
Dr. Nur Hasni atau panggilan di rumah kak long
memandang abahnya. Dia geleng kepala. Asyik itulah
perkataan yang abah ulang-ulang. Takut sangat Nur a.k.a. si
adik bongsunya tahu.
“Ya. Kami takkan beritahu adik. Abah janganlah
risau. Nanti BP naik lagi.”
Buat sekian kali, diulang lagi jawapan yang sama
untuk pesanan yang sama. Gamaknya abah masih tak
mempercayai bahawa mereka takkan terlepas cakap. Abah
risau sekiranya adik tahu yang dia sakit. Sejak abah keluar
hospital, inilah rutinnya setiap hari. Memantau tekanan
darah dan kesihatan abah. Dia sanggup ambil cuti panjang
demi menumpukan perhatian merawat abah. Angah yang
sedang mengurut kaki abah dijeling.
Angah sengih. Tak kata apa. Kalau dia jawab pun,
jawapan yang sama juga. Bukan mereka tidak tahu, abah akan
susah hati sekiranya adik tahu yang dia sakit. Abah dan adik
sangat rapat. Sebab itulah abah tidak mahu Nur tahu.
Kak long masih ingat lagi sewaktu abah terkena
demam denggi. Ketika itu dia masih dalam tempoh
housemanship di Hospital Sultanah Zainab 2. Adik bongsunya
sedikit pun tak mahu berganjak dari sisi abah. Sanggup
menunggu abah di hospital. Itu baru demam. Kalaulah Nur
tahu abah terkena minor attack ni, mahu terus berhenti
belajar gamaknya.
“Kalau abah tak mahu adik tahu, kenalah dengar
nasihat kak long. Makan kena pantang.” Akhirnya angah
mencelah.
Sejak tadi, dia hanya menjadi pendengar. Bila abah
diam buat tak endah dengan nasihat kak long, dia pula
sambung nasihat. Mengharap tak banyak, sedikit daripada
nasihat mereka abah akan dengar. Bukannya mereka tidak
tahu, abah ni keras hati, degil. Mana nak dengar cakap
anak-anaknya. Padahal apa yang mereka nasihatkan adalah
untuk kesihatan abah juga. Supaya cepat sembuh.
“Aku tahulah! Tak payah nak ajar aku ni,” dengus
abah. Tak suka dengar teguran satu-satunya anak lelakinya.
Angah pandang kak long. Kan dah cakap? Itulah
telepati kedua beradik itu. Mulut tak bergerak tapi hati
masing-masing sudah memahami apa yang mahu dikatakan.
Angah angkat bahu. Perlahan kepalanya bergerak kiri dan
kanan. Abah dalam sakit pun masih berdegil. Urutan di kaki
abah diteruskan semula.
“Kamu cuti berapa lama, angah?” Abah beralih topik.
Teringatkan si bongsu yang akan pulang bercuti Jumaat ini.
“Sebulan abah,” jawab angah atau namanya Thaqif
Iman. Anak kedua dan satu-satunya anak lelaki yang Haji
Yusuf ada.
Dia pandang anak lelakinya seketika, sebelum
bersuara. “Jumaat depan adik balik. Nanti kamu pergi ambil
dia.”
“Baik,” balas angah ringkas. Tak suruh pun, memang
tugasnya untuk mengambil adik bongsu mereka.

HISYAM MENGHELA nafas. Sesekali ada rasa rindu
menyinggah di hatinya. 7 tahun masa menjarakkan mereka.
Wajah comel Nur, anak bongsu pak teh sentiasa bermain di
mata hatinya. Selari dengan masa yang berlalu, Nur telah
membesar menjadi seorang gadis pingitan yang cantik.
Acap kali adiknya, Nisa berkongsi gambar Nur
dengannya. Menatapi wajah itu, rindunya semakin menjadi.
Tidak mahu terus hanyut, gambar itu dipadamkan dari telefon
pintarnya. Bukan mahu menghilangkan rindu tapi mahu hati
tak terlampau hanyut dalam gelora rindunya sendiri.
Mata dipejam seketika, cuba dilupakan apa yang
bergayutan di hati saat ini. Namun memori indah bersama
Nur lewat 7 tahun lepas terus berlegar-legar. Itulah yang
menjadi ubat kala hatinya merindui kampung halaman.
Rindu sentiasa bersarat. Namun kerana janji, dia bertahan
sehingga ke hari ini. Mindanya terus bekerja menyelak setiap
kenangan lalu. Hisyam larut dalam kenangan bersama Nur.
Tanpa sedar bibirnya menguntum senyum. Dia dan Nur
mempunyai ikatan hati yang istimewa.
Entah mengapa sejak dia terpandangkan wajah
comel Nur yang berusia 3 bulan, hatinya terpaut kasih. Jadi
setiap kali ada kesempatan, digunakan sebaiknya melayan
Nur bermain. Mereka serasi bersama dan masanya banyak
dihabiskan bersama gadis itu berbanding dengan Nisa,
adiknya. Mujurlah Nisa tak pernah cemburu walaupun
adakalanya bermasam muka juga.
Setelah melanjutkan pelajaran, Hisyam diserang
demam rindu. Hampir-hampir saja dia mengalah dengan
hatinya dan pulang ke kampung halaman. Namun, dikuatkan
semangat. Janji perlu dipegang. Amanah seorang bapa
perlu ditunaikan. Hisyam bangkit menentang rasa yang
menggunung di hati. Demi masa depan, demi kasihnya, dia
terus berjuang menimba ilmu di sini.
Ralat dan terkilan. Ada rasa sukar dijelaskan. Namun
nama Nur sentiasa ada di dalam setiap doanya. Kesejahteraan
gadis itu selalu didoakan. Setiap kali rindu meresap di hatinya,
dia bermunajat kepada Yang Esa. Berserah diri kepada-Nya
agar hati dia reda dengan apa yang telah ditakdirkan untuknya.
Diri Hisyam jauh terbang ke dalam kenangan silam.
Wajah Nur masam apabila tumpuannya membuat kerja
sekolah diganggu. Setiap petang mereka akan menghabiskan
masa bersama. Dia akan menemani Nur membuat kerja
sekolah. Kadangkala angah datang mengacau adiknya.
“Abang Syam ni dah sewel agaknya, senyum
sorang-sorang. Eeee... tak nak kawan dengan Abang Syam
lagi.” Nur merajuk dengannya apabila dia tidak dapat
menahan gelak. Geli hati melihat angah lari lintang-pukang
dikejar oleh Nur dengan sebatang ranting. Boleh tahan laju
juga Nur berlari ketika itu.
‘Nur... Nur...’
Makin hampir tarikh kepulangannya, makin rancak
kenangan manis bermain dalam fikirannya. Bibirnya tanpa
sedar tersenyum manis.
Tok! Tok! Tok!
Bertebaran kenangan manisnya dibawa hembusan
bayu dingin melalui jendela yang terbuka luas. Cuaca walaupun
agak panas kebelakangan ini, namun sesekali hembusan bayu
yang bertiup mendinginkan suasana. Menghalau jauh haba
panas itu. Hisyam berpaling dan menuju ke pintu biliknya.
Sebaik sahaja pintu dibuka, terpacak tubuh
sederhana milik Azrul, sahabatnya yang sama-sama berjuang
menuntut ilmu di bumi anbiya’ ini.
“Assalamualaikum Syam,” sapa Azrul sambil
menghulurkan tangan bersalaman. Mereka berpelukan
seketika sebelum Hisyam mengajak Azrul masuk.
“Dah siap kemas?” soal Azrul berbasa-basi.
Hisyam angguk.
“Sudah. Semuanya aku dah hantar naik kargo
semalam. Tinggal beg pakaian ni je.”
Azrul angguk. Sepintas lalu, matanya melihat
sekeliling. Rumah sewa Hisyam sunyi. Rakan serumahnya
tentu sedang mengikuti kuliah sekarang.
“Aku datang bawa hajat besar.” Lalu matanya kembali
singgah pada wajah Hisyam.
“Hajat apa?” Hisyam bertanya tenang. Berharap
bukan hajat yang satu itu lagi.
Azrul pula berasa gementar dalam hati. Mereka
teman seperjuangan di sini. Banyak berkongsi susah senang
di rantau orang. Dia yakin Hisyam adalah jodoh terbaik untuk
adiknya. Kala dia meluahkan hasrat hati kepada adiknya,
Ayuni tiada bantahan. Mujurlah kali ini pilihannya sama
dengan pilihan hati adiknya.
“Hajat yang sama, aku mahu meminang kau untuk
adik aku,” beritahu Azrul dalam senafas.
Hisyam mengangkat wajahnya. Dia sedikit terkejut.
Matanya bertembung dengan mata Azrul. Ada harapan
besar di dalam mata sahabatnya itu. Nafas ditarik dalam.
Dia melarikan anak matanya melihat sekitar ruang tamu
rumahnya. Mencari kata yang terbaik untuk diberitahu
supaya sahabatnya tidak tersinggung dengan penolakannya
yang entah ke berapa kali.
Hisyam ambil masa. Kemudian riak tenang
dipamerkan. Padahal jawapan dalam hatinya sudah ada sejak
dulu. Bukan sekali seorang wanita meluahkan perasaan
melalui orang tengah. Bukan juga kali ini dia berdepan
dengan hajat seseorang untuk membantunya membina
masjid. Sedangkan dalam hatinya sudah terpasak satu nama,
terpahat di situ sejak dulu. Sejak dia memahami erti kasih
sayang.
“Aku tak perlukan jawapan itu sekarang. Ambil
masa kau. Lakukan solat istikharah. Minta petunjuk daripada
Allah Taala,” ujar Azrul dengan penuh harapan. Dia berharap
sangat agar Hisyam menerima hasratnya kali ini.
“Aku sebenarnya dah bertunang sebelum sambung
belajar ke sini lagi.”
Kenyataan itu mengejutkan Azrul. Tak mungkin!
7 tahun tempoh yang amat panjang untuk satu ikatan
pertunangan. Dia tidak percaya.
“Syam, aku tak paksa kau terima lamaran aku kali ni.
Tapi aku nak kau minta petunjuk dari Allah dulu. Aku yakin
hati kau akan memilih adik aku. Dia sesuai jadi isteri kau.
Aku yakin kau akan bahagia nanti,” tekan Azrul. Dia amat
berharap Hisyam menjadi adik iparnya. Nanti mereka boleh
sama-sama berjuang untuk berdakwah.
Hisyam geleng kepala. Wajahnya tenang. Ditentang
mata Azrul. Mereka mungkin sahabat baik. Berminat
sama-sama mahu terus menebarkan ilmu yang ada di dalam
dada mereka. Namun matlamat dan cita-cita mereka berbeza.
Cara berdakwah pun berbeza. Dia ada impian dan cita-cita
lebih besar. Tidak mahu terikat dengan hanya satu jalan
sahaja.
“Sejak dulu hati aku telah memilih tunang aku
tu, Rul. Lagipun aku kena pegang pada janji dengan orang
tuanya,” tegasnya. Janji yang diikat bukan untuk dimungkiri
biarpun dia terpaksa memungkiri janjinya dengan Nur.
Satu-satunya janji yang terpaksa dia korbankan.
Azrul tersentak. Seketika dia hilang kata dengan
ketegasan suara Hisyam. Kemudian dia ketawa.
“7 tahun Syam... Tak mungkin perempuan tu
sanggup tunggu selama itu. Kau pun tak pernah balik. Aku
rasa tunang kau tu dah kahwin.” Azrul cuba menyedarkan
Hisyam dengan hakikat sebenar yang dirasakan betul. Dia
yakin tekaannya tak salah. Lagipun dia pasti Hisyam terpaksa
menerima pertunangan itu. Jika tidak tentu sahabatnya itu
terus balik setelah tamat belajar 3 tahun lepas.
Hisyam geleng kepala. Salahnya kerana tidak
berterus terang dari awal. Azrul tak tahu apa-apa. Sudah
tentu dia anggap 7 tahun itu tempoh yang amat lama untuk
ikatan pertunangan. Sedangkan selama tempoh itu adalah
tempoh menunggu bunga pilihan hatinya mekar indah di
taman orang tuanya.
“Kau tak tahu apa-apa tentang tunang aku, Rul. Jadi,
jangan yakin sangat apa yang kau rasa tu betul. Sedangkan
hakikatnya kau takkan jangka sama sekali. Pertunangan ini
adalah kehendak hati aku. Memberi aku keyakinan untuk
datang menuntut ilmu di sini tanpa risaukan si dia terjumpa
pilihan hati yang lain. Ia juga jaminan orang tuanya, yang
kami akan disatukan bila aku balik nanti. Lagipun...” Hisyam
tarik nafas, dia melirik ke arah temannya yang tertunggu
kata-katanya.
“Tak balik tak semestinya tak tahu apa yang berlaku
di tanah air sendiri. Setiap perkembangan tunang aku, aku
tahu walaupun aku dah berjanji dengan orang tuanya tak nak
mengganggunya dalam tempoh ini.”
Azrul terus terdiam. Ketegasan Hisyam mematikan
kata-katanya. Fikirannya teringatkan wajah penuh
pengharapan adiknya, Ayuni.
‘Ayu... kau buat abang rasa bersalah.’

No comments:

Post a Comment