DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday 27 November 2018

Cinta Adik Manja - Bab 9

BUNYI notifikasi WhatsApp masuk membuatkan
Nur menjeling telefon bimbit di sebelah. Mesti mesej dari
grup Geng Gadis Pingitan Kg. Berangan memandangkan
grup itu yang paling aktif berWhatsApp.
Sejak semalam lagi grup itu tak berhenti berbunyi.
Malas dia nak baca. Buka, lepas tu scroll laju-laju. Sebabnya
tak habis lagi bercerita tentang anak tok imam kacak yang
baru balik dari Mesir itu. Tak ada topik lain ke? Bosan! Baru
saja nak tutup mata, telefonnya bergegar. Nak tak nak Nur
buka juga WhatsApp. Mesej dari Nisa Comey.
Memang perasan minah ni seorang. Mesti nak cakap
pasal abang dia lagilah tu.
Nur... Esok ni jgn lupa datang rumah
aku.
Apa? Aku tak balik lagilah! Buat apa
nak pergi rumah kau?
Jangan nak tipu. Abang Syam ckp
kau dah balik. Dia yang pergi ambil
kau tadi, kan?
Huh! Siapa Abang Syam? Aku tak
kenal pun!
‘Lantak kaulah Nisa nak cakap apa pun. Yang penting
aku benci tahap petala tujuh Abang Hisyam kau tu. Manusia
munafik nombor satu! Menyesal aku baik dengan dia dulu.’
Alaa... Kau jangan buat-buat
lupakan abang kesayangan pulak.
Esok kenduri kesyukuran dia. Psst,
bukan ke selama ini kau tunggu
Abang Syam balik?
Eh, mana ada! Kau jangan nak buat
ceritalah Nisa. Aku benci Abang
Syam tu. Manusia munafik!
Sudahlah aku nak tidur, mengantuk.
Tengoklah kalau aku rajin, aku
pergi. Kalau tak aku membuta dekat
rumah je!
Hahaha... Jumpa esok.
Nur mendengus. Terus ditutup telefon pintarnya dan
diletakkan di sebelah bantal kepalanya. Bantal di perut dicapai
dan ditutup kepalanya. Dia cuba mengosongkan fikirannya
yang sarat dengan pelbagai persoalan mengenai Hisyam agar
dirinya tenang dan kantuknya segera datang.

NISA TERSENYUM-SENYUM. Terbayang wajah Nur yang
sudah pastinya bengang dengannya. Faham sangat dengan
perangai minah tu, cepat sentap. Nasib baik cepat sejuk juga.
Alah, lepas bangun nanti, okeylah tu. Malas datang pun esok
pasti kena heret juga dengan mak teh. Tak pun dia yang akan
pergi heret nanti. Hatinya teruja nak lihat riak wajah Nur
apabila berdepan dengan abangnya.
“Tersengih sorang-sorang tengok telefon, kenapa?
Baru lepas cakap dengan gewe ke?” tegur Hisyam yang masuk
ke dapur untuk meminum air.
Nisa berpaling memandang abangnya. Sengihan di
bibirnya masih ada lagi.
“Nisa mana ada gewe, Abang Syam. Nisa WhatsApp
dengan Nurlah. Tahu tak dia gelar abang apa?”
Hisyam angkat kening menyoal. Gelas di tangan
didekatkan ke mulutnya.
“Orang munafik!”
Hisyam tersedak. Nasib baik air dah ditelan. Kalau
tak mahunya tersembur ke muka adiknya.
Nisa ketawa mengekek.
“Dia benci sangat dengan abang. Bila kami bercakap
pasal abang dalam group WhatsApp, sekali pun dia tak
respons.”
“Siapa munafik?” Naemah mencelah.
“Abang Syamlah mak. Nur yang cakap,” beritahu
Nisa. Pantas cekodok pisang panas yang baru diletakkan di
atas meja dicapai. Dia meniup-niup sebelum dimasukkan
ke dalam mulut. Cekodok pisang maklah yang paling sedap!
Manalah badannya makin tak bulat kalau mak selalu saja
masak makanan yang sedap-sedap.
‘Tak apa abang sayam ada.’
Opps, Nisa pandang mak dan abangnya. Fuh! Nasib
baik tak terlepas di mulut. Dia tunduk sembunyi senyum.
Lega.
“Nur dah balik? Syam dah jumpa dia?” Naemah
pandang anak lelaki sulungnya.
Sinar mata anak lelakinya membayangkan kerinduan
yang sarat. Yang terpaksa ditanggung sepanjang perpisahan
terjadi. Dia faham sangat perasaan itu. Dia pun pernah muda.
Pernah juga ditinggalkan lama ketika suaminya melanjutkan
pelajaran ke Mesir, 27 tahun lepas. Dia tidak dapat mengikut
kerana mengalami alahan mengandungkan Hisyam.
“Dah. Tadi Syam ikut angah ambil dia.” Dia geleng
kepala, kemudian tersengih. Teringatkan layanan dingin Nur.
“Apa reaksi dia?” Naemah ingin tahu. Teringat 7
tahun lepas apabila Zulaikha meminta baju Hisyam yang
sudah pakai buat ubat demam Nur. Hisyam juga demam di
sana. Dia tidak menyangka yang ikatan perasaan mereka
begitu kuat. Patutlah Haji Yusuf mahu mereka terikat dulu.
Hisyam geleng kepala. “Marah dan benci. Sikit pun
tak nak pandang Syam, mak.”
Naemah senyum lembut.
“Dia merajuk tu. Syam tak pernah hubungi dia sejak
pergi Mesir, kan? Perlahan-lahanlah pujuk, dekati dia balik,”
nasihat Naemah.
“Siap cakap tak pernah kenal dengan Syam.” Hisyam
ketawa kecil. Tercuit hatinya dengan muncung sedepa Nur.
“Padan muka abang!” Nisa mencelah. Yang jadi
mangsanya dialah. Selalu jadi pemberita tak bertauliah
abangnya.
“Jangan ambil hati. Nur tak tahu apa-apa lagi tu.
Masa Syam tinggalkan dia, dia masih budak lagi. Orang dah
janji, mesti dia tunggu.”
“Betul tu mak. Kalau Nisa pun akan ingat sampai
bila-bila. Janji palsu! Siapa yang tak sakit hati? Tapi kenapa
abang tak telefon dia? Hantar e-mel atau surat pun jadilah.
Ini tak, diam terus. Suruh pulak Nisa jadi orang tengah. Mana
dia nak dengar,” bebel Nisa. Dia ingat lagi dulu, abangnya
suruh sampaikan salamnya. Tapi langsung Nur buat tak
faham, tak dengar.
“Adalah sebabnya. Jangan nak ambil tahu hal orang
tua. Belajar lagi penting. STAM hujung tahun ni, kan? Satu
apa pun mak tak tengok Nisa belajar.” Naemah pandang Nisa
geram. Suka sangat menyibuk hal orang dewasa.
“Nisa ada belajarlah mak. Setiap pagi orang bangun
awal, belajar.” Nisa membela diri. Dia ada caranya sendiri
untuk belajar. Yang penting study smart not hard.
“Yalah tu. Belajar ke main telefon? Telefon tu hah,
mak tengok 24 jam kat tangan je. Entah bila letak mak pun
tak perasan,” sindir Naemah. Ada juga sesekali dia mengintai
bilik anak gadisnya. Yang dia tengok banyak masa Nisa
habiskan dengan membelek telefon.
Muncung mulut Nisa mendengar sindiran itu.
Hisyam sengih. Kening diangkat mengejek si adik. Nisa
terus angkat punggung, takut kena bebel lagi. Ini belum lagi
Hisyam buka mulut.
“Yalah, orang pergi studilah ni,” ujar Nisa sebelum
melangkah naik ke biliknya.
Hilang saja anak gadisnya di sebalik pintu, Naemah
kembali memandang anak lelakinya.
“Ada jumpa pak teh tadi? Bulan lepas pak teh terkena
serangan jantung selepas tunai solat zuhur. Nasib baik suami
kak long tu ada, cepat bertindak,” cerita Naemah.
“Dah, mak. Syam sarapan kat rumah pak teh tadi.
Pak teh nampak semakin sihat,” beritahu Hisyam.
“Sihat orang tua. Itu pun dah puas kak long dengan
suaminya pujuk suruh jaga makan minum. Dimarah balik
budak-budak tu. Keras kepalanya tak juga luntur.”
Hisyam ketawa. Sebagaimana dia kenal pak teh sejak
kecil, begitulah juga sikapnya sekarang.
“Dia ada cakap pasal hal Syam dan Nur?”
Hisyam geleng. “Tak ada pulak tadi. Kenapa mak?”
“Dua minggu lepas, mak dengan ayah ada pergi
melawat dia. Kami ada bercakap pasal kamu. Pak teh cakap
nak cepatkan pernikahan kamu berdua.”
Hisyam berhenti mengunyah. Terkejut mendengar
berita itu. Walaupun ada sebahagian dari hatinya merasa
gembira tapi apabila memikirkan Nur, dia tidak boleh bersikap
mementingkan diri sendiri.
“Nur baru 19 tahun mak. Muda lagi.”
“Katanya selepas Nur habis belajar matrikulasi nanti.
3 bulan lagi.”
Hisyam terus terdiam. Nampaknya dia kena bincang
semula perkara ini dengan pak teh.

No comments:

Post a Comment