DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday 27 November 2018

Cinta Adik Manja - Bab 4

“NUR, tunggu! Nur...”
Terdengar namanya dipanggil, Nur menoleh ke
belakang.
Azim tersenyum lebar. Dia melangkah cepat
mendekati gadis pujaannya. Nasib baik sempat kejar. Susah
betul nak bercakap dengan Nur. WhatsApp pun jarang-jarang
dapat balasan. Sikap Nur itu membuatkan hatinya semakin
panasaran. Penangan cinta pandang pertama.
“Ada apa?” Nur kerling jam di pergelangan
tangannya. Lagi setengah jam pukul 2 petang. Dia ingin
cepat-cepat sampai ke bilik dan berkemas. Tak sabar nak balik
kampung. Tapi mamat ni pula ajak berbual. Tahu tak masa
itu emas, sekarang!
“Rindu!”
Bulat mata Nur pandang wajah Azim di depannya.
Serta-merta wajahnya merah.
‘Dasar buaya darat! Tak pernah malu nak meluahkan
rasa. Bermulut manis sentiasa,’ bebel hatinya.
“Dah gugur rindu, kan? Aku nak balik.” Nur
berpaling dan kembali melangkah. Dia tak ingin berlama.
Terasa aura panas Azim membakar hatinya. Sedangkan dia
berusaha membekukan hatinya. Tak ingin cair sebelum tiba
masanya.
“Eh, nanti dululah. Aku ada lagi benda nak cakap
dengan kau ni. Tu baru intro,” halang Azim. Bukan senang
nak jumpa. Jadi tak semudah itu dia akan lepaskan si manis
yang siang malam mengacau hidupnya. Bukan senang juga
dia nak jatuh cinta. Jadi sekali jatuh cinta, dia akan pastikan
cintanya terbalas. Ini bukan cinta monyet tapi cinta pandang
pertama.
“Kau ni setiap kali jumpa aku, memang ada je benda
nak cakap,” perli Nur.
Azim sengih dan garu kepala. Memang betul pun.
Sebab setiap kali berhadapan dengan Nur, secara spontan dia
jadi terlebih peramah. Ada saja benda nak dibualkan.
“Apa dia? Cakaplah cepat. Aku nak balik kemas baju.
Pukul 5 nanti nak gerak dah.”
“Okey, kalau macam tu kita gerak sama-samalah.
Aku pun naik bas malam ni juga.” Kesempatan ini tak akan
dilepaskan. Peluang untuk berduaan dengan Nur perlu
direbut.
‘Bas yang sama dengan kau. Duduk sebelah lagi...’
sambung Azim dalam hati. Itu kejutannya buat Nur. Dia pasti
gadis pujaannya mesti suka.
Nur geleng kepala. Dia tengok wajah Azim. Nak
tolak tak sampai hati. Lagipun renungan lelaki tu boleh
mencairkan hati bekunya.
“Suka hati kaulah,” balas Nur. Dia segera melangkah
meninggalkan Azim.
Mendengar jawapan Nur, Azim tidak lagi mengejar
gadis itu. Sebaliknya dia juga kembali ke bloknya untuk
berkemas dengan senyuman lebar.
Dan tanpa mereka sedari ada sepasang mata
memandang dengan penuh cemburu.

NUR MELANGKAH masuk ke dalam bilik yang dikongsi
dengan Fatihah dan Intan. Intan yang berada di dalam bilik,
tersengih-sengih seperti kerang busuk apabila melihatnya
masuk. Dahi Nur berkerut, kening dijongket tinggi.
“Apa?” tanya Nur. Hati digaru rasa ingin tahu. Lain
macam saja senyuman Intan tu.
Sengihan Intan makin lebar. Muka blur Nur
membuatkan dia ingin ketawa. Nur cantik dan manis.
Sebab itulah tanpa pengetahuan kawannya itu, Nur menjadi
perhatian mata pelajar lelaki di kolej ini.
Intan geleng kepala. Tak faham kadangkala dengan
sikap Nur ni; ada tika dia banyak cakap, ada tika dia jadi
pendiam, dan ada tikanya dia manja bila bercakap dengan
orang tua dan adik-beradiknya di telefon. Ada juga dia melihat
Nur termenung jauh seolah-olah sedang merindui seseorang.
Nak kata perahsia sangat, tak juga. Tapi ada sebahagian
daripada diri Nur yang Intan tak tahu dan mungkin kawannya
itu tidak mahu orang lain tahu.
“Tadi Azim kejar kau, kan?”
Nur angkat bahu. Dia menarik keluar beg pakaiannya.
Mana pakaian yang ingin dibawa balik, sudah siap-siap dilipat
dan diletakkan di atas katil.
“Entah. Aku dengar dia panggil nama aku je. Tak tahu
pulak dia kejar,” jawab Nur lurus. Kemudian dia tersengih.
“Dia kejar ke tadi?” tanya Nur pula.
Intan ketawa. Kepalanya digelengkan.
“Dia kejar kau tadi. Macam cerita Hindustan pulak.
Semua orang pandang. Dia panggil kau kuat gila!” beritahu
Intan. Sewaktu kejadian tadi, dia berada di situ juga, tapi jauh
sikit daripada Nur. Memang kuat suara Azim memanggil Nur.
Wajah Nur membera merah. Malunya. Mesti akan
jadi bualan hangat para pelajar yang melihatnya.
“Betul ke ni?” soal Nur tak percaya. Sebab dia rasa
tak kuat sangat suara Azim tadi. Tapi betul ke? Kot-kot dia
yang terlebih melayan perasaan sampai tak dengar.
“Betullah. Semua orang pandang korang tadi. Kau
tu yang tak perasan. Sokmo gitu.”
Terhenti tangan Nur yang sedang memasukkan
pakaiannya ke dalam beg. Dia pandang Intan yang tersenyum
lebar.
“Malunya aku...” desisnya. Nur hempas punggung
atas katil. Wajahnya diraup. Masih terasa bahang panas
wajahnya. Aduh, memang jadi drama betullah. Hati yang suka
semakin turun darjah kesukaannya. Macam budak-budak!
“Tapi dia cool, kan? Langsung tak malu tunjuk dia
sukakan kau,” puji Intan.
Nur mencebik. “Coollah sangat!”
“Aku rasa mesti ramai peminat Azim cemburukan
kau. Dia dahlah handsome. MPP pulak tu,” sambung Intan
lagi. Baginya, Azim dan Nur sepadan sangat.
Nur pandang Intan. Ayat ramai peminat cemburu
itu membuatkan dia terfikir sesuatu. Seminggu dua ini, dia
rasa macam diperhatikan saja. Ada yang beri senyuman sinis
padanya. Adakah disebabkan hal ini?
“Patutlah...” Pandangannya dihalakan ke Intan.
“Patutlah apa?” Intan tertanya-tanya.
“Patutlah aku rasa makin ramai yang cakap laser
dengan aku, perli aku, jeling aku.”
Intan geleng kepala.
“Laa, kau baru perasan ke? Kawan kau sendiri pun
makin kuat melaser kau,” sindir Intan.
Bulat mata Nur memandang Intan. “Ma... maksud
kau? Tihah?”
Laju Intan angguk.
“Dia tu die hard fan si Azim. Dan si Azim pulak
tersuka kat kau. Mana tak laser minah tu.”
“Aku tak tahu pun.”
“Kau tu, bukannya ambil kisah keadaan sekeliling.
Kau duduk dalam dunia kau je. Sebab tulah kau tak tahu.”
“Habis tu macam mana ni?” Nur gigit bibirnya. Tak
sangka pula jadi macam ni.
“Macam mana apa? Buat tak tahu jelah,” jawab Intan.
Baginya Fatihah tu jangan dilayan sangat.
Mentang-mentanglah dia tu cantik, ingat yang kurang sikit
cantik ni tak ada tarikan tersendiri ke? Lebih-lebih lagi Nur.
Bukan tak cantik, malah sepuluh kali lebih cantik daripada
si Fatihah tu. Cumanya, Nur bukan jenis suka menonjolkan
diri.
“Intan, aku tak naklah si Tihah tu buat aku musuh.
Bukannya aku yang kejar Azim, tapi dia. Lagi satu aku
bukannya sukakan Azim pun.”
“Tulah aku kata, kau buat tak tahu je. Lagipun
kau bukannya boleh halang Azim tu sukakan kau. Biarkan.
Lama-lama nanti okeylah tu.”
Jeda.
Nur mengeluh. Spontan jarinya memusing-musing
cincin di jari manisnya. Sudah jadi tabiat. Saat hati tak
tenang, cincin itu yang menjadi mangsa.
“Betul ke kau tak sukakan Azim tu?” Intan pandang
Nur. Dia inginkan kepastian. Yalah siapa yang tak suka Azim
tu; kacak dan pintar lagi. Bonus, anak Dato’. Ayah dia pegawai
kanan kerajaan.
Wajah Nur berubah mendengar soalan Intan. Bahu
dijongketkan. Dia tak tahu sebab hatinya sedang merindui
orang jauh. Sakit rindu itu membuatkan dia tak mampu
menemui rasa lain di hatinya. Berdebar juga mengingatkan
si dia yang mungkin sudah berada di kampung. Serta-merta
rasa benci pula ambil alih. Bermacam cuaca dalam hatinya
saat ini.
“Entah. Suka tu macam mana? Aku tak tahu apa
rasanya.” Nur jawab mudah. Malas nak fikir. Buat hatinya
berdenyut sakit dek teringatkan lelaki itu.
“Laa, kau ni... Dengar ni aku nak jelaskan.” Beria-ia
Intan mahu terangkan pada Nur. Siap duduk bersila lagi
di atas katil Nur yang dipenuhi dengan pakaian yang nak
dimasukkan ke dalam beg.
“Kau rasa kau suka dia, bila dalam sehari kau tak
tengok dia, kau rasa rindu. Macam dah lama sangat tak
jumpa dia. Bila tengok dia, kau akan rasa ada rama-rama
berterbangan dalam hati kau. Dan tanpa kau sedar, bibir kau
akan tersenyum, hati kau berdebar-debar. Dan kalau boleh
kau nak jumpa dia selalu. Nak selalu berada berdekatan
dengan dia. Itu rasanya. Ada tak kau rasa macam tu?”
Nur tersengih tayang gigi yang tersusun cantik. Dia
berfikir sejenak.
“Berdebar tu ada sikit. Tapi lebih kurang macam
terkejut je. Lebih terkejut bila kau cerita pasal Tihah die hard
fan dia. Tak ada pulak aku rasa rama-rama berterbangan
dalam hati.”
“Azim yang handsome dan kacak tu pun kau tak
suka?” Intan tak percaya. Nur ni memang hati beku sungguh.
Tak tahulah macam mana taste dia lagi.
“Alah, bukan dia soranglah yang kacak kat kolej ni.
Si Tajul Ariff tu pun handsome juga. Presiden MPP lagi tu,”
cebik Nur.
“Sekarang ni, aku rasa berdebar lain macam nak
balik kampung ni. Teruja nak balik tapi dalam masa yang
sama aku rasa takut pulak,” luah Nur tanpa sedar.
Itulah yang dirasai sejak dua tiga hari ni. Telefon
abah sudah. Berborak dengan kak chik sudah. Tapi rasa
yang dirasai ini tak hilang juga. Makin bertambah kuat pula
debarannya.
“Mainan perasaan kau je tu. Tahu dah kau tu rindu
kampung macam bertahun tak balik. Padahal baru bulan
lepas balik,” sindir Intan. Homesickness Nur ni tak pernah
hilang.
“Sudahlah Nur. Cepatlah berkemas. Nanti takut tak
sempat nak kejar bas pulak.”
Nur angguk. Dia sengih. Rindu di dada semakin sakit
rasanya.
Tiba-tiba terdengar pintu ditolak kuat. Muncul
Fatihah dengan wajah mencuka.

No comments:

Post a Comment