DARISSA tidak menjamah langsung kuih akok
yang terhidang atas meja. Walau secubit pun. Tidak seperti
selalu kalau kuih tradisional Kelantan itu ada di depan
mata; sedikit pun dia tak bagi peluang pada orang lain. Mesti
masuk perut sendiri dahulu. Tetapi, hari ini dia tak ada selera
langsung nak jamah. Padahal dia yang beria-ia suruh mok
bakar kuih akok itu semalam.
“Kakak, kenapa rumah Abang Iqram tadi tak ada
orang? Yana pergi tadi kosong aje. Orang gaji pun tak ada.”
Kata-kata Intan Dayana langsung tidak disahut.
Masih lagi memandang kosong ke arah meja makan.
Hatinya sebal dengan sikap Iqram. Entah apa kena agaknya
dengan Iqram. Kelmarin Iqram sudah berjanji hendak
datang ke sini dan berkenalan dengan neneknya yang baru
sampai dari kampung. Sebelum mereka mengikat tali
pertunangan, mahu juga nenek, mak cik dan pak ciknya
melihat dan mengenali Iqram terlebih dahulu. Nenek bukan
main bersungguh-sungguh lagi masak nasi dagang untuk
menyambut kedatangan Iqram, tetapi akhirnya langsung tak
nampak muka. Apabila dihubungi, langsung tidak berjawab.
Mesej juga tidak dibalas.
Hari ini pula, nenek bakarkan kuih akok
kegemarannya. Dengan susah payah Darissa memujuk
adiknya pergi menghantar ke rumah Iqram. Sambil-sambil
itu bolehlah adiknya bertanya kenapa tak muncul-muncul
dah banyak hari. Tetapi, apa yang baru disampaikan oleh
Dayana tadi; rumah Iqram sunyi sepi tanpa bayang seorang
pun yang ada. Pembantu rumah pun tak nampak muka!
Darissa sakit hati. Kenapa makin nak dekat majlis
pertunangan, Iqram makin buat perangai? Tempoh hari bukan
main lagi merayu-rayu sampai nak keluar air mata supaya dia
setuju bertunang. Sekarang ini, apabila semua persiapan dah
hampir siap, boleh buat perangai pula. Geramnya! Tunggulah
kalau dapat jumpa atau bercakap di telefon, akan diherdik
Iqram habis-habisan!
“HELO.”
“Helo... boleh saya bercakap dengan Hakim?”
“Ya, Hakim bercakap. Ini Darissa, kan?”
Darissa ketawa kecil. Tak sangka Hakim dapat
mengenali suaranya. Padahal mereka bukannya pernah
bercakap di telefon. Bertegur sapa di luar pun jarang-jarang.
“Kim... nak tanya sikit boleh tak?”
“Boleh. Nak tanya apa?”
Darissa diam seketika. Mencari ayat yang sesuai
untuk bertanya.
“Kau tahu tak mana Iqram? Aku telefon dia banyak
kali tak dapatlah...”
“Iqram? Dia dekat rumahlah kut.”
“Tak ada. Aku dah telefon rumah dia banyak kali, tak
berangkat langsung. Aku mesej tak balas, telefon bimbit tak
berjawab. Semalam dengan siang tadi adik aku pergi rumah
dia, tapi tak ada orang pun. Mana pergi semua orang dalam
rumah tu? Kau tahu tak, kenapa Iqram buat perangai macam
ni?” Darissa sedikit merungut, mengeluh dan membebel.
“Perangai? Perangai apa pulak ni?” Hakim buat-buat
tergelak.
“Perangai peliklah. Aku tak tahu apa yang dah jadi,
tapi Iqram macam nak lari daripada aku pulak. Dia tak ada
cerita apa-apa dekat kau ke?”
Hakim diam sebentar. Seolah-olah sedang berfikir.
“Dah 3 hari aku tak dapat hubungi Iqram. Lusa dah
majlis bertunang, tapi dia missing in action pulak. Dia tak ada
cakap dekat kau ke dia nak pergi mana? Iqram ada masalah
ke?” soal Darissa sekali lagi.
“Aku baru aje keluar main boling dengan Iqram
kelmarin. Masa tu aku tengok Iqram biasa aje. Tak nampak
macam orang ada masalah pun. Cuma dia cakap gementar
sikitlah nak bertunang. Itu aje.”
Darissa diam. Jawapan yang diberikan oleh Hakim
tadi belum mampu membuatkan hatinya lega.
“Rissa...”
Tiada balasan.
“Darissa!”
“Ya, Kim. Aku dengar ni...”
“Macam inilah Rissa, aku pergi cari dia kejap lagi.
Kalau ada apa-apa, aku telefon kau.”
Darissa sedikit lega mendengar kata-kata Hakim itu.
“Kau tolong aku ya, Kim. Tanyalah kenapa dia
macam nak mengelak daripada aku. Aku risaulah. Manalah
tahu kalau apa-apa jadi. Dia tak pernah buat perangai macam
ni sebelum ni.”
“Jangan risaulah, Rissa. Dia tak apa-apa tu. Mesti dia
sengaja nak buat kau cuak aje. Maklumlah lagi dua hari saja
korang dah nak bertunang. Sengaja nak buat kejutan untuk
kau kut.” Hakim ketawa di hujung kata-katanya. Mungkin
untuk menyedapkan hati Darissa.
“Okay. Thank you, Kim. Kalau ada apa-apa, telefon
aku tau.”
“PAGI TADI aku jumpa Iqram dekat lapangan terbang. Dia
dah selamat terbang ke US dengan mummy dan daddy dia
sekali.”
Darissa menghempas punggung. Ingatkan masa
Hakim telefon dan beritahu semua kawan-kawan sedang
tunggu di padang permainan petang ini, ada berita baik yang
akan dia dengar. Manalah tahu tiba-tiba terpacak kelibat
Iqram. Tetapi, berita buruk dan mengecewakan pula yang
keluar daripada mulut Hakim.
Benarlah seperti kiriman mesej yang diberi oleh
Iqram pagi tadi. Dengan mudah dan ringkas dia memberitahu
bahawa dia tak jadi bertunang dan berharap agar keputusannya
itu tidak dipertikaikan; tanpa kata maaf dan tanpa penjelasan
yang lengkap. Kurang ajar! Tempoh hari Iqram yang bukan
main beria-ia, sekarang ini main lari macam ini saja! Apa
Darissa nak cakap kepada mama dan seluruh kaum kerabat
yang tengah sibuk di rumah sekarang ini?
“Aku dah cuba pujuk dan nasihatkan dia tadi. Tapi,
nampaknya dia memang betul-betul nekad nak lari dan
terbang ke US. Aku sendiri tak sangka dia sanggup buat
macam ni.” Hakim bersuara dengan nada terkilan. Tidak
pernah dia terdetik Iqram sanggup bertindak meninggalkan
Darissa begini.
Apa yang lebih memeranjatkan, sikap kedua-dua
orang tua Iqram yang seolah-olah tidak rasa bersalah kepada
keluarga Darissa. Mengikut saja kemahuan anak tunggal
kesayangan tanpa memikirkan kesan kepada orang lain.
Tidak bolehkah mereka menasihati Iqram dan tidak bolehkah
mereka datang berjumpa dengan keluarga Darissa terlebih
dahulu? Bukankah elok jika mereka berbincang dengan
baik tentang perkara ini? Mudah saja mereka semua pergi
meninggalkan Darissa terkontang-kanting seorang diri
sedangkan majlis pertunangan hanya tinggal sehari saja lagi.
Tak guna jadi orang kaya, mempunyai perniagaan berjuta-juta
dan berpangkat, tapi pendek akal!
Darissa menarik nafas dalam-dalam dan dilepaskan
berat. Qaisarah, Husna dan Atikah semuanya diam seribu
bahasa. Tak tahu apa lagi yang mampu mereka katakan.
“Kim, kau tahu tak kenapa Iqram buat macam ni?
Kenapa dia sanggup pergi tanpa bercakap dengan aku dulu?”
Darissa meminta kepastian.
Hakim tarik nafas.
“Iqram bagi alasan dia tak bersedia nak bertunang
lagi. Dia tak nak jawab telefon atau berjumpa dengan kau
sebab dia tak sanggup nak dengar kau merayu atau pujuk dia.
Iqram cakap, bila dia dah habis belajar nanti dia akan cari kau
semula dan bincang pasal hal ni.”
“Dah habis belajar baru nak berbincang? Dia ingat
bertunang ni macam main pondok-pondok ke? Kalau tak
bersedia, kenapa dia yang beria-ia ajak aku bertunang dulu?
Kenapa dia bagi harapan yang bukan-bukan dekat aku? Bila
semuanya dah siap, bila semua orang dah tahu, dia boleh lari
macam ni aje! Macam mana aku nak cakap bila mama aku
tanya nanti? Apa kata nenek dan saudara-mara aku yang dah
berkumpul dekat rumah tu? Siapa yang nak tanggung malu
semua ni? Aku sorang-sorang aje ke?” Dengan suara yang
bergetar Darissa berbicara. Ada air jernih yang bertakung di
kelopak mata. Selama ini, memang Iqram selalu memberi
kejutan dengan pelbagai hadiah yang istimewa, tetapi kejutan
yang diberikan oleh Iqram kali ini tidak langsung diduga oleh
dia dan teman-teman yang lain.
Sungguh dia tidak menyangka sanggup Iqram buat
begini kepadanya. Selama 2 tahun mereka berkawan, Iqram
tak pernah buat perangai yang pelik atau menunjukkan
ciri-ciri sebagai lelaki yang tidak bertanggungjawab. Mama
dan adiknya juga sudah cukup arif tentang hubungan
mereka. Kerana itulah mama setuju apabila dia minta untuk
bertunang pada usia semuda ini. Walaupun mula-mula
berat hati, namun disebabkan percaya kepada Iqram, mama
mengalah. Tapi, sekarang ini apa dah jadi?
Masing-masing yang ada di situ mendiamkan
diri. Tak tahu hendak cakap apa tentang keputusan Iqram
yang betul-betul memeranjatkan. Qaisarah, Atikah dan
Husna juga sudah mati akal hendak menenteramkan hati
Darissa. Manakala Hakim pula masih lagi dengan perasaan
tidak percaya dengan sikap sahabat karibnya itu. Iqram
itu memang sudah gila! Semua orang dah tahu Iqram dan
Darissa nak bertunang, satu sekolah malah satu taman ini
sudah diuar-uarkan tentang perkara ini. Mana Darissa dan
keluarganya nak sorok muka kalau tiba-tiba majlis tak jadi
berlangsung?
“Rissa, aku rasa kau kena berterus terang dengan
mama kaulah. Cakap dengan dia yang Iqram dah lari. Jangan
nak sorok-sorok lagi. Benda ni bukan boleh buat main-main.”
Akhirnya Qaisarah bersuara. Sudah berkali-kali sebenarnya
dia mencadangkan kepada Darissa agar menceritakan perihal
yang sebenarnya. Tapi, Darissa degil. Dia masih lagi menaruh
harapan yang Iqram akan muncul juga sebelum hari
pertunangan mereka. Dan sekarang apabila Hakim sendiri
yang menjadi saksi perginya Iqram ke luar negara, apa lagi
yang mahu diharapkan oleh Darissa? Iqram takkan muncul
esok, itu sudah pasti!
“Aku pun setuju dengan cadangan Sarah. Benda dah
tak boleh nak rahsia lagi, Rissa. Beritahu saja yang kau tak
jadi bertunang esok dan...”
“Esok Rissa tetap akan bertunang. Kalau Iqram
dah lari, aku sanggup jadi pengganti dia.” Tiba-tiba Hakim
menyampuk, mematikan kata-kata Husna.
Serta-merta Husna berpaling melihat ke arah Hakim
yang berada beberapa tapak dari tempat dia sedang berdiri.
“Kau cakap apa tadi, Kim?” Atikah pula yang laju
menyoal dengan dahi sedikit berkerut.
“Aku cakap, kalau Iqram dah lari, aku sanggup jadi
pengganti dia. Aku takkan biarkan Rissa tanggung malu
sorang-sorang. Esok pasti akan ada rombongan yang muncul
depan rumah Rissa. Bukan rombongan daripada keluarga
Iqram, tapi emak dan ayah aku yang akan datang meminang
Rissa. Jadi korang semua jangan risau. Aku janji majlis esok
akan berjalan lancar sepertimana yang dirancang.”
“Kau dah gila ke Kim? Bertunang ni bukan perkara
main-main!” Qaisarah terus saja menyergah. Dia yang
sememangnya mempunyai hubungan saudara dengan Hakim
menunjukkan wajah terkejut.
“Aku tahu ini bukan perkara main-main. Dan aku
cakap serius tadi. Aku akan pujuk emak dan ayah datang
rumah Rissa. Sebagai sepupu, aku minta kau tolong aku
pujuk mak long dan pak long untuk datang dan jadi wakil
belah lelaki sekali esok.” Hakim memandang tepat ke arah
Qaisarah yang sudah bulat biji matanya. Pak long dan mak
long yang dimaksudkan oleh Hakim itu sudah tentulah ibu
dan bapa Qaisarah yang merupakan bapa saudara Hakim
sendiri.
Hakim sebenarnya memang sudah nekad. Lepas
sahaja berjumpa dengan Iqram di lapangan terbang tadi,
dia sudah berfikir semasak-masaknya. Dan sesungguhnya
dia memang tidak rela membiarkan Darissa bersedih dan
menanggung malu seorang diri. Dia harus lakukan sesuatu
untuk menyelamatkan maruah pujaan hatinya itu. Dan jika
dengan berbuat begini akan membuatkan maruah Darissa
terjaga, akan dia lakukannya dengan penuh rela dan ikhlas.
Iqram lelaki yang tidak bertanggungjawab.
Dengan mudah dan selamba dia serahkan segala barang
yang sepatutnya menjadi barang hantaran untuk Darissa
kepadanya pagi tadi. Dengan tidak berperasaan, Iqram
menyuruh dia berikan barang-barang tersebut kepada
Darissa sebagai cara untuk memujuk dan mengharapkan agar
gadis itu faham tentang tindakannya itu. Ah, jika selama ini
dia menjadi posmen dan orang tengah apabila Iqram mahu
memberi sesuatu kepada Darissa, adakah kali ini dia sanggup
melakukan hal yang sama?
Tidak! Lebih baik dia gunakan sebagai hantaran
untuk majlis esok hari. ‘Iqram, kalau kau beli barang tu
semua dengan niat nak bertunang dengan Rissa, aku akan
pastikan niat itu terlaksana dan Rissa akan tetap menerima
segala barang itu sebagai tunang orang esok!’
“Rissa, kau setuju ke dengan apa yang Hakim nak
buat ni? Kalau aku, aku lebih rela batalkan majlis dan beritahu
perkara sebenar. Iqram dah buat kerja gila, kau jangan nak
buat benda yang sama pulak,” suara Atikah seakan-akan tidak
bersetuju.
Darissa mendiamkan diri. Dia hanya memandang
tepat ke arah Hakim yang turut memandangnya dengan
wajah yakin dan bersungguh-sungguh.
“Kau jangan risau, Rissa. Aku janji apa yang aku buat
ni bukan ada niat yang tak baik. Aku cuma tak nak kau dan
seluruh keluarga kau malu dan dalam waktu yang sama aku
memang ikhlas nak bertunang dengan kau. Apa-apa yang
terjadi lepas ni, kita sama-sama fikirkan kemudian,” dengan
bersungguh-sungguh Hakim bercakap sambil memandang
tepat ke dalam anak mata Darissa.
Darissa hanya diam terpaku. Pertama kali Hakim
bercakap panjang dengannya. Dan buat pertama kali juga
Hakim tidak melarikan pandangan apabila mata mereka
bertentang. Sebaliknya tidak berkelip mata itu memandang
dan memancarkan sinaran yang cerlang.
“Aku harap kau jangan salah anggap, Rissa. Aku tahu
ini adalah yang terbaik untuk kau dan aku ikhlas,” ujar Hakim
lagi bersungguh-sungguh. Masih tidak melarikan pandangan
mata merenung jauh ke dalam anak mata Darissa. Perkara
yang tidak pernah dia lakukan sebelum ini.
“Aku... setuju,” perlahan suara Darissa kedengaran.
Dia sendiri tidak tahu bagaimana perkataan setuju itu boleh
terpacul keluar daripada mulutnya. Entah kuasa apa yang
menyelinap masuk membuatkan dia bersetuju dengan
cadangan dan rancangan Hakim itu. Dia buntu. Dia tak
tahu apa yang patut dibuat dan sekiranya bertunang dengan
Hakim esok boleh menyelesaikan masalah, maka dia rela.
Daripada harga dirinya tercalar tanpa kehadiran rombongan
pihak lelaki esok, lebih baik dia terima saja Hakim menjadi
tunang dan apa yang akan berlaku kemudian hari, akan dia
fikirkan nanti.
“Korang memang dah gila. Bukan saja Iqram, tapi
Intan Darissa dan Afif Hakim pun memang suka buat kerja
gila!” Husna meluahkan perasaan tidak percaya. Kepalanya
digelengkan berulang kali. Begitu juga dengan Qaisarah dan
Atikah yang turut tayang muka terkejut dan tidak percaya.
“Aku tahu ini memang kerja gila. Tapi, sebagai
kawan karib aku harap korang bertiga akan sentiasa berada di
samping aku dan Rissa untuk berikan semangat. Ini saja jalan
yang ada. Rissa tak bersalah. Dia tak patut tanggung masalah
yang berpunca daripada Iqram. Rissa amat memerlukan
sokongan kita sekarang ni,” suara Hakim kedengaran tegas.
Dia memandang Qaisarah, Husna dan Atikah.
Ketiga-tiga mereka tidak jadi hendak bercakap
banyak. Ternyata apa yang dikatakan oleh Hakim itu
ada benarnya. Mereka harus beri sokongan yang tidak
berbelah-bagi kepada Darissa.
“Baiklah, kalau ini yang terbaik untuk Rissa... aku
sebagai kawan, setuju untuk berikan sokongan. Kau jangan
risau Kim, aku akan pastikan mak dengan ayah aku setuju
untuk jadi wakil pihak lelaki,” akhirnya Qaisarah bersuara
memberikan persetujuannya setelah beberapa minit mereka
semua hanya mendiamkan diri.
Dia bangun dan mendapatkan Darissa. Dia memeluk
Darissa sekuat-kuatnya. Perlakuannya itu turut diikuti
oleh Husna dan Atikah. Mereka berempat berpelukan erat.
Langsung tidak mempedulikan kanak-kanak lain yang sedang
bermain bola. Dan pelukan mereka itu turut diiringi oleh
air mata yang tidak tertahan lagi. Keempat-empat mereka
menitiskan air mata.
Hakim turut memandang sayu. Kalaulah dia ini
perempuan, ingin juga dia menyertai mereka. Turut memeluk
Darissa sebagai tanda sokongan yang tidak berbelah bahagi.
Kasihan Darissa. Jika dia tahu inilah yang akan terjadi, pasti
dia takkan setuju untuk jadi orang tengah bagi pihak Iqram
waktu hendak memikat Darissa dahulu. Dan sesungguhnya,
sekarang ini dia berasa begitu malu untuk mengaku
mempunyai sahabat seperti Iqram. Malunya dia menjadi
orang tengah dulu. Malu dan bersalah terhadap Darissa!
‘Kau memang celaka, Iqram! Kalau aku tahu ini
yang kau akan buat, selangkah pun aku takkan berundur
dulu!’ Hakim menggenggam tangan sambil menahan geram
sendiri. ‘Iqram, semoga suatu hari nanti kau akan terima
padah atas perbuatan kau ni!’
No comments:
Post a Comment