“KORANG ni kalau tak mengumpat pasal
aku, memang tak boleh hidup aman ke?” tempelak Fatihah.
Ditanggalkan kasut dan dicampak di tepi pintu. Kemudian
begnya pula dilemparkan di atas katil. Panas hati. Tadi sempat
dia mencuri dengar mereka mengutuknya. Memang pun dia
cemburu dengan Nur. Tanpa sebarang usaha, Nur senang
memenangi hati orang, termasuk Azim. Bencinya semakin
mendalam.
Nur dan Intan saling berpandangan. Mengumpat ke?
Mana ada?
Fatihah ni cantik orangnya. Tinggi lampai dan
berwajah peranakan mamak. Sebab itulah dia di antara
pelajar yang agak menonjol dan sering menjadi perhatian
pelajar lelaki. Manakala Intan pula bertubuh agak montel dan
berwajah keanakan. Nur pula sederhana tinggi dan berwajah
Melayu asli. Ramai yang bercakap wajahnya sejuk mata
yang memandang. Tapi dia tak ambil kisah sangat. Lagipun
dia seorang yang agak pendiam serta tidak peramah. Itulah
tanggapan orang apabila kali pertama bersua. Hakikatnya,
Nur seorang yang boleh tahan peramahnya.
Intan menjulingkan matanya ke atas. Menyampah
dengan soalan Fatihah. Kalau dia mengumpat pasal orang
tak apa pula. Sekali terkena, terus meroyan? Nur hanya
tersenyum melihat riak Intan.
Intan agak tidak sebulu dengan Fatihah dan selalu
mengajuk perbuatannya. Dia cakap Fatihah ni perasan cantik.
Perasan dia ratu di sini dan semua orang kena sukakannya.
Lain pula apa yang Nur fikir. Sikap Fatihah ni lebih kurang
sama dengan sikapnya. Tetapi sikapnya hanya menonjol
ketika bersama dengan ahli keluarga dan juga kawan-kawan
baik sahaja. Lagipun mereka faham sangat yang Nur ini anak
merangkap adik bongsu yang dimanjakan.
“Kau dah telefon abah?” Tiba-tiba Fatihah menyoal.
Nur pandang pelik.
“Sudah. Siap pesan pada umi lagi pagi esok buat
sambal mangga dan kerabu terung, aku nak ratah.” Dijawab
juga. Dia sudah terbayangkan keenakan makanan tersebut.
Sambal mangga dan kerabu terung ni sangat istimewa. Hanya
umi yang tahu menyediakannya.
“Sambal mangga aku pernah dengar. Kerabu terung
tak pernah dengar. Apa rasa? Apa bahan-bahannya?” Intan
ingin tahu. Bab makanan ni serah saja padanya. Bukan saja
suka makan, malah Intan juga suka masak. Setiap kali balik
rumah, ada saja makanan yang dibawa untuk dijamu kepada
rakan sebilik.
Hehe... Bab masak ni memang Nur tak tahu. Umi
pun tak ada paksa dia masuk ke dapur. Umi panggil masuk
pun untuk makan sahaja. Peristiwa dapur hampir terbakar
gara-gara umi minta tolong tengokkan ikan dalam kuali
menyebabkan Nur takut dengan dapur gas. Jadi sampai ke
hari ini dia tidak pandai memasak.
“Aku reti makan je, masak tak tahu,” akui Nur.
“Takkanlah kau tak pernah tengok umi masak?
Belajar sikit-sikit pasal kerja-kerja di dapur?” Fatihah pula
menyoal dengan nada sinis. Siap dengan mimik muka meluat.
Walaupun Nur baik dan tidak pernah menyakitinya
dengan kata-kata sinis, tapi dia menyampah. Sentiasa
merasakan sikap Nur yang lembut itu dibuat-buat. Kemesraan
berbual-bual dengan orang tuanya terasa menjengkelkan.
Seolah-olah ingin menunjuk-nunjuk bahawa dialah anak
yang paling disayangi.
“Aku pernah tolong umi masak waktu umur 13
tahun dan dapur rumah aku hampir terbakar. Kalau abah tak
bertindak cepat, confirm rumah aku dah hangus terbakar.
Sejak tu umi dan abah tak kasi aku masak.”
“Haa???” Keduanya terkejut.
“Biar betul kau ni? Sampai nak terbakar rumah?”
Intan hampir melompat.
Nur sengih malu.
“Aku dengan masak-masak ni mana serasi. Aku
dengan makanan je okey.” Nur naikkan dua batang jarinya,
simbol keamanan.
Fatihah mencemik. “Alasan! Baik kau jadi tomboi!”
cemuhnya.
“Jadi kau tak pernah cuba masaklah lepas tu?” soal
Intan lagi. Fatihah dijeling sebelum dia memandang Nur.
“Ada. Masak air. Masak nasi aku pandailah.” Nur
ketawa. Teringat ketika dia cuba menolong umi di dapur tapi
cepat saja umi tegur, tak payah.
“Teringin juga nak masak. Tapi buka dapur gas pun
aku takut.”
“Parah kau ni.”
“Nanti kahwin, hari-harilah makan kedai. Tak kuasa
laki kau nak layan kerenah mengada kau tu. Mesti cari
lain!” Bisa kata-kata yang keluar dari mulut Fatihah. Siap
mencemik lagi.
“Tak kisah. Kalau dia sayang dan cintakan aku,
tentu dia sanggup terima kekurangan aku ni. Bukannya aku
paksa dia kahwin dengan aku pun.” Nur tak mahu kalah.
Buat apa nak fikir pasal kahwin lagi? Nanti sampai masanya
pandai-pandailah dia nak bagi suaminya makan.
“Lelaki ni sebelum dapat memanglah cinta mati.
Semua nampak baik dan manis. Tapi bila dah hidup sebilik
dan tidur sebantal, semua yang buruk-buruk saja yang
dinampaknya nanti.” Fatihah tak mahu kalah.
“Lambat lagi cerita pasal nikah ni. Tunggu aku habis
belajar dulu.”
“Manalah tahu, kau juga yang cakapkan abah kau
lebih suka anak-anak gadisnya nikah ketika belajar. Baru
senang hati nak lepas belajar jauh.”
“Kak long dan kak chik aku tu gatal. Masa belajar
sibuk bercinta. Sebab tulah abah nikahkan mereka awal-awal.”
Rasanya dia terkecuali kut. Sebabnya sehingga kini
dia tak pernah bercinta. Cuma hatinya kadangkala terasa
merindui seseorang. Puas juga dia mencari siapa yang
membuatkan hatinya merindu, namun gagal.
“Tu kau yang cakap, bukan abah kau.”
“Aku rasa kau pun senasib macam kak long dan kak
chik kau tu jugalah. Kena kahwin awal,” ramal Fatihah.
Nur terdiam. Hatinya mula termakan kata-kata
Fatihah itu. Masuk akal juga. Lagipun abah ni over protective
sikit. Takut perkara buruk terjadi pada anak daranya jika tiada
orang tengok-tengokkan.
Manakala Fatihah tersenyum dalam hati.
Mengharu-birukan hati Nur memberikan kepuasan padanya.
‘Biar dia risau. Asyik senyum dan ketawa saja. Meluat
aku!’ bisik hati jahatnya.
Intan yang senyap sejak tadi mula bersuara semula.
“Kau tak payah fikirkan sangat Nur. Takkanlah abah
kau senang-senang nak lepaskan anak dara bongsunya ni
awal-awal. Mesti kau terkecuali.”
Nur tersenyum nipis. Mungkin juga. Takkanlah abah
sanggup buat macam tu. Dia kan anak kesayangan abah.
“ASSALAMUALAIKUM...” SALAM diberi dan bibirnya terus
tersenyum menyapa.
Angah berpaling. Senyumannya melebar.
“Waalaikumussalam. Bila kau sampai?”
7 tahun berlalu. Fizikal mereka banyak berubah.
Dari badan sekeping, jadi tegap dan sado. Wajah pula semakin
matang. Sesuai dengan usia mereka yang sudah menjangkau
26 tahun.
“Tengah malam tadi,” jawab Hisyam. Dia pandang
angah yang sedang membongkokkan tubuhnya dan tangan
bertongkat di lutut. Nafas termengah-mengah. Muka angah
merah. Seketika kemudian dia membuat senaman ringan
sebelum menarik nafas panjang.
“Awal kau keluar ambil angin. Tak tidur ke?”
Hisyam sengih. Disebabkan dia merindui suasana
kampung yang telah lama ditinggalkan, selepas subuh tadi
dia terus turun berjalan. Banyak yang berubah tapi setiap
sudut kampung ini ada memorinya yang tersendiri. Istimewa
dan akan kekal sebagai kenangan indah di hatinya.
“Ambil udara segar kampung. Lepas subuh tadi,
mata aku ni terus celik. Jet lag. Rindu nak tengok kampung,”
jawab Hisyam. Lebih rindu dengan kenangan bersama adik
dulu sebenarnya.
“Aku ingatkan kau dah lupakan kampung halaman,”
sindir angah. Dia kemudian sengih.
“Mana boleh lupa. Tempat lahir dan besar aku
ni. Rindu tak pernah surut pun.” Perlahan suara Hisyam
menjawab. Ada rasa bersalah dalam nadanya kerana tidak
berhubung dengan angah. Padahal mereka ni berkawan
baik sejak kecil lagi. Hanya sekali saja dia membalas e-mel
kawannya itu yang memberitahu tentang adiknya demam
rindu. Itu pun ringkas sangat. Dia tahu angah marahkannya.
Tapi tangannya terikat janji.
“Baguslah kalau ingat. Bukan lupa macam janji kau
dengan adik aku dulu,” sinis angah.
Hisyam diam. Dia pandang jauh ke tengah laut.
Bibirnya tersenyum nipis. Tahu yang angah tak berpuas
hati dengan sikapnya itu. Namun belum masanya lagi dia
menjelaskannya.
“Adik terus demam selepas kau pergi.
Berminggu-minggu juga. Mujurlah ada jubah yang kau
tinggal jadi pengubat demam dia.”
Hisyam diam. Dia tahu. Bahkan dia juga turut sama
demam rindu.
Sikap diam Hisyam menyebalkan hati angah. Geram
hatinya.
“Kenapa kau berjanji tapi tak tunaikan janji tu? Adik
aku setiap hari tunggu kau telefon. Patutnya kau tak payah
berjanji kalau tak boleh tunaikan janji tu. Jangan biar orang
tertunggu. Lebih-lebih lagi budak manja macam adik aku tu.”
Hisyam tarik nafas. Baru berjumpa setelah 7 tahun,
angah sudah meluahkan perasaan tidak puas hatinya. Dia
pula tak ada kata mampu mempertahankan diri sendiri. Jelas
salahnya, memang diakui. Tapi jika ini untuk menjaga hati
orang tua, dia sanggup makan hati.
“Aku tahu. Tapi apa yang dah berlaku aku tak boleh
nak putar semula. Aku pun berada dalam keadaan serba
salah.”
Hisyam masih ingat apa yang terjadi dulu. Seminggu
dia demam nak suaikan diri di tempat baru. Dalam masa yang
sama, dia mendapat khabar Nur pun demam juga. Nasib dia
teringatkan jubahnya yang tersangkut dalam bilik tidurnya.
Lantas dihubungi maknya di kampung.
“Kenapa tak telefon? Itu saja aku nak tahu alasannya.
Ataupun sekurang-kurangnya telefon aku.”
“Nanti kau akan tahu juga. Yang pasti, aku tak
pernah lupakan adik. Dia sentiasa ada dalam hati aku,” ujar
Hisyam penuh makna.
No comments:
Post a Comment