DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday, 27 November 2018

My Miss Universe - Bab 2

“HAI, girlfriend! Dah lama tunggu ke?”
Darissa memalingkan wajah apabila mendengar ada
suara lelaki yang menegur. Terus saja dia menguntumkan
senyuman saat melihat susuk tubuh Iqram yang sedang
berjalan menuju ke arahnya.
“Adalah dalam 10 minit. Awak memang suka buat
orang tertunggu-tunggu, kan?” Darissa angkat kening.
Iqram tersengih-sengih dan ambil tempat di bangku
simen bersebelahan dengan Darissa. Apabila Iqram duduk,
terus saja Darissa hulurkan tangan kanan.
“Mana?” soalnya.
“Mana apa?” soal Iqram semula.
Darissa menghela nafas pendek.
“Mana buku latihan saya? Kalau bukan sebab buku
tu, tak adalah saya sanggup nak berpanas tunggu awak dekat
sini lama-lama. Esok nak pulangkan dah buku latihan tu,”
Darissa dekatkan lagi tangannya ke arah Iqram. Betul-betul
di paras dada Iqram.
“Isy, tak sabar-sabar!” rungut Iqram sambil buat
muka tak puas hati.
“Memanglah tak sabar. Kalau dibiarkan lama-lama,
takut nanti awak lupa nak bagi, esok lupa nak bawa datang
sekolah, tak pasal-pasal nama saya naik sebab selalu
tertinggal buku latihan. Padahal awak yang pinjam sebab nak
tiru, lepas tu lupa nak pulangkan balik!” Darissa bersuara
dengan nada tak puas hati. Sudah beberapa kali perkara itu
berlaku. Terpaksalah dia bagi alasan macam-macam pada
guru. Tercalar imej dan kewibawaannya sebagai pelajar
yang cemerlang dan bijak pandai di dalam kelas mahu pun
seantero sekolah.
“Cepatlah, mana buku saya tu?” Darissa menyoal
lagi.
“Yalah, yalah! Ada saya bawa ni hah... apalah nasib
saya dapat makwe kaki paksa macam awak ni. Semalam kena
paksa buat soalan Matematik banyak-banyak, kelmarin kena
paksa hafal formula Fizik, hari ni kena paksa siapkan latihan
Sains cepat-cepat pulak!” Sambil merungut, Iqram seluk
tangan ke dalam beg sukannya yang berwarna hitam putih
dan keluarkan buku latihan warna coklat tua.
Darissa hanya sengih saja mendengar rungutan
Iqram. Memang begitulah selalunya. Bercinta zaman sekolah
ini jangan hanya tahu nak tangkap jiwang dan hanyut tak
tentu pasal sahaja. Nak bercinta tak salah, janji tahu dan sedar
apa yang penting dan wajib. Dan sebagai pelajar, dah tentulah
pelajaran itu yang paling utama. Biarpun dia keluar dengan
Iqram, tapi buku ilmiah dia tak pernah lupa bawa. Lagi-lagi
bila dah masuk tingkatan 5, tahun yang paling mencabar
untuk mereka semua. Lagilah selalu Darissa membebel pasal
hal belajar. Walaupun Iqram ada juga luah rasa tak puas hati,
tapi dia terpaksa akur demi nak jaga hati buah hati.
Buku coklat bertukar tangan. Darissa membelek
helaian demi helaian buku latihannya yang bersih dan
kemas. Baru saja Darissa selak helaian yang kelima, tiba-tiba
matanya tertancap pada sekeping kad yang terselit di dalam
buku latihan tersebut. Kad yang berwarna biru dan berada
dalam kedudukan terbalik itu dicapai. Dia pusingkan kad ke
depan dan membaca tulisan keemasan yang tertulis perkataan
‘Happy Birthday’.
Darissa kerut dahi. Happy birthday?
“Selamat hari jadi yang ke-17, Intan Darissa...”
Darissa toleh pandang Iqram.
“Tapi, hari jadi saya esok.”
“Tahu. Sajalah saya nak jadi orang pertama yang
ucapkan selamat hari jadi. Advance birthday wish!” Dengan
nada ceria Iqram berkata-kata. Kemudian, dia hulurkan
sebuah kotak kecil kepada Darissa.
“Hadiah hari jadi,” ujar Iqram sambil tersenyum
lebar.
Darissa sedikit teragak-agak, namun dia tetap
menyambut huluran kotak tersebut. Iqram angkat kening
dan beri isyarat supaya pembalut kotak tersebut dibuka.
Perlahan-lahan Darissa membuka pembalut yang cantik
dihiasi dengan reben merah jambu. Penuh berhati-hati dan
cermat supaya tidak kelihatan gelojoh walaupun dalam hati
memang dah tak sabar. Yalah, pertama kali menerima hadiah
daripada seorang lelaki! Selama ini dia tidak pernah sambut
hari jadi atau menerima sebarang hadiah yang istimewa
seperti ini.
Selesai pembalut tersebut dibuka, alangkah
terkejutnya Darissa apabila melihat isi yang berada di dalam
kotak tersebut. Jam tangan berjenama Guess! Matanya
membulat.
“Ini jam tangan yang kita tengok masa dekat Pavilion
minggu lepas,” katanya sambil mata tak berkelip memandang
jam tangan tersebut.
Iqram mengangguk.
“Masa kita lalu kedai jam tu, awak nampak berminat
sangat dengan jam ni. Saya pun terdetiklah nak bagi hadiah
kejutan untuk hari jadi awak,” ujar Iqram.
“Tapi, jam tangan ni mahal! 400 lebih,” balas Darissa
lagi dengan wajah tak percaya.
Iqram hanya jongket kening double jerk. Tersenyum
lebar seakan bangga dapat memberi hadiah semahal itu
kepada Darissa.
“Tak nak cuba pakai ke? Macam tak sudi terima
hadiah ni aje,” kata Iqram apabila lihat Darissa tak keluarkan
jam tangan itu dari dalam kotaknya lagi.
Darissa ketap bibir perlahan. Dia sebenarnya masih
dalam perasaan tak percaya. Dia masih lagi di bangku
sekolah. Begitu juga dengan Iqram. Tetapi sepanjang mereka
berkawan, Iqram memang selalu hadiahkan dia dengan
pelbagai barangan berjenama. Masa mula-mula nak mengurat
dahulu, Iqram bagi sekotak besar biskut dan coklat Famous
Amos. Apabila mereka rasmi bercinta, Iqram hadiahkan
sepasang kasut sukan jenama Nike dan sekarang ini seutas
jam tangan Guess pula. Aduh, memang beruntung jadi teman
wanita anak orang kaya!
“Terima kasih, Iqram. Saya tak sangka akan dapat
hadiah best macam ni. Thank you for being a very wonderful
boyfriend,” puji Darissa sambil menghadiahkan senyuman
manis kepada Iqram.
“Awak suka?” soal Iqram.
Darissa mengangguk laju. Gila tak suka? Orang
bodoh sajalah yang tak suka dapat hadiah seperti itu. Jujur
dia katakan bahawa sikap Iqram yang tidak lokek dan suka
memberi inilah yang membuatkan dia semakin menyayangi
lelaki itu. Walaupun mula-mula dulu dia lebih berminat dan
suka melihat wajah Hakim, tetapi apabila sudah berkawan
dengan Iqram, ternyata lelaki itu begitu pandai mengambil
hati dan membuatkan jiwa remajanya cair dan bertambah
sayang.
Tersenyum-senyum Iqram apabila melihat wajah
ceria Darissa, menandakan bahawa gadis itu gembira dan
seronok menerima hadiahnya.
“Kalau macam tu, bolehlah saya turun latihan
sekarang. Kawan-kawan dah lama tunggu tu, nanti diaorang
cakap saya ni curi tulang pula sibuk nak berdating. Cikgu
Rashid pun dah sampai. Nanti dia bising pulak, tahu sajalah
Cikgu Rashid tu bukannya suka tengok budak-budak sekolah
macam kita duduk berdua macam ni.”
Iqram lepaskan pandangan ke arah teman-teman
yang berada di tengah padang. Bangku simen yang mereka
berdua duduk sekarang ini berada di bahagian atas padang.
Untuk ke padang, para pelajar harus menuruni lebih kurang
30 anak tangga. Jadi memang jelas segenap pandangan
seluruh padang jika berada di bangku simen itu. Malah
terdapat tiga empat bangku simen lagi berhampiran dengan
mereka.
“Awak balik dululah. Hari ni mungkin latihan bola
saya habis lambat.” Iqram mengangkat punggung, mengambil
beg galasnya dan mula mengorak langkah.
Tak sampai 5 langkah Iqram menuruni anak tangga,
kedengaran Darissa menjerit kecil memanggil namanya.
Iqram berpaling dan mengerutkan dahi.
“Thank you again. Memang cantik sangat!” Darissa
tersenyum mesra sambil menggerak-gerakkan tangan kirinya
yang sudah terlekat jam tangan.
Iqram turut tersenyum lebar. Mata kanan
dikenyitkan sebelum dia berpaling semula dan berlari-lari
anak mendapatkan rakan-rakan yang lain. Segera dia duduk
bersebelahan dengan Hakim yang sedang ralit menyarung
stoking kuning hingga ke paras lutut.
Darissa memerhatikan sahaja kelibat Iqram dengan
anak mata sambil bibir tersenyum lebar. Hatinya berbunga
indah. Kenyitan nakal Iqram tadi membuatkan hatinya
rasa berbunga-bunga. Sungguh dia tak sangka bahawa
hubungannya dengan Iqram boleh jadi rapat seperti ini.
Teringat waktu mula-mula masuk sekolah dahulu, dia
memang langsung tak berminat melihat wajah Iqram
dan hanya menumpukan perhatian kepada Hakim sahaja.
Walaupun ramai yang memuji kekacakan Iqram yang ala-ala
artis Korea, namun hatinya pula selalu memuji Hakim yang
lebih kelihatan maskulin walaupun berkulit gelap.
Tetapi sayangnya, Hakim itu terlalu sombong dan
kekok dengannya. Walaupun dia selalu dapat menangkap
jelingan Hakim yang curi-curi pandang kepadanya, tetapi ia
hanya cukup setakat itu. Berlainan pula dengan Iqram yang
semakin hari semakin jelas menunjukkan perasaannya.
Sering kali dia meluahkan rasa tentang kesombongan
Hakim kepada teman-teman rapatnya iaitu Qaisarah, Atikah
dan Husna. Namun, mereka sentiasa mempertahankan Hakim
dengan alasan Hakim itu lelaki yang pemalu dan bukannya
sombong. Entahlah... sama ada malu atau sombong, sikap
Hakim itulah yang membuatkan dia langsung tidak mampu
hendak bercakap banyak dengan lelaki itu.
Dan Hakimlah yang menjadi posmen dan orang
tengah kepada segala yang ingin disampaikan oleh Iqram
sehinggalah akhirnya dia dan Iqram menjadi rapat seperti
ini. Terpaksa dia mengakui bahawa segala pandangan tajam
dan jelingan Hakim kepadanya selama ini sebenarnya tidak
membawa maksud apa-apa. Dia saja yang perasan sendiri
dengan rasa pandang pertama terhadap Hakim waktu pertama
kali bertentang mata.
Menjadi teman rapat Iqram, membuatkan hidupnya
seakan berwarna-warni. Dia baru saja kehilangan papa. Papa
pergi tanpa sebarang berita setelah menceraikan mama dan
berkahwin lain. Kerana itulah dia terpaksa bertukar sekolah
di sini. Sungguh tidak disangka, di sini dia akan bertemu
dengan seorang lelaki yang berjaya membuatkan hatinya
sedikit terubat dengan kelukaan. Kehadiran Iqram sedikit
sebanyak membuatkan dia terlupa tentang kesakitan yang
ditinggalkan oleh papa. Berkawan daripada dia mula masuk
sekolah ini, hinggalah sekarang mereka sudah memasuki
tingkatan 5.
Darissa belek lagi jam hadiah pemberian daripada
Iqram. Jam tangan bertali putih dan mempunyai butir-butir
seakan biji berlian kelihatan berkilauan mengelilingi cermin
bulat. Seperti mahu dipeluk dan cium saja jam tersebut. Esok
hari, dia akan genap berusia 17 tahun. Dan hadiah hari jadi
yang ke-17 ini adalah hadiah yang paling istimewa sekali dia
rasakan. Sudah tentu hadiah hari jadi yang dia terima hari ini
tidak akan dia lupakan sampai bila-bila.
Betul! Sampai ke akhir hayat dia takkan dapat
lupakan. Jika ketika ini dia merasakan pemberian itu sesuatu
yang indah dan istimewa, sesungguhnya dia akan menerima
sesuatu yang lebih hebat dan di luar jangkaan daripada lelaki
yang bernama Iqram bin Dato’ Idris!

No comments:

Post a Comment