DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday 27 November 2018

Cinta Adik Manja - Bab 2

GRUP WhatsApp Geng Gadis Pingitan Kg.

Berangan!
Nisa
Hensem tak Abang Syam?


Nur menjeling WhatsApp tanpa rasa mahu membalas.
Menurut hatinya, wajah itulah yang selalu ingin dielakkan
daripada dilihat. Tapi Nisa makin galak pula berkongsi gambar
abangnya yang menuntut di Mesir. Dia tak tahu apa motif
kawannya itu. Mahu ditegur tapi dengan alasan apa? Biarpun
bertahun-tahun berlalu, sakit di hatinya masih berdenyut
tatkala kawan-kawannya rancak bersembang tentang lelaki
itu.

Siti
Hensemnya Abang Hisyam... Bila dia
nak balik, Nisa?


Aini
Kan? Kacak betul. Macam pak Arab
dah pulak. Eh, macam model yang
aku tengah skodeng dalam IG ni,
Taylor Philips. My hero... Sure boleh
cair hati aku ni.


Nisa
Selasa ni. Aku pun tak sabar nak
tunggu abang aku tu. 7 tahun tak
jumpa. Rindu giler kat gurauan
dia. Aku dah cakap, tak beli hadiah
hari jadi aku untuk 7 tahun ni, aku
boikot. Hahaha...


Nur diam membaca tanpa mencelah. Bila topik
Abang Nisa ni, dia selalu out of zone. Menyampah tapi nak
juga baca. Benci tapi curi-curi tengok juga. Walaupun selepas
itu dia dengan geramnya memadam segala gambar lelaki itu.
Munafik! Mungkir janji! Entah-entah sekarang dah
kahwin dan beranak pinak. Sebab itulah tak hairan langsung
kat budak hingusan ini! Dia bencikan Hisyam!

Misah
Abang Hisyam tak ada makwe lagi,
kan? Aku ingat nak masuk nama
sebagai calon makwe dialah...


Nisa
Dia dah ada calonlah. Bakal kakak
ipar aku tu cantik sangat. Jangan
nak berangan jadi kakak ipar aku
ya!



Wajah Nur pucat! Bait-bait kata Nisa itu bagaikan
menikam hatinya, bertubi-tubi.
‘Apasal aku rasa sakit sangat!’
Matanya hangat. Telefon pintarnya diletak di atas
meja. Suasana dalam perpustakaan tenang. Semua yang
berada di sini fokus menelaah. Dikerdipkan mata beberapa
kali, mahu mencari ketenangan diri yang tercalar. Buku
rujukan kimia di depannya ditatap sepintas lalu. Hatinya
tawar untuk sambung mengulang kaji.
‘Abang Hisyam nak balik.’
‘Abang Hisyam dah ada tunang cantik, lawa.’
‘Abang Hisyam dah nak kahwin.’
Berulang kali kata-kata itu berlegar dalam kepalanya.
Nur menggigit bibir bawahnya, menahan rasa sakit.
‘Abang Hisyam penipu! Abang Hisyam munafik!
Tak padan belajar kat Mesir tapi mungkir janji besar!’ jerit
batinnya.
Notifikasi WhatsApp di dalam grup terus berbunyi.
Dia tahu kawan-kawannya hangat bercakap pasal Hisyam.
Nur tak mahu baca lagi. Sakit di hatinya semakin parah. Tapi
dia tidak tahu hendak diluahkan pada siapa. Sudah tentu
bukan kepada Nisa mahupun kawan-kawan yang lain. Mereka
tidak boleh tahu rahsia hatinya yang satu itu.
“Hei Nur, kau okey?”
Cuitan dan teguran lembut di belakang Nur
membuatkan dia mendiamkan diri. Cuba mengumpul
ketenangan diri. Tisu pantas diambil dan wajah dikesat.
Pemilik suara tadi bergerak ke sisi. Kerusi di sebelah
gadis itu ditarik perlahan sebelum melabuhkan punggung.
Senyuman kacak menghiasi wajah Azim. Tapi dahinya
berkerut apabila melihat wajah sedih Nur.
“Kau kenapa?” soalnya ingin tahu.
Nur gerakkan kepalanya ke kiri dan ke kanan. Bibir
kuntum senyum tawar.
“Tak ada apalah. Mata aku masuk habuk. Bila kau
datang?” soal Nur berbasa-basi.
Kalau boleh ketika ini, dia tak mahu ada orang
mendekatinya. Tapi Nur tahu Azim bukan orang yang suka
dengan perkataan tidak, tak atau tak boleh. Azim memang
seorang yang tak reti bahasa. Dia buat tak layan pun lelaki itu
akan tetap datang menempel dengannya. Sudah tidak mampu
dihalau, jadi dibiarkan saja. Lama-kelamaan mereka mula
berkawan. Azim ni okey untuk dijadikan kawan, tapi yang tak
okeynya Nur. Dia jadi mangsa jelingan orang sekeliling setiap
kali si Azim menempel di sebelahnya.
“Dah lama. Aku ada discussion dengan group tutor
aku kat sini.”
Azim terus mengamati wajah Nur. Lama. Wajah
pertama yang dipandang semasa mendaftar kolej terus
melekat di hatinya. Dia tahu Nur berbohong. Mata masuk
habuk, alasan lapuklah. Budak kecil pun tahu.
Nur angguk.
“Dah habis ke belum kau datang kacau aku ni?”
soalnya.
“Take five. Kau sorang? Mana Intan dengan Fatihah?”
Mata Azim memandang sekeliling mencari kelibat nama yang
disebut tadi.
“Entah. Kat bilik kut.” Nur angkat bahu.
Selepas habis kuliah tadi dia terus ke perpustakaan.
Ingatkan nak selesaikan assignment kimia yang pensyarah
berikan walaupun tarikh hantarnya selepas cuti semester
nanti. Bagi Nur semua tugasan perlu diselesaikan sebelum
cuti. Barulah dia boleh bercuti dengan tenang hati. Tapi bila
teringat WhatsApp grup tadi, dia tahu hatinya tidak akan
tenang dalam tempoh cuti yang akan datang ini.
Azim mengangguk. Wajah Nur ditatap lembut.
Manakala Nur pula menunduk. Tidak mahu bertentang mata
dengan Azim. Kali ini dia segan. Dia tahu lelaki itu tahu dia
berbohong.
“Lima minit kau dah tamat. Baik kau pergi,” usir
Nur.
Azim sengih. Dia garu kepala. Ralit tadi dia merenung
wajah comel di depannya. “Balik nanti saing sama,” ajaknya.
Nur geleng. “Mesti kau lambat habis lagi, kan? Malas
aku nak tunggu. Kejap lagi aku nak balik dah.”
Azim angguk hampa. “Malam nanti kita makan
sama-sama nak? Aku belanja,” ajaknya lagi.
Nur pantas geleng kepala.
“Aku tak makan malam. Biasanya aku makan
sebelum pukul 7.” Nur memberi alasan.
“Tak apalah. Aku tunggu kau dekat kafe pukul 7,”
balas Azim, tak putus asa.
“Balik ni aku beli makan siap-siap. Makan dengan
Intan dalam bilik. Lain kalilah jelah.” Nur tetap menolak.
Azim hampa. “Okeylah. Lain kali,” balasnya perlahan.
‘Tak apa, Azim. Kau masih ada beberapa bulan lagi
sebelum habis belajar. Ada banyak masa lagi untuk pikat hati
Nur,’ bisik Azim kepada dirinya sendiri.
“Azim, cepat weh. Sudah-sudahlah tu jual minyak.
Banyak lagi tak diskus ni.” Aulia datang mencelah. Barangkali
bosan menunggu Azim yang menempel di sisi Nur.
Azim bangun. “Malam nanti aku WhatsApp kau, eh?”
Nur angguk. Aulia pula memberi jelingan tajam
kepadanya. Bukan dia yang nak Azim itu menempel di situ.
Lelaki itu sendiri yang datang kepadanya. Huh!

“MACAM MANA, bang? Apa kata Hisyam?” Segera Ainul
Mardihah bertanya apabila melihat Azrul, suaminya berdiri
di muka pintu.
Azrul mengeluh. Ainul segera berganjak ke tepi
memberi ruang untuk suaminya melangkah masuk.
Terdengar saja suara kakak iparnya menegur
abangnya, Ayuni pantas keluar dari biliknya. Terus dia
menghampiri Azrul. Dadanya berdebar hebat bersama
dengan harapan setinggi gunung. Siang malam dia berdoa
agar jodohnya bersama Hisyam. Harapnya kali ini impiannya
akan menjadi kenyataan.
Azrul menapak ke kerusi. Dihempaskan tubuhnya di
situ. Dia memandang isteri dan adiknya. Pandang kedua-dua
kesayangannya penuh harapan. Hatinya diburu rasa
bersalah. Salahnya kerana silap perhitungan. Kini adiknya
yang menerima akibatnya. Kalaulah dia tidak bersikap
terburu-buru, tentu sekali adiknya takkan kecewa.
“Ambil abang segelas air masak, Ayu,” perintahnya.
Ayuni menurut walau hatinya tidak sabar ingin tahu.
“Apa kata Hisyam, abang?” Ainul menyoal lagi.
Azrul menyelesakan duduknya. Kepalanya bergerak
ke kiri dan kanan. Ainul terdiam. Sudah diagak jawapannya,
namun hati masih juga mahu menaruh harapan. Kasihan
Ayuni, adik iparnya itu.
“Air, abang.” Ayuni hulurkan segelas air suam
kepada Azrul. Dia mengambil tempat di depan abangnya.
Sedia menadah telinga mendengar jawapan terbaru daripada
Hisyam.
Azrul pandang isterinya, lama. Mencari kekuatan
untuk berterus terang. Ainul Mardihah mengerdipkan mata,
memberi isyarat supaya meneruskannya.
“Abang minta maaf, Ayu. Semua ini salah abang.
Kalaulah abang siasat dulu dan bukan buat tanggapan sendiri,
tentu tak jadi macam ini.” Azrul tarik nafas. Dipandang
adiknya yang sudah menundukkan kepala dan meramas
tangan sendiri.
Ainul Mardihah berkalih tempat. Duduk di sisi Ayuni.
“Hisyam cakap apa?” Bibir Ayuni bergetar.
Azrul tenung wajah Ayuni seketika.
“Dia dah ada tunang di kampung. Bertunang
sebelum datang ke Mesir lagi.”
Ayuni tahu itu. Dia pandang lagi abangnya. Dia tiada
masalah tentang itu. Dia sanggup terima tunang Hisyam
sebagai madunya, asalkan dia jadi isteri pertama. Sungguh
dia tidak kisah berkongsi Hisyam dengan perempuan lain.
“Hisyam menolak cadangan itu, Ayu. Kata Hisyam,
dia hanya perlukan seorang isteri sahaja dalam hidupnya.”
Ayuni geleng kepala. Tak mahu terima? Bodoh
Hisyam ni. Ada perempuan sanggup jadi madu pun tak mahu.
Bibir diketap. Matanya bergenang. Hatinya sakit. Sukar mahu
menerima penolakan itu.
“Ayu tahu dia tipu. Abang percaya dia dah bertunang?”
Azrul geleng kepala. Percaya atau tidak, itulah yang
Hisyam jelaskan tadi. Jelas niatnya untuk menjodohkan
Hisyam dengan adiknya, tapi tak diterima oleh lelaki itu.
“Dia dah tolak, Ayu. Tipu atau tak, tak perlu
dipersoalkan. Dia bukan jodoh Ayu.”
“Tak! Ayu yakin sangat dia jodoh Ayu. Berkali-kali
Ayu solat istikharah, Ayu nampak dia.” Ayuni tidak segan lagi
menangis di hadapan abang dan kakak iparnya.
“Sebab ketika Ayu solat istikharah, hati Ayu dah pilih
dia. Hati Ayu dah penuh dengan wajah dia. Salah caranya tu,
Ayu!” tekan Azrul supaya adiknya itu sedar.
Ayuni bingkas bangun. Air matanya dikesat kasar.
Dia melangkah ke biliknya. Pintu dihempas kuat. Hatinya
bertekad. Hisyam tetap akan menjadi suaminya!

No comments:

Post a Comment