DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday 27 November 2018

My Miss Universe - Bab 1







“NAMA saya Intan Darissa binti Ahmad Imran.”
Bagaikan terpaku Hakim mendengar bibir itu
bersuara. Tidak berkelip-kelip matanya memandang ke arah
kelibat gadis pingitan yang sedang berdiri di hadapan kelas.
Wajah yang putih halus dengan sepasang mata yang bulat dan
bundar, hidung mancung dan rambut yang hitam berkilat.
Sempurna! Pakej yang cukup sempurna bagi seorang wanita.
Cantik dan menawan bagaikan bidadari.
Hakim, pernahkah kau lihat bagaimana rupa
bidadari? Pandai-pandai saja nak samakan taraf gadis itu
dengan puteri kayangan. Ah, biarlah tak pernah tengok pun,
janji wajah gadis di hadapannya ini memang cantik dan
layak berada setaraf dengan bidadari. Silap-silap hari bulan,
bidadari yang turun dari langit juga tidak boleh menandingi
kecantikan gadis itu yang serta-merta membuatkan hatinya
terpaku dengan hanya sekali pandang sahaja.
Pelajar perempuan yang baru memperkenalkan
namanya itu terus saja melangkah mendapatkan tempat
duduk yang kosong. Hati Hakim bagaikan melonjak-lonjak
keriangan kerana pelajar baharu itu duduk di belakang
mejanya sahaja. Yes! Nasib baik tempat duduk di sebelah
Qaisarah kosong, jadi dekatlah kalau hari-hari pusing
belakang nampak muka dia yang cantik, comel, lawa dan
berseri-seri itu. Barulah bertambah bersemangat nak belajar,
setiap hari dapat tengok si manis yang ayu jelita.
Aduh Hakim... baru seminit, tetapi pujian untuk
pelajar baharu itu sudah tinggi menggunung nampaknya!
Hakim toleh sedikit ke belakang. Tepat-tepat sahaja
pandangannya berlaga dengan pelajar baharu tersebut.
Senyuman diberi lalu dia berpaling semula ke depan. Aduh
mak ai... kenapalah senyumannya manis sangat? Bagaikan
hendak gugur jantung apabila melihat senyuman semanis
itu. Jantung Hakim berdegup laju. Tersipu-sipu dia sendiri
selepas berbalas senyuman dengan rakan sekelas yang baharu
itu.
Entah kenapa pula tiba-tiba dia boleh berperasaan
seperti ini. Tak pernah-pernah! Sepanjang dia hidup, belum
pernah dia rasa terpegun melihat mana-mana perempuan, tak
ada sekali pun dia memuji melambung kecantikan artis, model
mahupun ratu cantik dan tak pernah jantungnya berdetak
laju dan berdegup kencang apabila saling berpandangan
dengan sesiapa pun. Tetapi dengan pelajar baharu ini, satu
perasaan luar biasa pula menyelinap masuk ke segenap urat
dalam sistem badan dan otak.
‘Cantiknya dia... ayu, manis, memikat dan
mengagumkan mengalahkan Miss Universe!’ puji Hakim lagi.
Ya Allah, Hakim sudah-sudahlah memuji. Ini sudah
berlebih-lebih ibarat orang yang jatuh cinta pandang pertama!
Hakim telan liur sendiri. Jatuh cinta pandang
pertama? Beginikah jika orang yang jatuh cinta pandangan
pertama? Sekali tengok saja, sudah tak berkelip mata mahu
memandang. Tak puas telinga hendak mendengar suaranya.
Tengoklah seperti sekarang ini, tak sampai seminit, sudah
nak pusing belakang dan tengok apa yang orang itu buat.
Kejap-kejap nak tengok lagi. Betulkah dia memang sudah
jatuh cinta pandang pertama?
Muhd Afif Hakim, awak sedar tak yang awak tu baru
16 tahun! Sekolah baru masuk tingkatan 4, sudah berangan
pasal cinta pandang pertama? Biar betul! Ingat sikit, SPM
pun belum lepas, jangan pandai-pandai nak bercakap pasal
bidadari kayangan atau sebagainya. Budak hingusan lagi,
tahu tak?
Hakim tarik nafas dalam-dalam. Dia betulkan
kedudukan dan pandang tegak ke hadapan kelas di mana
Cikgu Habibah sudah kembali menyambung mengajar
setelah berhenti sekejap untuk memperkenalkan pelajar yang
baharu masuk sebentar tadi.
Hakim cuba memberi perhatian penuh pada
nombor-nombor yang tertulis di papan hitam kelas.
Namun, baru saja 5 minit dia fokus, hatinya sudah kembali
goyah. Meronta-ronta untuk berpaling ke belakang.
Ditahan sedaya upaya, dikuatkan semangat, namun dia
tidak mampu. Tumpuan langsung tidak masuk dengan
segala nombor-nombor formula yang sedang diajar. Rasa
gundah-gulana selagi wajah pelajar baharu itu tidak dilihat.
Apabila sudah tidak tahan, dikerling sedikit ke belakang dan
wajah ayu itu ditatap untuk beberapa saat. Dapat jeling dan
tengok dengan ekor mata pun dah buat dia puas hati.
“Weh, kenapa kau asyik pandang-pandang belakang
ni?” Lengannya disiku oleh Iqram yang duduk bersebelahan.
Cepat-cepat Hakim geleng kepala dan terus pandang depan.
Tidak mahu lagaknya dapat ditangkap oleh sahabatnya itu.
Ya Allah, comelnya gadis bernama Intan Darissa
apabila rambutnya yang panjang itu diikat kemas bertocang.
Tubuhnya tinggi lampai memang sesuai jika masuk
pertandingan ratu cantik dunia. Aduh, pujian setinggi mana
lagi yang harus dia katakan kepada Miss Universe yang baru
muncul depan mata ini?
Miss Universe? Baru beberapa minit, tetapi dia
sudah punya gelaran yang diberikan kepada gadis itu. Ini
sudah kes parah! Ini memang betul-betul berat. Adakah ini
memang tandanya dia sudah suka dan jatuh cinta dengan
budak baharu itu? Adakah ini bermakna hati lelakinya sudah
terusik dengan senyuman dan keayuan gadis bermata bulat
itu? Dengan gadis ayu ibarat ratu cantik dunia yang bernama
Intan Darissa!

SAKITNYA HATI!
Hakim tarik bantal lalu tutup muka. Pejam mata
rapat-rapat dan serta-merta ingatan melayang pada kejadian
siang tadi. Sakitnya hati, hanya Tuhan saja yang tahu. Betapa
hatinya berasa seperti disiat-siat apabila melihat adegan
merpati dua sejoli di depan mata.
‘Kurang ajar! Depan mata aku korang boleh bergelak
ketawa dan bergurau senda ibarat pasangan bahagia dan
gembira. Tak tahu ke mata dan hati aku ini sakit dan sedih
bila tengok kemesraan dan keintiman tu? Tak tahu ke aku
tak rela melihat senyuman dan tawa manis Darissa bersama
dengan lelaki lain? Tak tahu ke???’ jerit Hakim dalam hati.
‘Memanglah tak tahu! Siapa yang tahu? Macam
mana nak tahu? Kau sendiri tak pernah buka mulut, tak
pernah bercerita dan tak pernah berkongsi dengan sesiapa
pun tentang perasaan yang ada terhadap perempuan bernama
Intan Darissa. Jadi, bagaimana tuan punya badan atau kawan
sendiri nak tahu apa yang ada dalam hati kau? Bagaimana
orang lain nak faham yang kau sakit hati, sedih dan tak
sanggup tengok Darissa mesra dengan lelaki lain? Kau hanya
pendam perasaan sorang-sorang dan tak berani nak buka
mulut langsung. Sudah 3 bulan Darissa jadi rakan sekelas,
ada kau tunjukkan sebarang isyarat yang kau sukakan dia?
Sudah 3 bulan Darissa duduk belakang meja kau, ada kau
cuba-cuba nak dekat atau rapat dengan Darissa? Ada kau nak
berbual dan bergurau dengan dia? Tak ada! Langsung tak ada.
Huh! Semuanya sebab kau lembik dan tak berani nak angkat
muka bila berdepan atau bertentang mata dengan Darissa.
Kau pengecut, kau penakut nak beritahu Iqram walaupun
Iqram itu kawan baik kau sendiri. Sekarang, bila Iqram rapat
dan mesra dengan Darissa, kau pula yang makan hati. Badan
saja tinggi dan tegap, tapi hati kecil macam kuman!’ muncul
pula satu suara yang membidas panjang jeritan hatinya.
Bantal tidur ditarik dan dia kemudian berpaling
menghadap dinding. Waktu sudah larut malam tetapi
matanya masih belum terasa mengantuk. Kepala otak dan
telinga asyik terngiang-ngiang suara Iqram sahaja, macam
mana hati nak tenang dan mata nak terlelap?
“Hakim, aku rasa aku dah minatlah dekat Rissa.”
Bergetar seluruh urat saraf gegendang telinga
Hakim mendengar ayat yang keluar daripada mulut Iqram
waktu mereka sama-sama pulang dari sekolah tengah hari
tadi. Semalam waktu habis latihan sukan, dia dah sakit
hati sebab tolong jadi posmen. Bukan main lagi Iqram
minta dia sampaikan salam kepada Darissa dan Darissa pula
tersenyum-senyum membalas semula salam itu. Tersipu-sipu
dan tersengih-sengih, ingat cantik sangatlah senyuman tu?
Argh, geram dan menyampah dia rasa!
Itu kisah semalam. Belum reda lagi sakit hati,
hari ini ditambah lagi dengan sakit yang baharu. Luahan
perasaan Iqram yang membuatkan dia terus terpaku. Suka
kepada Darissa? Bukankah baru saja 2 minggu lepas Iqram
menyatakan bahawa dia meminati Damia? Walaupun Damia
itu bukan pelajar di sini, tetapi namanya dikenali oleh
hampir semua warga sekolah mereka kerana dia merupakan
olahragawati peringkat daerah dan beberapa kali datang ke
sekolah ini ketika menyertai pertandingan sukan. Dari situlah
Iqram dan Damia berkenalan kerana Iqram dan Hakim juga
merupakan atlit sekolah yang hebat. Kata Iqram, Damia
itu cantik ibarat supermodel, kalau dapat dijadikan teman
wanita, tentu ramai yang cemburu.
Tetapi, sekarang apa sudah jadi? Semudah itu saja
Iqram menukar sasaran daripada hendak memikat Damia
kepada Darissa pula? ‘Eh Iqram, Darissa itu pujaan hati aku,
tahu tak? Jangan pandai-pandai nak cucuk jarum pula!’
“Kim, kau rasa Darissa tu comel tak? Aku dah syok
habislah dengan dia. Padan tak kalau Darissa tu jadi girlfriend
aku?”
Panas hati Hakim mendengar setiap dialog yang
keluar daripada mulut Iqram. Syok habis konon! Iqram,
janganlah nak perasan. Iqram dengan Darissa, sikit pun tak
sepadan! Buat apa dengan Iqram? Darissa dengan dia barulah
sesuai. Sesuai sangat-sangat!
Hakim rasa macam nak tumbuk saja muka Iqram
apabila rakannya itu tak habis-habis menyebut nama Darissa.
Tengah bawa motor hendak pergi tuisyen pun dia boleh
buka cerita bagaimana perancangan nak memikat Darissa,
bagaimana nak buat Darissa jatuh hati, Darissa itu, Darissa
ini. Kalau ikutkan hati, memang dah melayang penumbuk
sulung dekat atas motor itu juga. Tapi, kalau jatuh motor tak
pasal-pasal pula dengan dia sekali masuk hospital. Barulah
dua-dua melopong.
Darissa pun sama. Kenapa sibuk sangat melayan
Iqram? Daripada melayan jantan kabaret yang pantang
nampak perempuan dahi licin, lebih baiklah layan dia.
Daripada senyum-senyum dekat Iqram, baik senyum dekat
dia. Daripada jawab salam Iqram, lebih baiklah Darissa
sambut salam cinta dan kasih sayang daripada dia; lelaki
yang tak pernah suka atau puji perempuan lain selama ini.
Kenapa? Kenapa Darisssa tak layan dia macam Darissa layan
Iqram? Kenapa???
‘Sebab Darissa tidak tahu tentang semua perasaan
yang tersimpan dalam hati kau tu! Jadi, macam mana dia nak
layan dan terima kasih yang tersembunyi tu. Dia bukannya
ada kuasa luar biasa yang boleh baca dan tahu apa yang dalam
hati kau, tahu tak?’
Hakim bangun daripada perbaringan. Jangan kata
nak lelap mata, makin segar dan tak senang hendak tidur lagi
adalah. Geram sungguh Hakim kerana Iqram nampaknya
seperti betul-betul nak rapat dan mahu mulakan operasi
memikat. Dia tahu bahawa Darissa itu memang cantik,
dia tahu bahawa bukan dia sahaja yang terpegun dengan
kecantikan Darissa dan dia tahu pasti akan ada pelajar atau
lelaki lain yang akan terpikat dengan wajah manis Darissa itu.
Tetapi, apabila perkara itu benar-benar terjadi depan mata,
sungguh dia rasa sakit dan tak sanggup.
Hati seperti ingin meluahkan perasaan kepada
Darissa, tetapi semangat langsung tak ada. Jiwa rasa
membuak-buak mahu melepaskan segala-galanya, namun
keberanian langsung tak muncul tiba. Mahu berbicara soal
hati dan perasaan dengan Darissa? Hendak buka mulut nak
pinjam buku pun dia tak berani. Hanya senyum sajalah dia
mampu buat setiap kali bertentang mata. Takut, malu, segan,
tak berani. Habis tu, apabila Darissa sudah mula nak melayan
Iqram, barulah jadi macam cacing kepanasan.
‘Kau memang lembap, Hakim. Lembap,
terhegeh-hegeh dan terkial-kial. Huh!’ muncul lagi suara itu
mengutuknya dirinya.

No comments:

Post a Comment