HAKIM menyerah kalah. Dia sedar bahawa dia
sudah pun tertewas dalam pertarungan ini. Pertarungan
yang hanya dia saja yang tahu. Pertarungan hati melihatkan
orang yang tersayang menjadi milik orang lain. Dia... Miss
Universe yang selama ini digilai siang dan malam akhirnya
akan disunting orang. Bukan orang asing, tetapi dengan
sahabat karibnya sendiri.
Hakim melihat Iqram yang hanya duduk diam
walaupun pelbagai soalan diajukan oleh teman-teman
kepadanya. Soalan mengenai pertunangan mereka berdua.
Satu sekolah dikejutkan dengan berita tersebut sebaik sahaja
tamat peperiksaan SPM. Tak sangka, begitu pantas sekali
hubungan Iqram dan Darissa akan menuju ke satu tahap
yang lain. Dan sejak itulah, apabila setiap kali berkumpul
beramai-ramai, tidak ada topik lain yang akan dibualkan
melainkan hal itu saja. Bukan saja Hakim, nampaknya
memang semua orang tak sangka Iqram yang ramai peminat
itu akhirnya setia kepada Darissa seorang sahaja!
“Kim, aku rasa dah silaplah ajak Rissa bertunang.”
Perlahan dan mendatar saja suara Iqram kedengaran. Namun
tetap juga jelas kedengaran di gegendang telinga Hakim.
Waktu itu Yazid dan Fateh yang turut bermain boling bersama
tidak ada kerana masing-masing pergi ke tandas.
Hakim memandang Iqram yang memang sedang
memandang tepat ke arahnya.
“Silap? Kenapa silap pulak?” soal Hakim semula.
“Yalah, mummy dengan daddy aku itulah. Tiba-tiba
aje cakap nak hantar aku pergi belajar dekat US. Tak kiralah
sama ada keputusan SPM aku cemerlang ataupun tak, aku
tetap kena belajar dekat sana. Jadi, aku risaulah nak kena
duduk jauh dengan Rissa. Sebab tu aku ajak dia bertunang
sekarang. Tapi bila makin dekat tarikh nak bertunang, aku
rasa macam bodoh pula tindakan aku tu. Kau tak rasa kelakar
ke umur baru masuk 18 tahun tapi dah bertunang?”
“Kau jangan nak fikir macam tu pulak, Qam. Hari tu
kau yang beria-ia ajak Rissa bertunang. Kau pujuk dia dengan
macam-macam ayat. Kau janji dengan dia macam-macam
benda supaya dia setuju. Susah payah dia dah pujuk mama
dia, sekarang ni kau nak cakap dah tersilap pulak?” balas
Hakim sedikit menentang kata-kata Iqram sebentar tadi.
“Hari tu aku ikut perasaan aje. Tak fikir panjang.
Sekarang ni aku memang betul-betul rasa tak sedap hati.
Kawan-kawan semua seronok enjoy, aku pulak yang pelik
sibuk nak bertunang. Umur muda lagilah, Kim. Takkan kau
nak tengok aku dengan Rissa pecah rekod jadi pengantin
paling muda berbanding kawan-kawan yang lain?”
Hakim tergelak sedikit. Sengaja hendak tenangkan
perasaan Iqram yang nampak seperti tidak senang duduk.
Baru saja tin minuman yang tadi dihabiskan, sudah dibuka
dan meneguk tin air yang lain pula.
“Kau jangan fikir benda yang merepeklah. Pengantin
muda apanya? Kau bukan nak kahwin sekarang, bertunang
saja dulu. Kau sendiri yang cakap dekat Rissa, bertunang
sampai masing-masing dah habis belajar dan dapat kerja.
Lepas tu barulah fikir pasal kahwin. Paling kurang pun
empat lima tahun lagi baru korang boleh bincang pasal hal
kahwin ni. Jangan risaulah, semua perasaan takut tu sebab
gementar sahaja. Maklumlah lagi beberapa hari saja kau
dah nak bergelar tunang orang.” Hakim seboleh-bolehnya
cuba bercakap sesuatu yang mampu menenangkan perasaan
sahabat karibnya itu. Memanglah dalam hati dia rasa sungguh
sedih, sungguh perit apabila Iqram dan Darissa hendak
bertunang, tetapi sebagai seorang sahabat, seharusnya dia
mendoakan perkara yang terbaik untuk kedua-dua mereka.
“Ini semua mummy dengan daddy punya pasal.
Pandai-pandai buat rancangan nak hantar aku belajar
jauh-jauh, tak pasal-pasal aku dah tersilap bagi syarat kena
bertunang dengan Rissa dulu barulah aku setuju pergi US.
Hesy!”
Hakim mendengar suara rungutan Iqram walaupun
perlahan, seolah-olah bercakap dengan diri sendiri. Mahu
juga dia membuka mulut dan membalas rungutan itu tetapi
kedatangan Yazid membuatkan perbualan mereka terganggu.
Masing-masing tidak lagi membuka mulut tentang isu itu
dan kembali menyambung permainan.
Sesekali Hakim melirik melihat Iqram yang saling
berbalas senyuman dengan beberapa remaja perempuan
yang berada bersebelahan lorong boling mereka. Hai... dah
nak bertunang pun masih sempat lagi hendak bermain
mata dengan perempuan lain? Selama 2 tahun Iqram
berkawan dengan Darissa, fikirnya Iqram sudah mula
belajar perkataan setia. Tetapi, sejak akhir-akhir ini, sejak
mereka habis SPM, Iqram mula kelihatan lain. Iqram dilihat
semakin panjang langkah ke sana sini dan berkenalan dengan
perempuan-perempuan lain tanpa pengetahuan Darissa.
Hakim juga selalu dapat menangkap wajah resah,
risau dan tidak senang yang ditunjukkan oleh Iqram
apabila setiap kali teman-teman lain membuka cerita
tentang pertunangannya dengan Darissa. Terdetik juga
sama ada Iqram itu sebenarnya ikhlas ataupun tidak hendak
bertunang? Apabila sebut nama Darissa, wajahnya mencerut
dan bibirnya diam seribu bahasa, tetapi apabila bertegur
dengan perempuan yang tidak dikenali, panjang lebar pula
senyumannya. Pelik betullah Iqram ini!
Hakim mengakui, dengan wajah dan kulit cerah
bersih yang dimiliki oleh Iqram, sudah tentu ramai perempuan
yang mudah terpikat dengannya. Tetapi, bukankah Iqram
sendiri yang mengaku bahawa Darissa itu sudah cukup
sempurna? Jadi untuk apa bermain mata dengan yang lain
apabila gadis secantik ratu dunia sudah hampir pasti menjadi
miliknya? Sedangkan dia sendiri, lelaki yang tidak pernah
ucapkan segala perasaan kepada Darissa, tetapi apabila mahu
mulakan langkah berkenalan dengan perempuan lain, terus
saja wajah Darissa muncul dalam kepala, kenapa tidak Iqram?
Hairan sungguhlah! Dia bukannya ada hubungan
dengan Darissa, tetapi dia pula seakan-akan rasa bersalah
kalau berkenalan dengan perempuan lain, sedangkan Iqram
yang bakal menjadi tunang pun tak kekok dan segan-silu
hendak bertukar-tukar nombor telefon dengan perempuan
lain. Darissa itu perempuan istimewa untuk siapa sebenarnya?
Hakim atau Iqram?
No comments:
Post a Comment