DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday, 27 November 2018

Cinta Adik Manja - Bab 7

“ANGAH lambat! Adik WhatsApp sebelum
sampai stesen lagi. Tapi lambat juga!” bebel Nur.
“Angah minta maaf,” ucap angah tersengih sambil
menggaru kening kirinya. Sudah tahu dengan perangai
adik bongsunya tak suka menunggu tapi lebih suka orang
menunggunya. Jadi sengaja dia berlengah tadi.
“Kalau abah ambil, mesti tak lambat. Sukarela ambil
orang tapi buat orang tunggu lama!” Nur menjeling Azim di
sebelah. Sebenarnya dia rimas dengan mamat ni. Dari tadi
lagi tidak berganjak dari sisinya. Sudahlah semalam duduk
rapat-rapat sampaikan dia hampir-hampir terpenyek di
dinding bas.
“Lain kali tak...” Nur hilang kata apabila ternampak
seseorang di belakang angah. Percakapannya terhenti.
Senyuman lelaki itu melumpuhkan bicaranya.
“Assalamualaikum, Nur.” Lelaki itu memberi salam
sebaik berhenti di sebelah angah.
Wajah Nur pucat seketika.
“Abang Hisyam?” Azim hulurkan tangan bersalaman.
Dia tersengih. Mungkin ini takdir terindah untuknya
mengenali keluarga Nur. Dijeling Nur di sebelah yang telah
berubah wajah. Pucat dan tergamam.
“Azim?” Hisyam menyambut salam yang dihulur.
Wajah Nur dan Azim dipandang silih berganti. Angah pula
terpinga-pinga.
“Bila Abang Syam balik?” ramah Azim bertanya.
Dia masih ingat dengan jelas wajah Hisyam, mutawif yang
membimbing keluarganya ketika menunaikan umrah tahun
lepas. Rupanya saudara sebelah daddynya.
“Kau kenal ke?” Angah pandang mereka dengan
wajah ingin tahu.
“Kenal, cucu Pak Itam Deraman. Yang tinggal kat
Pasir Puteh tu,” jawab Hisyam. Matanya pandang Nur sekilas.
Hatinya bergetar indah. Wajah kesayangannya tak banyak
berubah. Tapi masam. Sikit pun tidak memandangnya.
Sapaannya tadi juga tak dibalas.
“Saya kawan Nur. Kawan matriks,” jelas Azim.
Senyuman manis diukir. Terasa jalan untuk memikat hati
Nur terbentang di depan mata. Tentu Hisyam boleh tolong ni.
“Nak berkenalan ke, beramah mesra ke, boleh tak
kita balik dulu?” celah Nur dengan suara mendatar. Dia sedaya
upaya menahan rasa sebak di dada. Matanya sedikit berkaca.
Dia genggam tali begnya sekuat hati, menahan amukkan rasa
yang mahu keluar.
“Tuan puteri dah nak mengamuk ni. Marilah kita...”
Angah tersengih melihat wajah masam dan terluka adiknya.
Tahu yang Nur sedang menahan perasaan.
“Mari Abang Syam bawakan beg tu,” pinta Hisyam.
Tangannya dihulurkan.
“Tak payah!” Keras tapi nadanya terkawal.
Serta-merta terhenti perbuatan Hisyam dek nada tak
mesra Nur.
“Tuan Puteri bad mood. Jangan ambil hati Syam.”
Hisyam angguk. Dia tersenyum nipis. Azim pula diam
melihat kejadian itu walaupun dalam hatinya tertanya-tanya.
Nur mula melangkah. Penat mahu menunggu.
Penat lagi hatinya menunggu dan merindu bertahun-tahun.
Dan kali pertama berjumpa, wajah itu tenang tanpa riak
bersalah. Selamba macam selama bertahun ini tak ada apa
yang berlaku.

“KITA SINGGAH makan dululah.”
Mata yang hampir tertutup terus terbuka luas. Nur
pandang angah di sebelah. Cadangan angah membuatkan
hatinya panas. Sudahlah datang ambil dia berteman. Selepas
itu mahu singgah makan-makan pula.
“Nak makan ke, nak melantak ke, hantar adik balik
dulu!” Keras suaranya. Mata menjeling maut. Dia sudah
tidak peduli. Biarlah Azim tahu perangainya yang sebenar.
Bukannya comel sangat pun.
“Umi pesan tadi minta belikan nasi kerabu. Abah nak
makan,” beritahu angah.
Nur kilas kedua lengan di dada, tandanya dia memang
tidak suka idea singgah bersarapan dulu ni. Kalau boleh tak
nak pandang kedua wajah lelaki yang berada di tempat duduk
belakang lama-lama. Semak otak!
“Sekejap je, tak lama. Lagipun Hisyam baru balik
ni. Tentu adik ada banyak benda nak tanya dia, kan?” pujuk
angah lembut.
“Siapa Hisyam? Tak pernah register dalam kepala
adik ni orang bernama Hisyam!” Tinggi Nur menjawab.
Sengaja mahu lelaki di belakang itu dengar. Sakit hati melihat
wajah tenang tanpa sedikit rasa bersalah itu.
7 tahun lepas dia rasa separuh mati merindui abang
kesayangannya. Namun lelaki itu tega terus mendiamkan diri
tanpa sedikit pun mengingati janji yang terlafaz. Dia tahu,
masa tu dia masih budak hingusan. Tapi hatinya polos. Bila
orang berjanji, dia percaya bulat-bulat. Natijahnya, jiwa dia
merana. Jadi kali ini takkan sekali pun diberi peluang untuk
lelaki itu hadir ke dalam hidupnya lagi. Nur pandang ke luar
tingkap. Bibir matanya panas.
Angah terdiam. Cermin pandang belakang dilihat.
Pandangan matanya bertembung dengan Hisyam. Lelaki itu
gerakkan kepala perlahan. Sikit pun tidak membalas kata tadi.
Manakala Azim hanya diam. Komunikasi isyarat di antara
Hisyam dan abang Nur cuba difahaminya. Apakah kaitan
Hisyam dengan Nur? Kenapa tiba-tiba saja gadis idamannya
berubah sikap? Tapi dia masih ingin berlama lagi bersama
Nur.
“Tapi aku laparlah Nur. Singgahlah kejap. Mak tok
dan tok ayah aku mesti tak sedia apa-apa sarapan pagi ni. Aku
tak cakap pun nak balik sini. Ingat nak bagi kejutan,” celah
Azim.
Nur diam menahan rasa. Cuba menenangkan
perasaan yang bergelodak di jiwanya.
“Lantak kaulah. Peduli apa aku! Bukan aku suruh
kau ikut aku pun,” balas Nur kasar. Serabut dengan Azim
yang tak faham bahasa ni. Luahan perasaan tengah malam
tadi menjengkelkan hatinya. Semakin meluat.
‘Mamat perasan hebat. Perasan kacak. Ingat aku ni
terdesak nakkan dia sebagai teman lelaki ke!’ sumpah Nur
dalam hati.
Azim terdiam. Hatinya sedikit tercalar dek kata-kata
kasar Nur. Dia menelan liur, kesat.
Angah diam berfikir. Dipandang sekilas si adik di
sebelah. Diam tak berkutik. Tak faham sebenarnya apa yang
berlaku. Bukankah Hisyam dulu lebih disayangi berbanding
dia? Bukankah Hisyam yang ditunggu kepulangannya? Apakah
telah terjadi? Berlegar kepala angah mencari jawapan. Perut
dah berlagu rock tapi dia tahu kalau dah adiknya bercakap
tak, sampai ke sudah taklah. Perangai sebiji ikut macam abah.
Nama lagi anak manja abah.
“Kita bungkus je.” Tiba-tiba Hisyam bersuara.
Nur buat tak dengar. Padahal suara itulah yang
dirindui.
“Dah itu kata kau, aku ikut je. Azim nak bungkus
juga ke atau nak balik terus? Angah boleh hantarkan.”
“Bungkus jugalah angah. Lagipun dah lama tak
makan nasi kerabu ni,” balas Azim. Dia memandang Nur dari
belakang, tapi sikit pun gadis itu tidak menoleh. Marah benar.
Tapi kenapa?
“Jangan ambil hati Azim dengan kata-kata adik
angah tadi. Dia ni memang kepala angin, sama macam abah
kami. Maklumlah anak manja abah. Tapi bila dah kenal lama
baru tahu adik abang ni baik dan lembut orangnya.”
Azim sengih. Dia mengangguk. Dipandang Hisyam
di sebelah, turut tersenyum.

No comments:

Post a Comment